Monday, January 16, 2017

Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي)


Kitab Munyah al-Mushalli (منية المصلي) merupakan sebuah karya fiqh yang masyhur dalam bahasa Melayu, yang khusus membicarakan perkara-perkara yang berkaitan tentang solat (baca: sembahyang).

Kitab ini disusun oleh al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani  (1769-1847), seorang ulama yang terkenal dengan karya-karyanya  yang menjadi rujukan para ulama dan masyarakat Melayu di Nusantara hingga ke hari ini.

Di Malaysia, kitab ini sangat popular di kalangan para pelajar dan masyarakat Islam yang mendalami ilmu agama dan menjadi teks pengajian di pondok-pondok, surau-surau, masjid-masjid dan majlis-majlis ilmu.

Menurut al-Marhum Hj Wan Mohd Shaghir Abdullah; “ Munyatul Mushalli adalah karya Syeikh Daud bin Abdullah Fathani yang paling banyak diajarkan oleh tok guru dalam rangka memperkenalkan pengetahuan sembahyang. Sebelum ada buku-buku yang ditulis dengan aksara Latin/ Rumi, Munyatul Mushalli pula sebagai buku asas pelajaran sembahyang di seluruh dunia Melayu…[1]


Sejarah Penyusunan Kitab ini….

Berdasarkan kajian al-Marhum Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah, kitab Munyah al-Mushalli disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani bagi memenuhi suatu permintaan salah seorang sultan yang memerintah sebuah negeri Melayu yang ketika itu datang menunaikan ibadah haji di Makkah. Oleh kerana itulah, di bahagian akhir kitab membicarakan mengenai sembahyang itu, beliau akhiri dengan sebuah “Tatimmul Faidah” yang membicarakan mengenai kewajipan raja terhadap rakyat[2].

Kitab ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1242H /1826H ketika beliau berada di Makkah al-Musyarrafah. Beliau membuat catatan mengenai perkara ini di akhir kitab Munyah al-Mushalli, katanya;

Telah selesailah faqir ilaLlah Ta’ala Daud bin Abdullah Fathani menterjemahkan risalah yang bernama “Munyah al-Mushalli” di dalam negeri Makkah al-Musyarrafah pada waktu Dhuha, hari Selasa, lima belas hari (15) bulan Zulhijjah pada Hijrah Nabi  - ‘alaihi afdhal al-shalawat wa azka al-taslim -, seribu dua ratus empat puluh dua (1242) [3].


Cetakan kitab ini…

Munyah al-Mushalli adalah termasuk kitab yang paling banyak disalin dengan tulisan tangan sebelum ia dicetak dan terbitkan. Perkara ini terbukti dengan wujudnya banyak manuskrip-manuskrip tulisan tangan yang terdapat di pusat-pusat penyimpanan manuskrip klasik, seperti di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.

Menurut al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, cetakan pertama kitab Munyah al-Mushalli belum beliau temui. Manakala kitab cetakan yang kedua, ada beliau miliki. Kitab ini dicetak oleh Matbaah al-Miriyah, Mekkah tahun 1313H (1895M) di bawah pembiayaan Syeikh Abdul Rahman Gudang bin Muhammad Ali bin Ismail al-Fathani. Cetakan-cetakan mutaakhir di Asia Tenggara pula dilakukan oleh beberapa percetakan di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang, Kota Bharu, Patani dan Bangkok. Dari cetakan pertama hingga cetakan mutakhir, barangkali sudah ribuan kali cetakan dan sampai sekarang masih dicetak dan beredar di pasaran serta masih diajar kepada masyarakat di berbagai tempat di dunia Melayu.[4]


Kandungan kitab ini…

Berikut saya catatkan tajuk-tajuk utama kitab Munyah al-Mushalli, sebagaimana yang dicatatkan oleh al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam karya beliau[5], iaitu;

1. Muqaddimah Kitab
2. Syarat-syaarat Sembahyang
3. Rukun-rukun Sembahyang
4. Sunat Ab’adh dan Sunat Hai-at
5. Asal Usul Sembahyang
6. Hikmah dan Kesempurnaan Pengamalan
7. Sujud Sahwi
8. Makruh Dalam Sembahyang
9. Sunat-Sunat Sesudah Sembahyang
10. Sembahyang Berjemaah (kelebihan sembahyang berjemaah)
11. Sembahyang Jumaat[6]
12. Sembahyang Sunat[7]
13. Tatimmah Faidah[8]


Rujukan utama Kitab al-Mushalli

Sebenarnya, Syaikh Daud Fathani tidak menyebut atau menyenaraikan secara khusus mengenai sumber rujukan beliau ketika penyusunan kitab Munyah al-Mushalli. Namun begitu, beliau ada menyebutkan beberapa nama kitab atau nama ulama yang menjadi rujukan bagi beberapa petikan dalam kitab Munyah al-Mushalli. Berikut judul-judul kitab dan nama ulama yang disebutkan dalam kitab Munyah al-Mushalli;

a) Abu Hamid al-Ghazali[9], merujuk kepada karya beliau yang berjudul– al-Ihya’ ‘Ulumiddin.

b)   Muhammad bin Ali al-Tirmizi (255H/869H). Nama lengkap beiau ialah Abū ʿAbd Allāh Muammad ibn ʿAlī bin Hasan al-Tirmidhī al-anafī. Beliau terkenal dengan gelaran al-Hakim al-Tirmizi. Seorang tokoh tasawwuf yang terkenal.

c)    Syaikh al-Bujairimi[10], tanpa menyebutkan kitab rujukannya. Kemungkinan merujuk kepada karya beliau yang berjudul “ Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Iqna’[11]. Kitab ini terkenal dengan judul al-Bujairimi ‘ala al-Khathib.

d)     Al-Arif al-Bakri[12]

e)    Sayyidi Muhammad Ghawtsullah, merujuk kepada karyanya yang berjudul “Jawahir al-Khamis”.

f)  Al-‘Arif billah Sayyidi al-Sanusi[13] , merujuk kepada karyanya yang berjudul al-Mujarrabat.

g)     Syaikh al-Ramli[14]

h)    Syaikh Ibnu Hajar al-Haytami[15]

i)   Imam Muhyiddin Zakariyya bin Syaraf al-Nawawi (676H), merujuk kepada karyanya yang berjudul al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab .

j)     Syarah al-Wasith[16]

k)   al-Khathib al-Syarbaini[17], melalui karyanya Mughni Muhtaj Syarh Minhaj al-Thalibin

l)       Imam Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Ahmad al-Haddad (1044-1132H), melalui karya al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah[18].


Sekadar ini sahaja dahulu catatan mengenai kitab Munyah al-Mushalli ini. Jika diberi kesempatan oleh Allah SWT, saya akan menambah lagi beberapa catatan mengenai kitab-kitab atau penulisan-penulisan yang berkaitan dengan kitab ini, seperti ringkasan, syarah atau pengalihtulisannya dari jawi kepada tulisan rumi.

Semoga bermanfaat.




[1] Petikan daripada muqaddimah karya beliau yang berjudul “ Munyatul Mushalli Syeikh Daud al-Fathani – Pengetahuan Sembahyang Masyhur ”, terbitan Khazanah Fathaniyyah, tahun 1991. Dalam rujukan yang sama selanjutnya, akan disebut dengan “ Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang  ….”.

[2] Munyah Mushalli Pengetahuan Sembahyang, hal. 1.

[3] Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal. 151.

[4] Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal-3-4.

[5] Munyah al-Mushalli– Pengetahuan Sembahyang: Bahagian Isi Kandungan. Lihat tajuk-tajuk yang diletakkan bagi memisahkan teks-teks Munyah al-Mushalli. Perlu diketahui edisi asal kitab Munyah al-Mushalli dalam tulisan Jawi tidak diletakkan tajuk tertentu bagi memisahkan permasalahan yang dibicarakan.

[6] Dijelaskan mengenai kemuliaan hari Jumaat, mentakhir solat Jumaat, syarat sah Jumaat hukum mengiringi sembahyang zohor selepas sembahyang Jumaat.

[7] Disebutkan dalam Munyah al-Mushalli “ Dan setengah daripada kesempurnaan orang yang memelihara atas sembahyang dan mendirikan dia, membaikkan memeliharakan segala sunat rawatibnya dan segala sunat yang dituntut oleh syarak….” Lihat Munyah Mushalli – Pengetahuan Sembahyang, hal. 107. Terdapat 25 jenis solat sunat yang disebutkan dalam kitab ini.

[8] Tambahan Syaikh Daud al-Fathani mengenai tanggungjawab pemerintah.

[9] Iaitu Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali (505H), yang terkenal dengan gelaran Imam al-Ghazali.

[10] Nama penuh beliau ialah Syaikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi (1131-1221H).

[11] Kitab ini merupakan kitab hasyiah (huraian) bagi kitab al-Iqna’ li Hall Alfaz Abi Syuja’ karya Syaikh Muhammad bin Muhammad  Syarbini al-Khathib (977H).

[12] Beliau ialah al-Syekh Sayyid Muhammad Syamsuddin Ibn Abu al-Hasan al-Bakri. Beliau adalah seorang tokoh tasawwuf yang terkenal, Di antara amalan yang dinisbah kepada beliau ialah pengamalan  “Selawat al-Fatih”.

[13] Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Yusuf bin ‘Umar al-Sanusi al-Maliki al-Tilmisani (832-895H). Seorang tokoh yang terkenal dengan gelaran Imam al-Sanusi al-Asy’ari ini merupakan seorang tokoh terkenal Ahli Sunnah wa Jama’ah, yang mendokong fahaman akidah dari aliran al-Asya’irah. Di antara karya beliau yang terkenal ialah kitab Umm al-Barahin fi al-‘Aqa-id.

[14] Syaikh Syamsuddin Muhammad bin Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ramli, (919-1004H). Beliau terkenal dengan gelaran Imam al-Ramli al-Shaghir. Di antara karya beliau ialah Nihayah al-Muhtaj Syarh al-Minhaj.

[15] Beliau ialah Syaikhul Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H). beliau adalah seorang tokoh mazhab Syafi’i yang terkenal, yang menghasil banyak karya ilmiah dalam pelbagai bidang. Antara karya beliau terkenal dalam bidang fiqh ialah Tuhfah al-MuhtajSyarh al-’Ubab dan  Manhaj al-Qawim .
 
[16] Kitab al-Wasith  adalah sebuah karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali (505H). Kitab al-Wasith merupakan rujukan fiqh utama dalam mazhab al-Syafi’i. Terdapat dua kitab syarah (huraian) bagi kitab al-Wasith yang diketahui disusun dengan sempurna  oleh penyusunnya, iaitu al-Muhith fi Syarh al-Wasith karya Muhammad bin Yahya bin Mansur al-Naisaburi dan al-Bahr al-Muhith fi Syarh al-Wasith karya Ahmad bin Muhammad al-Qammuli. Tidak dipastikan antara kedua-dua kitab ini yang mana menjadi rujukan  pengarang kitab Munyah al-Mushalli.

[17] Beliau ialah Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khathib al-Syirbini al-Qahiri (977H). Di kalangan ulama mazhab Syafi’i beliau dikenali dengan gelaran Syamsuddin al-Khathib al-Syirbini.

[18] Berdasarkan penelitian saya terhadap sebahagian isi kandungan kitab Munyah al-Mushalli, saya dapati ia merupakan terjemahan beberapa petikan dari bab Solat yang terdapat dalam kitab al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah, yang disusun kembali oleh Syaikh Daud al-Fathani dengan beberapa pengubahsuaian. Hal ini boleh dilihat dari permulaan kitab Munyah al-Mushalli lagi. Petikan ini hanyalah melibatkan hikmat dan kelebihan solat sahaja, tidak melibatkan perkara hukum dan kaifiat solat. Di mana mengenai kaifiat solat Syaikh Daud banyak merujuk kepada beberapa kitab fiqh sebagaimana yang disebutkan dalam senarai rujukan di atas. Insya Allah, dengan izin-Nya dalam kesempatan yang lain, saya bercita-cita untuk memaparkan perkara ini secara bersiri untuk tatapan pembaca.

Sunday, January 1, 2017

MATHLA' AL-BADRAIN (مطلع البدرين)

     
        a)     Mathla’ al-Badrain fi Man Yukti Ajrahu Marratain 
              (مطلع البدرين فيمن يؤتى أجره   مرتين);   
Sebuah karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman al-Sayuthi (911H). Sebuah kitab yang memhimpunkan beberapa buah hadis mengenai golongan yang akan memperolehi ganjaran pahala dua kali. Baca kitab ini di pautan http://shamela.ws/browse.php/book-26551#page-1

b)     Mathla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain (مطلع البدرين ومجمع  البحرين);
  Sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad Ismail Daud al-Fathani (), yang terkenal dengan gelaran Tok Mat Kechik al-Fathani. Ia merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i, yang disusun dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi. Baca maklumat lanjut mengenai kitab ini di SINI.

c. Majma’ al-Bahrain wa Mathla’ al-Badrain ‘ala Tafsir al-Jalalain (مجمع البحرين ومطلع البدرين على تفسير الإمامين الجلالين);
Sebuah karya Syaikh Badaruddin Muhammad bin Muhammad al-Bakri al-Kurkhi al-Syafi’i (1007H). Sebuah kitab yang disusun sebagai komentar (hasyiah) bagi kitab Tafsir al-Jalalain, iaitu karya Imam Jalaluddin Muhammad bin Ahmad al-Mahalli (864H) dan Imam  Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakr al-Sayuthi (911H).

Friday, December 30, 2016

QURRAH AL-'AIN (قرة العين)

      a)     Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (قرة العين بمهمات الدين)
Sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-‘Allamah Syaikh Zaynuddin bin Abdul Aziz bin Zaynuddin al-Malibari al-Fannani (987H). Kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab Manhaj al-Thullab Manhaj al-Thullab karya Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H). Syaikh Zainuddin al-Malibari kemudiannya telah menyusun sebuah karya lain sebagai huraian (syarah) bagi kitab ini melalui karyanya yang berjudul Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-'Ain[1]. Selain huraian (syarah) oleh penyusunnya, kitab ini juga telah disyarah oleh al-‘Allamah Muhammad Nawawi al-Banteni (1230H/1813M) dengan karyanya Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi-in Syarh Qurrah al-‘Ain.
  
b)  Qurrah al-‘Ain li man Wa’a fi Istihbab Raf’i al-Yadayn fi al-Du’a (قرة العين لمن وعى في استحباب رفع اليدين في الدعاء).
Sebuah kitab yang mengemukakan dalil-dalil daripada hadis Nabi saw yang menerangkan sunat (mustahab) mengangkat tangan ketika berdoa. Kitab ini adalah karya al-Muhaddis Ahmad bin Ali al-Syafi’i al-Azhari al-Ghazzi (1179H)[2].

c)   Qurrah al-‘Ain fi Dhabt Asma’ Rijal al-Shahihain[1] (قرة العين في ضبط أسماء رجال الصحيحين)
Kitab ini menerangkan mengenai nama-nama periwayat kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Ia merupakan sebuah karya al-‘Allamah Abdul Ghani bin Ahmad al-Bahrani. Beliau masih hidup pada tahun 1174H.




[1] Kitab ini telah diberi  komentarnya (hasyiah) oleh al-‘Allamah Abu Bakr Syatha al-Diyamthi melalui karyanya I’anah al-Thalibin.
[2] Baca biadatanya di pautan http://shamela.ws/index.php/author/2802 (Bahasa Arab)

Tuesday, December 6, 2016

al-Iqna’ (الإقناع)


a)  al-Iqna’ fi al-Fiqh al-Syafi’i (الإقناع في الفقه الشافعي)
Sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri al-Baghdadi (364-450H). Baca maklumat lanjut di http://abusyahmin.blogspot.my/2016/02/al-iqna-fi-al-fiqh-al-syafii.html

b)  al-Iqna’ fi Masail al-Ijma’ (الإقناع في مسائل الإجماع)
Sebuah kitab yang memhimpun beberapa permasalahan hukum yang dianggap menjadi ijmak para ulama. Kitab ini disusun oleh al-Imam Ibn al-Qaththan Abu al-Hasan Ali bin Muhammad bin Abdul Malik al-Katami al-Hamiri al-Fasi (). Kitab ini boleh dimuat turun di pautan berikut;

c)  al-Iqna’ fi Hal Alfazh Abi Syuja’  (الإقناع في حل ألفاظ أبي شجاع)
Sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i karya al-‘Allamah Muhammad Al-Khathib al-Syarbini (977H). Baca maklumat lanjut mengenai kitab ini di pautan http://abusyahmin.blogspot.my/2013/09/kitab-al-iqna-fi-hall-alfaz-abi-syuja.html

d)  al-Iqna’ li Thalib al-Intifa’ (الإقناع لطالب الانتفاع
Sebuah kitab fiqh mazhab Hanbali karya Syarafuddin Abu al-Naja Musa bin Ahmad al-Hijjawi al-Maqdisi, al-Dimasyqi al-Hanbali (895-968H). Maklumat maklumat lanjut mengenai kitab ini, boleh dibaca sebuah artikel (dalam bahasa Arab) di pautan http://www.feqhweb.com/vb/t3139.html. Kitab ini boleh dimuat turun di pautan  http://waqfeya.com/book.php?bid=4999.

Wednesday, November 30, 2016

Kitab Ahkam al-Quran (أحكام القرآن) karya al-Thahawi


Kitab Ahkam al-Quran (أحكام القرآن) karya al-Imam ‘Allamah al-Hafiz al-Muhaddis Abu Ja’far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Azdi al-Thahawi al-Hanafi (239-321H) merupakan sebuah karya dalam bidang tafsir yang menbincangkan secara khusus mengenai ayat-ayat hukum yang terdapat al-Quran. Perbincangan dalam kitab ini diolah dalam bentuk fiqh perbandingan (fiqh al-muqaran) oleh Imam Abu Ja’far al-Thahawi. Kitab ini telah disusun oleh Imam al-Thahawi dalam 4 juzuz. 

Kitab ini termasuk antara kitab-kitab lama telah hilang dan tidak ditemui oleh para penyelidik dan pembaca. Namun begitu dengan takdir Allah SWT, beberapa tahun yang lalu, satu juzuk daripadanya, iaitu juzuk yang pertama yang dari 4 juzuk tersebut telah ditemui oleh para penyelidik. Juzuk pertama yang ditemui ini telah ditahqiq oleh Dr Sa’aduddin Unal dan diterbitkan untuk pertama kali pada tahun 1995 oleh Pusat Penyelidikan Islam (ISAM), iaitu sebuah organisasi di bawah Kementerian Agama Turki. Juzuz pertama  ini telah dicetak dalam 2 jilid. 

Kandungan kitab ini disusun berdasarkan bab-bab fiqh sebagaimana kaedah yang digunakan oleh para fuqaha dalam penyusunan kitab-kitab fiqh yang terkenal. Ketika hendak mentafsir sesuatu ayat, penyusun terlebih dahulu  menyebutkan  “ Takwil Qawl Allah …”dan disusuli potongan ayat yang ingin diterangkan maknanya, kemudian diterangkan beberapa wajah qiraat dan sebab turun sesuatu ayat, jika ada.

Berikut adalah sumber tafsir yang digunakan oleh al-Thahawi dalam penyusunan kitab Ahkam al-Quran mengikut tertibnya, iaitu;

-          Al-Quran 
-          al-Sunnah,
-          Kata-kata dan Perbuatan Sahabat
-          Pendapat para Tabi’in dan para Imam Mujtahid.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kitab ini,  sila baca kedua-dua jilid kitab Ahkam al-Quran ini, di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.

Tuesday, November 1, 2016

Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya ...


Buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’ Inilah Jawapannya…” merupakan sebuah buku yang disusun oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll. Seorang pensyarah di Jabatan Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabanga, Petaling Jaya.

Sebagaimana judulnya, penulis telah menerangkan tujuan buku ini disusun  “ agar ia menjadi  sebuah rujukan yang menghimpunkan penjelasan para ulama’ muktabar dalam menjawab persoalan khilafiyyah ”.

Kandungan buku ini menerangkan persoalan-persoalan mengenai khilafiyyah beserta dengan penjelasan yang kukuh daripada ulama'-ulama' Islam dalam masyarakat yang mencakupi bidang-bidang akidah, syariah dan akhlak, mencakupi 179 persoalan semuanya. Kaedah huraiannya ialah berdasarkan kaedah Ahli Sunnah wa al-Jama'ah.

Menurut penyusunnya “ Di dalam buku ini, dikumpulkan persoalan-persoalan yang bersifat khilafiyyah. Walau bagaimanapun, terdapat juga persoalan tentang aqidah dan persoalan yang sudah diijma’kan oleh para ulama‘. Ia dimuatkan juga kerana ia sering dibangkitkan dalam masyarakat. Perkara-perkara yang sudah sekian lama diamalkan dalam masyarakat Islam di negara ini dan di dunia Islam amnya, sebenarnya mempunyai dasar dan dalil yang jelas yang dapat dipertanggung jawabkan. Tidaklah benar jika dikatakan ia tidak berdasarkan tuntutan Syariah, lebih-lebih lagi terkeluar dari landasan Islam. Di dalam buku ini, dibentangkan penjelasan para ulama’ muktabar terhadap perkara-perkara atau persoalan yang ditimbulkan, melalui rujukan mereka terhadap al-Qur’an, hadits, maupun sumber-sumber istinbath yang lain ”.

Dari maklumat yang saya perolehi, terdapat dua edisi terbitan buku ini. Di mana ia diterbitkan oleh dua syarikat penerbitan yang berbeza - dengan  sedikit perbezaan judulnya;



a)  Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’. Inilah Jawapannya… Ia diterbitkan oleh Mawleed Publishing Sdn. Bhd, dengan cetakan pertama pada Januari 2011 dan cetakan keduanya pada November 2011. Buku ini pada cetakan keduanya setebal 915 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungan, muqaddimah penyusun dan kata-kata aluan para ulama.
  

   

    b)     Khilafiah: Persoalan & Penjelasan. Diterbitkan oleh  Inteam Publishing Sdn Bhd, dengan cetakan pertamanya pada  April 2013 dan cetakan keduanya pada Februari 2014. Buku ini pada cetakan keduanya setebal  737 halaman.


Penyusunnya telah menghasilkan sebuah karya yang lain sebagai ringkasan bagi buku ini. Buku ringkasan ini diberikan judul  “ Kekeliruan Umat Inilah Jawapannya ”. Buku setebal 341 halaman ini telah diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 4 Julai 2014. 

Kandungan buku ini adalah himpunan 65 persoalan dan jawapan popular tentang perkara khilafiah yang sering diperdebatkan oleh masyarakat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam memahaminya. Dihurai dalam bentuk soal jawab ringkas dan padat untuk lebih mudah difahami dan dihafal berserta dalil-dalil al-Quran, hadis dan juga pendapat ulama yang muktabar. Sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu dan masyarakat awam. 

Semoga bermanfaat.