Saturday, April 4, 2020

Minhat al-Qarib al-Mujib Wa Mughni al-Raghibin fi al-Taqrib


Kitab Minhat al-Qarib al-Mujib Wa Mughni al-Raghibin fi al-Taqrib (منحة القريب المجيب ومغني الراغبين في التقريب) adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i dalam bahasa Melayu yang disusun oleh Haji Wan Abdul Samad bin Wan Muhammad Salih bin Wan Abdul Latif alFatani (1840-1891), yang terkenal dengan gelaran Tuan Tabal.

Hasil karya Tuan Tabal ini adalah termasuk dalam kelompok kitab kuning. Kitab ini turut dikenali dengan nama ringkasnya iaitu Minhat al-Qarib. lanya digunakan oleh Tuan Tabal dan juga pewaris-pewarisnya untuk di ajar di sekolah pondok yang didirikan beliau di Kelantan. Kitab ini merupakan kitab karangan beliau yang mengandungi sebanyak 328 halaman. la dianggap tebal mengikut standard kitab-kitab kuning yang ditulis sekitar era awal abad ke-20. la dimulakan dengan perkara berkaitan dengan bidang Tauhid, diikuti dengan Fiqh dan diakhiri dengan bidang Tasawuf.

Dari segi bahasa pula, ia menggunakan bentuk Bahasa Melayu Klasik. Kadangkala kita dapat melihat terdapat sedikit unsur-unsur pengaruh Arab dalam gaya penulisan. Penulisan karya ini juga kadangnya dilihat terikat dengan penterjemahan daripada bahasa Arab yang berbunga-bunga dan kemudiannya disesuaikan dengan konteks bahasa Melayu. Antara perkataan yang biasa kita baca terdapat dalam karya-karya kitab kuning adalah seperti arakian, hatta, sayugia dan karangan Tuan Tabal turut mengandungi gaya bahasa tersebut.

Pada pendahuluan kitab ini, ia membicarakan tentang sinopsis ringkas kandungannya. Tuan Tabal memasukkan beberapa ayat al-Quran dan Hadith dalam menerangkan beberapa kelebihan ilmu. Beliau turut menyelitkan beberapa pandangan tokoh dalam pendahuluan ini seperti kata-kata dari Imam al-Ghazali, Abdul Qadir Idrus dan lain-lain.

Seterusnya, beliau membuka tajuk penulisannya dengan membentangkan tentang bidang bab Aqidah. Di dalam bab ini, beliau menerangkan tentang perkara-perkara asas tauhid ataupun akidah. Beliau menerangkan tentang hal-hal seperti sifat-sifat yang wajib bagi Allah berserta lawannya selain sifat-sifat bagi Nabi dan Rasul. Bab ini juga ada menyatakan tentang kewajipan mempercayai kandungan rukun iman serta seksa bagi mereka yang mengingkarinya. Bab ini adalah bab yang paling minoriti dengan hanya ditulis sebanyak lebih kurang dua muka surat. Namun terdapat beberapa hal yang berkaitan dengan tauhid ditulis di antara bab-bab Fiqh seperti bab Riddah.

Setelah itu, Tuan Tabal meneruskan penulisannya dalam bidang Fiqh, iaitu bahagian terbesar perbahasan kitab Minhat al-Qarib. Perbahasan berkaitan disiplin fiqh adalah menjadi perbahasan tumpuan dan mendominasi kitab ini dengan mengambil ruang terbanyak sekitar 4/7 dari keseluruhan halaman kitab. Perbahasan fiqh dalam kitab ini adalah lebih luas berbanding kitab-kitab fiqh yang ditulis dalam era semasa dengannya, kerana ia merangkumi perbincangan yang luas yang meliputi bab ibadah seperti taharah, istinjak, solat, puasa, haji dan umrah,; bab muamalah seperti riba, wadi'ah, al-'Ariah (pinjaman), jual beli; bab munakahat seperti nikah kahwin, talak, khulu’, li'an; dan bab jinayat. Penulisannya dalam bahagian ini dapat dilihat bermula daripada muka surat 7 hinggalah muka surat 224. Bidang penulisan feqah ini dimulai dengan tajuk Kitab al-Taharah dan diakhiri dengan perbincangan dengan status hamba yang melahirkan anak bagi tuannya yang dibincangkan di bawah tajuk Fasl Fi Ahkam Ummahat al-Awlad.

Seterusnya ia menyambung kepada penulisan dalam bidang Tasawuf yang bermulai daripada muka surat 224 hingga akhir iaitu muka surat 328. Bagi bidang ini, beliau memulakan dengan tajuk Bab Taubat hinggalah kepadab bab terakhir iaitu bab adab berzikir.

Sebagai penutup kitab, Tuan Tabal mengakhiri penulisannya dengan menyatakan pujii-pujian kepada Allah kerana telah berjaya menyiapkan penulisannya. Antara isi penutup penulisan ini ialah kata-kata merendah diri daripada beliau sekiranya terdapat kesalahan dalam penulisannya.

Pada akhir penulisannya juga, Tuan Tabal menyatakan kitab-kitab utama yang beliau rujuk semasa menulis kitab ini. Kitab-kitab tersebut ialah Kitab Ihya ' 'Ulum al-Din, Minhaj al-'Abidin dan Bidayah al-Hidayah karangan Imam al-Ghazali, Kitab Bahr al-Mawrud dan Syarh Wasiyat Matbuliah karangan Syeikh Abdul Wahhab al-Sya'rani.

Jika ditinjau dan diteliti dari aspek penulisan kitab Minhat al-Qarib terutama di dalam bidang fiqh, Tuan Tabal didapati menguasai fiqh Mazhab Syafi'e yang dikira mendominasi fiqh masyarakat Nusantara ketika itu sehinggalah ke hari ini. lni dapat dilihat apabila perbincangan yang dikemukakan beliau mengenai hal-ehwal berkaitan hukum hakam, kaedah solat dan sebagainya menjurus kepada pandangan Mazhab Syafi'i. Oleh yang demikian, tidak hairanlah bahawa karya beliau ini telah menguatkan pegangan terhadap mazhab ini terutama di kawasan beliau bertapak membuka pondoknya dan daerah-daerah lain. la tersebar ke daerah-daerah lain di Nusantara dengan bantuan anak-anak murid beliau yang datang dari pelbagai pelosok daerah untuk belajar dan berguru dengan beliau dan sudah pastilah apa yang dipelajari itu akan juga disebarkan apabila mereka pulang ke tempat masing-masing. Tidak dinafikan bahawa kekuatan ketokohan, pengajaran dan pandangan yang disampaikan oleh Tuan Tabal ini sebenarnya turut ditambah oleh penghasilan kitab yang dikarangnya. Sebab itulah beliau sehingga ke hari ini, walaupun sudah lebih seabad meninggal dunia, beliau tetap menjadi seorang ulama' yang cukup dikagumi, kerana beliau bukan sahaja mampu menyampaikan idea tetapi turut menghasilkan kitab yang menjadi rujukan ramai.


Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment