Monday, July 9, 2012

Tafsir al-Azhar -karya agung HAMKA


Pengenalan

Sejak Islam mula bertapak di kepulauan nusantara Melayu, telah wujud keperluan yang mendesak untuk memahami Al-Quran oleh golongan yang dipanggil Melayu Muslim. Ini disebabkan bahasa pertuturan mereka adalah bukan bahasa Arab sedangkan Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Realiti bahawa Melayu Muslim merupakan golongan terbesar bilangannya berbanding masyarakat Islam lain seperti Arab Muslim, India Muslim, Afrika Muslim dan Eropah Muslim menujukkan keperluan kepada suatu usaha yang segera untuk memastikan hidayah Al-Quran sampai ke benak dan jiwa setiap individu Melayu Muslim. Usaha yang dipelopori oleh ulama-ulama nusantara, dulu dan kini untuk member tafsiran yang sahih tentang hidayah yang terdapat dalam setiap ayat Al-Quran, kebanyakannya lebih kepada usaha secara ‘verbal’, seperti melalui syarahan-syarahan agama atau kuliah-kuliah tafsir di masjid-masjid dan surau-surau. Kitab-kitab tafsir berbahasa Melayu yang lengkap merangkumi ke semua 30 juzuk amat sedikit bilangannya. Tafsir Al-Azhar karangan Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) merupakan kitab tafsir Al-Quran yang lengkap dalam bahasa Melayu yang boleh dianggap sebagai yang terbaik pernah dihasilkan untuk masyarakat Melayu Muslim. Justeru, adalah penting bagi masyarakat Melayu Muslim yang tidak berbahasa Arab agar mengenali kitab Tafsir Al-Azhar ini terutama dari aspek metodologi tafsirnya untuk mereka lebih menghargai usaha yang dilakukan HAMKA kerana bukan semua ulama boleh mengusahakan apa yang telah beliau usahakan.

Sejarah penulisan


Usaha menghasilkan Tafsir Al-Azhar telah pun dimulakan secara tidak formal oleh HAMKA sejak tahun 1958. Beliau telah mengadakan kuliah tafsir Al-Quran setiap pagi selepas subuh di Masjid Al-Azhar dari hujung tahun 1958 hingga Januari 1964. Siri kuliah subuh itu turut ditulis dan diterbitkan dalam majalah Panji Masyarakat. Tetapi, usaha secara formal oleh HAMKA untuk menyiapkan Tafsir Al-Azhar bermula apabila beliau dipenjarakan dari tahun1964 sehingga 1966. Nama Tafsir Al-Azhar adalah bersempena nama masjid di mana beliau mula menyampaikan kuliah tafsirnya itu iaitu Masjid Al-Azhar.

Tujuan penulisan


HAMKA sebagai seorang tokoh ulama yang merasai denyut nadi masyarakat sepanjang pembabitannya dalam kerja dakwah mendapati wujud keadaan mendesak bagi beliau untuk menulis tafsir Al-Quran dalam bahasa Indonesia yang lengkap. Pemangkin pertama yang membawa kepada penulisan tafsir ini ialah kebangkitan golongan muda yang ingin mendekati Al-Quran namun terbatas pengetahuannya kerana kekangan kemampuan berbahasa Arab. Pemangkin kedua ialah wujudnya golongan pendakwah yang boleh berbahasa Arab namun amat cetek pengetahuan umum dalam ilmu-ilmu berkaitan sejarah, sains dan lain-lain. Mereka hanya membawa fahaman tradisi yang keras sehingga kurang daya penarik di kalangan masyarakat yang semakin kritis dalam memahami sesuatu isu.

Manhaj Tafsir


1. Manhaj Umum:

HAMKA memulai tafsirnya dengan muqadimah yang agak panjang iaitu setebal 50 muka surat dengan 10 tajuk utama. Dalam Pengantar Tafsir Al-Azhar, beliau memberi penghormatan kepada 4 individu penting dalam penulisan tafsir ini iaitu Haji Abdul Karim, Ahmad Rashid Sutan Mansur, Siti Raham dan Safiah. Kemudian, dalam bab Pendahuluan, HAMKA menyebut keperluan menafsirkan Al-Quran dalam bahasa Melayu dengan syarat memenuhi syarat-syarat asas tafsir seperti yang telah ditetapkan oleh para ulama. Dalam tajuk ini juga beliau telah menyebut 2 tujuan utama penulisan tafsir Al-Azhar ini. Dalam bab yang seterusnya, beliau secara panjang lebar membincangkan segala isu berkaitan Al-Quran dan tafsir, iaitu dalam bab Al-Quran, bab ‘Ijaz Al-Quran, bab Isi Mukjizat Al-Quran, bab Al-Quran Lafaz dan Makna dan bab Menafsirkan Al-Quran. Namun, bab yang paling penting ialah Haluan tafsir. Dalam bab ini, HAMKA menjelaskan manhaj beliau ketika menulis tafsir ini. Terdapat 7 manhaj utama iaitu memelihara hubungan antara aqal dan naqal, mengurangi persoalan pertikaian mazhab yang tidak membawa faedah, pengaruh Sayid Rashid ridha, Syeikh Muhammad Abduh dan tafsir-tafsir moden dalam Tafsir Al-Azhar, pengaruh latar belakang pembaca tafsir yang pelbagai latarbelakang dan status mereka, merujuk kepada para ilmuwan dalam ilmu-ilmu fardu kifayah, menyebut riwayat tafsir yang lemah sekadar untuk pengetahuan menilainya dan sejumlah pendapat ulama Indonesia turut menjadi bahan untuk dimuatkan dalam tafsir yang besar ini. Sejarah penulisan Tafsir Al-Azhar ditulis dalam dua tajuk yang akhir iaitu Mengapa Dinamai Tafsir Al-Azhar dan Hikmat Ilahi. Keunikan tafsir Al-Azhar berbanding kitab-kitab tafsir yang lain ialah penyusunan kelompok-kelompok ayat Al-Quran mengikut tema ayat-ayat Al-Quran berdasarkan Surah tertentu. HAMKA berjaya menunjukkan tema ayat-ayat Al-Quran yang ditafsirkan. Hasilnya, pembaca dapat memahami maksud tafsiran ayat-ayat tersebut dengan jelas serta kesinambungan yang wujud antara ayat tersebut. Ini merupakan suatu bentuk tafsir maudui (tafsir tematik) yang membahagikan Surah kepada tema-tema ayat yang lebih khusus. Selain itu, kebanyakan Surah dimulakan dengan memberi tafsiran pendahuluan yang membincangkan tema umum Surah tersebut serta isu-isu yang akan dibincangkan dalam tafsir Surah tersebut.

2. Manhaj Khusus:

Sebagai sebuah tafsir yang besar dan lengkap, pendekatan HAMKA dalam memberi tafsiran ayat-ayat Al-Quran ialah dengan memasukan sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan untuk pembaca mendapat maklumat dan dapat berfikir secara kritis serta mampu menilai segala maklumat yang dibentangkan secara rasional. Beliau tidak mahu pembaca hanya menerima secara membuta tuli segala yang ditafsirkan beliau. Berdasarkan pendekatan tersebut, beberapa manhaj khusus dalam tafsiran beliau telah digunakan:

  1. Tafsiran Al-Quran Dengan Al-Quran: HAMKA meletakkan keutamaan untuk mentafsir ayat Al-Quran dengan ayat Al-Quran yang lain. Kerana baginya, tiada yang lebih tepat penafsirannya melainkan menggunakan ayat Al-Quran sendiri disebabkan nilai ayat tersebut yang qat’ei. Bahkan, segala pendapat yang diberikan beliau mengenai sesuatu ayat akan disokong dengan membawa ayat lain yang akan mengukuhkan dan menjelaskan lagi ayat dan pendapat yang dibincangkan.
  2. Penggunaan Hadith: Selain menggunakan ayat Al-Quran sebagai rujukan utama, HAMKA turut memberi penekanan penggunaan hadith-hadith yang diambil dari kitab-kitab hadith yang muktabar dalam tafsirnya. Sebagai contoh, ketika menafsirkan ayat berkaitan kemuliaan akhlaq Rasulullah SAW dalam Surah al-Qalam ayat 4, beliau membawa sejumlah hadith yang berkaitan kemuliaan akhlaq baginda. Hadith-hadith ini ada yang disalin matan dan sumber kitabnya serta ada yang disebut sekadar makna hadith tanpa matan dan sanadnya. Kebanyakan hadith hanya disebut matannya tanpa rantaian sanadnya yang panjang kerana HAMKA lebih mementingkan kefahaman hadith tersebut berbanding pengetahuan rantaian sanad hadith tersebut. Beliau turut menyebut samada hadith itu sahih atau tidak dalam sesetengah hadith yang disalin beliau. Beliau hanya menyebut ulama yang meriwayatkan hadith tersebut. Sumber rujukan hadith dalam Tafsir al-Azhar kebanyakan dari Kutub Al-Sittah dan Musnad Ahmad disamping Mustadrak Al-Hakim dan sunan-sunan yang lain. HAMKA amat prihatin dengan status hadith samada sahih atau dhaif. Hadithhadith yang dhaif turut disalin sebagai ilmu untuk pengetahuan dan penilaian pembaca. HAMKA juga menuruti manhaj Syeikh Muhammad Abduh dalam isu hadith ahad yang sahih tetapi dinilai beliau sebagai bertentangan dengan dalil yang jelas dari Al-Quran.
  3. Pengaruh Syeikh Muhammad Abduh: Pemikiran pembaharuan yang dibawa Syeikh Muhammad Abduh turut mempengaruhi pendapat HAMKA dalam mentafsir ayat-ayat Al-Quran. Secara umumnya, banyak pendapat Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya iaitu Sayid Rasyid Ridha dalam Tafsir Al-Manar yang disalin HAMKA samada sebagai salah satu riwayat tafsir dari sejumlah riwayat atau sebagai penguat kepada pendapat beliau sendiri. Khususnya proses salinan ini banyak terdapat dalam juzuk terakhir Al-Quran dan dalam isu-isu yang berbentuk merasionalkan suatu kisah sejarah. Walaubagaimanapun, terdapat juga keadaan di mana HAMKA tidak sependapat tafsiran dengan Syeikh Muhammad Abduh. Namun perbezaan pendapat ini tidak dinyatakan secara jelas dengan perkataan. Tetapi, HAMKA menggunakan ayat yang halus untuk menyatankan pendapatnya sendiri.
  4. Penggunaan Kitab Tafsir Klasik Dan Moden: HAMKA berkesempatan untuk mengkaji semua riwayat kitab tafsir klasik dan moden untuk membuat penilaian sendiri sehingga mampu memilih pendapat yang dipersetujuinya atau beliau memberi pendapat beliau sendiri sesuai dengan situasi semasa masyarakatnya. Dalam tafsiran sesuatu ayat Al-Quran, HAMKA akan membentangkan banyak riwayat tafsir klasik khususnya untuk dinilai. Beliau tidak sekadar menyalin tanpa penilaian. Kerana baginya perbuatan tersebut adalah ‘textbook thinking’ yang menjumudkan pemikiran masyarakat. Beliau juga menggunakan kitab tafsir yang tidak semazhab dengan beliau seperti tafsir golongan muktazilah dan syiah.
  5. Riwayat Israiliyyat: HAMKA turut menyebut dalam tafsirnya banyak kisahkisah Israiliyat bersama sumber riwayatnya dan mendidik masyarakat menilainya dari perspektif Al-Quran dan Sunnah serta logik aqal yang sihat. Sekiranya riwayat tersebut tidak bercanggah dengan Al-Quran dan tidak memberi apa-apa kesan terhadap aqidah seseorang maka beliau akan menyalinnya dan diingatkan pula kepada pembaca agar jangan mempercayainya. Contohnya dalam isu namanama individu yang didiamkan oleh Al-Quran. Namun, jika riwayat itu terlalu teruk sehingga menjatuhkan aqidah seseorang maka beliau akan turut menyalinnya dan diulas dengan tegas agar berhati-hati dengan kisah sebegini.
  6. Ayat Al-Kawniyyah: Keunikan yang terdapat dalam tafsir Al-Azhar ialah perhatian yang mendalam terhadap ayat-ayat Al-Kawniyyah. Perbincangan berkenaan ayat-ayat ini amat terperinci dengan disokong fakta-fakta sains dari buku-buku sains. Terdapat juga kajian-kajian saintis kontemporari yang disalin dalam tafsirnya sebagai bukti kehebatan Allah SWT. Kesemua perbincangan sains ini bukan bertujuan untuk membuktikan Al-Quran itu bertepatan dengan sains kajian manusia yang terhad ilmunya, tetapi fokus utama beliau adalah untuk menguatkan tawhid manusia kepda Allah SWT. Sebab itu, setiap kali fakta sains ini dibincangkan maka di akhirnya akan dikaitkan dengan Kehebatan, Kebesaran dan Kebijaksanaan Allah SWT dalam mencipta dan mengatur alam ini. Selain itu, tujuan HAMKA menekankan perbincangan fakta sains dalam ayat Al-Kawniyyah adalah untuk memotivasi pemuda dan pendakwah agar sentiasa berfikir secara objektif dan kritikal seperti pemikiran saintis dalam kajian mereka.
  7. Persoalan Fiqh: Seperti yang beliau sebutkan dalam Haluan Tafsir sebelum ini, beliau mengelak dari perbincangan fiqh yang akan mewujudkan puak-puak dalam isu perbezaan mazhab. Untuk itu, beliau menjelaskan bahawa beliau bermazhab salaf yang berpegang kepada Sunnah Rasulullah SAW, sahabat-sahabat baginda dan ulama-ulama yang mengikuti jejak baginda. Beliau tidak bertaqlid kepada mana-mana mazhab, tetapi lebih banyak meninjau pendapat ijtihad para ulama yang lebih dekat dengan kebenaran. Oleh itu, kita akan dapati, setiap kali HAMKA membincangkan ayat-ayat hukum, beliau akan terlebih dahulu membentangkan pendapat para ulama berbeza mazhab. Disertakan juga hujjah dan dalil ijtihad para ulama tersebut. Kemudian beliau memberikan penilaian dan hujjah beliau sendiri terhadap semua pendapat ulama tersebut. Akhirnya, beliau akan memilih pendapat mana yang lebih kuat dalilnya dan dekat dengan maqasid Al-Quran dan al-Sunnah.
  8. Rujukan Tafsir: HAMKA juga merujuk kepada kitab-kita suci agama lain dalam melengkapkan tafsiran beliau ke atas ayat Al-Quran. Namun, rujukan tersebut hanya sekadar memberi maklumat tambahan kepada pembaca untuk dinilai dan dibuat perbandingan. Ayat-ayat berkaitan agama Kristian dan Yahudi khususnya akan turut disertakan dalil-dalil dari Taurat dan Injil. Rujukan ini dilakukan sebagai medium dakwah khususnya dalam keadaan masyarakat yang berbilang agama di Indonesia yang kadang-kadang menyebabkan berlaku salah faham antara penganut agama Islam dan Kristian.

Penutup

Membaca kitab tafsir sebesar ini menimbulkan rasa kagum terhadap ketokohan HAMKA dalam segenap ilmu pengetahuan. Dari pembacaan ini juga membuktikan bahawa HAMKA merupakan seorang ulama, sejarawan, sasterawan, ahli falsafah, ahli politik, aktivis sosial, yang faham tanggungjawab dakwah beliau yang diamanahkan Allah ke atas beliau. Sudah menjadi suatu kemestian pada zaman ini bagi orang Melayu yang ingin memahami Al-Quran untuk memiliki tafsir ini, memahaminya, dan menghargai usaha HAMKA ini. Perubahan yang dibawa beliau sepatutnya perlu diterima dengan hati dan minda yang ikhlas dan bersih kerana perbezaan setiap pendapat tafsir oleh ulama hakikatnya bukan bercanggah, tetapi perbezaan yang mempelbagaikan kefahaman dan ilmu tentang Al-Quran.

* Diubahsuai artikel yang disusun oleh Mohd Syauqi Bin Md Zahir Al-Kulimi, Pusat Asasi UIAM.

Hidayah al-Muta'allim kitab fiqh dalam Mazhab Syafie


ASH-SHIRAT al-Mustaqim, karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diperkenalkan adalah kitab fiqh, iaitu bahagian ibadah pertama dalam bahasa Melayu. Selepas 200 tahun barulah muncul kitab fiqh yang lengkap mengenai Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat yang dikumpulkan dalam satu kitab.

Judul kitab ialah Hidayah al-Muta’allim wa‘Umdah al-Mu’allim. Catatan nama pada halaman kulit al-‘Alim al-‘Allamah wa Bahjatud Din wa Shahibul Karamah asy-Syeikh Daud bin asy-Syeikh ‘Abdullah al-Fathani. Diselesaikan di Makkah, pada 12 Jumadil Akhir 1244 H/20 Disember 1828 M.

Manuskrip asli kitab ini belum ditemui, manuskrip salinan terbaik dilakukan oleh Tok Kelaba al-Fathani. Cetakan ditemui oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1312 H.

Dicetak pula oleh percetakan yang sama pada 1322 H. Cetakan ini atas perbelanjaan Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki. Tercatat cetakan bahawa pengarangnya dimakamkan di Thaif, bersebelahan dengan Saidina ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1331 H. Catatan pada kulit depan sama dengan cetakan pada 1322 H tetapi nama Syeikh Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki ditiadakan kerana hak mencetak dikembalikan kepada ahli waris dengan pendaftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, pada 15 Mac 1326 H nombor 8.

Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh 'Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani). Pentashhih asal Hidayah al-Muta’allim ialah Syeikh Ahmad al-Fathani tetapi, pada cetakan dinamakan pentashhih kepada saudara sepupu dan muridnya Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Kandungan utama Hidayah al-Muta’allim ialah membicarakan fiqh lengkap dalam Mazhab Shafie dalam empat judul terdiri daripada Kitab Ibadah, Kitab Munakahat, Kitab Mu’amalat dan Kitab Jinayat. Tetapi pada bahagian awal juga membicarakan 'aqidah.

Pada bahagian akhir pula membicarakan tasawuf. Dinyatakan pada kulit depan kitab, ‘Yang melengkapi atasnya beberapa ilmu. Setengah daripadanya ‘aqaid al-iman, dan ahkam fiqhiyah, dan furu’ yang syar’iyah.’ Pada kulit depan juga ada catatan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai pengarangnya, ditulis dalam gaya puisi Melayu, klasik. Tulisan beliau ialah guru yang mempunyai ketinggian dan kelebihan yang jali.

Yang menzahirkan segala bendaraan ilmunya, akan tiap-tiap rahsia yang khafi. Yang meratakan dengan hujan manfaatnya, akan sekalian anak jenisnya bangsa Melayu dan lainnya. Dan menceracakan kelam jahil mereka itu, dengan cemerlang hidayat-Nya. Dan baginya banyak karangan yang indah, yang tiada ada baginya umpama Mengakulah dengan keelokannya, dan dalam ilmunya oleh segala ulama.

Setengah daripada karangannya, ini kitab yang mempunyai kelebihan yang ‘azhim. Ia mengandung akan fawaid dan masail, yang mempunyai manfaat yang ‘amim.

Sungguh pun sasaran utama Hidayah al-Muta’allim adalah ilmu fiqh, tetapi susunannya dimulai dengan hadis mengenai ilmu. Sesudahnya membicarakan empat puluh hadis dalam pelbagai kategori. Bahagian 'aqidah Syeikh Daud bin‘Abdullah al-Fathani selain membicarakan pengenalan terhadap sifat yang wajib diketahui beliau menyenaraikan pula 77 cabang iman. Sebagai contoh ‘perang sabil’ ditempatkan pada cabang iman yang ketujuh. Mengenai 77 cabang iman tidak ada dalam kitab Melayu/ Jawi membicarakannya.

Bahagian ilmu fiqh dimulai dengan Kitab Thaharah dan berakhir dengan keseluruhan Kitab Jinayat yang mengenai terdiri pelbagai kitab, bab dan fasal. Dalam Hidayah al-Muta’allim banyak juga perkara yang dapat kita kaitkan dengan isu yang terjadi pada zaman ini.

Pendapat yang bercorak nasihat Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani menyebut bahawa ‘jika ada orang itu ikutan orang banyak seperti Qadhi atau Mufti hendaklah sembunyikan diri daripada merokok itu. Peringkat terakhir mengenai merokok, menurut Syeikh Daud 'Abdullah al-Fathani, adalah ‘haram’ terhadap orang yang memberi mudarat pada tubuhnya atau akalnya’ (hlm 128).
 
 

Sunday, July 8, 2012

Ayyuhal Walad - karya al-Ghazali


Kitab Ayyuhal Walad atau juga dikenali dengan nama “al-Risalah al-Waladiyah” asalnya ditulis oleh Imam al-Ghazali r.h. dalam bahasa Parsi, kemudian kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh sebahagian ulama dan dinamakan dengan nama di atas.

Kitab Ayyuhal Walad ini ditulis oleh Imam al-Ghazali r.h sebagai jawapan kepada sepucuk surat yang dihantar oleh seorang murid beliauyang sangat mencintainya. Dalam surat tersebut murid beliau meminta agar Imam al-Ghazali r.h sudi menulis sepucuk surat yang merupakan suatu wasiat yang ditujukan kepadanya secara khusus, walaupun ia yakin bahawa isi kandungan surat tersebut telah termaktub dalam kitab-kitab karya Imam al-Ghazali r.h. Lalu Imam al-Ghazali dengan murah hati menjawab surat muridnya dan memberikan kepadanya beberapa nasihatyang sangat mahal harganya.
 
Apabila kita cuba meneliti kandungan surat Imam al-Ghazali r.h ini, kita akan mendapati bahawa beliau sangat ikhlas sekali dalam memberi nasihat, dan di celah-celah ungkapan beliau terserlah kebolehannya dalam menggambarkan tipuan dunia dan kekalnya negeri akhirat, dan betapa perlunya kita kepada iman dan amalanyang soleh dan kejernihan jiwa. Kita juga melihat kasih sayang Imam al-Ghazali terhadap muridnya, lalu beliau membawakan nasihat ini dalam bahasa yang halus, yang menyentuh hati nurani kita dan terkadang dapat mengalirkan air mata dan memberikan kesan yang sangat mendalam sekali, sehingga membawa kepada suatu perubahan dalam kehidupan kita.
 
Maka telah berhimpunlah dalam nasihat Imam al-Ghazali ini keindahan keikhlasan dan keindahan bahasa. Lalu kalimah yang keluar daripada hati yang ikhlas tadi akan masuk ke dalam lubuk hati pula. Dan benar-benar memeberikan kesan yang ketara sekali dan inilah nilai kebenaran dan nilai keindahan yang sebenar dan inilah nilai sastera yang sebenar iaitu ikhlas, indah, benar dan berkesan.
 
Walaupun surat ini pada asalnya ditujukan khusus kepada murid Imam al-Ghazali r.h. Namun isi kandungannya adalah sangat diperlukan oleh semua lapisan masyarakat. Sama ada besar atau kecil, kerana nasihat yang ditulis oleh Imam al-Ghazali r.h ini sangat penting bagi mereka yang mahu memantapkan keazaman dalam usaha yang berterusan untuk mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat kelak.
 
Nota: Dinukil dan diubahsuai dari muqaddimah penterjemah Kitab Ayyuhal Walad (Wahai anakku yang tercinta), iaitu Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi.
 
 
Terjemahan kitab ini...
 
 
 Terdapat pelbagai edisi terjemahan kitab ini di pasaran. Berikut butiran  ringkas sebuah buku terjemahan Kitab Ayyuhal Walad dalam bahasa Melayu:

Tajuk Terjemahan:  Ayyuhal Walad (Wahai Anakku yang  Tercinta).
      
Penterjemah :   Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi.
 
Penerbit         :   al-Khazanah al-Banjariyah, 
                             Ma’ahad al-Tarbiyah al- Islamiyah, Pokok Sena Kedah.

Kitab ini diterbitkan dalam dua edisi- Jawi dan Rumi.
 
Download Kitab Ayyuhal Walad.

1. Kitab al-Ayyuhal Walad dalam bahasa Arab.Silakan download disini   atau klik link berikut;     http://www.ziddu.com/download/4016060/ayyuhalwalad_ghazali.pdf.html
 
2. Terjemahan dalam bahasa Inggeris: My Dear Beloved Son
3. Baca online (English) : http://ghazali.org/works/oson.htm

Semoga bermanfaat

Saturday, June 23, 2012

al-Munqiz min al-Dhalal



Kitab al-Munqiz Min al-Dhalal merupakan sebuah autobiografi yang menerangkan pengalaman-pengalaman Imam Al-Ghazali ra yang terpenting dalam bidang akliah dan rohaniah. Ia mencakupi persoalan falsafah, gerakan Batiniah, Ilmu Kalam, Tasawuf dan yang teristimewa tentang detik-detik beliau mengubah cara hidupnya meninggalkan keagungan dunia akademik di Universiti Nizamiah, Baghdad dan kemewahan yang dimilikinya untuk menjadi seorang zahid dan pencari kebenaran.

Kitab yang telah menarik perhatian ramai di timur maupun di barat, khususnya para sarjana falsafah dan agama, sejak 900 tahun yang lalu, kerana kemampuannya memberikan petunjuk kepada manusia untuk mencari kebenaran. Kitab ini khusus sebagai panduan kepada murid-2 ilmu suluk, yang berhubung rapat dengan kebatinan para murid dalam ilmu shufi. Dimulakan membicarakan mazhab-mazhab syakkiyah sebagai pendinding bagi mereka supaya tiada terpesong daripada jalannya yang benar, di teruskan pula dengan mendedahkan kategori murid dalam penglibatan masing-masing dalam golongan-golongan mutakallimin (ahli ilmu kalam), bathiniyah (ahli kebatinan), filosuf dan shufi.

Friday, June 22, 2012

al-Risalah al-Qusyairiyah Fi 'Ilmi al-Tashawwuf



T
asawuf merupakan disiplin ilmu yang dipandang lebih banyak berbicara persoalan-persoalan batin, kondisi rohani dan hal-hal lain yang bersifat esoteric. Pengalaman-pengalamannya yang dibentuk melalui proses implementasi ajaran sufistik bersifat mistik dan hampir mengarah ke dalam yang bersifat pribadi dan sulit dikomunikasikan kepada orang lain, sehingga selamanya hampr menjadi milik peribadi.
Kenyataan ini dalam perkembangannya sering memunculkan tingkah laku aneh, eksentrik dan terkadang terkesan keluar dari bahasan syar’i, yang oleh sementara kaum sufi justru dipahami sebagai bentuk pencapaian suatu maqam sufi tertentu. Sedangkan ahli zhawahir yang berpegang teguh pada ajaran standar (golongan syariat) akan dianggap sebagai perbuatan bid’ah, tidak bermakna dan bahkan tidak jarang dikatakan sesat. Perbedaan ini kebanyakan disebabkan oleh perbedaaan pemahaman dasar-dasar islam dan sudut pandang kajian yang pada gilirannya juga melahirkan perbedaan pemakaian istilah dan ungkapan-ungkapan keilmuan dari masing-masing kelompok.
Risalah Qusyairiyah  merupakan karya Abdul Qasim Abdul Karim Hawazin Al Qusyairi An-Naisaburi ini merupakan buku yang disusun dengan tujuan meluruskan pemahaman keagamaan Islam tentang konsep tasawuf, akidah tasawuf, pengalaman-pengalaman mistis, terminal-terminal spiritual Islam. Di samping berusaha membongkar dan menata kemnali kekeliruan-kekeliruan itu untuk dikembalikan pada posisi semula, buku ini juga memaparkan konsep-konsep sufi, yang hamper setiap poin disajikan secara lengkap dan utuh, gambling dan penuh pesona. Karenanya, figure dan tradisi tasawuf Al-Qusyairi cukup popular di lingkungan masyarakat sunni, dan bahkan buku ini banyak dijadikan sumber kajian para sufi generasi sesudahnya.


Artikel yang berkaitan;

1. Baca terjemahan kandungan risalah Qusyairiyyah online:  Risalah Al-Qusyairiyah
2. Biodata al-Qusyairi :
                    http://kenaliulama.blogspot.com/#!/2012/07/al-qusyairi-pengarang-al-risalah-al.html

Pandangan HAMKA Terhadap al-Imam al-Ghazali & al-Ihya Ulumuddin

Sambutan Al-Ustadz Al-Fadlil Dr. H.A. Malik Karim Amrullah (Dr.HAMKA)
SAMBUTAN TERJEMAHAN IHYA' ULUMIDDIN


Kitab Ihya' Ulumiddin, buah tangan Al-Imam Al-Ghazali adalah salah satu karya besar dari beliau dan salah satu karya besar dalam perpustakaan Islam. Meskipun ada berpuluh lagi karangan Ghazali yang lain, dalam berbagai bidang ilmu Pengetahuan Islam, namun yang menjadi inti-sari dari seluruh karangan-karangan beliau itu ialah Kitab Ihya' Ulumiddin.
Beliau pilih untuk menjadi judul nama bukunya Ihya' Ulumiddin, artinya ialah: MENGHIDUPKAN KEMBALI PENGETAHUAN AGAMA.

Sebabnya maka itu judul yang beliau pilih, ialah karena pada waktu itu ilmu-ilmu Islam sudah hampir teledor oleh ilmu yang lain, terutama oleh filsafat Yunani, khusus Filsafat Aristoteles te­lah disambut dengan amat asyiknya oleh ahli-ahli fikir Islam, yang dipelopori oleh Al-Farabi, Ibnu Sina dan lain-lain di Timur dan ke­mudian menjalar pula ke Barat (Andalusia dan Afrika Utara), sesu­dah Ghazali, yang dipelopori oleh Ibnu Rusyd.

Filsafat Yunani itu pada waktu itu dinamai 'Ulumul Awail, artinya Pengetahuan orang zaman purbakala.

Oleh sebab Islam sangat berlapang dada menerima segala macam ilmu pengetahuan ataupun hikmat, walau dari manapun datang­nya, maka dalam abad-abad kedua dan ketiga hijriyah, teruta­ma di zaman permulaan fajar Daulat Bani `Abbas, banyaklah pe­ngetahuan lain bangsa disalin ke dalam bahasa Arab, guna memper­kaya perpustakaan dan buah pikiran Arab Islam sendiri. Sebab ke­majuan Islam dan Daulah Islamiyah dalam lapangan politik dan pengaruh kebudayaan, tidaklah akan dapat bertahan lama kalau pemikiran dari sarjana-sarjana tidak meluas dan mendalam.

Majulah Islam dalam lapangan fiqhi, ilmu kalam, tasawwuf dan filsafat. Tetapi kadang-kadang Ilmu Islam yang asli telah teledor oleh karena kemajuan dalam bidang yang tersebut di belakang ini, yakni filsafat. Al-Ghazali telah tampil ke muka mempersiapkan dirinya dengan ilmu-ilmu yang ada pada masa itu. Beliau memper­dalam Ilmu -Kalam, beliau memperdalam fiqhi (Ilmu Hukum) dan perhatian beliau akhirnya amat tertarik kepada Filsafat sampai di­pelajarinya pula amat mendalam. Hasil dan buah dari penyelidik­annya terhadap Filsafat itu telah diungkapkannya dalam buku-bu­kunya "Al-Munqidzu minadl dlalal" (Pembangkit dari lembah ke­sesatan), "Maqashid al-Falasifah" (Tujuan dari pada para Failasoof) dan "Tahafut al-Falasifah" (Kekacau-balauan para Failasoof).

Beliau — setelah pengembaraan dalam alam pikiran yang menda­lam itu— telah menyatakan kesimpulan bahwa filsafat itu, baik juga untuk melatih kita berfikir. Tetapi jadi amat berbahaya kalau sekiranya pikiran yang akan dipergunakan bagi berfilsafat tidak terlatih terlebih dahulu dengan tuntunan Wahyu Ilahi dan ­tuntunan Nabi. Ada orang mengatakan bahwa berfikir filsafat itu harus bebas, obyektif, jangan ada yang mempengaruhi terlebih da­hulu. Tetapi kenyataan menunjukkan bahwa tidaklah ada seorang manusiapun yang dapat membebaskan dirinya dari pada pengaruh alam dikelilingnya. Apakah lagi — menurut Ghazali — Failasoof-Failasoof Yunani yang mempengaruhi berfikirnya Failasoof-Faila­soof Muslim seumpama Al-Farabi dan Ibnu Sina, karena penera­wangan berfikir bebas itu, telah sampai kepada kesimpulan bahwa Alam itu adalah qodim penaka Tuhan juga. Disini Filsafat sudah menjauh sendirinya dari pada pokok ajaran agama.

Lantaran itu maka Ghazalipun amat menyuruh hati-hati di da­lam belajar 'Ilmul Kalam, IIlmu Theologi dalam Islam. Untuk orang awam —kata beliau— 'Ilmul Kalam itu lebih besar bahayanya daripada manfaatnya, sehingga beliau keluarkan sebuah risalah ber­nama "Iljamul 'Awam" (Mengekang orang awam) dari pada mem­bicarakan Ilmu Kalam. Iman kepada Allah— menurut Ghazali- ti­daklah dapat dengan dipelajari secara "akal semata", melainkan hendaklah karena dirasakan, demi setelah meleburkan diri keda­lam persada Alam yang ada dikeliling kita.

Setelah nyata bahwa dengan filsafat bukan, dengan 'Ilmul Kalam bukan, dengan debat-berdebat (jidal) Ilmu Fiqhi-pun bukan, ma­nakah jalan yang dapat mencapai kepada Tuhan itu?

Ghazali akhirnya berpendapat bahwa mendekati Tuhan, merasa adanya Tuhan dan ma'rifat kepada Tuhan, hanya dapat dicapai dengan menempuh satu jalan, yaitu jalan yang ditempuh oleh kaum Shufi.

Ghazalipun insyaf bahwasanya di zamannya pertentangan kaum syari'ah amat besar dengan kaum Shufi atau kaum Hakikat. Kaum Fuqaha menghabiskan waktunya di dalam membincangkan syah dan bathal, dengan mengabaikan perhatian kepada kehalusan perasaan, sedang kaum Shufi saling terlalu memupuk perasaan (dzauq) kadang-kadang tidak memperdulikan mana amalan, ibadat dan syari'at yang sesuai dengan Sunnah Rasul dan mana yang tidak.

Tasawwuf perlu untuk memupuk perasaan halus manusia, atau `athifah. Tetapi kadang-kadang terlanjur keluar dari garis syari'at. Syari'at perlu untuk mengatur kehidupan sehari-hari menurut jalan Rasul, tetapi kadang-kadang menjadi kaku dan kehilangan intisari karena hanya tunduk kepada yang tertulis belaka sehingga kebebas­an manusia buat berfikir, buat merasa dan buat berfantasi menjadi hilang.

Syari'at tanpa hakikat, menjadi bangkai tak bernyawa. Hakikat tanpa syari'at menjadi nyawa tak bertubuh.

Ghazali berusaha mempersatu-padukan keduanya. Dengan dasar itulah beliau ingin menghidupkan kembali Ilmu Agama: IHYA' 'ULUMIDDIN.

Dengan bersumber kepada Al-Quran, dengan kembali kepada Sunnah Rasul yang asli, kita bongkar dan kita gali ilmu yang sejati. Di dalamnya terkandunglah hikmat-hikmat yang tinggi, yang kadang-kadang mungkin dapat dinamai filsafat, kadang-kadang dapat dinamai Ilmul Kalam, Fiqhi dan lain-lain, apatah lagi buat mengetahui rahasia yang terkandung dalam hati (Asroril-Qulub).

Apabila ilmu telah dihidupkan kembali, syari'at mesti bertemu dengan hakikat, amal saleh mesti dinyawai oleh Iman dan di sam­ping riadlah jasmani (latihan badan) kita adalah riadlah annafs atau riadlah qalb (latihan jiwa atau latihan hati). Disitulah kita mendapat "Haqiqat al Hajah (hidup yang sejati).

Sejak daripada ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan hajji, sampai kepada mu'amalat (pergaulan hidup manusia sehari-hari), sampai kepada munakahat (pembangunan rumah tangga), sampai kepada hukum-hukum pidana, semuanya beliau cari isi dan umbinya,inti atau sarinya dalam alam hakikat dan hikmat, sehingga hidup kita sebagai muslim berarti lahir dan bathin.

Maka kitab "IHYA' 'ULUMIDDIN" adalah hasil karya positif sesu­dah beliau ragu (syak, sceptis) terhadap segala persoalan dalam bidang kepercayaan dan akhirnya keraguan itu sedikit demi sedikit mulai hilang, berganti dengan yakin. Dan itulah yang beliau hidang­kan ke dalam masyarakat muslim.

Sebagai seorang ahli fiqih Islam yang besar, karangan beliau ini mendapat sambutan hangat. Mendapat sanjung puji yang tinggi dan juga mendapat sanggahan yang hebat.

Di zaman pemerintahan Sultan Yusuf bin Tasyfin di negeri Maghribi di Fas (Fez) kaum Fuqaha sangat murka kepada Ghazali, sebab karangannya Ihya' 'Ulumiddin banyak mengeritik kaum ahli fiqhi, yang sudah menjauh daripada Al-Qur'an dan hanya tengge­lam ke dalam taqlid. Fuqaha marah, sehingga mengusulkan kepada Sulthan supaya Ihya' dibakar saja dan dilarang keras peredarannya ke Maghribi. Di kala disampaikan orang berita itu kepada Ghazali serta-merta beliau berkata: "Tuhan akan merobek kerajaan mereka sebagaimana mereka telah merobek kitabku".

Tiba-tiba muncullah dalam majlis itu, murid beliau Muhammad bin Taumrut, yang bergelar Al-Mahdi, lalu berkata : "Wahai Imam! Doakanlah kepada Tuhan bahwa keruntuhan kerajaan Bani Tasyfin akan terjadi di tangan saya".

Kemudian memang jatuhlah kerajaan Murabithin, digantikan oleh murid Imam Ghazali yang bernama Muhammad bin Taumrut itu, dengan nama Kerajaan Muwahhidin. Bila Imam Ghazali menge­tahui bahwa muridnyalah yang menjadi raja, dan kitab beliau telah diakui kembali di negeri itu, beliau berniat hendak hijrah ke Magh­ribi. Sayang sekali sebelum beliau berangkat, beliau meninggal du­nia tahun 505 H. dalam usia 55 tahun.

"Ihya' 'Ulumiddin" adalah salah satu karya besar, yang diakui besar fikiran yang terkandung di dalamnya. Ds. Zwemmer, to­koh sending Kristen yang terkenal, berpendapat bahwa sesudah Nabi Muhammad saw. adalah dua Pribadi yang amat besar jasanya menegakkan Islam, pertama Imam Bukhari karena pengumpulan Haditsnya, kedua Imam Ghazali karena "Ihya'-nya".

Segala sesuatu apabila telah tercapai kesempurnaannya, nam­paklah di mana kekurangannya. "Tanda gading yang tulen, ialah retaknya". Alam ini sendiri menjadi amat sempurna, karena serba kekurangannya. Tuhan mencipta 'Alam dalam kesempurna­annya, karena ada kekurangannya. Kalau tidak ada yang cacat niscaya Allah Ta'ala tidak kaya karena tidak menjadikan sesuatu yang bernama cacat.

Demikian juga kitab-kitab karangan Ghazali terutama Ihya' 'Ulu­middin ini. Kadang-kadang beliau, lantaran asyiknya memperi­ngatkan kesucian hidup, telah jatuh kepada bersangatan mencela dunia. Orang yang terpengaruh oleh ajaran Ghazali tentang cacat dunia, maulah rasanya mengutuk sama sekali dunia itu. Mengutuk dunia bisa menyebabkan dunia itu lepas dari tangan kita, hingga dipungut oleh orang lain, sehingga negara-negara Islam terjajah.

Kadang-kadang beliau menganjurkan hidup membujang, tak usah beristeri. Supaya beban hidup dalam munajat kepada Tuhan menjadi ringan, padahal ajaran asli Islam tidak mengajarkan demikian.

Dan yang lebih penting lagi, sebagai seorang ahli pikir yang bebas dan besar, beliau membebaskan pikirannya dari pengaruh penafsir-penafsir yang terdahulu daripadanya, tetapi hadits-hadits yang dijadikannya dalil, kerapkali tidak memperhatikan ilmu sanad hadits, sehingga sebagaimana ditulis oleh ayahku dan guruku Syaikh Abdulkarim Amrullah dalam bukunya Sullamul Ushul membaca Ihya' musti hati-hati, karena banyak haditsnya lemah.

Itulah menjadi bukti bahwasanya seorang sarjana atau seorang failasoof yang besar tidaklah melengkapi ilmunya dalam segala -bidang. Ghazali lemah dalam ilmu hadits, tetapi dia besar dalam penciptaan fikiran. Sebagaimana juga Ulama-Ulama Ahli Hadits, kebanyakannya tidak sanggup buat menciptakan fiqhi atau menge­luarkan faham bebas, sebab amat terikat oleh hadits-hadits, sehing­ga fikirannya menjadi buntu karena kekuatan hafalan.

Perhatikan kepada ajaran Filsafat Ethika (Akhlaq) Al-Ghazali sampai saat-saat sekarang ini masih menjadi bahan yang kaya untuk direnungkan. Setengah ahli selidik dan orientalist Barat ber­pendapat bahwa keragu-raguan Descartes adalah pengaruh keragu-raguan Ghazali. Ragu (skeptis, syak) adalah tangga utama menuju yakin. Pada tahun 1924 Zaki Mubarak di Mesir mencapai gelar Doktornya karena kritiknya yang bernama "Akhlaq menurut Ghazali" yang sebagai seorang sarjana yang masih muda dia menghantam ajaran Ghazali sebagai suatu ajaran yang menyebabkan jiwa melempem. Tetapi setelah dia berusia lebih 40 tahun dikeluarkan­nya pula promosinya untuk gelar doktor yang ketiga-kalinya berna­ma "Tasawwuf Islam", yang kalau dibaca, ternyata bahwa pukulannya kepada Ghazali khasnya dan Tasawwuf 'amnya, tidak sekeras dahulu lagi. Di tahun 1947 Dr. Sulaiman Dunia Maha Guru Filsafat dan 'ilmu Kalam di Al-Azhar University mengeluarkan lagi study­nya "Hakikat menurut pandangan Ghazali ". Ditahun terakhir sam­pai tahun 1963 masih tetap ada sarjana Islam yang meninjaunya kembali.

Kupasan Ghazali tidak akan habis-habisnya menjadi bahan study tentang tasawwuf, tentang aqidah, tentang filsafat dan ethika (akhlaq).

Demikian itulah selayang pandang saya tentang IHYA' 'ULUMID­DIN oleh "Hujjatul Islam" Al-Ghazali.

Di dalam perkembangan ajaran-ajaran dan ilmu-ilmu Islam di Indo­nesia, tasawwuf Imam Ghazali dengan Ihya'-nya besar sekali peranannya. Madzhab Sunni yang masuk kemari sejak zaman kera­jaan Islam Pasai ialah Madzhab Syafi i. Imam Ghazali adalah seo­rang Ulama Muta-akhkhirin dalam madzhab itu.

Tasawwuf "Wihdatul Wujud" (Pantheisme) Al-Hallaj yang mu­lanya amat berpengaruh di sini menjadi terdesak karena datang­nya ajaran Ghazali. Kitab Ihya' `Ulumiddin menjadi pegangan ula­ma-ulama di tanah air kita. Syaikh Abdus Samad Al-Falimbani diu­jung abad kedelapan belas telah mengambil inti-sari kitab Ihya` dan menyalinnya ke dalam bahasa Indonesia (Melayu Lama) dengan nama "Sairus-Salikin". Demikian juga terdapat dalam karangan-karangan Ulama-ulama Aceh. Kitab Ihya` pun telah disarikan oleh Ulama-ulama di Jawa ke bahasa Jawa huruf Pegon. Dizaman mo­dern ini, saya sendiri amat banyak mengambil buah renungan Gha­zali untuk buku saya "Tasawwuf Modern". Tetapi belum ada usa­ha selama ini menyalin kitab yang besar 4 jilid itu ke dalam bahasa Indonesia modern.

Tiba-tiba pada bulan Rajab 1383 Hijriyah, bertepatan dengan hari-hari peringatan Isro' dan Mi'roj Nabi Muhammad saw. seorang Ulama Muda dari Aceh, yang telah lama saya kenal, yaitu Tengku Haji Ismail Yakub MA-SH, telah datang kerumah saya memperlihatkan salinan (terjemahan) Kitab Ihya' Ulumiddin ke dalam bahasa Indonesia yang beliau kerjakan sendiri dan meminta saya supaya sudi memberikan kata sambutan atas usahanya yang amat berharga itu.

Tidak pelak lagi kalau saya bergembira menyambut usaha beliau itu. Perhatian kepada Islam dan inti ajarannya di zaman seka­rang telah mulai besar di tanahair kita ini. Banyak kaum terpe­lajar secara Barat mulai memperhatikan Islam. Banyak mereka mendengar nama kitab Ihya' atau membaca adanya kitab itu dari kalangan Orientalist Barat, sayang mereka tidak mengetahui bahasa Arab. Terjemahan Ustadz Tengku H. Ismail Yakub ini sudah dapat memuaskan dahaga mereka.

Banyak telah berdiri Perguruan Tinggi Islam. Sayangnya mahasiswa kebanyakan lemah bahasa Arabnya. Dengan salinannya Ihya' mereka sudah dapat membandingkan fikiran ciptaan Failasoof Islam ini dengan aliran-aliran filsafat yang lain. Baik Filsafat Yunani atau Filsafat Scholastik Kristen atau Filsafat Modern.

Mubaligh-mubaligh pun mendapat banyak bahan untuk study. Dan lebih dari itu semuanya dengan membaca salinan Ihya' ini, dengan sendirinya moga-moga isinya yang bernas dapat mempe­ngaruhi jiwa kita, sehingga kita dapat menjadi seorang Muslim yang tha'at dan cinta kepada Allah dan Rasul Allah.

Dalam pembangunan bangsa kita sekarang ini, yang kita seba­gai Muslim amat ingin agar Islam menjadi unsur mutlak dalam pefnbangunan itu, maka terjemahan Ihya' Ulumiddin ke dalam bahasa Indonsia oleh Ustadz Tk. H. Ismail Yakub MA-SH., adalah satu karya yang amat saya pujikan.

Moga-moga Tuhan Allah memberi taufiq kita bersama dalam menuju ridlaNya.

Dr. H.A. Malik KarimAmrullah
Kebayoran Baru, Jakarta: Rajab 1383.
Desember 1963.

Tuesday, June 19, 2012

Ihya Ulumuddin


Kitab Ihya' Ulumiddin atau sebutan ringkas kitab al-Ihya - buah tangan al-Imam al-Ghazali adalah salah satu karya besar (masterpiece) dari beliau dan salah satu karya besar dalam perpustakaan Islam. Meskipun ada berpuluh lagi karangan Ghazali yang lain, dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan Islam, namun yang menjadi inti-sari dari seluruh karangan-karangan beliau itu ialah Kitab Ihya' Ulumiddin. 


Ihya Ulumiddin artinya Menghidupkan Kembali Ilmu-Ilmu Agama, sebuah kitab yang sangat terkenal hasil karya Imam al-Ghazali, atau nama sebenarnya Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali. Pada waktu itu ilmu-ilmu Islam sudah hampir teledor (terlena) oleh Filsafat Yunani, khusus Filsafat Aristoteles yang pada waktu itu dinamai 'Ulumul Awa-il (pengetahuan orang zaman purbakala). Untuk menghadapi keadaan demikian Imam al-Ghazali mempersiapkan diri dengan memperbanyak bekal mendalami Ilmu Kalam, Ilmu-Fiqh dan Ilmu Filsafat, hingga lahirlah karya-karya "al-Munqiz min al-Dhalal" (Pembangkit dari Lembah Kesesatan), "Maqashid al-Falasifah" (Tujuan para Filosoof) dan "Tahafut al-Falasifah" (Kekacauan Filosoof)

Kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Abu Hamid Al Ghazali di awal abad ke lima Hijrah ini mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam membendung serangan materialisma yang menghembuskan racun-racun kecintaan dunia. Melalui usaha beliau yang murni, ramai mulai sedar bahawa aspek sufistik juga mempunyai peranan yang besar dalam mengharmonikan kehidupan dan memberikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat.

Apabila ilmu telah dihidupkan kembali, syariat mesti bertemu dengan hakikat, amal saleh mesti dinyawai oleh iman dan di samping riadah jasmani (latihan badan) kita, adalah riadhah al-nafs atau riadhah  al-qalb (latihan jiwa atau latihan hati). Di situlah kita mendapat "Haqiqat al-Hayah" (hidup yang sejati).
Bermula dari ibadat sembahyang, puasa, zakat dan haji, sampai kepada mu'amalat (pergaulan hidup manusia sehari-hari), sampai kepada munakahat (pembangunan rumah-tangga), sampai kepada hukum-hukum jenayah, semuanya beliau cari isi dan umbinya, inti atau sarinya dalam alam hakikat dan hikmat, sehingga hidup kita sebagai muslim berarti lahir dan batin.


Terjemahan kitab al-Ihya;

Setakat pengetahuan saya, hanya terdapat satu terjemahan tunggal bagi terjemahan lengkap kitab al-Ihya dalam bahasa Melayu/ Indonesia buat masa ini. Ia telah diterjemahkan Ustadz Tengku H. Ismail Yakub MA SH pada 10 Rabi'ul-Akhir 1383 H / 30 Agustus 1963 M di Medan yang mendapat sambutan hangat dari masyarakat termasuk Menteri Agama Bp K.H. Saifuddin Zuhri dan Al-Ustadz Dr H.A. Malik Karim Amrullah (Dr Hamka).

Edisi terjemahan lengkap beliau ini telah dicetak dan diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan. Antaranya;

akan dipaparkan kemudian....


Artikel yang berkaitan:





Bentuk Penulisan Kitab Fiqh


Mempelajari Ilmu fiqh adalah suatu perkara yang sangat digalakkan.Melalui ilmu fiqh kita akan dapat memahami setiap hukum hakam Islam dengan pengetahuan yang baik dan sempurna.Apatah lagi jika kita mampu untuk memahami setiap perbahasan yang diutarakan oleh para ulama atau fuqaha tentang sesuatu permasalahan dengan tepat.

Walaubagaimana pun , sering kali kita mendengar ramai dikalangan penuntut ilmu merasa bosan dan cepat berputus asa apabila tiba pada suatu tahap tidak dapat memahami ilmu yang ingin dipelajari dengan baik dan betul.

Antara penyebab utama perkara ini berlaku ialah , kebanyakkan mereka tidak mengetahui bagaimana sesuatu ilmu atau permasalahan itu ditulis dan dibahaskan oleh para fuqaha dalam kitab-kitab karangan mereka.Secara umumnya terdapat berbagai-bagai cara dan jenis penulisan para fuqaha dalam bidang Ilmu fiqh ini.Ianya dapat dibahagikan kepada beberapa jenis penulisan seperti dibawah :

1. Matan
2. Syarh
3. Hasyiah

Mari kita lihat satu persatu apakah maksud ketiga-tiga jenis penulisan tersebut.

Matan :

Matan adalah kitab yang ditulis secara ringkas.Penulis hanya memuatkan fakta-fakta penting tanpa memasukkan sebarang penerangan yang panjang dan terperinci terhadap sesuatu permasalahan dalam fiqh.Penulis kitab jenis ini kebiasaannya akan menggunakan istilah-istilah yang dianggap tepat dan menyeluruh.

Kitab-kitab jenis ini agak sukar untuk dibaca sekiranya tidak terdapat ulasan atau syarah dari mana-mana ulama atau fuqaha yang menerangkan maksud dan makna pada setiap baris matan yang ditulis dalam kitab-kitab tersebut.


Apa yang perlu diketahui juga ialah , kadang-kadang matan ditulis oleh para fuqaha sebagai ringkasan yang dibuat dari kitab lain yang dikenali sebagai mukhtasar.Seperti kitab al-Muharrar karangan Imam al-Rafi’iyy yang diringkaskan dari kita al-Wajiz karangan Imam al-Ghazali.Malah terdapat juga mukhtasar yang dibuat terhadap kitab mukhtasar yang seperti kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam Nawawiyang meringkaskan kitab al-Muharrar.


Antara bentuk penulisan kitab jenis ini juga ialah ianya ditulis dalam bentuk nazam atau syair yang bertujuan untuk memudahkan para pembaca atau pelajar menghafal setiap baris matan yang tertulis.Sebab itu lah kitab jenis ini jarang digunakan sebagai rujukan melainkan oleh orang yang telah pun terlebih dulu mempelajarinya atau dirujuk bersama-sama dengan kitab lain.

Contoh beberapa buah kitab Ilmu Fiqh yang ditulis dengan cara penulisan jenis ini ialah :

a. Bidayat al-Mubtadi’ oleh al-Marghinaniyy ( ulama mazhab hanafi )
b. Matn atau Mukhtasar Khalil , karangan Syaikh Khalil Ibn Ishaq ( Ulama mazhab Maliki )
c. Al-Ghayah wa al-taqrib oleh Abu Syuja’ ( ulama mazhab Syafie )
d. Mukhtasar al-Khiraqiyy karangan Abu Al-Qasim Umar Ibn Al-hasan al-Khirraqiy
( ulama mazhab hanbali)


Syarh :

Kitab jenis ini adalah kitab yang ditulis untuk mengulas dan mensyarahkan matan atau mukhtasar.Penulis kitab ini akan mengulas setiap istilah dan kenyataan yang sukar atau kabur pemahamannya.Ulasan juga dibuat terhadap pandangan dan ijtihad ulama lain terhadap sesuatu masalah yang diperbahaskan.Penulis kitab ini juga kebiasaannya tidak melakukan pentarjihan terhadap pendapat atau pandangan ulama-ulama yang mengarang kitab tersebut.


Pengulas atau pen’syarah’ akan mengulas atau mensyarahkan matan atau mukhtasar yang dihasilkannya sendiri atau pun dari penulisan-penulisan orang lain.Malah terdapat juga Syarh yang mengulas kitab syarh yang lain , seperti kitab Syarh Fathul Qadir karangan Ibnu al-Humam yang mengulas kitab al-Hidayat karangan al-Marghinaaniyy.Kitab ­al-Hidayah pula adalah sebuah kitab syarh yang mengulas kitab Bidayat al-Mubtadi’ karangan al-Marghinaaniyy sendiri.


Apa yang jelas , kitab jenis ini kebiasaannya mempunyai jumlah halaman yang banyak.Ini kerana kebanyakan dari ulama / fuqaha yang menulis dengan metod jenis ini akan menyelitkan atau membawa berbagai-bagai perbahasan hukum-hakam furu’ dalam fiqh untuk dijadikan contoh pada sesuatu permasalahan yang ingin dibahas atau disyarahkan.


Penulis atau pengulas kitab jenis ini juga biasanya mempunyai hubungan dengan penulis kitab asal yang diulasnya , samada sebagai anak murid kepada pengarang kitab asal atau sekurang-kurangnya sebagai pengikut mazhabnya.Sebab itulah kita dapati , jarang sekali terdapat dari kalangan pengulas / pen ‘syarah’ tersebut yang menyanggahi atau menolak pandangan penulis kitab asal yang mereka syarah / ulaskan.

Contoh-contoh kitab jenis ini pula ialah seperti :

a. Bada’ie al-Sana’ie oleh Abu Bakr Ibn Mas’ud Ibn Ahmad al-Kasaniyy.Salah seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab ini adalah ulasan kepada kitab Tuhfah al-Fuqaha yang dikarang oleh al-Samarqandiyy.
b. Mughni al-Muhtaj oleh Muhammad Ibn Ahmad al-Syarbiniyy al-Khatib.Seorang ulama mazhab Syafie yang mengulas atau mensyarahkan kitab Minhaj al-Tholibin yang diikarang oleh al-Imam an-Nawawi.
c. Al-Syarh al-Kabir karangan Muhammad Ibn Abdillah al-Kharashiyy.Seorang ulama mazhab Maliki.Kitab ini adalah ulasan atau kitab syarah bagi kitab Mukhtasar Khalil yang dikarang oleh Khalil Ibn Ishaq.
d. Kasyaf al-Qina karangan Mansur Ibn yusuf Ibn Idris al-Buhutiyy yang merupakan salah seorang ulama Mazhab Hanbali.Kitab ini pula adalah ulasan kepada kitab al-Iqna’ karangan Musa Ibn Ahmad al-Maqdasiyy.

Hasyiah :

Kitab jenis ini pula adalah penulisan kitab fiqh yang berbantuk Ta’liq (komentar) atau Mulahazhat (catatan) yang dilakukan terhadap sesuatu syarh.Bentuknya hampir sama dengan bentuk penulisan secara atau jenis syarh , tetapi bezanya penulis kitab jenis Hasyiah ini hanya akan memilih perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang tertentu dalam kitab syarh untuk diulas dengan komentar-komentar atau catatan yang tertentu.

Antara kitab-kitab yang ditulis dengan jenis penulisan hasyiah ialah :

a. Hasyiah Ibn ‘Abidin atau disebut juga Rad al-Mukhtar yang ditulis oleh Muhammad Amin Ibn Umar atau lebih dikenali dengan panggilan Ibn ‘Abidin.Seorang ulama bermazhab Hanafi.Kitab hasyiah ini adalah komentar kepada kitab al-Dur al-Mukhtar yang dikarang oleh al-Haskafiyy.Kitab ini juga merupakan kitab hasyiah yang agak panjang sehingga menyerupai kitab syarh.

b. Hasyiah al-Syarqawiyy yang dikarang oleh Abdullah Ibn Hijaziyy Ibn Ibrahim al-Syarqawiyy , seorang ulama mazhab Syafie.Kitab ini merupakan kitab hasyiah kepada kitab Syarh al-Tahrir karangan Zakaria ibn Muhammad al-Ansariyy.

Selain daripada jenis-jenis atau bentuk penulisan seperti di atas , terdapat juga bentuk-bentuk lain dalam penulisan kitab-kitab fiqh seperti , penulisan kitab fiqh mengikut mazhab , bentuk penulisan secara muqarran (perbandingan) , bentuk ayat dan hadith hukum , bentuk fatwa , usul, qawa’id dan sebagainya.

Semoga dengan kita mempelajari dan mengetahui kaedah dan bentuk penulisan kitab-kitab fiqh ini akan dapat memudahkan kita untuk memahami ilmu fiqh islam dengan lebih mudah dan sempurna.


Monday, June 18, 2012

Tafsir Fi Zilal al-Quran


Tafsir Fi Zilalil Qur'an

- (Powered by CubeCart) Fi Zilalil Qur’an adalah sebuah tafsir lengkap Al-Qur’anul Karim karya mujaddid unggul Asy-Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah. Tafsir ini merupakan antara tafsir yang paling luas tersebar di dunia Islam dan kerap dijadikan bahan rujukan oleh para ulama’ dan juga sebagai sumber kajian ilmiyah di pusat-pusat pengajian tinggi. Penerangannya yang jelas dan mendalam menggunakan gaya bahasa Arab yang tinggi menyentuh jiwa dan perasaan para pembacanya. 

Tafsir ini juga telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa, termasuk bahasa Turki, Inggeris, Perancis, Urdu dan Bahasa Indonesia. Penterjemahannya ke dalam Bahasa Melayu telah disempurnakan oleh Almarhum Ustaz Dato ’ Haji Yusoff Zaky bin Haji Yacob berdasarkan naskhah asal Bahasa Arab cetakan keenam, iaitu cetakan yang telah dikemaskini oleh pengarangnya serta ditambah fahrasat ( indeks ) bagi memudahkan para pembaca membuat rujukan. Terjemahan tafsir ini mengambil masa selama 11 tahun untuk disiapkan dan dibahagikan kepada 17 jilid ( 30 juzuk ).

Keistimewaan Tafsir Fi Zilalil Qur’an :-

1. Kaedah Pentafsiran Naqliyah (Berasaskan Al-Qur’an dan Hadith)

Tafsir Fi Zilalil Qur’an ditulis bersandarkan kepada kajian-kajian mendalam yang ditimba secara langsung dari Al-Qur’an dan As-Sunnah serta riwayat-riwayat ma’thurat yang lain. Asy-Syahid Sayyid Qutb menggunakan satu kaedah pentafsiran yang membersihkan pentafsiran A1-Qur’an dari pembicaraan-pembicaraan sampingan dan selingan seperti perbahasan-perbahasan bahasa dan tata bahasa, ilmu kalam dan ilmu fiqah serta cerita-cerita dongeng Israeliyat yang lumrah dalam kebanyakan tafsir lain. 

Beliau menolak sama sekali pendekatan mentafsir ayat-ayat Al-Qur’an yang menyentuh kejadian alam buana dengan hasil kajian sains dan fizik kerana ianya tidak dapat bertahan lama dan sering dikuburkan oleh penemuan-penemuan baru yang silih berganti. Almarhum juga menolak kaedah yang mentakwil ungkapan-ungkapan Al-Qur’an yang tidak jelas pengertiannya. Dimensi kaedah pentafsiran naqliyah ini telah mendorong para ilmuan Islam menganggap Almarhum Asy-Syahid Sayyid Qutb sebagai pengasas kepada sekolah tersendiri di dalam bidang tabir yang menjadi kunci tentang cara yang sebaik-baiknya untuk memahami isi kandungan kitab suci yang mulia itu.

2. Bersepadu dan Selaras

Tafsir Fi Zilalil Qur’an telah disusun dalam bentuk yang bersepadu, selaras dan saling berkait antara satu ayat dengan satu ayat lain dalam setiap surah, menjadikan setiap tafsiran itu satu unit yang tersusun dan jelas bagi menegakkan konsep Tauhid Uluhiyah dan Rububiyah Allah. Tidak seperti tafsir-tafsir lain yang menjurus ke arah memisah-misahkan rangkaian ayatnya sehingga mengurangkan kesepaduan, keindahan dan kejelasan Al-Qur’an itu sendiri. Tafsir ini juga merupakan satu-satunya tafsir yang menjadikan Al-Qur’an berbicara dengan seluruh entiti manusia, dengan roh dan jiwanya, akal dan mindanya, fitrah dan hati nuraninya serta perasaan dan sentimennya. Ia membuatkan pembicaraan-pembicaraan Al-Qur’an begitu jelas maksudnya, banyak saranan dan inspirasinya, luas dan mendalam bayangannya, dan membuat akal manusia begitu tertarik dan terpesona serta perasaan dan sentimennya begitu segar dan peka.

3. Analisis Budaya dan Pemikiran Yang Mendalam

Tafsir Fi Zilalil Qur’an mengupas bentuk kehidupan berteraskan budaya jahiliyah yang mempengaruhi kehidupan manusia sepanjang zaman serta mendedahkan tipu daya segenap musuh Islam yang begitu licik dan bertopengkan kajian ilmiyah yang palsu untuk memusnahkan imej Islam yang suci dan menarik para cerdik pandai Islam ke dalam perangkap penyelewengan dari landasan agama yang sebenar. Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam tafsirnya juga sentiasa menekankan kesejagatan fenomena kekufuran terhadap ajaran-ajaran Allah yang tidak terbatas kepada masa-masa tertentu. Tafsir ini seterusnya mendedahkan berbagai bentuk fahaman ciptaan akal manusia yang menjurus kepada perbuatan syirik yang mempertuhankan sesama manusia, aliran yang mempertuhankan akal, sains dan teknologi serta aliran hedonisme yang merendahkan martabat insan ke makam haiwan.

4. Ulasan yang Indah, Jelas, Merangsang dan Tegas

Gubahan bahasa Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Qur’an amat indah dan mengasyikkan. Saranan-saranannya tegas dan lantang serta merangsang jiwa mukmin yang sentiasa dahagakan hidayah Allah. Persembahan Tafsir Fi Zilalil Qur’an ini menggambarkan kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb sebagai seorang pendakwah yang amat mencintai Penciptanya, sabar, gigih, redha, tenang, tenteram, penuh tawakkal kepada Allah dan tidak mengenal erti menyerah atau berputus asa daripada Rahmat Allah.

Tafsir Fi Zilalil Qur’an yang bermakna "Di Bawah Bayangan Al-Qur’an" adalah sebuah judul yang tepat dengan fungsi dan sifat Al-Qur’an yang digambarkan oleh Rahimahullah sebagai sepohon pokok rahmat dan hidayah yang tegap dan rimbun, dengan dahan-dahan serta ranting- rantingnya yang subur dan rendang, menyediakan bayangan teduh, suasana tenang dan qudus, mencetuskan berbagai ilham, inspirasi, kefahaman yang halus dan mendalam kepada setiap pendengar dan pembacanya yang benar-benar serius dan membuka pintu hati dan minda mereka dengan penuh minat. Seperti kata Rahimahullah, "dalam detik-detik kembara Di Bawah Bayangan Al-Qur’an saya mendapat berbagai lintasan fikiran, pandangan di sekitar aqidah, di sekitar jiwa dan hayat manusia". Pengalaman dan perjalanan kehidupan beliau ini merupakan faktor-faktor penting yang melahirkan Tafsir Fi Zilalil Qur’an dalam bentuk ulasan yang unik mengatasi tafsir-tafsir yang lain.

Pandangan ulama terhadap Tafsir Fi Zilalil Quran;

Berkata Dr. Hasan Farahat: “Tafsir Fi Zilalil-Quran” telah menjadi begitu terkenal dengan sebab Sayyid Qutb (Rahimahullah) telah menulis tafsir ini sebanyak dua kali; kali pertama ia menulis dengan tinta seorang alim dan kali kedua dia menulis dengan darah syuhada’.

Berkata Yusof al-‘Azym” “Tafsir Fi Zilalil-Qur’an” adalah wajar dianggap sebagai suatu pembukaan Rabbani yang diilhamkan Allah kepada penulisnya. Beliau telah dianugerahkan matahati yang peka yang mampu menanggap pengertian-pengertian, gagasan-gagasan dan fikiran yang halus yang belum dicapai oleh mana-mana penulis tafsir yang lain


Sumber:


Artikel yang berkaitan;