Tuesday, August 14, 2012

SULLAM AL-MUBTADI (سلم المبتدي)



Kitab Sullam al-Mubtadi (سلم المبتدي) merupakan sebuah kitab kecil yang berbentuk matan fiqh mazhab al-Syafi’i karya al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani seorang ulama dunia Melayu yang terkenal pada abad ke 19 Masihi.

Mengenai judul penuh bagi kitab ini, dari pengamatan saya terdapat dua judul yang biasa disebut dan dicatat oleh para pengkajinya. Judul yang pertama ialah Kitab Sullam al-Mubtadi Fi Ma’rifah Thariqah al-Muhtadi (Tangga Bagi Orang Yang Memulai Belajar), ia menjadi judul bagi kebanyakan kitab Sullam al-Mubtadi yang dicetak dan judul ini disebut oleh Haji Mohd Shaghir Abdullah ketika beliau menyenaraikan karya-karya Syeikh Daud al-Fathani dalam beberapa artikel.

Judul yang kedua ialah Kitab Sullam al-Mubtadi Fi Bayan Thariq al-Muhtadi. Ia ada disebutkan oleh Syeikh Daud al-Fathani di akhir Kitab Sullam al-Mubtadi ini. Ada saya lampirkan kata-kata beliau itu dalam artikel ini. Saya juga ada melihat judul ini bagi sebuah manuskrip tulisan tangan. Manuskrip ini boleh dibaca di pautan  سلم المبتدي.

Kitab ini amat terkenal dipelajari di pusat pengajian sama ada di pondok dan masjid di nusantara. Ia telah diulas dan dihuraikan oleh para ulama semasa kuliyah pengajian mereka sejak dahulu sehingga kini.

Kitab ini membicarakan tentang ilmu usuluddin mengikut fahaman Ahli Sunnah wa Jama’ah dan juga berkenaan hukum fiqh. Secara umumnya kitab ini boleh dikatakan kitab fiqh kerana sebahagian besar kitab ini dipenuhi dengan perbincangan bidang fiqh. Hanya pada awal kitab sahaja dibicarakan mengenai ilmu aqidah iaitu dalam Bab Fi al-‘Aqidah ( Ini Suatu Kitab Pada Menyatakan I’tiqad). Manakala perbincangan seterusnya dimulai dengan Kitab al-Shalah (Ini Suatu Kitab Pada Menyatakan Sembahyang)  dan diakhiri dengan Kitab al-‘Itq ( Ini Suatu Kitab Pada membicarakan Hukum Merdeka).


Susunan Kandungan Kitab Sullam al-Mubtadi

Kitab Sullam al-Mubtadi ini dimulai dengan satu muqaddimah oleh Syeikh Daud al-Fathani dan disusuli dengan Bab Fi al-‘Aqidah yang dipecahkan kepada beberapa fasal. Kemudian ia membincangkan sebahagian besar bidang fiqh dengan membahagikan perbicaraannya kepada 16 buah Kitab, dan setiap kitab dipecahkan kepada beberapa Fasal. Kitab Sullam al-Mubtadi ditutup dengan satu al-Khatimah.

Berikut adalah kitab-kitab yang dibincangkan oleh Syeikh Daud al-Fathani dalam Kitab Sullam al-Mubtadi;

1.  Kitab al-Shalah
2.  Kitab al-Zakah
3.  Kitab al-Shiyam
4.  Kitab al-Nusuk
5.  Kitab al-Adhhiyah wa al-‘Aqiqah wa al-Zaba-ih
6.  Kitab al-Bay’
7.  Kitab Ahkam al-Fara-id wa al-Washaya
8.   Kitab al-Nikah
9.   Kitab al-‘Iddah
10   Kitab al-Janayat
11.  Kitab al-Hudud
12.  Kitab al-Jihad
13.  Kitab al-Sabq wa al-Ram-y
14.  Kitab al-Aiman wa al-Nazr
15.  Kitab al-Qadha wa al-Syahadat
16.  Kitab al-‘Itq

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, Syeikh Daud al-Fathani telah menutup kitabnya ini dengan satu penutup (Khatimah) yang dipecahkan pula kepada beberapa fasal yang membicarakan mengenai tasawwuf dan adab.

Di akhir Khatimahnya, Syeikh Daud al-Fathani telah mengakhiri Kitab Sullam al-Mubtadi dengan katanya;

“ Telah sempurnalah maksud al-faqir ilaLlah Ta’ala Daud bin ‘Abdullah al-Fathani daripada menterjemahkan risalah yang bernama Sullam al-Mubtadi Fi Bayan Thariq al-Muhtadi ……….pada hari Isnin 13 hari bulan Rejab al-Asham pada Hijrah Nabi  1252.

Berdasarkan beberapa cetakan kitab Sullam al-Mubtadi selepas petikan di atas, Syeikh Daud al-Fathani sudahi kata-katanya dengan sebuah doa.


Syarah dan Huraian Kitab Sullam al-Mubtadi

Setakat pengetahuan saya, hanya terdapat satu kitab syarah atau huraian Kitab Sullam al-Mubtadi yang telah disusun dan diterbitkan. Iaitu kitab Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadikarya al-‘Allamah Muhammad Nur bin Muhammad bin Isma’il al-Fathani. 

Manakala syarah atau huraian dalam bentuk audio (ceramah/kuliah) banyak dilakukan oleh para ulama masa kini semasa sesi pengajaran mereka. Syarah-syarah berbentuk audio boleh diperolehi di laman-laman yang mengumpukan kuliah-kuliah para ulama/ustaz. 


Edisi Baru Kitab Sullam al-Mubatadi

Baru-baru ini saya ada membeli sebuah Kitab Sullam al-Mubtadi edisi Rumi yang dterbitkan oleh ALHIDAYAH HOUSE, cetakan 1, 2012. Kitab ini telah dialih tulisannya dari Jawi ke Rumi oleh panel yang diketuai oleh Ustazah Noraine Abu tanpa sebarang pindaan daripada teks asalnya bagi memudahkan pembaca mengikuti setiap patah perkataan yang terdapat dalam teks asalnya. Gambar di atas merupakan kulit (cover) bagi kitab ini.

Kitab edisi Jawinya boleh dimuat turun di pautan 
https://ia801609.us.archive.org/25/items/SulamAlMubtadi/Sulam%20al-Mubtadi.pdf

Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment