Monday, August 13, 2012

IRSYAD AL-'IBAD ILA SABIL AL-RASYAD


Kitab Irsyad al-'Ibad ila Sabil al-Rasyad (إرشاد العباد إلى سبيل الرشاد) adalah karya Syaikh Zaynuddin Ahmad bin Abdul Aziz bin Zaynuddin bin ‘Ali al-Ma’bari al-Malibari al-Fanani (938-1028H).

Kitab ini mengandungi kumpulan hadits tentang berbagai macam perkara keagamaan. Bahagian awal perbahasan berupa masalah iman dan sebab yang membuat seseorang menjadi murtad. Dilanjutkan dengan huraian hadits-hadits yang menjelaskan tentang bersuci (taharah) beserta ragam tata caranya, mulai dari wuduk, mandi wajib, mandi biasa, hingga tayammum. Kemudian dihuraikan pula tentang fadilat (keutamaan) zikir dan berbagai macam ibadah shalat. Dari shalat fardu sampai shalat sunat, beserta bacaan-bacaannya.

Sebagaimana judulnya, buku ini boleh dijadikan pegangan dalam beribadah. Membimbing setiap orang untuk beribadah sesuai tuntunan Rasulullah saw. yang tercantum dalam kitab-kitab hadits.

Terdapat dua buah kitab yang menjadi rujukan utama Syaikh Zaynuddin ketika menyusun kitab  Irsyad al-‘Ibad in, iaitu;

a) Kitab al-Zawajir (الزواجر), iaitu karya guru beliau al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haytami (909-974H).
b)  Kitab Mursyid al-Thullab[1] ( مرشد الطلاب), iaitu karya datuk beliau Syaikh al-‘Allamah Zaynuddin bin ‘Ali bin Ahmad al-Ma’bari al-Malibari (873-928H)

Kitab Irsyad al-‘Ibad ini menjadi kitab kajian di pesantren-pesantren/pondok-pondok tradisional dan modern. Ia juga telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa. Terjemahan dalam bahasa Melayu/Indonesia telah diterjemahkan dan diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan.

Sekadar maklumat yang diperolehi, kitab Irsyad al-‘Ibad ini mempunyai sebuah kitab huraiannya (syarah) yang disusun oleh al-‘Allamah Syaikh Ihsan bin Muhammad Dahlan al-Jampasi al-Kadiri al-Jawi () melalui karya beliau beliau yang berjudul Manahij al-Imdad Syarh Irsyad al-‘Ibab (مناهج الإمداد شرح إرشاد العباد).

Kitab Irsyad al-‘Ibad boleh dimuat turun di pautan http://www.almeshkat.net/books/archive/books/Tarbyah00181.pdf

Semoga bermanfaat.



[1] Sebuah kitab mengenai nasihat (الوعظ) dan petunjuk (الإرشاد) bagi pengabdian diri kepada Allah.

3 comments: