Thursday, March 19, 2020

Masalah Imam dan Makmum


Buku Masalah Imam dan Makmum merupakan sebuah karya fiqh berkaitan dengan solat yang disusun oleh Dato’ Yusuf Zaki Yacob (1928-1999), seorang ulama dan penulis terkenal di Kelantan. Buku ini telah diterbitkan oleh Syarikat Dian Darul Naim, Kelantan – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1991 dan cetakan kedua pada tahun 1993. Ia telah diterbitkan dalam edisi rumi dan jawi.

Secara umumnya, kandungan buku ini menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i, khususnya mengenai peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.

Buku ini disusun berdasarkan kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (القول التام فى أحكام المأمون والإمام على مذهب الإمام الشافعى), iaitu sebuah karya fiqh lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Hibr al-Himam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-Fath Muhammad bin Ahmad, yang terkenal dengan Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi al-Mishri al-Syafi’i (867H). Beliau merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) dalam bidang fiqh.

Mengenai penyusunan buku ini, Dato’ Yusuf Zaki menjelaskan;

 “ Buku ini disaringkan dari kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam … Dalam saringan ini penulis hanya memetik masalah-masalah yang kerap berlaku sahaja dan meninggalkan masalah-masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia, supaya lebih mudah difahami dan dingati oleh para pembaca ”[1].

Kandungan buku ini dimulai dengan menyebutkan hadis-hadis asas mengenai peraturan solat berjemaah dan diikuti 183 masalah yang berkaitan imam dan makmum. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya. Kitab ini masih dicetak dan dijual di pasaran buku-buku agama.

Semoga bermanfaat.



[1] Masalah Makmum dan Imam  (edisi Jawi) – hal. 2.


1 comment:

  1. salam ustaz..macam mana nak hubungi ustaz melalui whatapps atau pon fb?

    ReplyDelete