Showing posts with label wahbah al-Zuhaili. Show all posts
Showing posts with label wahbah al-Zuhaili. Show all posts

Tuesday, March 29, 2016

al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami


Kitab al-Wajiz fi al-Fiqh al-Islami  (الوجيز في الفقه الإسلامي ) merupakan sebuah karya fiqh perbandingan mazhab yang diusahakan penyusunan oleh al-‘Allamah Prof. Dr. Wahbah bin Musthafa al-Zuhaili  r.h (1932-2015).  Seorang tokoh ulama terkenal di dunia Islam.

Kitab ini bagaikan sebuah ringkasan kepada karya fiqh terbesar Dr. Wahbah al-Zuhaili, iaitu kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (الفقه الإسلامي وأدلته) yang pernah diterbitkan sebanyak 11 jilid. Namun begitu, perlu dimaklumkan bahawa kitab ini bukanlah sebuah kitab yang disusun khusus sebagai ringkasan kepada al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Bahkan ia adalah sebuah karya yang tersendiri, disusun sebagai ringkasan kepada pembendaharaan fiqh secara umumnya. Kedua-dua kitab ini mempunyai ciri-ciri dan kelebihan tersendiri. 

Penyusunan kitab ini berdasarkan konsep fiqh al-nash yang memaparkan sesuatu permasalahan hukum yang berdasarkan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Kemudian setiap tajuk dan perbincangan fiqh akan dikaitkan dengan maqasid dan kaedah-kaedah fiqh yang muktabar sesuai dengan konsep yang ingin diterapkan oleh penyusunnya, iaitu fiqh al-mabadi’ wal maqasid. Kitab ini sesuai dijadikan sandaran dan rujukan umum dalam masalah-masalah fiqh tanpa terikat dengan perbincangan furu’ yang berjela-jela.

Secara umumnya kandungan kitab ini dapat dibahagikan kepada empat perbahasan hukum syarak, iaitu; 

- Pembahasan mengenai hukum hakam yang berkaitan dengan ibadat, yang dimulai dengan bab bersuci (taharah), solat, zakat, puasa, haji dan beberapa permasalahan ibadat yang lain seperti sumpah, nazar, akikah, korban, perburuan dan sembelihan.

- Perbahasan mengenai muamalat dan hubungan kemasyarakatan.

- Perbahasan mengenai beberapa hukum-hukum yang umum seperti hukum jenayah, hudud dan qisas, hukum kenegaraan seperti yang berkaitan dengan jihad dan peperangan. Juga diterangkan permasalahan kehakiman seperti pendakwaan dan penyaksian.

- Perbahasan permasalahan hukum kekeluargaan dan diakhiri dengan permasalahan wasiat, wakaf dan pusaka (mirath).

Berdasarkan edisi yang  diterbitkan oleh Dar al-Fikr, Dimasyq, dengan cetakan keduanya pada tahun 2007, kitab telah diterbitkan sebanyak 3 jilid. Kitab ini boleh dibaca dengan memuat turun file PDF nya  melalui   pautan berikut;  Cover, Jilid 1, Jilid 2, Jilid 3. 

Semoga bermanfaat

Friday, March 18, 2016

al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar


Kitab al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar (الفقه الشافعي الميسر) merupakan sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i semasa yang disusun oleh seorang ulama dan tokoh fiqh terkenal masa kini, iaitu al-'Allamah Prof. Dr Wahbah al-Zuhaili (1932-2015)

Kitab ini memuatkan perbincangan hukum hakam Islam dalam berbagai aspek kehidupan berdasarkan hasil ijtihad Imam al-Syafi’i dan para tokoh ulama mazhab Syafi’i terdahulu.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, kandungan karya beliau ini disusun berdasarkan berbagai pendapat mazhab Syafi’i yang dianggap muktamad sebagaimanan yang terdapat dalam dua kitab karya Imam al-Nawawi r.h (676H), iaitu kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab dan Minhaj al-Thalibin, tanpa merujuk kepada karya Imam al-Nawawi yang lain atau kitab-kitab fiqh mazhab Syafi’i yang lain.

Secara umumnya, kandungan kitab ini disusun dalam lima bab, yang didahului dengan sebuah pendahuluannya yang memuatkan biografi Imam Syafi’i dan keistimewaan Mazhab Syafi’i. Berikut adalah ringkasan kandungan kitab al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar;

Bab 1: Thaharah dan Ibadat
Bab 2: Muamalat
Bab 3: Kekeluargaan Islam
Bab 4: Jinayah, Hudud dan Jihad
Bab 5: Kaedah Pembuktian dan Keputusan Hukum

Berdasarkan cetakan pertama tahun 2008 oleh Dar al-Fikr, Syria kitab ini diterbitkan dalam dua jilid (juzuk). Untuk membaca kitab ini dalam bentuk fail PDF, sila klik pautan Cover, Jilid 1, Jilid 2.

Terjemahan  kitab ini..

Sekadar perkongsian maklumat, terjemahan kitab ini dalam bahasa Indonesia ada diterbitkan oleh Almahira, Jakarta dengan cetakan pertamanya pada tahun 2010. Buku terjemahan dengan judul Fiqih Imam Syafi’i ini diterbitkan dalam 3 jilid.

Semoga bermanfaat.

Friday, June 7, 2013

al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh



Kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh      (الفقه الإسلامي وأدلته  ) merupakan sebuah kitab fiqh agung zaman mutakhir ini, yang masyhur menjadi telaah para ulama dan rujukan di pusat-pusat pengajian Islam. Kitab yang dianggap sebagai sebuah ensiklopedia fiqh dan perundangan Islam ini adalah karya Dr. Wahbah al-Zuhaily - seorang ulama kontemporari yang terkenal di dunia Islam.

Kandungan kitab ini menyentuh keseluruhan aspek tentang fiqh yang bermula daripada persoalan taharah, ibadat, muamalat dan juga aspek-aspek undang-undang jenayah, wasiat, undang-undang keluarga, undang-undang kontrak dan lain-lain.

Pembahasan kitab ini menekankan metod fiqh perbandingan mazhab fiqh, khususnya empat mazhab Ahl al-Sunnah wa Jama’ah, iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Namun begitu, terkadang Dr.  Wahbah al-Zuhaily ada menyebut juga madzhab lain seperti Imamiyah dari Syi’ah dan Ibadhiyah dari Khawarij. 

Antara keistimewaan kitab  ini ialah ia juga disertai dengan  pentarjihan hukum yang dilakukan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaily terhadap sesuatu masalah yang dibincangkan berdasarkan  yang  sumber hukum Islam, baik yang naqli maupun aqli yang didasarkan pada prinsip umum dan semangat tasyri’. Sejalan dengan sikap kritis dan praktis ummah, kemasyhuran kitab ini telah mengungguli kitab-kitab fiqh perbandingan karya ulama sebelumnya.

Kitab ini telah mengharumkan nama Dr. Wahbah al-Zuhaili di peringkat internasional.  Kitab fiqh perbandingan ini memiliki pembahasan yang luas dengan bahasa yang jelas dan susunan yang sistematik.  Keterangannya disertai dengan dalil yang jelas dan rujukan yang lengkap serta penjelasan nilai hadis yang dikemukakan.  Pada saat ini kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuhu telah mendominasi pengkajian fiqh perbandingan di berbagai institusi pengajian tinggi, dalam berbagai forum ilmiah fiqh dan pengajian serta menjadi rujukan utama para ulama fiqh kontemporari dalam kajian-kajian fiqh mereka.

Perbahasan kitab ini dimulakan dengan seluk-beluk fiqh Islam dan keistimewaannya, sejarah ringkas tokoh-tokoh mazhab, perspektif perbezaan ijtihad fiqh dalam Islam, dan seterusnya dimulakan dengan perbahasan thaharah, solat, sehinggalah kepada perbahasan yang lebih kompleks lainnya.
 
Berikut saya sebutkan perbahasan keseluruhan kitab ini berdasarkan buku Fiqih Islam wa Adillatuhu,  iaitu edisi terjemahan yang diterbitkan oleh Gema Insani, Indonesia; 
 
JILID 1: Pengantar Ilmu Fiqih, Tokoh-tokoh Mazhab Fiqih, Niat, Thaharah, Solat
 
JILID 2: Solat Wajib, Solat Sunnah, Zikir Setelah Solat, Qunut dalam Solat, Solat Jama’ah, Solat Jama' dan Qasar.
 
JILID 3: Puasa, I'tikaf, Zakat, Haji dan Umrah.
 
JILID 4 Membahas : Sumpah, Nadzar, Hal-hal yang dibolehkan dan dilarang, Kurban dan Aqiqah, Teori-teori Fiqih.
 
JILID 5: Hukum Transaksi Kewaangan, Transaksi jual beli, insurans, Khiyar, Akad Jual Beli, Akad Ijarah.
 
JILID 6: Jaminan, Pengalihan hutang, Gadaian, Paksaan, Kepemilikan.
 
JILID 7: Sistem Ekonomi Islam, Pasar Kewangan, Hukum Hadd Zina, Qazaf, Pencurian.
 
 JILID 8: Jihad, Pengadilan dan Mekanisme Mengambil Keputusan, Pemerintahan Dalam Islam.
 
JILId 9: Pernikahan, Talak, Khulu', Meng’illa Istri, Li’an, Zhihar, Masa 'Iddah.  
 
JILID 10: Hak-hak Anak, Wasiat, Wakaf, dan Warisan. 
 
Sebagai makluman tambahan, berdasarkan edisi Dar al-Fikr, kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuh ini telah diterbitkan sebanyak 8 jilid.  Ia telah diterbitkan dengan edisi terjemahan dalam berbagai bahasa. Berdasarkan edisi Dar al-Fikr tersebut, berikut saya catatkan dua edisi lengkap terjemahan yang telah diterbitkan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia (sekadar pengetahuan saya);
 
 1.     Edisi terjemahan dalam Bahasa Malaysia telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan judul Fiqh & Perundangan Islam. Bilangan jilidnya menyamai bilangan cetakan Dar al-Fikr, iaitu 8 jilid. Penterjemahan kitab ini telah dilakukan oleh sebuah panel penterjemah yang diketuai oleh Syed Ahmad Syed Hussain.
 
2.      Edisi terjemahan dalam Bahasa Indonesia pula telah diterbitkan oleh Gema Insani dengan judul Fiqih Islam wa Adillatuhu. Bilangan jilidnya sebanyak 10 jilid.

Download kitab edisi Arabnya disini: Cover, Juz 1, Juz 2, Juz 3, Juz 4, Juz 5, Juz 6, Juz 7, Juz 8 

Semoga bermanfaat

Saturday, February 2, 2013

Ushul al-Fiqh al-Islami


Kitab Ushul al-Fiqh al-Islami  merupakan sebuah kitab usul fiqh hasil karya al-'Allamah Prof. Dr.Wahbah bin Musthafa al-Zuhaili . Beliau dilahirkan pada tahun 1932 M. di Dir Athiyah,  Damsyiq ibukota negara Syiria.

Kitab ini membahas tentang usul fiqh secara luas dan mendalam. Salah satu kelebihan kitab ini adalah pengarangnya mampu untuk melepaskan diri dari ikatan madzhab. Beliau mampu memadukan ramuan dari beberapa mazhab usul fiqh yang berbeza-beza antara satu sama lain sehingga memudahkan para pelajar usul fiqh untuk membuat perbandingan antara satu mazhab dengan yang lainnya.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan e-book kitab ini, silakan download dengan klik  disini  atau di pautan berikut;
http://www.ziddu.com/download/4045145/Ushul_Fiqh_Al_Islami-Wahbah_Zuhaili.pdf.html
 
Di samping kitab di atas, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga mempunyai kitab usul fiqh yang lain, iaitu Kitab al-Wajiz fi Ushul al-Fiqh. Kitab ini agak ringkas berbanding buku beliau yang lalu. Dapatkan e-book kitab ini dengan mengklik pautan ini:   al-Wajiz fi Ushul al-Fiqh (الوجيز في أصول الفقه)
 
Semoga bermanfaat.