Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun
kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya
dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara,
termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan
Tasawuf.
Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh
ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari
itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu
selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.
Karya Ilmu Usuluddin
Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu
Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua
Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk
ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal
Jama’ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang
berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy’ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M)
dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan
wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar
sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam
al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895
H/1490 M) dan ramai lagi.
Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga
dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain
al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya
dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam
bahasa Arab dan bahasa Melayu.
Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani ‘Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama’ah Yang Sejati.
Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua
ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi
terkini yang dirasakan perlu membahasnya.
Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin (1232 H/1816 M), ‘Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.
Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir (1245
H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah
risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi,
diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil ‘Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).
Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi ‘Aqaidid Din wal Ad’iyatun Nafi’ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.
Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat
Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di
Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid,
juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab
akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga
menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu’ul Masail.
Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah:Jumanatut Tauhid (1293
H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun
yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga
menyelesaikanMunjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil ‘Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul ‘Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul ’Iqdul Juman fi ‘Aqaidil Iman.
Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi ‘Ilmil ‘Aqaid.
Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad
al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada
bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, ‘Unwanul Falah.
Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga
terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang
menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy’ari dengan Imam Abu
Hanifah.
Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih
tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya
Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun
karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh
Ahmad al-Fathani.
Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya
menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya
ialah: ‘Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.
Hingga sekarang kitab ‘Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di
banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat
kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun
sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi ‘Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.
Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama
Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani
yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya
penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan
beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang
dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:
1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah ‘an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para
ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari hanya keluar daripada Mazhab
Mu’tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal
Jama’ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai
itu.
Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy’ari sebagai murid dan anak tiri Imam
Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu’tazilah selama 40 tahun, dan
keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah
al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang
terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara
lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut
bahawa Imam Abul Hasan al-Asy’ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah
wal Jama’ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.
Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah ‘an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak
pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun
selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama’ah golongan Abul Hasan
al-Asy’ari meyakini bahawa Al-Ibanah ‘an Ushulid Din dan Al-Luma’ adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy’ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu’tazilah. Al-Luma’ adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma’ pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma’.
2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan
pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak
berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.
Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman
5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “… Kemudian
diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy’ari) karang
atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang
yang me[ng]edarkan Ilmu ‘Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni
mengikut Quran, dan hadis, dan ijma’ sahabat yang dahulu-dahulu yang
salih-salih …”
3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy’ari dan
pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak
Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh
Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah
Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin,
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Dan tatkala selesai
daripada menyatakan barang yang ta’alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang
yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya
maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta’alluq pada hak
Nubuwah dan risalah pula.”
Ketuhanan
Dalam Warduz Zawahir pula, “… telah dijadikan kalimah tauhid
itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan
yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian
millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah …” Selanjutnya, “Dan yang
bersalahan antara orang Mu’minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan
mahabbah orang Mu’minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun
mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah
al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya”.
Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa
Arab) menyebut, terjemahannya, “Ketahui olehmu bahawa
perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat,
iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang
mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang
dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang
mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam’iyat, iaitu …”
Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal
Jama’ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama
Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan
pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah dari segala macam kritikan, kecaman,
tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.
Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat
Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu
Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus
membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan
beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: ’Ilmut Tashawuf (1233
H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi
(muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.
Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan ‘ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul ‘Abidin ila Jannati Rabbil ‘Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.
Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin
Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada
konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.
Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat
diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan
pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode
zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.
Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir
kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta’allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.
Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam’ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.
Menggubah puisi
Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu
daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur
Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah
saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.
Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul
Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah
Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat
terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa
risalah tentang tasawuf dan tarekat.
Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan
tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A’ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324
H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan
mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik
Sa’id Linggi (Sheikh Muhammad Sa’id bin Haji Jamaluddin Linggi) di
Kelantan.
Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah
puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa
Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A’ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan ‘Unwanul Falah.
Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A’ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.
Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.
Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa
karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya
Al-’Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji
Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur
Rabbani al-’Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin
Muhammad Ibnu Ali al-’Arabi.
SUMBER:http://ibadurrahman99.wordpress.com/2012/06/21/karya-ulama-patani-dalam-ilmu-usuluddin-dan-tasawuf/ - sumber asal dari
No comments:
Post a Comment