Kitab Kasyf al-Litham ‘An As-ilah
al-Anam (كشف اللثام عن أسئلة الأنام) merupakan sebuah kitab fiqh dalam bahasa Melayu yang penting dan menjadi
rujukan ulama di Nusantara. Kitab
“Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-Anam” atau dikenali dengan “Kasyf al-Litham”ini
adalah karya seorang ulama Melayu Patani yang bermastautin di Makkah,
iaitu; Syeikh Zainul ‘Abdidin bin
Muhammad al-Fathani , yang terkenal dengan gelarannya ‘ Tuan Minal ’. Kitab Kasyf al-Litham ini, sama judulnya
dengan sebuah kitab fiqh dalam bahasa ‘Arab yang dikarang oleh al-Syeikh Husain
bin Muhammad al-Mahalli (1170H) iaitu Kasyf al-Litham ‘An As-ilah al-Anam dikenali juga
dengan “Kitab al-Furu’’. Bahkan ia
adalah salah satu rujukan penting kitab Kasyf al-Litham karangan Tuan Minal.
Kandungan Kitab;
Kitab Kasyf al-Litham membincangkan hukum
fiqh yang mengandungi 4 bahagian hukum fiqh iaitu bahagian ibadat, muamalat,
munakahat dan jinayat.
- Bahagian ibadat bermula dengan hukum bersuci, solat, janazah, zakat, puasa, iktikaf, haji, umrah, udhiah, hukum makanan dan di akhiri dengan hukum perburuan.
- Di bahagian muamalat mengadungi hukum jual beli, jual salam, gadai, muflis, bersekutu, wakil, iqrar, ariah, merampas dan sebagainya.
- Selepas itu diikuti dengan bahagian yang berhubung dengan munakahat, membicarakan hukum pesaka, wasiat, nikah kahwin, cerai, rujuk, iddah dan diakhiri dengan hukum nafkah.
- Terdapat juga hukum jinayat, di antaranya pencurian, pembunuhan, qisas, diat, perzinaan, minuman arak, jihad, qadi, dan lainnya sehingga sampai akhir kitab ini pada jilid kedua.
Manakala bentuk susunan isi pembicaraan,
kitab Kasyf al-Litham dibahagikan kepada 4 peringkat yang terdiri daripada:
kitab, bab, fasal dan masalah atau furu’. Pada setiap kitab, bab dan fasal mengandungi
masalah atau furu’ yang membicarakan hukuman.
Kitab Kasyf al-Litham selesai dikarang
oleh Tuan Minal pada bulan Rajab 1307 H. bersamaan dengan tahun 1890 M.
Cetakan
kitab kasyf al-Litham;
Cetakan
pertama yang terdiri daripada empat jilid, di terbitkan pada pertengahan
Syawal 1308 H. (1891 M.) oleh Mathba’ah al-Miriah, Makkah. Cetakan
yang kedua terdiri daripada 2 jilid, iaitu 4 jilid yang menjadikan 2 jilid
sahaja, sedangkan kandungannya tidak berubah. Ia diterbitkan oleh Mathba’ah
al-Taqaddum al-Ilmiah, Mesir. Jilid pertama di terbitkan pada tahun 1344 H(1925
M.) dan jilid kedua pada tahun 1345 H (1926 M). Terdapat
pelbagai cetakan yang lain diterbitkan dalam bentuk 2 jilid juga bersama pada bahagian
tepinya kitab Wisaya al-Afrad, karangan Syeikh Muhammad bin Ismail
al-Dawudi al-Fatani (Nik Mat Kecik).
Manhaj Penulisan Kitab Kasyf al-Litham:
Di sana terdapat beberapa perbezaaan yang
berlebih kurang di kalangan ulama Fatani dari segi karangan mereka, baik dari sudut huraian, model penulisan, susunan
topik dan sumber rujukan. Di sini, akan dikemukakan manhaj penulisan kitab
Kasyf al-Litham yang mempunyai model tersendiri dalam membentangkan hukum fiqh
dalam bahasa Melayu beredisi Jawi.
- Naqal, Terjemah dan Susun: Gerakan penterjemahan ini demi untuk memenuhi keperluan orang Melayu yang tidak dapat menguasai bahasa Arab, sama ada di kalangan orang awam atau pelajar. Terjemahan ini sering dilakukan oleh para ulama sendiri atau oleh pelajar-pelajar yang sudah mahir. Sebahagian ulama membuat syarahan untuk huraian yang lebih mendalam daripada apa yang terdapat dalam karangan asalnya. Berdasarkan kajian di dapati Tuan Minal mengarang kitab Kasyf al-Litham dengan menaqal dan terjemah isi hukuman atau permasalahan daripada beberapa buah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i berbahasa Arab kemudian menyusun atau meletak pada satu kitab atau bab. Dalam penterjemahan, beliau menterjemahkan secara keseluruhannya dan secara ringkas. Gaya dalam penterjemahannya adalah mengikut gaya dan struktur dalam bahasa Arab. Beberapa peristilahan dalam bahasa Arab dikekalkan tanpa diterjemahksn. Di samping menterjemah, beliau juga memberi penjelasan ringkas terhadab terjemahan itu. Selain daripada naqal dan terjemah daripada kitab bahasa Arab beliau juga menaqalkan daripada kitab Melayu Jawi. Hal ini disebut oleh beliau pada muqaddimah kitabnya: “ Bahawa aku surat baginya akan beberapa masalah yang tiada terkaya daripada mengetahui akan dia dengan bahasa Jawi dan aku himpunkan akan beberapa aqwal al-fuqaha al-kiram pada hal aku naqalkan daripada beberapa yang muktabar pada mazhab alafham seperti Manhaj li Syeikh al-Islam dan Furu’ al-Mahalli dan Fathu al-Muin dan lainnya dari kitab Jawi atas qadar yang sedikit-sedikit ” .
- Sumber
Rujukan Kitab Fiqh al-Syafi’iyyah yang kebelakangan: Rujukan
kitab Kasyf al-Litham karangan Tuan Minal ialah beberapa buah kitab fiqh
bermazhab al-Syafi’i berbahasa Arab khususnya karangan mereka yang hidup pada
zaman kebelakangan, antaranya kitab al-Furu’ atau Kasyf al-Litham ‘An As-ilah
al-Anam karya al-‘Allamah Husain bin Muhammad al-Mahalli, kitab Manhaj al-Thullab
serta syarahannya Fathu al-Wahhab karya Syeikh al-Islam Zakariya al-Anshari,
kitab Fathu al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain karya Syeikh Zainul ‘Abidin bin
Abdul Aziz al-Malibari, al-Iqna’ Fi Halli Alfazh Abi Syuja’ karya Syeikh Muhammad
bin Ahmad al-Syarbini al-Khatib, Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj karangan
Ibnu Hajar al-Haitami, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj karya Syeikh
Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin Hamzah al-Ramli. Di samping itu juga beliau
menaqalkan daripada kitab Jawi iaitu kita Furu’ al-Masa-il karya Syeikh Daud
bin Abdullah al-Fathani.
Perbandingan Kitab Kasyf al-Litham dengan
Kitab Fiqh Lain:
Untuk menjelas dan menggambarkan sejauh
mana perbezaan dan keistimewaan dalam mahaj penulisan ilmu fiqh oleh ulama
Fatani yang berhampiran semasa dengan Tuan Minal dalam mengarang kitab mereka khususnya
kitab fiqh yang meliputi setiap jurusan perbincangan, maka di sini dikemukan perbandingan
di antara kitab Kasyf al-Litham dengan kitab fiqh yang lain supaya dapat
membantu dalam menjelas dan menyatakan manhaj Tuan Minal dalam kitab ini yang
dianggap sebagai rekaan sendiri. Kitab yang akan dibuat perbandingan dengannya
ialah Hidayah al-Mutaallim, Fathu al-Mannan, al-Jawahir al-Sunniah, Sullam al-Mubtadi,
Furu’ al-Masa-il, semuanya adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani,
dan Mathla’ al-Badrain karya Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik).
Setelah membuat perbandingan, kita dapati
terdapatnya beberapa titik persamaan dan titik perbezaan dengan kitab-kitab yang
dikarang oleh ulama semasa atau berhampiran zaman dengan Tuan Minal. Kitab-kitab
yang dibuat perbandingan itu adalah pada asasnya adalah berbentuk naqalan dan
terjemahan dari karangan fiqh mazhab al-Syafi’i berbahasa Arab kepada bahasa Melayu
edisi Jawi demi membantu umat Islam yang tidak menguasai bahasa Arab dalam
memahami ajaran Islam di Nusantara. Manakala titik berbezaannya, antara lain ialah
kitab-kitab tersebut (kitab yang dibuat perbandingan di ata) bukan hanya membicarakan
hukum fiqh sahaja bahkan dimulai dengan pembicaraan tentang akidah, ilmu pengetahuan
dan di akhiri dengan pembicaraan akhlak dan tasauf, sedangkan kitab Kasyf
al-Litham adalah membicarakan permasalahan fiqh sahaja.
Keistimewaan kitab Kasf al-Litham juga
ialah Tuan Minal telah menceraikan sesuatu masalah dengan menggunakan istilah “masalah” dan “furu’”, samping menyebutkan sumber rujukan di akhir pembicaraan
sesuatu masalah.
Sumber: Artikel ringkas ini dipetik dan
diubahsuai dari artikel yang bertajuk “ Manhaj Syeikh Zainul Abidin
bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal) dalam Penulisan Fiqh: Suatu Kajian terhadap
Kitab Kasyf al-Litham yang boleh didownload
di pautan berikut;
Semoga bermanfaat
Salam, link download da expired, mcm me ye? Klo boleh nk tau lah lanjut tentang kitab ini,
ReplyDeletewa'alikumussalam. terima kasih mengunjungi blog ini. saya telah edit kembali link tersebut. ada huruf yang terpadam dalam link yang lalu. insya Allah ia masih aktif. buat masa ini saya belum mendapat maklumat atau kajian yang lebih terperinci mengenai kitab ini. kitab ini masih ada dijual di kedai-kedai buku/ kitab agama.
ReplyDeleteAdakah encik mempunyai tafsir kitab ini dalam bahasa rumi. Jika ada saya berharap agar encik dapat scan dari muka surat 1-20. Ini kerana saya assignments yang diberikan oleh ustaz ialah tafsir kitab ini tapi masalahnya kitab yang diberikan dalam bahasa jawi lama.
DeleteAssalamualaikum ustaz .. macam mana saya nk download kitab ni ?
ReplyDeleteMohon Linknya Diperbaharui Ustadz
ReplyDeleteAssalamualaikum warahmatullahi wa Barokatuhu
“Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian lagi dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kifarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam
ReplyDeletekemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikan itu yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.”
Kasyfu Al-Litsam, Juzuk 1 halaman 85