Kitab Bab al-Nikah (باب النكاح) merupakan
sebuah karya dalam bidang fiqh yang menerangkan mengenai urusan perkahwinan
dalam bahasa Melayu. Kitab ini selesai disusun oleh pengarangnya pada hari
Isnin, 13 Safar 1289H.
Kitab ini masih beredar di pasaran kitab-kitab
agama bertulisan Jawi. Sekadar pengetahuan saya kitab ini diterbitkan oleh
Penerbit al-Haramain, Indonesia. Berdasarkan naskhah ini, di bahagian depan
kulit (cover) tertulis “ Inilah kitab yang bernama Bab al-Nikah ”. Di
bawah judulnya diterangkan secara ringkas kandungan kitab ini; “ Membahas tentang hukum perkahwinan dan
perkara yang berhubungan dengan dia daripada syarat, rukun, talak dan lainnya ”.
Di bahagian bawahnya dicatatkan nama
penerbitnya “ al-Haramain – Sanqafurah – Jeddah, Indonesia ”. Tiada nama
pengarang yang disebutkan dalam naskhah cetakan ini.
Mengenai pengarang kitab ini, sebenarnya tidak
dapat dipastikan nama ulama yang menghasilkan karya ini. Saya cuba mencari
maklumat mengenai kitab ini, namun setakat ini saya belum menemui tulisan para
pengkaji kitab Jawi yang menyentuh secara khusus mengenainya.
Saya ada membaca artikel al-Marhum Haji Wan
Mohd Shaghir Abdullah mengenai Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari[1]. Di mana beliau ada
menyebutkan di antara karya Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah kitab yang
berjudul “ Bab al-Nikah ”. Namun begitu, saya tidak dapat kepastian
mengenai kitab ini, adakah kitab yang disebut oleh beliau itu adalah kitab Bab
al-Nikah yang dicetak dan dibincangkan dalam catatan ini, atau kitab lain
yang mempunyai persamaan judulnya.
Saya ada juga terbaca dalam satu artikel yang
lain yang menyebutkan Syaikh Nuruddin al-Raniri juga ada menghasil karya
berjudul “ Bab al-Nikah”[2]. Wallahu a’lam.
Berikut dilampirkan petikan awal kitab ini[3];
“ Ini kitab pada
menyatakan hukum nikah, bermula nikah itu sunat barang siapa yang ingin kepada
nikah itupun dengan syarat jika diperolehnya belanja nikah seperti mahar dan
pakaian dan nafkah dan jika tiada diperolehnya belanja nikah maka terutama
baginya meninggalkan nikah dan hendaklah dipecahkannya akan inginnya itu dengan
melazimi puasa (adapun) orang yang tiada ingin ia kepada nikah maka makruh
baginya nikah itupun dengan syarat jika tiada diperolehnya belanja nikah atau
diperolehnya akan dia tetapi ada padanya penyakit seperti lemah zakarnya, dah tua dan jika ada pada orang yang tiada
inginnya itu belanja nikah dan ada padanya penyakit maka masghul dengan mengerjakan
ibadah itu maka terafdhal baginya daripada nikah dan jika tiada masghul ia
mengerjakan ibadah maka nikah itu afdhal baginya daripada meninggalkan dia
”.
Kitab
ini diakhiri dengan petikan berikut;
“ Tamat al-Kitabah
fi Hukmi Nikah pada hari Isnin yang ketiga belas haribulan safar pada tahun
hijrah seribu dua ratus delapan puluh sembilan tahun ketiga itulah siap
menyurat kitab ini ”.
Sekadar ini sahaja yang dapat
saya catatkan dalam catatan ringkas ini. Diharap ada mereka yang berminat
membuat kajian yang mendalam terhadap karya ini. Semoga catatan ini bermanfaat.
[1] Lihat artikel ini di pautan http://ulama.blogspot.com/2005/09/syeikh-muhammad-arsyad-al-banjari.html
[2] Dalam
artikel yang berjudul “ Pertapakan dan
Penyebaran Islam di Negeri Kedah ”, karya Dato' Wan Shamsudin Mohd. Yusof itu
ada diterangkan bahawa dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada dikisahkan “ bahawa
setelah Kedah menerima Islam, Sultan Acheh mengirim dua buah kitab karya ulama
Acheh, Syeikh Nuruddin Al-Raniri iaitu “Siratul-Mustaqim” dan "Babun-Nikah”
untuk dikaji dan dipelajari ”. Baca
artikel ini di pautan; http://www.mykedah2.com/10heritage/102_5_p2.htm
[3] Petikan
ini saya nukil dari pautan http://kuliahcinta.blogspot.com/2008/07/pengenalan-kitab-babul-nikah.html
. Sila layarinya untuk membaca kandungan kitab ini yang telah disalin kembali dengan
tulisan rumi.
No comments:
Post a Comment