Showing posts with label ilmu tauhid. Show all posts
Showing posts with label ilmu tauhid. Show all posts

Sunday, April 20, 2014

Nihayah al-Amal (نهاية الامل)


Kitab Nihayah al-Amal li man Raghiba fi Shihhatil ‘Aqidah wal ‘Amal (نهاية الامل لمن رغب في صحة العقيدة والعمل) merupakan sebuah kitab lengkap membicarakan tiga asas utama dalam agama Islam, iaitu meliputi bidang akidah (iman), fiqh (ibadah) dan akhlak (tasawuf). 

Kitab ini disusun oleh al-‘Allamah Syamsuddin Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim bin ‘Amir bin ‘Abdul Rahman al-Dimyathi al-Madani al-Azhari. Syaikh Abu Khudhair al-Dimyathi al-Azhari adalah seorang ulama mazhab Syafi’i lepasan al-Azhar al-Syarif. 

Di antara gurunya ialah Syaikhul Islam dan Syaikhul Azhar Ibrahim al-Bajuri. Beliau amat menguasai ilmu fiqh sehingga digelar sebagai “ al-‘Umdah” yakni tiang atau sandaran dalam ilmu fiqh di kalangan pengikut mazhab al-Syafi’i yang mutaakhirin. Beliau wafat sekitar tahun 1304H di Madinah al-Munawwarah dan dikebumikan di Perkuburan al-Baqi’.

Dalam penyusunan kitab ini, penyusun dengan rendah diri menyatakan bahawa kandungan kitab ini hanyalah merupakan himpunan pendapat para ulama terdahulu yang dinukil kembali oleh beliau daripada kitab-kitab mereka. Berikut disenaraikan nama-nama kitab yang menjadi rujukan beliau dalam penyusunan kitab ini, sebagaimana yang disebutkan dalam muqaddimahnya;

a) Kebanyakan permasalahan akidah, dinukilkan dari kitab Syarh al-Bajuri ‘ala Jauharatul Tauhid, iaitu karya gurunya Syaikh Ibrahim al-Bajuri (1276H)[1]

b)   Kebanyakan permasalahan fiqh, dinukilkan dari kitab Syarh al-Khathib ‘ala Matn Abu Syuja’[2] dan Hasyiah al-Bujairimi (Tuhfah al-Habib) ‘ala Syarh al-Khathib[3]. Manakala khusus mengenai ibadat haji dipetik dari beberapa buah kitab yang secara khusus membicarakan haji seperti kitab al-Manasik karya Imam al-Nawawi.

c)   Permasalahan mengenai wirid, zikir dan doa, dinukilkan dari kitab al-Azkar karya Imam al-Nawawi, kitab Mukhtashar al-Azkar karya Imam al-Sayuthi, kitab al-Ihya’ karya Imam al-Ghazali dan kitab Irsyad al-‘Ummal[4].

d)     Permasalahan tasawuf pula dinukilkan dari kitab al-Ihya’ karya Imam al-Ghazali.

Sekadar perkongsian, sebenarnya saya mula mengenali judul kitab Nihayatul ‘Amal ini ketika saya membaca satu artikel mengenai  “ si mati mendapat manfaat pahala yang dilakukan orang hidup ”. Berikut petikan artikel tersebut yang saya nukil dari pautan http://bahrusshofa.blogspot.com/2012_10_01_archive.html ;

Syaikh Nik Mat Kecik rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur "Mathla`ul Badrain wa Majmaa`ul Bahrain" pada halaman 141 menukil fatwa Syaikh Muhammad Abu Khudhair bin Ibrahim ad-Dimyathi al-Madani al-Azhari rahimahullah, sebagaimana tercatat dalam karya beliau "Nihayatul Amal li man raghiba fi shihhatil `aqidah wal `amal" yang menyatakan sebagai berikut:


"Bermula yang tetap atasnya oleh hal daripada khilaf yang amat banyak bahawasanya mayyit itu memberi manfaat akan dia barang yang diperbuat baginya pada segala kebajikan kemudian daripada matinya, tetapi tak dapat tiada bahawa diqasad oleh yang memperbuatnya akan pahala demikian itu bagi mayyit; Atau ia mendoa baginya kemudian daripada diperbuatnya dengan hasil pahala baginya; Atau ada ia pada kuburnya. Dan dapat demikian pahala itu pula bagi yang memperbuatnya."

Berikut pula saya bawakan petikan asal dari kitab Nihayatul Amal dalam bahasa Arab[5];

والذى استقرعليه الحال من خلاف كبير ان الميت ينفعه ما يفعل له من الخيرات بعد موته لكن لا بد أن يقصد الفاعلل ثواب ذلك للميت او يدعوله عقب الفعل بحصول الثواب له او يكون عند قبره وبحصل لفاعل ذلك ثواب ايضا

Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi, seorang ulama Nusantara yang banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab ada banyak memetik isi kandungan kitab Nihayatul ‘Amal ini dalam penyusunan kitabnya yang berjudul Nihayatul Zain Syarh Qurratul ‘Ain. Petikan kandungan kitab ini boleh didapati secara meluas dari awal kitabnya hingga kitab al-Bai’ (jual beli).

Kitab Nihayatul Amal ini boleh dimuatturunkan melalui pautan  berikut;

https://archive.org/download/aloquabwwq22_hotmail_201803/%D9%86%D9%87%D8%A7%D9%8A%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%A3%D9%85%D9%84%20%D9%84%D9%85%D9%86%20%D8%B1%D8%BA%D8%A8%20%D9%81%D9%89%20%D8%B5%D8%AD%D8%A9%20%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%82%D9%8A%D8%AF%D8%A9%20%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%B9%D9%85%D9%84.pdf

Kitab dalam bentuk ebook pdf ini berasal dari sebuah kitab Nihayatul Amal yang telah dicetak  mengikut cetakan lama, iaitu seperti kitab-kitab Jawi yang beredar di pasaran. Dicatatkan di akhir kitab tersebut “ dicetak oleh Matba’ah al-Maimaniyyah Mesir pada tahun 1313H ”. Tebal kitab ini merangkumi 296 halaman, tidak termasuk halaman isi kandungannya.  Semoga bermanfaat.   



[1] Untuk mengetahui biodata beliau, sila layari pautan; http://lbm.mudimesra.com/2014/02/syeikh-ibrahim-al-bajuri.html

[2] Judul asal kitab ini ialah al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’. Kitab ini adalah karya al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syarbini (977H)

[3] Iaitu karya Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin ‘Umar al-Bujairimi al-Azhari (1131-1221H). Judul kitab ini ada juga diringkaskan menjadi al-Bujairimi ‘ala al-Khatib.

[4] Iaitu kitab إرشاد العمال إلى ما ينبغي ف يوم عاشوراء وغيره من الأعمال , karya Syaikh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Badiri al-Dimyathi al-Syafi’i. Beliau yang  terkenal dengan gelaran Ibn al-Mayyit ini merupakan seorang tokoh terkenal dari kalangan pengikut Tarikat al-Syazali. Beliau wafat pada tahun 1140 H.

[5] Nihayatul ‘Amal, hal. 191.  Kitab rujukan saya ini adalah kitab ebook pdf. 

Saturday, March 29, 2014

Bakurah al-Amani



Kitab Bakurah al-Amani atau nama lengkapnya Bakurah al-Amani li Irsyad ‘Awam Ahl al-Fathani (باكورة الأماني لإرشاد عوام أهل الفطاني) merupakan kitab yang membincangkan bidang akidah (ilmu tauhid) yang terkenal di ‘Alam Melayu, khususnya negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan di Selatan Thailand (baca: Patani) sehingga kini. Kitab ini disusun oleh al-Alim al-‘Allamah Syaikh Wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir bin Wan Musthafa, atau  dikenali juga dengan nama Pak Da ‘El al-Fathani ( 1300H/1882M – 1965M).

Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas dan padat isinya, yang merangkumi lebih kurang 10 halaman sahaja. Kitab ini ditulis oleh Pak Da ‘El sewaktu menziarahi kenalan beliau Haji Muhammad Nur di Tobiak Kedah, atas permintaan murid-muridnya. Ia ditulis secara spontan, berdasarkan ingatan beliau sahaja. Tarikh kitab ini ditulis adalah pada tahun 1335H / 1917M, atau tepatnya pada hari Sabtu, 14 Rajab, 1335 bersamaan 15 Mei 1917. Kitab ini pernah dicetak oleh Mathba’ah al-Ikhwan, Singapura pada tahun 1918M.

Menurut ceritanya, sejarah penulisan kitab ini adalah dari permintaan muridnya yang bernama Haji Ahmad supaya Pak Da’El karangkan secara ringkas matan ilmu tauhid bagi memudahkan anaknya Mat Hasan yang masih memonduk agar membantunya dalam memahami ilmu tauhid. Maka permintaan itu diperkenankan oleh Pak Da ‘El dan terhasillah kitab yang terkenal ini.


Kandungan kitab Bakurah al-Amani

Antara intipati kandungan kitab ini termasuklah perbahasan tentang makna kalimah syahadah yang menggunakan konotasi “Allah jua Tuhan”; tentang wajib Syarak atau hukum taklifi pada istilah pantang, terjemahan seperti ma ya sa buh ‘ala tarqih wa yu ‘a qa bu ala tarqih; Perbahasan pergantungan hukum-hukum akal; perbahasan istihalah; perbahasan daur dan tasarsur; perbahasan mukhallafah secara spesifiknya perbahasan mengenai sifat wajib Allah bersalahan dengan sesuatu baharu; perbahasan tentang penciptaan makhluk (Nur Muhammad); perbahasan al-makulat al asyarah; perbahasan usaha ikhtiar; perbahasan sifat salbiyyah; perbahasan sifat ma’ani ; perbahasan hayat dan sifat idro’; perbahasan muta’ala’ ilmu, sabitah atau syuun; perbahasan qun fa ya kun; perbahasan dzan dan waham; pembahagian bagi makna sifat – sifat ma’ani; dan perbahasan al-nubuwwah.


Syarah Bakurah al-Amani

Oleh kerana kitab ini sangat ringkas dan padat isinya sehingga sesetengah orang gagal memahami ‘ibaratnya, maka Pak Da ‘El telah diminta pula agar menulis syarah (huraian) bagi kitab ini. Beliau kemudiannya menulis syarahnya, yang diberi judul “ Tabshirah al-Adani bi Alhan Bakurah al-Amani (تبصرة الأداني بألحان باكورة الأماني). Kitab ini selesai ditulis pada 25 Muharram 1358H / 16 Mac 1936, sebagaimana yang dijelaskan oleh beliau sendiri dalam kitab tersebut;

“Maka tatkala kelihatan atasnya oleh setengah-setengah tolabah, membahas-bahas ia daripada tuturannya datanglah atasnya i’ktirad pada menyalahinya akan tuturan kitab-kitab Melayu yang dahulu-dahulu pada beberapa tempat maka hamba hurai baginya demikian tuturan yang menyalahi itu dan menyatakan kehendaknya dan wajah ubahnya maka terpaksalah atasnya membenarkan ubahan-ubahan yang tersebut dan jikalau menyalahikan mafhum kitab-kitab yang lain sekali pun maka kemudian daripada lalu bertahun –tahun memintak pulak bahawa hamba syarahkan risalah itu suatu menyatakan wajah tujuan tuturan yang tersebut maka memikir hamba beberapa lama maka nyata bagi hamba elok pintakan itu maka merebut-rebut hamba akan peluangan dengan menatahkan ‘ibarat risalah itu dengan macam-macam tafsir yng ditetapkan dia dengan sudahan yang jilah yang menjelaskan hati-hati yang empunya paham atas qadar pendapat hamba supaya panjang diambil guna dengan risalah itu dan merataimya dan hamba namakan ia “Tabshirah al-Adani bil Alhani Bakurah al-Amani” artinya menperlatas bagi ornag-orang ligat mendapati akan tengak tengakan dan siringan-siringan cakapan Bakurah al-Amani

Kitab Syarah Bakurah al-Amani ini masih dicetak dan dijual pasaran kitab Jawi dan sehingga kini masih diajar di masjid-masjid dan pondok-pondok sebagai teks pengajian utama dalam ilmu  akidah. Manakala matan asal Bakurah al-Amani, sekadar dari pengamatan saya, sudah tiada yang dicetak secara berasingan dari syarahnya.

Kini, kitab Syarah Bakurah al-Amani ini sudah ada yang dicetakkan dan diterbitkan dengan tulisan Rumi tanpa sebarang pindaan daripada teks asal, agar kebanyakan generasi. sekarang ini yang kurang mahir dalam tulisan jawi mudah bagi mereka mengikuti setiap patah perkataaan yang terdapat di dalam teks asalnya. Usaha  ini telah dilakukan oleh Ustazah Noraine Abu dan diterbitkan oleh Al-Hidayah House Publishers Sdn Bhd.  Isi kandungan buku ini merangkumi 50 halaman. Semoga bermanfaat.

Rujukan;


http://puskam.uitm.edu.my/v1/conference/seminar-manuskrip-melayu-a-kearifan-tempatan-2013/e-prosiding.html?task=download&cid%5B0%5D=12