Tuesday, December 18, 2012

Qathr al-Ghaitsiyah fi 'Ilmi al-Shufiyah 'ala Syari'ah al-Muhammadiyah


Artikel berikut saya nukil dari pautan di bawah, tanpa sebarang perubahan kandungan teksnya.

 
Disebabkan pada masa ini saya sedang membuat kajian tokoh tentang Tuan Hussain Kedah dan kitabnya Qathrul Ghaithiyah fi ‘Ilmi Asy-Syufiyyah ‘ala Syari’atil Muhammadiyyah, maka saya mulakan blog saya yang terbaru ini dengan perkenalan akan kitab ini. Kitab yang saya muatkan dalam tulisan saya ini adalah merupakan transliterasi rumi dari kitab asal yang ditulis menggunakan aksara Jawi. Ia diterbitkan oleh al-Hidayah Publishers yang terletak di Jalan Ipoh Kecil Kuala Lumpur. Usaha penterjemahan kitab ini dilakukan oleh Ustazah Noraine Abu. Kitab alihan ke Rumi ini menggunakan judul Curahan Ilmu Tasawwuf Berdasarkan Syari’at Nabi Muhammad saw. Ia diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2006 dan dijual dengan harga RM8.00.
Kitab ini amat mudah didapati di pasaran kitab pada hari ini. Kitab ini mengandungi 112 halaman, jauh lebih tebal dari kitab jawi asal yang hanya setebal 47 halaman. Antara sebab yang menjadikan kitab terjemahan ini tebal ialah pertama dari segi saiznya iaitu A5 (separuh dari saiz A4) dan keduanya font teks yang digunakan, kalau tak silap saya bersaiz 11 atau 12. Ini berbeza dengan kitab jawi asal yang menggunakan saiz standard kitab tradisi pondok atau lebih dikenali dengan panggilan kitab kuning dan menggunakan font jawi (kalau tak silap saya format blok) yang kecil. Walau bagaimanapun, setelah saya membuat perbandingan antara kitab terjemahan ini dengan kitab jawi asalnya bolehlah saya rumuskan bahawa semua isinya adalah sama baik dari segi bab mahupun kandungannya.

Baik, kita berkenal dahulu dengan penulis asalnya iaitu Tuan Hussain Kedah. Pada muka depan kitab ini disebut nama lengkapnya seperti berikut, Hushin Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udiy al-Banjariy. Sebetulnya nama lengkap tokoh ini ialah Hussain bin Nasir bin Muhammad Thaiyib bin Mas’udi al-Banjari. Beliau merupakan ulama besar Kedah yang sangat terkenal pada awal abad ke-20 Masehi. Beliau dilahirkan pada tahun 1863 dan meninggal dunia pada tahun 1936. Tokoh ini lebih masyhur dengan panggilan Tuan Hussain Kedah. Penggunaan gelaran al-Banjari dibelakang namanya menandakan bahawa beliau berketurunan Banjar. Perlu juga dinyatakan disini bahawa beliau bertemu nasabnya dengan seorang ulama besar di Alam Melayu pada abad ke-18 iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang makamnya kini terletak di Martapura, Kalimantan. Susur galurnya dari bawah yakni dari beliau hinggalah ke atas yakni Syeikh Muhammad Arsyad semuanya adalah ulama belaka. Selain bergelar ulama, Tuan Hussain Kedah turut mengikuti jejak langkah moyangnya iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari apabila menjadi pendidik yang berjaya melahirkan ramai ulama besar, mempunyai zuriat yang juga berketurunan ulama dan menghasilkan kitab-kitab yang sangat terkenal yang masih dijadikan teks pengajian dan berlegar di pasaran kitab. Salah satu kitabnya yang masyhur ialah kitab yang diperkenalkan ini iaitu Qathrul Ghaithiyah (saya ringkaskan sahaja).
Sebenarnya selain al-Hidayah Publishers, kitab ini turut ditransliterasi ke rumi oleh beberapa penerbit lain. Namun keistimewaan kitab yang ditransliterasi oleh Ustazah Noraine ini ialah 99.99% kandungan teks dari segi gaya bahasa dan perkataannya tidak diubah langsung. Ustazah Noraine mengekalkan bahasanya walaupun ada beberapa istilah yang terkandung di dalamnya memerlukan rujukan yang lebih lanjut. Maka dengan membaca kitab ini, kita seolah-olah seperti membaca kitab asalnya yang menggunakan tulisan Jawi itu. Satu pujian patut diberikan kepada Ustazah Noraine. Mungkin sesetengah pembaca lebih gemar membaca dalam format gaya bahasa baru tetapi bagi mereka yang gemarkan gaya bahasa lama pastinya akan terasa lebih dekat dengan pengarang asalnya. Contoh gaya bahasa lama yang dimaksudkan adalah seperti berikut;

" Bahkan tetapi ‘ilmu tasawwuf ini mentahqiq ia bagi ‘ilmu ushul dan menghening ia bagi ‘ilmu feqah. Dan adapun awal-awal orang yang menghantar akan ‘ilmu tasawwuf seperti barang yang dikata orang maka iaitu Syeikh Junaid al-Baghdadi". (rujuk mukasurat 7).
 
Cuma bagi saya, tambah menarik jika kitab terjemahan ini disertakan dengan mukasurat kitab asal seperti yang sering dilakukan dalam kajian teks naskhah. Dalam kajian teks naskhah, mukasurat kitab asal akan diletakkan disisi setiap helaian mukasurat yang diterjemah. Tujuannya ialah memudahkan rujukan kepada kitab asal.

Dari segi kandungan kitab, ia terbahagi kepada enam bahagian iaitu satu muqaddimah, empat fasal dan satu khatimah (penutup). Pembahasan dalam kitab ini adalah berkenaan dengan ilmu hakikat dan tasawwuf yang agak halus dan mendalam. Untuk penulisan kitab ini, Tuan Hussain Kedah merujuk beberapa kitab tasawwuf yang muktabar yang bagi saya berada di peringkat pertengahan dan tinggi seperti Tuhfah al-Mursalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Syeikh Fadhlullah al-Hindi, Minhaj al-‘Abidin yang dikarang oleh Imam al-Ghazali dan Hikam Natsr yang dikarang oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdul Karim bin Atha’ullah as-Sakandari. Tuan Husain Kedah turut merujuk kitab-kitab besar lain seperti Tawarikh karya Ibnu Khaldun (rujuk mukasurat 8), Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 11), Mukhtasar Ihya’ karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 63) dan kutipan hadith yang diriwayat, antaranya oleh al-Bukhari dan Muslim (rujuk mukasurat 57), at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 57) dan Imam Ahmad dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 61). Dengan mendalami kitab ini, kita akan dapat mengetahui betapa pentingnya ilmu tasawwuf ini kerana menurut Tuan Hussain Kedah, dengan mempelajari Ilmu Tasawwuf, barulah seseorang itu dapat sampai kepada makrifah akan haq Allah Ta’ala akan sebagai makrifat yang sempurna. Dalam usaha untuk mengenal Allah Ta’ala, seperti yang dinyatakan oleh Tuan Hussain Kedah pada permulaan fasal kedua yang tajuknya berbunyi;
Ini suatu fasal yang kedua pada menyatakan barang yang musyahadah mereka itu akan dia dengan segala hati mereka itu daripada wujud Haq Ta’ala dan lainnya. Ketahuilah olehmu, bahawasanya segala ahli tasawwuf, iaitu berhadap sekalian mereka itu kepada Allah Ta’ala padahal sentiasanya pada zahir mereka itu dan pada batin mereka itu. Maka segala zahir mereka itu berhadap kepada Allah dengan berbagai-bagai ta’at dan ‘ibadah dan khidmat. Dan batin mereka itu berhadap kepada Allah dengan shiddiq, ikhlas dan yakin. Maka pada ketika itu berpakailah zahir mereka itu dan batin mereka itu dengan pakaian orang yang merdeka daripada diperhamba akan dia oleh dunia, syaitan, hawa nafsu dan makhluk yang dinama akan sekaliannya itu dengan aghyar dan akdar. Dan pada waktu itu, tertentulah ia jadi hamba bagi Allah Ta’ala. Dan pada ketika itu, tahqiqlah diperoleh berkekalan ta’at dan khidmat kepada Allah Ta’ala yang hasil sekaliannya itu daripada tsamarah dan faedah taqwa. Ertinya, takut akan Allah Ta’ala ”. (rujuk mukasurat 25-26)

Disebabkan pembahasan yang terkandung didalam kitab ini menggunakan bahasa yang halus-halus, saya menyarankan kepada pembaca supaya mendapat bimbingan dari guru yang ahli tentang ilmu tasawwuf ini. Ia penting supaya maksud yang terkandung didalam buku itu sampai ke dalam diri. Pada masa ini, kalau di sekitar Lembah Kelang, kitab ini disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki[1]. Syarahan Syeikh Muhammad Fuad lazimnya diadakan selepas solat Subuh di Masjid Kampung Baru setiap minggu pertama dan minggu ketiga (jadual boleh dirujuk di ysofakl.blogspot.com). Kitab ini diselesaikan oleh pengarang asalnya, Tuan Hussain Kedah pada malam Selasa, 25 Jamadil Awwal 1348 Hijrah bersamaan dengan 28 Oktober 1929 Masehi seperti yang dinyatakan pada penghujung bahagian khatimah.
Tambahan[2]:  Sekadar makluman, kitab ini telah disyarah dan dihuraikan dalam Bahasa Melayu oleh Dato' Sheikh Zakaria Bin Haji Ahmad Wan Besar seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman dengan judul bukunya ‘ al-Jawahir al-Sufiah [3].
 

[1] Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki menggunakan kitab yang diterjemahnya sendiri. Kitab ini dijual oleh Koperasi as-Sofa.
[2] Tambahan dari empunyai blog ini.
[3] Diterbitkan oleh  Mahzum Book Services, Batu Caves, Selangor pada tahun 2009.

 

 

No comments:

Post a Comment