Friday, September 28, 2012

MASA-IL AL-TA'LIM (مسائل التعليم)

 
Kitab Masa-il al-Ta’lim (مسائل التعليم)  merupakan sebuah kitab fiqh yang menjadi rujukan para ulama mazhab al-Syafi’i. Kitab ini juga dikenali dan disebut dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’iyyah dengan nama  judul yang lain, iaitu;

  1.   al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah Fi Fiqh al-Sadat al-Syafi-‘iyyah (المقدمة الحضرمية في فقه السادة الشافعية).
   2.      Muqaddimah Bafadhal (بافضل مقدمة) atau Mukhtashar Bafadhal (مختصر بافضل).
   3.    al-Mukhtashar al-Kabir (المختصر الكبير).

Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Allamah Jamaluddin Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Sa’di al-Hadhrami (850-918H). Dalam kitab fiqh al-Syafi’iyyah, nama beliau biasanya disebut dengan Bafadhal sahaja. Bafadhal asalnya merupakan nama gelaran keluarga/keturunannya.  Dari Keluarga ini telah lahir ramai ulama dan tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal.


Kandungan Kitab;

Berkata Imam Bafadhal di muqaddimah kitabnya; “ Kitab ini merupakan suatu mukhtashar (ringkasan) yang perlu diketahui oleh setiap muslim. Oleh itu  mereka hendaklah mengambil perhatian  terhadap kandungannya”.

Berdasarkan kitab al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah dalam koleksi saya, kandungan kitab ini tidak meliputi semua tajuk fiqh. Ia dimulai dengan khutbah kitab (pendahuluan) yang ringkas, kemudian disusuli dengan beberapa buah kitab. Setiap  kitab pula dibahagikan kepada beberapa bab dan setiap bab pula dibahagikan kepada beberapa fasal. Pembahagian kitab, bab dan fasal dalam kitab al-Muqaddimah ini, tidak teratur sebagaimana biasa digunakan dalam kitab-kitab fiqh yang lain. Saya tidak pasti, adakah penyusunan ini memang dibuat oleh pengarangnya sendiri atau tidak. Berikut ringkasan kandungan kitab tersebut;

1.       Khutbah Kitab

2.      Kitab al-Thaharah;  Dimulai dengan beberapa fasal berkaitan dengan air, wuduk, istinjak dan mandi.
-         Bab al-Najasat: jenis-jenis najis.
-         Bab al-Tayammum; terdapat beberapa  fasal berkaitan dengan syarat dan fardu  tayammum, haid dan hukum perempuan mustahadah.

3.      Kitab al-Sholat; fasal tentang waktu solat, azan dan iqamat.
-         Bab Shifat al-Sholat; terdapat beberapa fasal mengenai apa yang sunat dibacakan ketika melaksanakan rukun-rukun solat, syarat-syarat sah solat, perkara makruh, jenis-jenis sujud, solat sunat, dan solat berjemaah.
-         Bab Sholat al-Musafir; fasal mengenai syarat qasar solat dan solat jamak.
-         Bab solat Jumaat;
-         Bab solat al-Khauf
-         Bab solat al-‘Iedain ( solat hari raya)
-         Bab solat al-Kusuf (gerhana)
-         Bab solat Istisqak
-         Bab al-Jana-iz (jenazah)

4.      Kitab Zakat

5.      Kitab al-Shiyam

6.      Kitab al-I’tikaf

7.      Kitab al-Haj wa al-‘Umrah;
-   Dimulai dengan beberapa fasal mengenai amalan haji dan umrah.
- Bab al-Udhhiyyah (kurban): perkara-perkara mengenai ibadat korban                     -   Ditutup dengan fasal mengenai aqiqah.
            
Manakala berdasarkan versi yang diterbitkan oleh Dar al-Minhaj (cet. 1 /2017) ada beberapa tambahan kandungan kitab ini, iaitu;
1.       Tambahan yang dikatakan dari penyusunnya (Imam Bafadhal) sendiri, iaitu dari bab al-Bai’ (jual-beli) hingga bab al-Hibah.
2.      Tambahan daripada Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki (974H), iaitu dari bab al-Ba’i hingga bab al-Fara-id.


Ringkasan kitab ini..

Syaikh al-‘Allamah ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman Bafadhal al-Hadhrami telah menyusun sebuah ringkasan bagi kitab Masa-il al-Ta’lim atau al-Mukhtashar al-Kabir (المختصر الكبير) ini dengan karyanya yang berjudul al-Mukhtashar al-Shaghir (المختصرالصغير)  atau dikenali juga sebagai al-Mukhtashar al-Lathif (المختصر اللطيف ). Dalam kitab ringkasan ini hanya membicarakan permasalahan ibadat.


Huraian kitab Masa-ih al-Ta’lim.

Berikut antara  kitab syarah bagi kitab ini;

1.    al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim karya Syaikh al-Islam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H) 

2.   al-Mawahib al-Saniyyah bi Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Ali Ba’asyan al-Daw’ani al-Hadhrami [1270H].

3.   Busyra al-Karim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim, juga karya Syaikh Sa’id bin Muhammad Ba’asyan al-Hadhrami. Kitab ini adalah ringkasan bagi kitab al-Mawahib al-Saniyyah karya beliau yang disebutkan di atas. Kitab ini lebih terkenal sebagai syarah kitab Masa-il al-Ta’lim berbanding kitab al-Mahawahib al-Saniyyah. 

4. al-Hadiyyah al-Mardiyyah bi Syarh wa Adillah al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (الهدية المرضية بشرح وأدلة المقدمة الحضرمية) karya al-‘Allamah Dr. Syaikh Musthafa Dib al-Bugha ().

Di antara kitab-kitab huraian (syarah) al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah di atas yang paling terkenal ialah kitab al-Manhaj al-Qawim bi Syarh Masa-il al-Ta’lim karya Syaikh al-Islam Ahmad Ibn Hajar al-Haytami (974H). Kitab ini telah diberi komentar (hasyiah) oleh beberapa orang ulama, antaranya;

1. al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Sulayman al-Kurdi (1127-1194H), dengan karyanya “ al-Hawasyi al-Madaniyyah ‘ala al-Manhaj al-Qawim /Hasyiah al-Kurdi  ‘ala al-Manhaj al-Qawim ”.

2.      al-Jurhuzi (1201H) dengan karyanya “ Hasyiah ‘ala al-Manhaj al-Qawim ”.

3.   Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Turmasi (1285-1329H), dengan karyanya   Hasyiah ‘Ala al-Manhaj al-Qawim /Muhibah Zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Bafadhal.

4.   Syaikh Shalih bin Muhammad Bafadhal al-Makkiy (1333H) dengan karyanya “ al-Maslak al-Qawim  ‘ala al-Manhaj al-Qawim Syarh Masa-il al-Ta’lim”.

Kitab Masa-il al-Ta’lim boleh dimuat turun di sini atau terus di sini.


Semoga bermanfaat

2 comments:

  1. Adakah kitab muqaddimah hadramiyah inibyermasuk dalam salah satu kitab turath?

    ReplyDelete
  2. kitab ini memang termasuk kitab turath yang menjadi rujukan para ulama... dan telah diberikan syarahnya oleh ulama besar seperi Ibnu hajar al-haytami dan para ulama selepasnya.

    ReplyDelete