Sunday, November 18, 2012

Karya Ulama Patani dalam Ilmu Usuluddin dan Tasawwuf

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Ismail As-Sanawi antara ulama Patani yang alim dalam bidang ilmu tauhid.


KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin

Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama’ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy’ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani ‘Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin (1232 H/1816 M), ‘Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil ‘Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi ‘Aqaidid Din wal Ad’iyatun Nafi’ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu’ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah:Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikanMunjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul ‘Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
 
Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul ’Iqdul Juman fi ‘Aqaidil Iman.
 
Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi ‘Ilmil ‘Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, ‘Unwanul Falah.
 
Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy’ari dengan Imam Abu Hanifah.
Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
 
Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.
 
Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: ‘Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.
 
Hingga sekarang kitab ‘Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi ‘Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.
 
Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:
 
1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah ‘an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari hanya keluar daripada Mazhab Mu’tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.
 
Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy’ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu’tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama’ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.
 
Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah ‘an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama’ah golongan Abul Hasan al-Asy’ari meyakini bahawa Al-Ibanah ‘an Ushulid Din dan Al-Luma’ adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu’tazilah. Al-Luma’ adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma’ pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma’.
 
2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.
 
Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “… Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy’ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu ‘Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma’ sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih …”
 
3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta’alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta’alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula.”
 
Ketuhanan
 
Dalam Warduz Zawahir pula, “… telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah …” Selanjutnya, “Dan yang bersalahan antara orang Mu’minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu’minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya”.
 
Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, “Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam’iyat, iaitu …”
 
Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.
 
Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat
 
Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: ’Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.
 
Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul ‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.
 
Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.
 
Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.
 
Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam’ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.
 
Menggubah puisi
 
Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.
 
Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.
 
Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A’ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa’id Linggi (Sheikh Muhammad Sa’id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.
 
Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A’ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan ‘Unwanul Falah.
 
Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A’ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.
 
Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.
 
Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-’Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-’Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-’Arabi.

SUMBER:http://ibadurrahman99.wordpress.com/2012/06/21/karya-ulama-patani-dalam-ilmu-usuluddin-dan-tasawuf/    -  sumber asal dari

Monday, November 12, 2012

al-Tafsir wa Mufassirun


Kitab al-Tafsir wa al-Mufasirun merupakan karya Dr. Muhammad al-Sayyid Husain al-Zahabi. Beliau seorang ulama terkenal, yang pernah menjawat sebagai Menteri Wakaf di Mesir sebelum wafatnya pada tahun 1398H.

Kitab al-Tafsir wa al-Mufassirun merupakan buku pertama yang membahas secara lengkap metode para mufassir. Ia memuatkan kajian terhadap metode kitab-kitab tafsir yang belum dicetak ketika itu. Kitab ini merupakan Risalah Dukturiyah (Tersis Ph.D) yang diajukan penulis pada tahun 1365 H atau 1946 M di Kuliyah Ushuluddin di Universiti al-Azhar. Kitab ini kemudian dicetak  dalam dua jilid, semasa hayat penulisnya. Kemudian selepas kewafatannya satu jilid lagi telah diterbitkan dengan judul yang sama, sebagai jilid yang ketiga. Jilid yang ketiga ini, telah disusun dan diedit kembali oleh seorang muridnya berdasarkan beberapa tulisan beliau yang ditemui selepas kewafatannya. Kandungan jilid ketiga memuatkan beberapa catatan khusus Dr. al-Zahabi mengenai pentafsiran golongan Syiah.

Karya Dr. Muhammad Husain al-Zahabi ini, kemudiannya menjadi asas kepada kemunculan kajian-kajian lain yang berkaitan dengan metod atau manhaj tafsir para mufassirin. Di bawah bimbingan Dr. al-Zahabi lahirlah kitab-kitab bermutu seperti Kitab al-Qurtubi wa Manhajuhu fi al-Tafsir karya Dr. al-Qashbi Mahmud Zalath, al-Razi Mufassiran karya Dr. Muhsin Abdul Hamid al-Iraqi dan Manhaj Ibnu Atiyyah fi al-Tafsir karya Dr. Abdul Wahab Fayath.

Metode Penulisan kitab Tafsir wal Mufasirun

Kitab ini ditulis sesuai dengan kaedah penulisan tesis tahap kedoktoran (Ph.D) dan boleh dilihat dengan jelas ketika membaca kitab tersebut. Berikut dijelaskan kandungan kitab al-Tafsir wa al-Mufassirun berdasarkan dua jilid asalnya;

Jilid 1

Dalam jilid yang pertama, Dr. al-Zahabi membahas banyak permasalahan; dalam pendahuluan beliau membahas tentang:

       1.      Pengertian Tafsir dan Takwil serta perbezaan antara keduanya.
2.      Tafsir al-Quran dengan selain Bahasa Arab.
3.      Tarjamah Tafsiriyah pada al-Quran dan pembahasan yang berkaitan dengannya.
Bab pertama: Membahas tentang marhalah pertama tafsir pada masa Nabi saw dan para sahabat, lalu membahas tentang sumber tafsir pada masa ini iaitu al-Quran, Hadits serta Ijtihad dan Istinbath, juga membahas tentang Ahli Tafsir yang terkenal pada masa sahabat dan metode tafsir mereka dan yang terakhir membahas tentang kelebihan tafsir pada masa Nabi saw dan Sahabat.

Bab kedua: Membahas tentang marhalah kedua tafsir pada masa tabi’in. Bab ini membahas tentang Madrasah Tafsir pada masa tabi’in iaitu Madrasah Tafsir di Makkah yang didirikan oleh Ibnu Abbas, Madrasah Tafsir di Madinah yang didirikan oleh Ubay bin Ka’ab dan Madrasah Tafsir di Iraq yang didirikan oleh Ibnu Mas’ud, lalu membahas tentang kelebihan Tafsir pada masa Tabi’in.

Bab ketiga: Membahas tentang marhalah ketiga tafsir yang beliau istilahkan dengan Ushur al-Tadwin (masa kodifikasi), dalam bab ini dibahas urutan kodifikasi tafsir, lalu tentang Tafsir bil Ma’tsur dan Israiliyat, selanjutnya dalam bab ini dibahas sebahagian metode kitab tafsir yang terkenal iaitu:

1.       Jami’ al-Bayan fi at-Tafsir al-Quran oleh Imam Thabari,
2.      Bahr al-Ulum oleh Samarqandi,
3.      al-Kasf wa al-Bayan an Tafsir al-Quran oleh al-Tsa’labi,
4.      Ma’alima al-Tanzil oleh al-Baghawi,
5.      al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-Aziz oleh Ibnu Atiyah,
6.      Tafsir al-Quran al-Adhim oleh Ibnu Katsir,
7.      al-Jawahir al-Hasan fi at-Tafsir al-Quran oleh ats-Tsa’alabi,
8.      al-Duur al-Mantsur fi al-Tafsir bil Ma’tsur oleh as-Suyuthi.

Kemudian pada fasal selanjutnya membahas tentang Tafsir bir Ra’yi al-Mahmud dan kajian tentang metode tafsir mereka iaitu:

1.     Mafatih al-Ghaib oleh Fakhruddien ar-Raazi,   
2.    Anwar at-Tanzil wa Asrar at-Takwil oleh al-Baidhawi     
3.    Madarik at-Tanzil wa Haqaiq at-Takwil oleh an-Nasafi,
4.    Lubab at-Takwil fi Ma’ani at-Tanzil oleh Khazi
5.    al-Bahr al-Muhith oleh Abi Hayan,
6.    Gharaib al-Quran wa Raghaib al-Furqan oleh Yasaburi
7.    Tafsir al-Jalalain oleh Jalauddien al-Muhalli dan Jalaluddien as-Suyuthi,
8.    al-Siraj al-Munir fi al-I’anah ala Ma’rifati Ba’dhi Ma’ani Kalam Rabbuna al-Hakim   al-Khabir  oleh Khatib as-Sirbani
9.   Irsyad al-Aql al-Salim ila Mazaya al-Kitab al-Karim oleh Abi Su’ud,10.   Ruuh al-Ma’ani fi   Tafsir al-Quran al-Adhim wa as-Sab’u al-Matsani oleh al-Alusi.

Kemudian pada fasal keempat membahas tentang Tafsir bir Ra’yi al-Madhmum atau tafsir dari kelompok sesat:

Pertama: Muktazilah

Kitab-kitab Tafsir mereka:

1.    Tanzih al-Quran ‘an al-Mutha’in oleh al-Qadhi Abdul Jabbar,
2.   Gharar al-Fawaid wa Durar al-Qalaid oleh Amali as-Syarif al-Murtadha,
3.   al-Kasyaf ‘an Haqaiq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh la-Takwil oleh al-  Zamakhsyari,

Selesai jilid pertama.

Jilid 2

Jilid kedua membahas:

Kedua: Syiah dan kelompok-kelompok pecahannya.

1. Ia khususkan pada pembahasan Syiah Rafidhah atau Itsna Asairah yang membahas  tentang enam kitab dan metode Tafsir Syiah iaitu: Miratul Anwar wa Miskat al-Asrar oleh Maula Abdullatif al-Kazarani, Tafsir al-Hasan al-Askari, Majma’ al-Bayan li Ulum al-Quran oleh ath-Thabarsi, As-Shaafi fi Tafsir al-Quran al-Karim oleh Mula Muhsin al-Kaashi, Tafsir al-Quran oleh Sayid Abdullah al-Alawi,  Bayan as-Sa’adah fi Maqamat al-Ibadah oleh Sulthan Muhammad al-Khurasani.

2. Kelompok al-Ismailiyah (Batiniyah), membahas tentang mauqif mereka terhadap al-Quran serta takwil mereka.

3.  Kelompok Babiyah dan Bahaiyah, membahas tentang mauqif mereka terhadap al-Quran serta takwil mereka.

4.  Kelompok Zaidiyah, membahas tentang mauqif mereka terhadap al-Quran serta takwil mereka.

Ketiga: Khawarij

     Membahas tentang mauqif kelompok khawarij terhadap al-Quran, selanjutnya ia bahas salah satu kitab tafsir dari kalangan Khawarij iaitu Haiman al-Zaad ila Daar al-Ma’ad oleh Muhammad Yusuf Athfis, salah seorang mufasir dari kalangan Khawarij yang berasal dari lembah Mizab di pegurunan Jazair, ia wafat pada tahun 1332 H.

Pada fasal selanjutnya, fasal kelima, membahas tentang Tafsir Sufi dan metode tafsir mereka seperti metode tafsir Ibnu Arabi kemudian membahas Tafsir Isyari dan sebahagian kitab-kitab mereka:

       1. Tafsir al-Quran al-Adhim oleh at-Tusturi,
       2. Haqaiq at-Tafsir oleh al-Silmi
       3. ‘Arais al-Bayan fi Haqaiq al-Quran oleh Abi Muhammad as-Sairazi
       4. al-Takwilat an-Najmiyah oleh Najmuddien Dayah dan Ala’ ad-Daulah as-Samnani
       5. Tafsir Ibnu Arabi

Fasal keenam membahas tentang Tafsir Filsafat dan metode tafsir mereka dalam dua puluh lembar dan beliau sebutkan contoh Tafsir Filsafat dan metodenya seperti al-Farabi dan Ibnu Sina.

Fasal ketujuh membahas tentang Tafsir Fuqaha’ sekitar lima puluh halaman, berbicara tentang perkembangan Tafsir Fiqih ayat-ayat hukum pada setiap mazhab fiqih. Dan membahas enam kitab Tafsir tentang Ahkam al-Quran, iaitu;
1.       Ahkam al-Quran oleh al-Jashash al-Hanafi,
2.      Ahkam al-Quran oleh Kaya al-Hirasyi as-Syafi’i,
3.      Ahkam al-Quran oleh Ibnul Arabi al-Maliki
4.      al-Jami’ li Ahkamal-Quran oleh al-Qurtubi al-Maliki,
5.     Kanzul Irfan fi Fiqh al-Quran oleh Miqdad al-Suyuri al-Rafidhi dari kalangan Imamiyah Itsna Asairah,
6.     al-Tsamarat al-Yani’ah wa al-Ahkam al-Wadhihah al-Qathi’ah oleh Yusuf ats-Tsalai az-Zaidi dari kalangan Zaidiyah.

Fasal kelapan membahas tentang Tafsir Ilmi dalam enam belas halaman, ia sebutkan pendapat ulama terdahulu dan ulama sekarang kemudian ia sebutkan ikhtiyarnya dan menolak tafsir ilmi seperti yang dirajihkan oleh Imam al-Syatibi.

Kemudian kitab ini ditutup dengan pembahasan tentang corak tafsir pada masa modern, pembahasan ini menghabiskan sekitar seratus dua puluh halaman, beliau sebutkan beberapa kitab tafsir:
1.   al-Jawahir fi Tafsir al-Quranal-Karim oleh Syaikh Thanthawi Jauhari, Syaikh Dr. al-Zahabi telah mengkritik dengan keras kitab ini.
2.  Kitab al-Hidayah wa al-Irfan fi Tafsir al-Quran bil Quran, beliau contohkan kitab ini sebagai kitab Tafsir Ilhadi,
3.  Berbicara tentang metode tafsir Syaikh Muhammad Abduh,
4.  Berbicara tentang metode tafsir Muhammad Rasyid Ridha,
5.  Berbicara tentang Syaikh Muhammad Mustafa al-Maraghi, pembahasan ini mengakhiri kitab Tafsir wal Mufassirun.

Bustan al-'Arifin


Kitab Bustan al-‘Arifin  merupakan sebuah karya Syaikh al-Islam al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi r.h, atau lebih masyhur dengan sebutan al-Imam al-Nawawi sahaja. Beliau dilahirkan  pada tahun 631H dan meninggal dunia pada tahun 671H di Nawa, Hawran Syiria.

al-Imam al-Nawawi telah memulakan kitabnya dengan satu muqaddimah yang menerangkan hakikat kehidupan di dunia yang bersifat sementara ini, dan menekankan pentingnya untuk seseorang membuat bekalan bagi kehidupan yang abadi di akhirat nanti. Kemudian seterusnya beliau membicarakan tentang niat dan kepentingannya dan cara menghadirkannya di dalam hati pada segala bentuk ibadat yang dilakukan oleh seseorang di atas muka bumi ini. Setelah itu, beliau menyebutkan beberapa buah hadis Rasulullah saw yang terpenting yang merupakan asas-asas agama Islam dan beliau juga membicarakan secara khusus peranan ikhlas dan shidq (benar) yang berperanan menentukan kadar balasan yang akan diterima oleh seseorang hamba di hari akhirat nanti.

Seterusnya beliau telah mengetengahkan lebih daripada lima puluh ungkapan para ulama yang indah-indah yang merupakan kata-kata mutiara yang sangat mahal harganya. Di mana ungkapan-ungkapan tersebut adalah lahir daripada pengalaman mereka dalam mujahadah dan usaha yang berterusan untuk menjadi seorang insane yang benar-benar hidup di dunia ini sebagai hamba Allah SWT.

Selepas itu, beliau membicarakan dengan panjang lebar perihal karamah wali-wali Allah dan mawahib-mawahib (keistimewaan) mereka dan segala permasalahan yang berkaitan dengan karamah, kemudian diikuti pula denagn menyebutkan beberapa contoh-contoh daripada karamah mereka yang telah berlaku.

Nampaknya kitab ini belum sempat diselesaikan oleh Imam al-Nawawi r.h kerana didapati daripada manuskrip asal bahawa beliau hanya sampai menulis kepada “ Bab Hikayat Karamah Wali-wali Allah ” dan sempat menulis beberapa buah hikayat sahaja pada bab tersebut dan beliau berhenti di tengah-tengah hikayat al-Syaikh Abu al-Khair al-Tinani r.h. Maka beliau tidak sempat menyelesaikan kitab ini, kerana beliau telah dipanggil ke rahmatullah.

Sebahagian murid-murid beliau telah berusaha untuk menyelesaikan kitab ini dengan berpandukan kepada beberapa tulisan Imam al-Nawawi r.h yang di dapati di sana sini dan dikumpulkan sehingga dijadikan bahagian terakhir di dalam kitab ini. Kitab ini telah mendapat perhatian dari kalangan para ulama kerana kandungannya adalah sesuai dengan namanya “ Bustan al-‘Arifin ” yang bermakna “ Taman Orang-orang yang ‘Arif  dengan Allah ”. Ia sangat banyak mengandungi nasihat dan tunjuk ajar yang tidak ternilai harganya, terutama bagi mereka yang berusaha menuju kea rah makrifah Allah yang sebenar.

 
Terjemahan Bustan al-Arifin;

Kitab ini telah diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa dunia seperti bahasa Parsi, Turki, Urdu, Inggeris, Indonesia, Melayu dan lain-lain bahasa umat Islam.

Dalam artikel ini, saya hanya akan menyebutkan sebuah buku terjemahan sahaja, iaitu buku yang menjadi rujukan saya bagi artikel ini, iaitu “ Bustan al-‘Arifin ( Taman Orang-orang yang ‘Arifin). Buku ini merupakan hasil terjemahan Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi atau nama sebenarnya Ahmad Fahmi Zamzan. Buku ini telah diterbitkan dalam dua edisi, iaitu edisi tulisan rumi dan jawi oleh Pustaka Darul Salam, Kedah.

Buku terjemahan yang ada dalam koleksi saya adalah edisi Jawi yang telah diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1996.

Dalam bahagian kata pengantarnya, penterjemah telah menerangkan kandungan kitab Bustan al-‘Arifin secara ringkas ( baca: artikel di atas adalah petikan dari kata pengantar tersebut). Dalam terjemahan ini, penterjemah hanya menterjemahkan isi kandungan asal kitab Bustan al-‘Arifin yang sempat ditulis oleh Imam al-Nawawi. Bahagian akhir kitab yang ditambah oleh murid Imam al-Nawawi, beliau tidak terjemahkan. Kata penterjemah; “ Oleh kerana itulah, maka terjemahan yang kita selenggarakan ini hanyalah sekadar sampai di mana yang telah ditulis oleh al-Imam al-Nawawi r.h kerana itulah yang asal walaupun ada usaha daripada sebahagian murid beliau untuk menyelesaikan kitab ini….. ”. 

Penterjemah mengakhiri kata pengantarnya dengan suatu harapan, iaitu  “ Apa yang diharapkan semoga terjemahan ini dapat memberikan pahala kepada penterjemahannya dan dapat pula memudahkan sahabat-sahabat kita di dalam mengambil faedah daripada kandungan kitab yang sangat berharga ini. Semoga ia dapat menerangi jalan ke arah menuju makrifatullah SWT yang sangat memerlukan kepada ilmu pengetahuan, mujahadah dan kesabaran ”.

Tuesday, November 6, 2012

Risalah al-Nur karya Sa'id al-Nursi

Artikel berikut saya ambil dari http://www.malaysianur.com/apa-itu-risalah-al-nur/ . Semoga bermanfaat;
 
Ustadz Nursi memperkenalkan Risalah Nur sebagai berikut:
 
“Risalah Nur adalah argumen yang luar biasa dan tafsir yang sangat berharga terhadap Al-Qur’an al-Karim.Ia juga merupakan sebuah kilatan yang memukau dari kemukjizatan maknawi Al-Qur’an, setetes dari samudera Al-Qur’an, secercah cahaya dari surya Al-Qur’an, sebuah hakikat yang terilhami dari khazanah ilmu hakikat. Risalah Nur juga merupakan terjemahan maknawi yang bersumber dari limpahan makna Al-Qur’an. “
 
“Risalah Nur bukanlah tariqat kesufian, melainkan sebuah hakikat.Dia adalah cahaya Al-Qur’an al-Karim.Ia tidak bersumber dari ilmu-ilmu dari Timur dan pengetahuan dari Barat.Tapi sesungguhnya ia adalah mukjizat maknawi dari Al-Qur’an al-Karim yang dikhususkan untuk zaman ini.”
 
Risale English 1024x551 Apa itu Risalah al Nur?Dapat disimpulkan dari paparan tadi bahwa Risalah Nur adalah penafsiran terhadap makna-makna Al-Qur’an yang membahas masalah-masalah mendasar dalam kehidupan.Risalah Nur dapat membangun keyakinan-keyakinan keimanan dengan menepis pemahaman-pemahaman keliru dan sikap-sikap yang lemah. Risalah Nur membahas seputar makna-makna “tauhid” dengan berbagai argumen, “hakikat akhirat”, “kebenaran kenabian” dan “keadilan syariah” dan makna-makna lain yang menjadi tema utama Al-Qur’an, disamping membahas tentang hal-hal yang berkaitan dengan dakwah, kecintaan kepada Rasul, kerinduan pada akhirat dan berbagai problem sosial dan politik.
Oleh karena itu, Nursi berkata berkenaan dengan Risalah Nur;
 
“Risalah Nur telah memecahkan dan menjelaskan serta menyingkap lebih dari seratus rahasia keagamaan, syariah dan Al-Qur’an, dan telah membungkam orang-orang ateis serta membuktikan dengan terang seterang matahari hakikat-hakikat Al-Qur’an yang dianggap jauh dari sentuhan akal seperti peristiwa Isra’ dan Mi’raj dan kebangkitan jasmani. Ia telah membuktikan kepada para filosof dan ateis paling pembangkang sekalipun hingga sebagian diantara mereka meyakini Islam. Oleh karenanya, risalah seperti ini mestilah memiliki hubungan dengan dunia dan sekitarnya. Sudah tentu ia adalah hakikat Al-Qur’an yang akan menyibukkan masa sekarang dan akan datang serta mengambil sebagian besar perhatiannya. Ia adalah pedang berlian yang sangat tajam dalam genggaman orang-orang beriman.”
 
Karya-karya Said Nursi adalah Taliqat (buku yang mengenai logika), Muhakamat (buku yang terkait dengan kaidah-kaidah untuk penafsiran al-Qur’an, sastra dan lain-lain), Sunuhat (buku ini terisi berbagi topik seperti kemukjizatan al-Qur’an, keadilan, khilafah dan peradaban), Munazarat (buku ini terisi dengan debat antara Said Nursi masyarakat Turki Timur mengenai pemerintahan konstitusional, musyawarah, hukum dan lain-lain), Divan-Harbi Orfi (buku yang berisi penjelasan Nursi kepada masyarakat Istanbul mengenai seputar masalah politik), Hutbe-i Syamiyyah(Khutbah yang berisi penyakit yang melanda umat Islam dan pengobatannya), Hutuvat-i Sitte (buku yang berisi serangan Nursi terhadap Inggris ketika mereka mau menduduki Istanbul.Kesimpulannya, karya-karya tersebut membahas pemikiran Nursi tentang politik, sosial, sastra, logika dan lain-lain.
 
Pada periode Said Jadid, Nursi megarang master pieces-nya, yaitu Risale-i Nur dalam bahasa Turki dan Arab. Dalam bahasa Turki memuat beberapa bagian, yaitu Mektubat (kumpulan surat-surat), Sualar (kumpulan pertanyaan-pertanyaan), Sozler (kumpulan kata), Lemalar(kumpulan cahaya), Asa-yi Musa (Tongkat Nabi Musa), Iman ve Kufur Muvazeneleri (pembahasan tentang iman dan kufur), Sikke-i Tasdiki Gaybi (mengungkap kebenaran alam ghaib), Kastamonu Lahikasi (berisi tentang surat-surat Nursi kepada para muridnya dan jawaban untuk surat dari muridnya selama ia berada di Kastamonu), Barla Lahikasi (berisi tentang surat-surat Nursi kepada para muridnya dan jawaban untuk surat dari muridnya selama ia berada di Barla), dan Emirdag Lahikasi (berisi tentang surat-surat Nursi kepada para muridnya dan jawaban untuk surat dari muridnya selama ia berada di Emirdag); dan dua buku dalam bahasa Arab berjudul Isyarat al-I’jaz(tanda-tanda kemu’jizatan al-Qur’an) dan Matsnawi al-‘Arabi an-Nuriye (pembahasan singkat kandungan Risale-i Nur).
 
Tambahan: Klik pautan berikut untuk membaca dan mendownload sebahagian Risalah al-Nur yang telah diterbitkan dalam Bahasa Melayu: http://www.malaysianur.com/baca-risalah-al-nur/ . Selamat membaca.

Friday, November 2, 2012

Khazanah Tafsir Di Malaysia

Khazanah Tafsir Di Malaysia merupakan hasil karya Prof. Madya Dr Mustaffa Abdullah, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Buku ini menghimpunkan data-data yang berkaitan dengan pengajian tafsir al-Quran, tokoh tafsir tempatan dan karya kedinamikan tafsir.
 
Ia menampilkan 26 tokoh tafsir dengan pelbagai karya tafsir dalam beberapa aliran tradisional, islah dan al-Dihlawi. Keadaan ini menggambarkan  kedinamikan tafsir al-Quran di kalangan para ulama tempatan dan cendiakawan Islam di Malaysia
 
Isi kandungan buku tafsir in amat sesuai dengan keperluan masyarakat Islam untuk memahami tafsir al-Quran. Ia dimulai dengan sejarah perkembangan pengajian tafsir di Malaysia dan sistem pengajian yang digunapakai. Ia juga menyentuh tentang sejauh mana pengajian tafsir mendapat tempat di Malaysia berbanding dengan disiplin ilmu-ilmu lain. Buku ini juga memaparkan karya dan bentuk penulisan yang dihasilkan dalam pengajian tafsir serta tokoh tafsir di Malaysia yang telah berjuang mengembangkan pengajian tafsir sama ada melalui pengajian mahupun penulisan.

Buku ini amat mudah difahami dan sesuai dijadikan rujukan dan bahan bacaan semua peringkat sama ada sekolah menengah, institusi pengajian tinggi mahupun orang awam.

Paparan data-data dalam buku ini menobatkan jasa dan pengorbanan ulama Melayu dalam penghasilan karya tafsir. Semoga jasa mereka dikenang dan khazanah ilmu yang ditinggalkan dapat dimanfaat dan tidak hilang ditelan zaman.
Dr. Mazlan Ibrahim dari Fakulit Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia yang dijemput sebagai penilai buku Khazanah Tafsir di Malaysia berkata, gaya persembahan buku ini menarik kerana pengaliran ideanya yang nampak tersusun.
 
Malah beliau mengakui buku ini sesuai untuk tatapan masyarakat umum kerana ia mampu memberi input yang bermanfaat kepada bidang tafsir dan secara khususnya kepada perkembangan pengajian dan penulisan kitab-kitab tafsir Melayu Malaysia.
 
Terdapat dua bahagian yang dipecahkan kepada Bahagian 1 merangkumi pengajian tafsir di Malaysia menerusi aliran pengajian pondok, pendidikan formal dan tidak formal.
 
Pada bahagian 2 mengetengahkan tokoh-tokoh tafsir di Malaysia. Antaranya Sheikh Abdul Malik Abdullah, Muhammad Said bin Umar, Syed Sheikh al-Hadi, Uthman Muhammad dan ramai lagi.

Disalindan diedit semula dari;