Showing posts with label ibn al-Jazari. Show all posts
Showing posts with label ibn al-Jazari. Show all posts

Sunday, July 7, 2019

al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية)


Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المقدمة الجزرية) adalah sebuah karya Imam Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Yusuf al-Jazari al-Syafi’i (833H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu al-Jazari. Kitab yang disusun dalam bentuk bait-bait syair ini merupakan salah satu karya utama di dalam disiplin ilmu Tajwid. Judul asal kitab ini ialah al-Muqaddimah fi ma yajibu ‘ala Qari’ an Yu’allimahu (المقدمة في ما يجب على قارئ القرآن أن يعلمه).

Kandungan kitab ini merangkumi beberapa bab ilmu Tajwid yang dijelaskan secara mudah dan sistematik; bermula dengan penjelasan sifat dan makhraj huruf-huruf di dalam al-Qur’ān, beberapa asas ilmu Tajwid hingga pembahasan yang berkaitan dengan penulisan perkataan di dalam Rasm ‘Uthmani.

Kepentingan karya ini berbanding karya-karya yang lain, adalah kerana penjelasan yang diberi amatlah ringkas dan mudah difahami, dirangkai dalam bait-bait syair yang indah dan penuh makna, sehingga sesuai untuk golongan yang baru mahu memulakan perjalanan intelektual mereka dalam tradisi ini.

Kitab ini telah menarik perhatian para ulama, di mana mereka telah menyusun beberapa karya sebagai huraian (syarah)nya, antaranya;

a)     Al-Hawasyi  al-Mufahhimah li Syarh al-Muqaddimah (الحواشي المفهمة لشرح المقدمة), karya Abu Bakr Ahmad bin Muhammad al-Jazari (859H). Beliau adalah anak kepada Ibnu al-Jazari.
b)     Al-Daqa-iq al-Muhakkamah fi Syarh al-Muqaddimah (الدقائق المحكمة في شرح المقدمة), karya Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Syafi’i (926H).
c)      Al-Manh al-Fikriyyah fi Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah (المنح الفكرية في شرح المقدمة الجزرية), karya Mulla bin ‘Ali bin Sulthan Muhammad al-Qari (1014H).

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia, termasuklah dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia.

Kitab al-Muqaddimah al-Jazariyyah dalam bahasa Arab boleh dimuat turun melalui pautan المقدمة الجزرية

Semoga bermanfaat.

Thursday, September 19, 2013

Tuhfah al-Zakirin bi 'Uddah al-Hishn al-Hashin

Kitab Tuhfah al-Zakirin bi ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (تحفة الذاكرين بعدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين ) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan zikir dan doa yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Kitab ini adalah sebuah karya Imam al-‘Allamah Muhammad ‘Ali bin Muhammad al-Syawkani (1250H). 

Imam al-Syawkani menyusun kitab yang terkenal dengan singkatan Tuhfah al-  Zikirin ini sebagai huraian (syarah) bagi kitab ‘Uddah al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin (عدة الحصن الحصين من كلام سيد المرسلين) karya Imam Ibn al-Jazari atau nama sebenarnya Syamsuddin Abu al-Khair Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Ali bi Yusuf al-Jazari (751-838H). Manakala kitab ‘Uddah al-Hishn al-Hashin pula adalah sebuah ringkasan bagi karya Imam In al-Jazari sendiri yang berjudul al-Hishn al-Hashin min Kalam Sayyid al-Mursalin الحصن الحصين من كلام سيد) المرسلين). 

Dalam kitab Tuhfah al-Zakirin ini, Imam al-Syawkani telah mengtakhrijkan hadis-hadis yang terkandung di dalamnya, di samping menghuraikannya. Sebagaimana kitab asalnya (‘Uddah al-Hishn al-Hashin), kitab Tuhfah al-Zakirin ini masih mengekalkan bilangan babnya, iaitu sebanyak 10 bab. Setiap bab pula dibahagikan kepada beberapa fasal.

Ringkasan kandungan kitab ini;

Bab   1: Keutamaan zikir, doa, dan selawat kepada Nabi saw. beserta caranya.
Bab  2: Waktu, tempat mustajab berdoa, orang yang mustajab doanya, dan 
              media doa yang  mustajab.
Bab  3: Zikir dan doa sehari semalam.
Bab 4:  Zikir dan doa berkaitan dengan bersuci, masjid, azan dan iqamah 
              dan solat rawatib.
Bab 5:  Doa makan, minum, puasa, zakat safar, haji, jihad dan nikah.
Bab 6:  Zikr dan doa ketika terjadi mendung, petir, hujan, hilal, angin 
              kencang dan bulan purnama.
Bab 7:  Zikir dan doa yang berkaitan dengan aktiviti peribadi dalam 
             berbagai keadaan.
Bab 8: Zikir dan doa berkaitan dengan sebab-sebab tertentu.
Bab 9: Keutamaan Zikir, istighfar dan al-Quran. 
Bab 10: Doa-doa shahih dari Rasulullah saw yang bersifat mutlak. 


Terjemahan kitab ini…  


 Edisi terjemahan kitab Tuhfah al-Zakirin dalam bahasa Indonesia ada diterbitkan oleh Pustaka Azzam Indonesia dengan judul “Mutiara Ahli Dzikir”. Terbitan ini berdasarkan edisi ‘Arab yang ditahqiq oleh Abu Sahal Najah ‘Iwadh Shiyam. Ketebalannya merangkumi 1016 halaman.
    Manakala terjemahan kitab al-Hishn al-Hashin dalam bahasa Melayu ada diterbitkan oleh  Syarikat Perniagaan Jahabersa.
     Kitab Tuhfah al-Zakirin ini boleh didownload di pautan berikut;
  
     Kitab al-Hishn al-Hashin  boleh didowload di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.