Showing posts with label Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari. Show all posts
Showing posts with label Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari. Show all posts

Tuesday, October 2, 2018

al-Ghurar al-Bahiyyah (الـغـرر الـبـهـيـة)


Kitab al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah (الـغـرر الـبـهـيـة في شـرح مـنـظـومـة الـبـهـجـة الـورديـة), adalah sebuah karya fiqh mazhab Syafi’i yang disusun oleh Syaikh al-Islam Abu Yahya Zakariyya al-Anshari (823-926H).

Kitab al-Ghurar al-Bahiyyah ini disusun sebagai kitab huraian (syarah) bagi kitab Bahjah al-Wardiyyah (البهجة الوردية atau Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah (منظومة البهجة الوردية), iaitu sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam Zaynuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-Muzaffar bin ‘Umar al-bin al-Wardi Mu’arri al-Kindi (749H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Wardi.

Kitab al-Ghurar al-Bahiyyah merupakan antara kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Bahjah yang paling terkenal dan masih dicetak dan diterbitkan hingga kini.  Berdasarkan terbitan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah – Beirut –Lubnan,  ia dicetak dalam 11 jilid.

Kitab al-Ghurar al-Bahiyyah ini telah diberikan komentar (hasyiah) oleh beberapa orang ulama, antaranya;

a)     Hasyiah al-Imam Ibn Qasim al-‘Ubadi[1] (922H).
b)     Hasyiah al-Syaikh Abdul Rahman al-Syarbini (1326H).

Kitab al-Ghurar al-Bahiyyah berserta dua hasyiah  di atas boleh dimuat turun melalui pautan الـغـرر الـبـهـيـة.

Semoga bermanfaat.


[1] Kitab ini telah diberikan beberapa taqrirat (catatan) oleh Syaikh Abdul Rahman al-Syarbini.

Monday, December 4, 2017

TAHRIR TANQIH AL-LUBAB


Kitab Tahrir  Tanqih al-Lubab (تحربر تنقيه اللباب) merupakan sebuah karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H).

Syaikh al-Islam menyusun kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Tahrir ini sebagai ringkasan bagi kitab Tanqih al-Lubab (تنقيه اللباب), iaitu karya al-Imam Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin al-Hafizh Abdul Rahim al-‘Iraqi (762-826H ). Sedangkan kitab Tanqih al-Lubab sendiri merupakan ringkasan bagi kitab  al-Lubab fil-Fiqh al-Syafi'i () karya al-Imam al-Qadhi Abu al-Hasan Ahmad bin Muhammad bin Ahmad al-Dhabi al-Mahamili al-Syafi’i (368-415H ).

Kitab huraian bagi kitab al-Tahrir;

      a.   Tuhfah al-Thullab atau judul penuhnya “Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tahrir Tanqih al-Lubab ”. Ia adalah karya Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari sendiri. 

      b.      Ihsan al-Taqrir bi Syarh al-Tahrir karya Zaynuddin 'Abdul Rauf bin 'Ali al-Munawi al-Syafi'i (1031H)        

     c.   Manhah al-Wahhab bi Nazhm Tahrir Tanqih al-Lubab[1], karya Sayyid Abu Bakr bin Abu al-Qasim bin Ahmad bin Muhammad al-Ahdal al-Husaini al-Yamani (984-1035H).

Di samping kitab-kitab syarahnya, kitab al-Tahrirnya juga telah diringkaskan dan disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam Syarafuddin Yahya al-‘Imrithi al-Syafi’i (989H) dengan karyanya yang berjudul al-Taysir fi Nazhm al-Tahrir fi al-Fiqh al-Syafi’i.

Kitab Tahrir Tanqih al-Lubab ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut https://ia802505.us.archive.org/19/items/WAQ61600/61600.pdf

Semoga bermanfaat.



[1] Iaitu kitab yang disusun dalam bentuk nazam  yang melebihi 4 ribut bait, sebagai manzumah  bagi kitab Tahrir Tanqih al-Lubab. Sayyid Abu Bakr al-Ahdal kemudiannya telah meringkaskan melalui karya yang berjudul Nafhah al-‘Abir fi Nazhm al-Tahrir.

Tuesday, January 12, 2016

ASNA AL-MATHALIB (أسنى المطالب)


Kitab Asna al-Mathalib Syarh Rawdh al-Thalib (أسنى المطالب شرح روض الطالب ) merupakan sebuah karya fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun oleh Syaikh al-Islam, al-Qadhi Zaynuddin  Abu Yahya Zakariya bin Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Sunaiki al-Mishri (823-926H).

Kitab Asna al-Mathalib ini disusun sebagai huraian (syarah) bagi kitab Rawdh al-Thalib  (روض الطالب), karya al-‘Allamah Ismail bin Abu Bakr Abdullah al-Muqri al-Yamani (837H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Muqri. Kitab Rawdh al-Thalib pula merupakan ringkasan (mukhtashar) bagi kitab Rawdhah al-Thalibin , iaitu sebuah kitab karya al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya in Syaraf al-Nawawi (676H).

Manakala kitab al-Rawdhah al-Thalibin atau terkenal dengan judul ringkas “al-Rawdhah” pula merupakan sebuah ringkasan (muktashar) yang diakukan oleh Imam al-Nawawi terhadap kitab ‘Aziz Syarh al-Wajiz (al-Syarh al-Kabir) karya Imam Abu Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i (557-623H).

Sedangkan kitab al-‘Aziz Syarh al-Wajiz (العزيز شرح الوجيز) karya Imam al-Rafi’i pula adalah sebuah kitab huraian (syarah) bagi kitab  al-Wajiz fi Fiqh Mazhab al-Imam al-Syafi’i karya Hujjatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali (505H), iaitu sebuah kitab ringkas dan padat yang menghimpunkan rumusan al-Ghazali terhadap pendapat-pendapat tokoh fuqaha al-Syafi’i sebelumnya dalam beberapa masalah fiqh.

Begitulah susur galur penyusunan kitab Asna al-Mathalib karya Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari yang dapat diterangkan secara ringkas dalam catatan ini.

Kitab Asna al-Mathalib ini boleh dimuat turun melalui pautan berikut;


Semoga bermanfaat.