Thursday, April 18, 2019

Kamu Bertanya, Islam Menjawab



Buku yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini  adalah sebuah buku yang berjudul “ Kamu Bertanya, Islam Menjawab ”. Buku ini merupakan sebuah karya terjemahan  dari sebuah karya berbahasa Arab yang berjudul “ Yas alunaka fi al-Din wa al-Hayah ” (يسألونك في الدين والحياة), iaitu sebuah kitab yang menghimpunkan beberapa permasalahan agama dan yang berkaitan dengan kehidupan.

Kitab yang disusun dengan kaedah soal- jawab ini adalah sebuah karya Dr. Ahmad al-Syarbashi (1918-1980), seorang ulama di Universiti al-Azhar, Mesir. Kitab versi Arab ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1980 oleh Dar al-Jail, Beyrut dalam 7 jilid tebalnya.

Manakala buku terjemahannya pula diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Ahmad Subandi dan diterbitkan oleh Penerbit Lentera, Indonesia dalam 7 jilid, sebagaimana edisi asalnya. Berdasarkan terbitan di atas, buku terjemahan ini telah diterbitkan kembali di Malaysia oleh Darul Fikir, Kuala Lumpur  – dengan cetakan pertamanya pada tahun 2004. Alhamdulillah, dalam koleksi saya, terdapat semua jilidnya (1-7). Sekadar pengetahuan saya, edisi terjemahan ini belum lagi diterbitkan kembali oleh Darul Fikir.

Kandungan kitab ini asalnya merupakan himpunan soal jawab agama dalam satu program di sebuah stesen radio  di Mesir yang dikendalikan oleh Dr. Ahmad al-Syarbashi. Penyusunnya telah berusaha menyusun kembali soal jawab tersebut dan dibukukan,  bagi memastikan  kandungannya dapat disebarkan kepada masyarakat dengan lebih luas, berbanding penyampaian secara lisan yang hanya terhad kepada para pendengar program tersebut di radio. Pembukuan tersebut juga dapat memelihara kandungannya dan dapat menjadi rujukan umat Islam  sepanjang zaman.

Mengenai kaedah penyusunan kitab ini, Dr Ahmad al-Syarbashi ada menerangkannya dalam kata pengantarnya;

Di dalam menjawab pertanyaan-pertanyaaan yang dilontarkan, saya bersandarkan keada al-Quran –kerana ia adalah sebaik-baik perkataan- dan hadis-hadis Rasulullah saw yang sahih. Di saming itu, saya juga berpegang kepada perkataan para sahabat dan tabi’in serta pendapat-pendapat yang masyhur di kalangan mazhab empat. Dalam memberikan jawapan, kebanyakkannya saya memilih jawaan yang paling mudah, kerana Muhammad al-Mustafa saw telah bersabda; “ Permudahkanlah dan janganlah engkau persulitkan, gembirakanlah dan janganlah engkau takut-takuti ”.

Jika seorang penanya meminta jawapan hukum fiqh menurut mazhab tertentu, saya akan memberikan jawapan menurut mazhab yang diinginkan, namun begitu saya juga mengiringinya dengan pendapat-pendapat dari mazhab yang lain.

Dalam memberikan jawapan, saya memilih cara yang ringkas dan sederhana. Saya juga mengurangi penggunaan istilah-istilah fiqh yang sulit difahami oleh orang awam. Jika saya terpaksa memasukkan istilah-istilah tersebut, saya akan menyertakannya dengan keterangan yang memudahkan para pembaca memahaminya ”.

Buku versi Arabnya boleh dimuat turun melalui pautan يسألونك في الدين والحياة .

Semoga bermanfaat.

1 comment: