Friday, September 11, 2015

Fatawa Muhammad Rasyid Ridha


Kitab “ Fatāwá al-Imām Muḥammad Rashīd Riḍhā "  merupakan sebuah ensklopedia yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah ditulis oleh al-‘Allamah Muhammad Rasyid Ridha (1865-1935).

Fatwa-fatwa dalam kitab ini asalnya adalah sekumpulan fatwa Syaikh Muhammad Rasyid Ridha yang  pernah disiarkan dalam Majalah al-Manar, di Mesir semasa hidup penulisnya. Di mana Syaikh Muhammad Rasyid Ridha adalah selaku penerbit dan ketua pengarangnya.

Himpunan fatwa ini telah diterbitkan dalam bentuk buku (kitab) agar khazanah ilmu yang terkandung dalam fatwa-fatwa ini dapat disebarkan secara lebih meluas lagi dan memudahkan umat Islam membuat rujukan serta mengambil manfaat darinya.

Syaikh Muhammad Rasyid Ridha memulakan penulisan fatwa beliau di Majalah al-Manar bermula dari jilid 6 (1903), di bilangan 18, di bawah judulnya; “ Bab al-Sual wa al-Fatawa”. Manakala bermula jilid 7 (1904), ruangan fatwa ini telah diubah kepada “ Fatawa al-Manar ”

Dalam ruangan fatwa dalam Majalah al-Manar ini, Syaikh Muhammad Rasyid Ridha telah menjawab berbagai persoalan dan pertanyaan umat Islam (pertanyaan hanya dikhususkan kepada pelanggan majalah sahaja) berkaitan dengan hukum syarak yang melibatkan kehidupan umat Islam khususnya dari aspek ibadat dan muamalat serta permasalahan yang berkaitan dengan ilmu al-Quran, al-Sunnah dan lainnya.

Menurut Syaikh Muhammad Rasyid Ridha; metod penulisan fatwa beliau ialah mendahulukan al-Quran dan al-Sunnah  sebagai pegangan. Selepas dua rujukan utama ini, beliau berpendapat peranan akal sangat penting dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan, kerana beliau berpendapat Islam adalah agama yang sesuai dengan akal manusia dalam semua perkara.

Usaha penulisan fatwa di Majalah al-Manar ini dilakukan dengan gigih oleh Syaikh Muhammad Rasyid Ridha dengan menjawab berbagai persoalan- yang dikemukakan oleh umat Islam dari pelbagai negara, termasuklah dari negara Rusia. Usaha ini berterusan sehingga  kewafatan beliau pada tahun 1935.

Kitab fatwa ini telah diedit dan disusun dalam bentuk buku oleh Dr Shalahuddin al-Munjad dan Yusug Q Khuri. Ia telah diterbitkan oleh Dar al-Kitab al-Jadid, Beyrut dalam 6 jilid (juzuk) dengan 2774  halaman termasuk halaman kata pengantar, halaman isi kandungan dan beberapa lampiran berkaitan.

Fatwa-fatwa yang terkandung dalam kitab ini tidak disusun mengikut bab-bab tertentu. Setiap fatwa disusun  mengikut turutan tarikh penyiarannya dalam Majalah al-Manar. Kandungan kitab ini dimulai dengan fatwa bilangan 1, dengan tajuk; (Majalah al-Manar, jil.6, 1903)   dan diakhiri dengan fatwa bilangan 1061, dengan tajuk; (Majalah al-Manar, jil. 35, 1936).                
                                                                                                                                                                   
Kitab ini boleh di download di pautan;
http://waqfeya.com/book.php?bid=5637
http://www.feqhweb.com/dan3/

Semoga bermanfaat.

Sunday, August 30, 2015

Maqalat wa Fatawa Syaikh Yusuf al-Dijwi



Kitab “ Maqalat wa Fatawa Syaikh Yusuf al-Dijwi ” merupakan sebuah ensiklopedia yang menghimpunkan artikel-artikel dan fatwa-fatwa yang pernah dihasilkan oleh  al-‘Allamah al-Mufassir al-Muhaddis al-Syaikh Abu al-Muhasin Jamaluddin Yusuf bin Ahmad bin Nashr al-Dijwi al-Azhari (1287-1365H), seorang tokoh ulama yang terkenal pada kurun ke 14 Hijrah. 

Syaikh Yusuf al-Dijwi adalah seorang ulama yang disegani dan terkenal dengan ketinggian ilmunya dalam berbagai bidang keilmuan Islam. Di Universiti al-Azhar pada zamannya, Syaikh Yusuf al-Dijwi merupakan anggota senior “ Jemaah Kibar ‘Ulama al-Azhar ”, yang memainkan peranan besar dalam perkembangan dakwah  dan keilmuan Islam.

Kitab “ Maqalat wa Fatawa ” ini telah diterbitkan dalam sebuah buku selepas kematian pengarangnnya. Usaha penerbitan buku ini berjaya diterbitkan setelah sekumpulan artikel dan fatwa beliau yang pernah disiarkan dalam Majalah al-Azhar, disusun dan dieditkan semula bagi menyesuaikannya dengan penerbitan dalam bentuk buku. Kitab ini telah diterbitkan dalam dua jilid.

Dalam Jilid 1, dibahagikan kepada dua juzuk; juzuk 1, mengandungi artikel-artikel mengenai konsep ketuhanan (al-Ilahiyyat). Manakala dalam juzuk 2, mengandungi artikel-artikel mengenai konsep kenabian (al-Nubuwwat). 

     Dalam Jilid 2, dibahagikan kepada dua juzuk; juzuk 1, mengandungi artikel-artikel mengenai tafsir. Kandungannya menghimpunkan beberapa tulisan Syaikh Yusuf al-Dijwi mengenai tafsiran beberapa ayat al-Quran yang pernah disiarkan dalam ruangan tafsiran al-Quran dalam Majalah al-Azhar. Manakala dalam juzuk 2, mengandungi sekumpulan fatwa Syaikh Yusuf al-Dijwi dalam berbagai permasalahan agama.

Penyusunan kitab ini sangat penting, kerana ia merupakan satu usaha bagi mengekalkan khazanah keilmuan Islam sebagai sumber ilmu dan rujukan umat Islam sepanjang zaman. Berdasarkan sedikit pemerhatian dan pembacaan saya, kitab ini telah menjadi rujukan para ulama kebelakangan dalam penyampaian ilmu dan penyusunan karya-karya mereka.

Untuk mengenali lebih lanjut al-‘Allamah Syaikh Yusuf al-Dijwi dan membaca kandungan kitab “ Maqalat wa Fatawa ” ini, pembaca boleh memuat turunkan kitab ini dalam file PDF di pautan  
http://www.feqhup.com/uploads/13583405102.pdf.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, August 19, 2015

Ru’us al-Masa’il wa Tuhfah Thullab al-Fadha'il


Kitab " Ru’us al-Masa’il wa Tuhfah Thullab al-Fadhail "  adalah antara karya peninggalan al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H), yang sangat penting dalam bidang keilmuan Islam.

Walaupun Imam al-Nawawi menyusun kitab ini dalam satu jilid yang agak kecil, berbanding karya-karya beliau yang lain, namun kandungannya sangat penting dan padat dengan berbagai permasalahan agama. Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi telah memuatkan perbahasan mengenai berbagai permasalahan yang merangkumi bidang tafsir, hadis,  fiqh, bahasa dan beberapa penjelasan mengenai pendapat-pendapat para ulama terdahulu mengenai sesuatu isu.  Namun begitu, perbahasan mengenai permasalahan fiqh paling banyak dikemukakan dalam kitab ini.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Nawadir, Damsyiq, Syria pada tahun 2010, terdapat lebih daripada 72 permasalahan yang dibincangkan oleh Imam al-nawawi dalam kitab ini. Di mana ketebalan kitab ini merangkumi 301 halaman.

Kitab dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di pautan  berikut;
Semoga bermanfaat.

Tuesday, August 18, 2015

Fatawa al-Khalili


Kitab " Fatawa al-Khalili 'ala al-Mazhab al-Syafi'i " merupakan antara kitab himpunan fatawa yang menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i yang mutakhir. Kandungan kitab ini memuatkan himpunan fatwa-fatwa al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Syarafuddin al-Khalili al-Syafi’i al-Qadiri (1734M / 1147H), seorang ulama fiqh dan tasauf yang terkenal di Palestin pada pertengahan abad ke 18. Beliau pernah menjawat jawatan Mufti Syafi’iyyah di bandar al-Quds lebih dari 40 tahun.

Syaikh al-Khalili sebenarnya tidak menulis sendiri fatwa-fatwanya dalam sebuah buku. Penyebaran fatwa-fatwa beliau dalam bentuk tulisan dilakukan oleh murid-murid beliau, berdasarkan catatan-catatan mereka terhadap pandangan dan jawapan Syaikh al-Khalili mengenai permasalahan agama yang dikemukakan oleh para pelajar dan masyarakat Islam. Manakala usaha penyusunan fatwa-fatwa Syaikh al-Khalili dalam bentuk buku (kitab) pula dilakukan oleh seorang murid beliau yang bernama al-Sayyid Ahmad bin Aminuddin al-Busthami. Menurut penyusunnya, Sayyid Ahmad al-Busthami, beliau menamakan kitab himpunan fatwa-fatwa gurunya ini dengan judul “ al-Fatawa al-Muhammadiyyah al-Khaliliyyah ”.

Mengenai kaedah penyusunan kitab ini, al-Sayyid Ahmad menerangkannya dalam muqaddimah kitab al-Fatawa ini, katanya; “ … disusun mengikut bab-bab fiqh, dibuang sebahagian dari soalan-soalan yang berulang dan jawapan-jawapan yang panjang.”

Isi kandungan kitab ini pula dimulai dengan beberapa bab yang berkaitan dengan tafsir, hadis, nahu dan ilmu tauhid. Kemudian dimuatkan dengan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan bab-bab fiqh mengikut susunan perbahasannya. Kitab ini diakhiri dengan sebuah khatimah (penutup) yang mengandungi dua bab perbahasan; bab pertama mengenai tasawwuf dan bab kedua pula berkaitan dengan beberapa persoalan semasa.

Berdasarkan rujukan saya terhadap kitab Fatawa al-Khalili, kitab ini telah diterbitkan dalam dua juzuk (jilid); a)  Juzuk pertama dimulai dengan muqaddimah dan riwayat ringkas Syaikh Muhammad al-Khalili. Perbahasan dalam juzuk ini bermula bab yang berkaitan dengan tafsir dan diakhiri dengan “ Kitab al-Hibbah ”.  b)    Juzuk kedua pula, dimulai dengan “ Kitab al-Luqathah ” dan diakhiri dengan “ Kitab al-Nikah ”.


Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai isi kandungan kitab ini, sila muat turun kitab ini di pautan http://read.kitabklasik.net/2010/03/fatawa-al-khalili-fi-al-madzhab-al.html. Kitab ini juga boleh dibaca secara online di pautan http://shamela.ws/index.php/author/2446. Bagi mengetahui latar belakang Syaikh Muhammad al-Khalili, pembaca boleh melayari pautan http://www.palestine-studies.org/sites/default/files/hq-articles/Khader%20Salameh.pdf (artikel dalam bahasa Arab). Semoga bermanfaat.

Wednesday, August 12, 2015

Fatawa al-Ramli


Kitab “ Fatawa al-Ramli fi Furu' al-Fiqh al-Syafi'i ” merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Anshari (957H), yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Kabir.

Penyusunan kitab ini diusahakan oleh anak beliau, iaitu al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli, yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Shaghir (1004H)[1]. Kitab ini terkenal dengan judul “ Fatawa al-Ramli al-Kabir  ”, iaitu merujuk kepada Imam Syihabuddin al-Ramli. Namun begitu, ada juga para ulama yang menyebut judul kitab ini sebagai “ Fatawa al-Ramli al-Kabir wa al-Shaghir ”, iaitu dengan menggabungkan dan menisbahkan kitab ini kepada kedua-dua imam ini. Oleh itu, kebiasaannya -  penulis yang memetik fatwa dalam kitab ini akan menyebut; “ Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli dan diikuti oleh anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitab al-Fatawa-nya ”. Namun begitu, terdapat juga yang menyebutkan judul kitab ini sebagai " Fatawa Syamsuddin al-Ramli ", iaitu menisbahkan kitab ini kepada penyusun atau penghimpun fatwa ini, iaitu Imam al-Ramli al-Shaghir.

Sekadar pengamatan saya, selain kitab Fatawa Fiqhiyyah al-Kubra, iaitu karya al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haytami, maka kitab Fatawa al-Ramli ini  merupakan antara  kitab fatwa yang menjadi rujukan utama para ulama mazhab Syafi’i yang kebelakangan (mutaakhirin). Sekadar contoh, kandungan kitab Fatawa al-Ramli ini juga menjadi rujukan utama Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani ketika menyusun kitab beliau yang terkenal Furu’ al-Masail wa Ushul al-Washail. Dalam kitab Furu’ al-Masail ini, Syeikh Daud al-Fathani menyebutkan kitab Fatawa al-Ramli ini dengan judul “ Fatawa Syams al-Millah wa al-Din ”, iaitu beliau menisbahkan kitab ini kepada Imam Syamsuddin al-Ramli ( al-Ramli al-Shaghir). 

Isi kandungan kitab ini disusun mengikut pembahagian bab-bab fiqh, iaitu ibadat, muamalat, munakahat dan jenayat. Di akhir sekali diletakkan beberapa persoalan yang mengenai tafsir ayat, hadis, huraian mengenai petikan kata-kata ulama yang terdapat dalam beberapa kitab fiqh dalam pelbagai bidang seperti usul fiqh, ilmu kalam, ilmu nahu dan sebagainya.

Kitab Fatwa al-Ramli ini  ada dicetak di bahagian tepi  kitab Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra karya Ibnu Hajar al-Haytami.  Untuk membaca kitab Fatawa al-Ramli ini dan kitab Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, pembaca boleh “download” di pautan; http://www.feqhweb.com/vb/t17981.html. Manakala versi terbitan tersendiri dalam sebuah buku, kitab ini telah diterbitkan oleh Darul Kutub al-'Ilmiyah, Beirut pada tahun 2011, dalam satu jilid dengan ketebalan 768 halaman.

Semoga bermanfaat.
_______________________
[1] Selain kitab fatwa himpunan anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli, terdapat sebuah lagi kitab fatwa yang dinisbahkan kepada Imam Shihabuddin al-Ramli, iaitu kitab Fatawa al-Ramli yang dihimpunkan oleh anak murid beliau yang bernama Imam Syamsuddin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H).

Monday, August 10, 2015

Fatawa al-Qadhi Husain


Kitab “ Fatawa al-Qadhi Husain ”  (حسين القاضي فتاوى) merupakan sebuah karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang disusun mengikut soal-jawab. Kandungan kitab ini memuatkan himpunan fatwa-fatwa yang pernah dituturkankan oleh al-Imam al-‘Allamah al-Qadhi al-Husain bin Ahmad bin Muhammad al-Marwarudzi (462H). Seorang tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal dengan julukan al-Qadhi, kerana selain menjadi guru fiqh , beliau juga menjawat sebagai hakim ( qadhi ), dan jawatan inilah yang membuatnya lebih terkenal dengan julukan Qadhi Husain.

Qadhi Husain mempunyai kedudukan yang tinggi dan sangat terhormat di lingkungan madzhab Syafi’i . Ramai ulama yang memuji tentang keilmuan Qadhi Husain.  Berkata al-Sam’aani , pengarang buku ‘ al-Ansab : “  Qadhi Imam Abu Muhammad,  Husain bin Muhammad bin Ahmad al-Mawarudzi , merupakan tokoh pada zamannya… beliau  telah mampu melahirkan ramai ulama , sehingga kota Marwarudzi menjadi  tempat tumpuan para ulama dan tujuan para fuqaha. Semua itu , kerana di dalamnya ada Qadhi Husain… dan ini berlangsung terus hingga sekarang . ”

Selain itu, Qadhi Husain merupakan ulama “ Ashab al-Wujuh ” di dalam mazhab Syafi’i.  ” Ashab al-Wujuh ” ini adalah  julukan bagi ulama yang  telah memenuhi syarat-syarat ijtihad , dan telah menguasai fiqh mazhab Syafi’i secara baik, telah terbiasa di dalam melakukan istinbat hukum, mampu mengupas  pendapat-pendapat Imam  Syafi’i  serta menyimpulkan hal-hal yang belum disinggung oleh Imam Syafi’i , untuk kemudian diselaraskan sehingga sesuai dengan metodologi yang dipakai oleh Imam Syafi’i. Selain itu, dia juga mampu mengembangkan fiqh mazhab Syafi’I  menjadi cabang-cabang yang banyak sekali.

Oleh kerananya, dalam buku-buku fiqih karya-karya ulama Khurasan, seperti : Nihayah Matlab karya Imam Haramain, Tatimmah Ibanah karya Mutawalli, Muhadzab karya Syairazi, al-Wajiz, al-Basith dan al-Wasith, karya Imam Ghazali, jika disebut di dalamnya kata ” Qadhi ” , maka yang dimaksud adalah Qadhi Husain ini. Semua ulama- ulama yang disebut di atas adalah murid- muridnya Qadhi Husain. Bahkan menurut al Yafi’i , bahawa seluruh ulama dalam mazhab Syafi’i  jika menyebut kata ” Qadhi ” , di dalam bidang fiqh, maka yang dimaksud adalah Qadhi Husain.  Qadhi Husain meninggal dunia tepat selepas solat Isya’ , malam Rabu , tanggal 23 Muharram 462 H di kota kelahirannya Marwarudzi,Khurasan.


Mengenai kitab kitab Fatwa al-Qadhi Husain…..

Kitab fatwa ini sebenarnya tidak dibukukan (disusun dalam bentuk buku) sendiri oleh Qadhi Husain semasa hidupnya. Individu yang berusaha menyusun fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Qadhi Husaini ini ialah salah seorang murid terkenalnya iaitu al-Imam Muhyis Sunnah al-Husain bin Mas’ud al-Baghawi (510H), yang terkenal dengan julukannya Imam “ al-Baghawi ”.

Kandungan kitab fatwa ini agak berbeza dengan beberapa kitab fatwa yang lain, yang menghimpunkan pelbagai fatwa yang meliputi semua bidang sama ada akidah maupun fiqh. Ini kerana kandungan kitab ini hanya menghimpunkan fatwa-fatwa yang berkaitan dengan bidang fiqh sahaja.

Isi kandungannya sebagaimana kitab fiqh yang lainnya, iaitu merangkumi perbincangan mengenai ibadat, muamalah, munakahat, jenayah,  kehakiman dan makanan serta pemburuan. Kitab ini dimulai dengan kitab “ Taharah”  (bersuci) dan diakhiri dengan bab al-‘Itq (pembebasan hamba). Berdasarkan kitab yang terbitkan oleh Dar al-Fath, Jordan, terdapat 854 fatwa Qadhi Husain yang terakam dalam kitab fatwa ini. Kandungan kitab ini banyak dijadikan rujukan oleh para ulama Mazhab Syafi’i.  


Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kitab ini, sila muat turun kitab ini (file PDF) di pautan berikut; 

Tuesday, August 4, 2015

Fatawa Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari


Kitab “ Fatawa Syaikhul Islam Zakariyya al-Anshari ” atau judul asalnya “ al-I’lam wa al-Ihtimam bi Jam’i Fatawa Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari”   (الاعلام و الاهتمام بجمع فتاوى شيخ الاسلام ابو يحيى زكريا الانصاري) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Syaikhul Islam Qadhi Qudhat Abu Yahya Zakariyya bin Muhammad bin Ahmad bi Zakariyya al-Sunaiki al-Anshari al-Syafi’i (823-926H).

Kitab ini yang mengandungi himpunan fatwa Syaikul Islam ini tidak disusun (dalam sebuah kitab) sendiri oleh Syaikul Islam Zakariyya al-Anshari pada masa hidupnya, tetapi ia diusaha penyusunannya oleh orang lain. Penulis belum mendapat maklumat mengenai individu yang melakukan usaha penyusunan kitab himpunan fatwa ini.

Fatwa-fatwa Syaikhul Islam yang terdapat dalam kitab ini, menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i yang terkemudian (mutakhir) ketika membincangkan sesuatu permasalahan dalam kitab-kitab karya mereka.  Kitab ini ada diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan di Timur Tengah.  

Catatan ini,  hanya  sekadar memperkenalkan  khazanah karya para ulama terdahulu  secara ringkas sahaja. Penulis  sangat  mengharapkan  sumbangan   maklumat lanjut daripada pembaca  mengenai kitab ini. Semoga bermanfaat.

Wednesday, July 29, 2015

Shahih Shifah al-Shalah al-Nabiy saw


Kitab Shahih Shifah al-Shalah al-Nabiy sawصحيح صفة صلاة النبي صلى الله عليه واله وسلم ) ), merupakan antara kitab fiqh semasa berdasarkan aliran  mazhab Syafi’i yang menjadi rujukan  dan bacaan masyarakat Islam. Ia merupakan sebuah karya al-‘Allamah Syaikh Dr. Hasan Ali al-Saqqaf al-Qurasyi al-Hasyimi, seorang ulama terkenal dari negara Jordan.

Kitab ini selaku judulnya, adalah membicarakan mengenai sifat solat yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sebagaimana yang disebutkan dalam hadis-hadis yang dinilai sahih oleh para ulama hadis yang muktabar. Kaedah penyusunan buku ini berdasarkan gabungan dua metod, iaitu aliran ahli hadis dan aliran mazhab al-Syafi’i.  Oleh itu, kandungan kitab ini menghuraikan mengenai ibadat solat berdasarkan aliran mazhab Syafi’i, yang dsokong dengan hadis-hadis yang sahih.

Di dalam buku ini, penulis telah sedaya upayanya menjelaskan secara terperinci setiap bahagian dari tata-cara solat, mulai dari takbir hingga salam, dengan gaya (uslub) bahasa yang paling mudah dan ringkas. Di samping itu, dikemukakan dalil-dalil bagi setiap pemasalahan, yang disertakan bersama kupasan hadis-hadis sahih sebagai hujah pendalilannya.

Penulis juga menarik perhatian pembaca terhadap beberapa hadis dhai’if dan hadis yang mempunyai kecacatan (al-‘ilal) yang dijadikan dalil oleh sebahagian ulama. Dalam buku ini juga diterangkan kedudukan hadis-hadis yang sahih  berserta kesesuaiannya dengan bab-bab fiqh, dan cara pengambilan hukum darinya.

Kelebihan buku ini bukan hanya kerana membahaskan pemasalahan solat semata-mata sebagai induk ibadat dalam Islam, tetapi kandungan buku ini sebenarnya sebagai medan bantahan terhadap beberapa pendapatan yang menyelisihinya dengan kaedah ilmiah,  Dengan begitu berani, disanggahnya pendapat yang menyunatkan menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud, dengan hujah bahawa dalilnya lemah. Dikemukakannya pula beragam dalil bahawa zikir berjema’ah dengan suara keras adalah dibolehkan, tidak “bid’ah”, dan masalah lain yang diterangkan oleh penulis dengan membawakan dalil penghujahannya.
                                                                                                                                                                   
Walaupun tidak disebutkan secara nyata, sebenarnya buku ini telah disusun oleh penulisnya  sebagai bantahan terhadap sebuah buku yang berjudul; ( صفة صلاة النبي كأنك تراها من التكبير إلى التسليم  )  . Kitab ini  disusun oleh  Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, seorang ulama terkenal yang menjadi rujukan  kebanyakan ulama aliran Salafiyyah dalam bidang ilmu hadis.


Terjemahan kitab ini….

Kitab ini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa di dunia Islam, termasuk dalam bahasa Indonesia dan bahasa Malaysia. Setakat pengetahuan saya, versi terjemahan dalam Malaysia pertama kali diterbitkan di Malaysia pada tahun 2010, oleh AlHimma Enterprise, Selangor. Terbitan ini berdasarkan terjemahan yang diusahakan Ustaz Haji Zamihan Mat Zin al-Ghari,  seorang pegawai Hal Ehwal Islam, di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan judul “ Sifat Solat Nabi Yang Sahih ”. Buku terjemahan ini telah mendapat sambutan dari masyarakat di negara ini dan menjadi sebagai teks pengajian bagi kuliah-kuliah agama di masjid-masjid dan pusat-pusat pengajian agama.

Kitab versi Arabnya boleh dimuat turun di pautan berikut;  

Tuesday, April 14, 2015

Bughyah al-Mustarsyidin


Kitab “ Bughyah al-Mustarsyidin fi Talkhish Fatawa Ba’dh al-Aimmah al-Muta-akhkhirin ” (بغية المسترشدين في تلخيص فتاوى بعض الأئمة المتأخرين) merupakan sebuah kitab fiqh yang menghimpunkan ringkas dari berbagai fatwa para ulama mazhab Syafi’i yang muta-akhirin (kebelakangan). Usaha penyusunan kitab ini dilakukan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami (1250- 1320), seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal dan mufti bagi negeri Hadhramaut, Yaman pada zamannya.

Berikut adalah nama-nama ulama yang dikumpulkan fatwa-fatwa mereka dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin;

a)     Imam al-‘Allamah Abdullah bin al-Husain bin Abdullah Bafaqih,
b)     al-Sayyid al-‘Allamah Abdullah bin ‘Umar bin Abu Bakr bin Yahya,
c)      Imam al-‘Allamah Alawy bin Saqaf bin Muhammad al-Jafri,
d)     Imam al-‘Allamah Muhammad bin Abi Bakar al-Asykhari al-Yamani
e)  Imam al-Syaikh al-‘Allamah al-Muhaqqiq Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al- Madany.

Menurut al-‘Allamah Sayyid ‘Abdur Rahman Ba’alawi, beliau menyusun kitab Bughyah al-Mustarsyidin ini adalah untuk menampilkan karya yang mudah dibaca dan difahami tanpa perlu berlakunya pengulangan dalam berbagai perbahasan yang ada dari berbagai pendapat tersebut. Sayyid Abdurrahman Ba’lawi menyusun kitab ini secara sistematik sehingga beberapa persoalan yang ada dengan mudah dapat difahami dengan disertai jawapannya sekaligus. Dikatakan sistematik, kerana dalam kitab ini berbagai permasalahan diletakkan  secara teratur dan sesuai dengan bab-bab fiqh sebagaimana susunan kitab-kitab fiqh yang lain. Hal ini kerana sebelumnya, berbagai fatwa ini berserakan dan tidak teratur secara sistematik sehingga mendorong Sayyid Abdurrahman bin Muhammad Ba ‘Alawi  menyusun kitab ini bagi memudahkan rujukan dan pembacaan oleh para siswa atau murid-murid yang tertarik mengkaji berbagai fatwa tersebut.

Oleh kerana kitab ini merupakan ringkasan dari kumpulan fatwa para ulama’, maka untuk memudahkan identifikasi fatwa masing-masing imam yang ditulis dalam kitab ini, Sayyid Abdurrahman Ba’lawi membuat tanda atau rumuz yang mewakili  para ulama tersebut. Berikut adalah rumuz tersebut;

a)     Imam Abdullah Bafaqih, ditulis   ب,
b)     Imam Abdullah bin Yahya, ditulis ي ,
c)      Imam Alawy bin Tsaqaf bin Muhammad al-Jafri, ditulis ج ,
d)      Imam Muhammad bin Abi Bakar al-Asykhari al- Yamani, ditulis ش ,
e)     Imam Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madany, ditulis ك .

Di samping itu, Sayyid Abdurrahman Ba’lawi juga menuliskan فائدة (faidah) untuk menunjukkan bahawa fatwa yang dikeluarkan mempunyai beberapa faidah yang sangat baik nuntuk diketahui khalayak. Ia mengatakan bahawa dalam menulis berbagai fatwa ini, ia juga menambah atau mengurangi beberapa kata dari fatwa asal agar sesuai dan relevan. Sebagaimana layaknya seorang editor, Abdurrahman Ba’lawi mensinkronkan antara fatwa dengan berbagai improvisasi yang ia lakukan agar karya ini mudah difahami dan sistematis. Bahkan dalam beberapa hal, penambahan tersebut merupakan pendapat pribadinya.

Namun demikian, sebagaimana dinyatakan Azyumardi Azra, bahawa dalam penulisan kitab kuning, tidak disertakan rujukan (referensi) dan footnote disebabkan tradisi akademik yang berlaku waktu itu belum terkondisikan seperti sekarang. Dengan demikian sulit untuk menentukan secara pasti apakah yang ditulis di dalam kitab kuning merupakan pendapat peribadi atau pendapat orang lain.                                                                                                                           
Sayyid Abdur Rahman Ba’alawi juga menambahkan catatan-catatan lain dalam sistematika penulisan kitabnya sebagai berikut:

a)     Jika dalam suatu masalah terdapat dua ulama atau lebih yang menyepakatinya maka ia tuliskan satu persatu siapa saja ulama’ yang menyepakati sesuai dengan simbolnya masing-masing. Sedangkan jika ada salah satu ulama yang menambahkan pemahaman lain atau sedikit berbeda maka ia menuliskannya dengan kata:  كذا فلان زاد atau  كذلك خالف ..

b)     Jika dalam suatu masalah terdapat qayyid atau khilaf sedangkan imam yang memberi fatwa belum menyebutkannya, maka ia menambahkan simbol اھـ di akhir kalimat, lalu ia tambahkan keterangan qayyid atau khilaf dari tersebut dengan sebelumnya menyebut kata قلت agar pembaca mengetahui dari mana keterangan tambahan tersebut bermula.

Sebagaimana kitab-kitab fiqh lainnya, kitab Bughyah al-Murtasyidin, secara umum, ditulis dengan sistematika pembahasan sebagaimana berikut:

a)  Khutbah al-Kitab (muqaddimah). Dalam bahagaian ini Sayyid Abdurrahman Ba’alwi menghuraikan tentang bagaimana penulisan kitab ini, isi tulisan dan menukil beberapa pendapat ulama tentang mencari ilmu dan faidah-faidahnya.

b)    Kitab al-Thaharah. Dalam bahagian ini diulas mengenai air, najis, wudlu, cara buang air kecil dan besar, mandi, tayamum dan diakhiri dengan pembahasan haid.

c)    Kitab al-Shalat. Dalam bahagian ini dihuraikan mengenai adzan, kiblat, rukun shalat, sunnah-sunnah shalat, dzikir dan do’a, syarat-syarat shalat, hal-hal yang membatalkan shalat, hal-hal yang makruh dalam shalat, aurat shalat, sujud sahwi, tilawah dan syukur, shalat-shalat sunnah, shalat jama’ah, shalat musafir, shalat orang yang sakit, shalat juma’at, shalat dalam peperangan, shalat ied, shalat gerhana, shalat isitisqa’, hukum bagi orang yang meninggalkan shalat, shalat janazah, ta’ziyah dan ziarah kubur.

d) Kitab al-Zakat. Dalam bahagian ini dihuraikan mengenai syarat harta yang wajib dizakati, harta-harta yang wajib dizakati, zakat fitrah, dan macam -macam shadaqah.

e)  Kitab al-Shaum. Dalam bahagian ini dihuraikan tentang syarat-syarat puasa, puasa-puasa sunnah dan iktikaf.

f)     Kitab al-Hajj. Pada bahagian ini dikaji seputar haji yakni syarat rukun haji, hal- hal yang diharamkan bagi orang yang ihram, hukum memberikan upah di dalam ibaah haji dan wasiyat untuk beribadah haji.

g)     Kitab al-Bai’. Dalam bahagian ini dibahas mengenai riba, salam, rahn, sulh, orang yang muflis dalam usaha, syirkah, wakalah, iqrar, ariyah, ghasab, syuf’ah, qiradl, masaqah dan mugharasah, ihya al-amwat, ji’alah, wakaf, hibah, luqathah, dan wadi’ah.

h)  Kitab al-Fara’idh. Dalam bahagian ini dikaji tentang sebab-sebab warisan dan bahagian-bahagiannya, dan wasiyat.

i)   Kitab al-Nikah. Pada bahagian ini syarat rukun nikah, kafa’ah, mahar, walimah, nusuz, thalak, ruju’, nafaqah, dan hadhanah 

j)       Kitab al-Jinayah. Pada bahagian ini diulas mengenai diyat, had, jihad, janji dan nadzar, persaksian, dan sumpah.

k)  Bagian penutup, yakni ulasan Sayyid Abdurrahman Ba’lawi tentang beberapa faedah yang ada di dalam al-Qur’an, keutamaan sejarah Nabi dan sahabat, keutamaan ahlul bait dan wasilah.

Kitab Bughyah al-Mustarsyidin ini telah diberikan ta'liq oleh al-Sayyid Ahmad bin ‘Umar al-Syathiri (1312-1360H) melalui karyanya yang berjudul Ta’liqat ‘ala Bughyah al-Mustarsyidin. Kitab Bughyah telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan dalam satu jilid. 

Untuk membaca dan memuat turun kandungan kitab ini dalam bentuk fail word, sila klik   بغية المسترشدين

Thursday, April 9, 2015

Fatawa al-Bulqini


Kitab “ Fatawa al-Bulqini ” (فتاوى البلقيني ) atau judul asalnya “ al-Tajarrud wa al-Ihtimam bi Jam’i Fatawa al-Walid Syaikh al-Islam الوالد شيخ الإسلام بجمع فتاوى  التجرد والاهتمام ) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh  Syaikh al-Islam al-Imam Sirajuddin Abu Hafsh ‘Umar bin Raslan bin Nasir bin Salih al-Bulqini (805H), seorang tokoh ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi’i, yang digelar Mujaddid  abad ke 8 Hijrah.

Kitab yang terkenal dengan judul Fatawa al-Bulqini, usaha penyusunannya tidak dilakukan sendiri oleh Syaikhul Islam al-Bulqini. Usaha penyusunan karya yang bermanfaat ini, sebenarnya dilakukan oleh anak beliau iaitu al-Imam ‘Alamuddin Saleh bin ‘Umar al-Bulqini (868H).

Terdapat 900 permasalahan yang penting mengenai kehidupan manusia yang diterangkan dalam kitab ini. Jawapan yang diberikan oleh Syaikhul Islam dalam sesuatu permasalahan ada yang agak panjang penjelasannya, dan ada juga yang agak ringkas. 

Semoga bermanfaat.

Friday, April 3, 2015

Fatawa al-Subki


Di antara kitab fiqh  terkenal  dalam mazhab al-Syafi’i  adalah kitab “ Fatawa al-Subki  fi Furu al-Fiqh al-Syafi ”   (فتاوى السبكي في فروع الفقه الشافعي).  Kitab yang disusun dalam bentuk soal-jawab ini merupakan sebuah karya yang menghimpunkan beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Imam Taqiyuddin Abu al-Hasan ‘Ali bin ‘Abdul Kafi al-Subki al-Syafi’i (683-756H).

Fatwa-fatwa ini dihimpunkan kembali dari fatwa-fatwa yang pernah ditulis sendiri oleh al-Imam Taqiyuddin al-Subki. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa fatwa dalam permasalahan tertentu yang dinisbahkan kepada anak beliau, iaitu al-Imam Tajuddin Abu Nasr Abdul Wahhab bin ‘Ali al-Subki (727-771H).

Selain fatwa yang berkaitan dengan fiqh, kandungan kitab ini juga ada merakamkan beberapa fatwa yang berkaitan dengan tafsir beberapa ayat al-Quran. Kitab fatwa ini telah diterbitkan dalam dua juzuk (jilid).

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan berikut;   الواجهة, الجزء الأول, الجزء الثاني. Semoga bermanfaat.