Buku Praktikal Solat Sempurna merupakan sebuah karya fiqh
yang disusun khusus mengenai tatacara solat yang sempurna berdasarkan
penelitian para ulama mazhab Syafi’i terhadap nas-nas syarak. Buku ini disusun
oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu
Sdn. Bhd, dengan cetakan pertamanya pada tahun 2016.
Menurut penyusun Ust Muhadir Haji Joll, buku ini disusun sebagai
ringkasan dan tambahan kepada buku beliau terdahulu yang berjudul Solat Nabi
Menurut Mazhab Syafi’e yang telah mendapat sambutan yang sangat
menggalakkan daripada pihak pembaca.
Menurut beliau, buku ini lebih ringkas dan disusun mengikut tertib,
sebelum dan ketika solat, satu persatu
atau langkah demi langkah untuk memudahkan pembaca memahami praktikal
solat dengan sempurna – dari mula sebelum mendirikan solat sehingga selesai.
Semua cara pergerakan dan bacaan dalam solat adalah berpandukan kepada hadits
dan pendapat para ulama muktabar dalam mazhab Syafi’i.
Kitab rujukan utama bagi penyusunan buku ini adalah kitab Zain
al-Thalib (Perhiasan Penuntut), iaitu karya Syaikh Haji Muhammad Zain bin
Haji Serudin (1936 -). Beliau adalah bekas Menteri Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darus Salam). Di samping itu, juga dirujuk
kepada beberapa buah kitab feqah mazhab Syafi’i
yang masyhur dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab.
Secara umumnya, kandungan buku ini dibahagikan kepada dua bahagian;
a) Bahagian
1: Umum – menerangkan pengertian solat, bilangan dan pengertian rukun serta
kedudukan rukun, sunat ab’adh dan sunat hai’ah dalam solat.
b) Bahagian
2: Praktikal Solat; - Perkara
perlu ada sebelum memulakan solat, seperti syarat sah solat, menghadap sutrah dan bacaan doa sebelum solat. - Perkara
yang perlu dilakukan ketika hendak memulakan solat. - Perkara
yang perlu dilakukan ketika solat (huraian rukun-rukun solat );- cara perlaksanaan
solat dihuraikan langkah demi langkah dengan dinyatakan dalilnya daripada
hadits dan sumber rujukan muktabar disebutkan. Disertakan juga foto setiap
pergerakan solat sebagai penerangan tambahan.
Dilampirkan juga pencerahan terhadap beberapa perkara khilafiah
tentang solat yang menjadi perbahasan di kalangan orang awam. Manakala di akhir buku ini, disertakan bacaan
bonus mengenai tip mendapat khusyuk dan menghilangkan was-was dalam solat.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment