Showing posts with label Solat Jemaah. Show all posts
Showing posts with label Solat Jemaah. Show all posts

Wednesday, October 1, 2014

al-Bahjah al-Mardhiyyah fi 'Uzr Takhalluf al-Ma'mum 'an al-Imam


Kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام) merupakan sebuah karya fiqh al-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H) seorang tokoh ulama dan pengarang kitab Jawi yang terkenal di Nusantara.  Dalam kitab ini diterangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”.

Sekadar pengetahuan penulis catatan ini, kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah tidak pernah dicetak secara berasingan dalam satu edisi yang tersendiri, malahan sentiasa dicetak di bahagian akhir kitab Munyah al-Mushalli, yang juga karya Syaikh Daud Fathani. Perkara ini juga ada dinyatakan oleh al-Marhum Tuan Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam muqaddimah buku beliau yang berjudul “ Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur[1]. Kata beliau;

Sama ada cetakan mutawal Mun-yatul Mushalli di Mekah, Mesir, Turki dan Bombay mahupun cetakan mutakhirnya di Surabaya, Cerebon, Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain sentiasa dikembarkan cetakannya dengan karya beliau yang berjudul al-Bahjatul al-Mardhiyah. Al-Bahjatul Mardhiyah sebenarnya bukan termasuk dalam bahagian Mun-yatul Mushalli, tetapi adalah merupakan karya yang berdiri sendiri. Akan tetapi kerana kandungannya membicarakan perkara Muafiq dan Masbuq yang ada hubungannya dengan perkara sembahyang, maka itulah barangkali pentash-hih pertamanya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani mengambil inisiatif mengkobinasikannya dalam satu cetakan ”.

Dalam muqaddimah kitab ini, Syaikh Daud al-Fathani ada menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitab al-Bahjah al-Mardiyyah ini. Kata beliau;

“ Ada pun kemudian daripada itu, tatkala adalah setengah saudaraku yang tiada dapat ku menyalahi akan pintanya (permintaan) bahawa menuntut terjemahkan beberapa masail (permasalahan) yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya, dan tiada diuzurkan. Maka faqir imtisalkan (ikuti) pintanya kerana yang menunjukkan daripada hadis (الدال على الخير كفاعله ). Maka adalah risalah yang terlebih elok aturannya, lagi terlebih nyata bagi maksudnya, lagi singkat bicaranya, iaitu: Syarah bagi Manzhum al-‘Alim al-‘Allamah al-Muhaqqiq, iaitu Syaikh ‘Azizi yang terkandung bicara yang tersebut itu bagi  ‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim Rais r.h. yang sangat banyak manfaatnya bagi awam muslimin dan khawasnya.  Maka faqir ilaLlah Ta’ala hendak terjemahkan daripadanya dengan  bahasa Melayu, supaya manfaat bagi orang yang tiada tahu bahasa Arab. Dan jika adalah hamba tiada ahlinya, pada medan ini, tetapi sebab iktimad (pergantungan) faqir ‘alal Lahil Karim bahawa diberi taufiq bagi shawab………….
dan aku namakan terjemah ini;  (ثلاثة أركان طويلة   البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام)”.

Dalam petikan di atas, Syaikh Daud al-Fathani menjelaskan bahawa kandungan kitab al-Bahjah al-Mardhiyyah ini merupakan himpunan beberapa petikan (nukilan) yang diterjemahkan daripada kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi (  شرح منظومة العزيزي), sebuah karya guru beliau, iaitu al-‘Alim al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rais (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M). Kitab ini merupakan huraian bagi matan Manzhumah al-‘Azizi fi Masa-il al-Jama’ah[2] iaitu sebuah kitab yang membicarakan mengenai beberapa persoalan solat berjamaah – yang  disusun dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M). Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim al-Ghazzi[3].

Dalam kitab ini, Syaikh Daud Fathani telah memetik dan menterjemahkan enam bait nazam dari kitab Manzhumah al-‘Azizi yang berkaitan dengan masalah yang dibincangkan. Sebelum menyebutkan bait yang pertama, Syaikh Daud terlebih dahulu menyatakan; “ Kata Shahibul al-Manzhumah Syaikh ‘Azizi r.’a ” (ertinya “Kata tuan pengarang al-Manzhumah iaitu Syaikh al-‘Azizi ”). Bagi bait-bait nazam berikutnya (bait 2-4) disebutkan “ Kata Nazhim ” (ertinya “ Kata Penyusun nazam ” ). Manakala bagi bait 5-6 didahului dengan “ Katanya ”.

Selepas menyebut bait nazam pertama, Syaikh Daud Fathani memulai huraiannya dengan menyebutkan “ Telah berkata syarahnya, ertinya…”. Setelah menyebutkan bait nazam yang kedua, beliau menyebutkan “ Dan kata Syarihnya telah menyebutkan nazhim pada bait ini….”. Manakala selepas nazam yang ketiga pula beliau menyebutkan “ Maka kata syarahnya telah menyebut nazhim bait ini….”. Selepas bait nazam yang keempat dan kelima, beliau menyebutkan “ Kata syarahnya…”, manakala selepas bait yang keenam disebutkan “ Dan menyebut syarahnya….”.


Syaikh Daud Fathani mengakhiri risalah kecil ini dengan sebuah “ Tatmim Masalah ” yang menerangkan permasalahan jika seorang yang solat itu syak sama ada ia termasuk orang yang muawafiq atau masbuq.

Kitab yang terkenal dengan judul ringkasnya al-Bahjah al-Mardhiyyah ini selesai disusun oleh Syaikh Daud al-Fathani pada tahun 1259H/1843M, atau lebih tepat sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Daud al-Fathani sendiri di akhir kitab ini;

 “ Telah selesai faqir Daud bin Abdullah al-Fathani daripada menterjemahkan risalah ini pada waktu ‘asar hari selasa (ثلاثاء) empat belas hari bulan Syawal pada Hijrah Nabi saw seribu dua ratus lima puluh sembilan ( 14 Syawal 1259H ) pada negeri Makkah al-Musyarrafah…….”.

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.



[1] Lihat Mun-yatul Mushalli Syeikh Daud Al-Fathani Pengetahuan Sembahyang yang Masyhur. Khazanah Fathaniyah, Ct-1, 1991. 

[2] Kita Syarh Manzhumah al-‘Azizi ini telah diberikan huraian dalam bentuk hasyiah pula oleh Syeikh al-Haris bin Hummam, melalui karya beliau yang berjudul Nushrah al-Halim Hasyiah Manzhumah al-‘Azizi (نصر الحليم حاشية منظومة العزيزي). Syeikh al-Haris adalah murid kepada Syeikh Muhammad Shalih al-Rais.

[3] Iaitu kitab yang menghurai atau mengkomentarkan karya al-‘Allamah Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H) yang berjudul Fath al-Qarib al-Mujib atau terkenal sebagai Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib, yang merupakan huraian bagi Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H).


Friday, November 29, 2013

al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam



Kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmun wa al-Imam ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i  (القول التام فى أحكام المأمون والإمام على مذهب الإمام الشافعى) adalah sebuah karya fiqh lengkap yang menghuraikan tatacara solat berjemaah mengikut mazhab Syafi’i. Kitab ini disusun oleh al-Hibr al-Himam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-Fath Muhammad bin Ahmad, yang terkenal dengan Ibn al-‘Imad al-Aqfahsi al-Mishri al-Syafi’i (867H). Beliau merupakan guru kepada al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (773-852H) dalam bidang fiqh.

Secara umumnya, kandungan kitab ini menfokuskan hampir keseluruhan peraturan-peraturan menjadi imam dan makmum dan permasalahan-permasalahan berkaitan muwafiq dan masbuq.

Terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu…

Sekadar pengamatan penulis terdapat dua edisi terjemahan kitab ini dalam bahasa Melayu. Namun begitu, kedua-dua edisi terjemahan ini bukanlah terjemahan yang lengkap bagi kitab al-Qawl al-Tam. Berikut dicatatkan sedikit maklumat mengenai dua edisi buku terjemahan ini;

a)     Masalah Imam dan Makmum. Buku ini disusun oleh Dato’ Yusuf Zaki Yacob (1928-1999), seorang ulama dan penulis terkenal di Kelantan. Buku ini telah diterbitkan oleh Syarikat Dian Darul Naim, Kelantan – dengan cetakan pertamanya pada tahun 1991 dan cetakan kedua pada tahun 1993. Ia telah diterbitkan dalam edisi rumi dan jawi.

Menurut Dato’ Yusuf Zaki;

 Buku ini disaringkan dari kitab al-Qawl al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam … Dalam saringan ini penulis hanya memetik masalah-masalah yang kerap berlaku sahaja dan meninggalkan masalah-masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia, supaya lebih mudah difahami dan dingati oleh para pembaca[1].

Kandungan buku ini dimulai dengan menyebutkan hadis-hadis asas mengenai peraturan solat berjemaah dan diikuti 183 masalah yang berkaitan imam dan makmum. Ketebalan buku ini merangkumi 82 halaman tidak termasuk halaman isi kandungannya. Kitab ini masih dicetak dan dijual di pasaran buku-buku agama.


b)     Terjemahan Kitab Qaulu Tam Fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam (Hukum Makmum & Imam). Buku ini disusun oleh Datuk Syaikh al-Haj Zakaria bin al-Haj Ahmad Wan Besar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah. Buku ini telah diterbitkan dengan edisi rumi dan jawi oleh Pustaka Darul Salam, Alor Setar – Kedah.

Maklumat lanjut mengenai buku ini, saya bawakan kata-kata penyusunnya (penterjemah), sebagaimana dalam muqaddimahnya:

“ ..Maka dengan taufik dan hidayah Allah SWT dapat saya menterjemahkan sebuah kitab fiqh yang terkenal pada zaman silam iaitu kitab al-Qaul al-Tam ….karya al-Imam ….Syihabuddin Ahmad bin Muhammad – yang masyhur dengan Ibn al-‘Imad Yusuf al-Mishri al-Aqfahasi. Terjemahan ini pada mulanya ialah sebagai catitan untuk  kegunaan bagi saya  sendiri semasa     menyampaikan pelajaran (mengajar) di majlis pengajian khas di rancangan takmir masjid dan surau di negeri Kedah Darul Aman. Dimaklumkan bahawa kitab tersebut tidaklah saya terjemahkan semua sekali (seratus peratus) dan mana-mana masalah yang jarang berlaku dalam masyarakat kita saya tinggalkan supaya terjemahan ini tidak ternampak besar oleh para pembaca yang boleh menjemukan mereka[2].   

Kandungan buku ini dimulai dengan terjemahan kata pendahuluan pengarang asal (Ibn al-‘Imad) yang mengandungi hadis-hadis mengenai solat berjemaah dan diikuti 215 masalah yang berkaitan solat berjemaah. Ketebalan buku ini merangkumi 202 halaman termasuk halaman isi kandungannya (berdasarkan buku edisi Jawinya).   


Sekadar ini sahaja yang dapat saya catatkan mengenai kitab al-Qawl al-Tam ini. Semoga bermanfaat.


[1] Masalah Makmum dan Imam  (edisi Jawi) – hal. 2.
[2] Terjemahan al-Qaulu Tam…(edisi Jawi), hal. 1-2.