Friday, September 7, 2012

Kitab Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir

 
Kitab ini merupakan kitab tafsir yang pernah menjadi buruan oleh para pelajar di Maghribi suatu ketika dulu. Ini disebabkan kekaguman para pelajar yang mempelajari ilmu Maqasid Syariah di atas cetusan pemangkin ilmu Maqasid pada dekad ini iaitu Syeikh Thahir Ibn Asyur.

Pengarang kitab tafsir ini bernama Muhammad al-Thahir bin Muhammad bin Muhammad al-Thahir bin ‘Asyur al-Tunusi (w1393H/1973M). Kitab ini dikenali dengan nama al-Tahrir wa al-Tanwir yang dinamakan dengan judulnya yang asli iaitu “Tahrir al-Ma’na al-Sadid wa Tanwir al-’Aql al-Jadid wa Tafsir al-Kitab al-Majid”.
 
Metod umum di dalam kitab tafsir ini, lebih cenderung kepada tafsiran menerusi asas sastera, zahir, bahasa dan logika yang seiring dengan dalil hujah serta mementingkan teknik Qiraat (cara bacaan para qura). Teknik pentafsiran beliau adalah dengan menyebut setiap ayat di dalam surah tersebut, kemudian mula menghuraikannya menurut kesesuaian dari aspek bahasa dan tafsiran ringkas dengan dipaparkan padanya teknik Qiraat serta hukum fiqh di dalamnya.
 
Beliau turut menyatakan secara terperinci pada kandungan surah dan membicarakan perkaitan antara ayat-ayatnya. Metodnya yang lebih khusus di dalam tafsirannya ini ialah dengan:
  1. Menerangkan nama surah, bilangan ayat dan keterangannya.
  2. Menjelaskan perkara berkaitan akidah
  3. Menyatakan huraian al-Quran dengan al-Quran
  4. Memaparkan huraian al-Quran dengan al-Sunnah
  5. Menjelaskan tafsiran al-Quran dengan kalam ulama Salaf
  6. Menjelaskan kaitan dengan aspek sejarah
  7. Membentangkan kekeliruan Israeliyyat
  8. Menjelaskan perkaitan ilmu Qiraat
  9. Menyatakan hal yang bersangkutan dengan Fiqh dan Usul
  10. Menghuraikan berdasarkan ilmu yang lebih moden seperti fizikal, falsafah dan mukjizat yang terdapat di alam ini
  11. Mengutamakan perkaitan dengan adab dan akhlak yang baik
Inilah antara kitab yang menarik untuk dibaca, dikaji dan diamalkan. Dalam pengetahuan penulis sendiri, kitab Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir ini hanya dimiliki oleh beberapa orang sahaja di Malaysia ini dari cetakan Tunisia sendiri.
 
Badan percetakan lain seperti di Mesir, Syria dan Lubnan yang banyak mencetak pelbagai jenis kitab dan buku, masih belum mendapat hak untuk mencetak kitab ini dari kerajaan Tunisia. Semoga kita dapat melahirkan generasi al-Quran yang bijak IT! Allahumma amin!
 
 
Tambahan;
 
1. Untuk mengetahui lebih maklumat mengenai kitab al-Tahrir wa al-Tanwir dan pengarangnya sila  klik pautan berikut;  BIOGRAFI PENULIS TAHRIR WA TANWIR 
 
 

No comments:

Post a Comment