Showing posts with label Ibn Qudamah al-Maqdisi. Show all posts
Showing posts with label Ibn Qudamah al-Maqdisi. Show all posts

Monday, August 19, 2013

Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (مختصر منهاج القاصدين)


Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (مختصر منهاج القاصدين) merupakan sebuah kitab yang membincangkan mengenai kaedah dan prinsip “Tazkiyah al-Nafs” ( penyucian jiwa), yang disusun oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (597-682H), seorang ulama terkenal dalam mazhab Hanbali.

Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin ini, merupakan sebuah ringkasan yang dilakukan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi terhadap kitab Minhaj al-Qashidin (منهاج القاصدين) karya Ibn al-Jawziy. Manakala kitab Minhaj al-Qashidin pula merupakan ringkasan bagi sebuah kitab dalam bidang tazkiyah al-nafs yang terkenal, iaitu kitab Ihya ‘Ulumiddinإحياء علوم الدين) , karya Hujjah al-Islam Imam Abu Hamid Muhammad bin Ahmad al-Ghazali al-Thusi (505H).

Sebagaimana yang diketahui umum, bahawa kitab al-Ihya merupakan kitab yang terkenal menjadi rujukan utama dalam bidang tasawwuf, penuh dengan berbagai rinci ilmu yang berkaitan penyucian jiwa dalam beragama. Kandungannya menerangkan berbagai hikmat peribadatan yang disyariatkan Allah, menyelami konsep akhlak, zuhud yang sebenar, rasa cinta yang hakiki, merawat hati serta jiwa dan sentiasa memahatkan sifat ikhlas dalam beragama. Namun begitu, di dalamnya juga mengandungi berbagai bentuk kesilapan dari segi pembawaan dalil dengan mengedepankan hadis-hadis yang palsu (maudhu'), dhaif, dan mauquf. Maka, apabila ini berlaku, ia akan membawa kepada banyak syubhat dan penyimpangan di dalam urusan dan tujuan asal, iaitu penyucian jiwa.

Oleh itu, kitab al-Ihya’ telah diringkaskan dan diolahkembali oleh Ibn al-Jawziy  melalui kitabnya Minhajul Qashidin sebagai alternatif baru bagi memastikan kandungan kitab al-Ihya’ dapat diamalkan oleh umat Islam tanpa keraguan dan jauh dari kekhilafan. Kitab Minhaj al-Qashidin ini kemudiannya telah diringkaskan lagi oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi dengan membuangkan tajuk-tajuk yang berkaitan aqidah dan fiqh, yang masih dikekalkan oleh Ibn al-Jawziy. Dalam kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin, beliau hanya mengekalkan tajuk-tajuk yang khususnya mengenai tazkiyah al-nafs. Beliau telah membuat beberapa pembetulan, semakan dan tambahan bagi menyempurnakan kandungan kitab tersebut..

Di antara kandungan yang dipersembahkan untuk pembaca melalui kitab ini adalah berkenaan wajibnya menuntut ilmu, keutamaan ilmu, bahaya tanpa ilmu, persoalan-persoalan asas dalam ibadah seperti penjagaan thaharah dan solat, adab-adab dengan al-Qur'an, dzikir dan doa, berbagai himpunan adab-adab seorang muslim, hakikat persaudaraan, penawar hati, ketenangan jiwa, bimbingan memperbaiki akhlak, bagaimana mengendalikan syahwat, bahaya lidah, mengawal sifat dengki dan emosi, zuhud, mendidik rasa bersyukur dan sabar, menjauhi sifat sombong, ajakkan sentiasa bertaubat, kepentingan tauhid, pentingnya niat dan kejujuran, konsep muraqabah (mendekat diri kepada Allah), tafakur, mengingati mati dan rahmat Allah, dan mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam.

Prinsip yang dibawakan oleh penyusun kitab ini adalah dengan prinsip yang sahih lagi ilmiah berpandukan al-Qur'an, al-Sunnah, dan kefahaman yang benar di atas jalan Ahlus Sunnah wal-Jama'ah. Kitab ini patut menjadi rujukan dan panduan umat Islam dalam bidang tazkiyah al-nafs, bagi mengelakkan diri dari konsep penyucian jiwa (tazkiyatun nafs) yang menyimpang lagi menyesatkan dan yang tidak bersumberkan dalil agama yang benar dan jelas.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu / Indonesia dan telah diterbitkan oleh berbagai syarikat penerbitan. 

Kitab Mukhtashar Minhaj al-Qashidin (versi arab) ini boleh dimuat turun di pautan http://archive.org/download/WAQ94562WAQ/94562.pdf.

Semoga bermanfaat.

Sunday, March 3, 2013

al-Mughni karya Ibn Qudamah al-Maqdisi


Kitab al-Mughni ( المغني ) karya Muwafiquddin Ibnu Qudamah al-Maqdisi rahimahullah ini adalah di antara deretan khazanah agung ahli sunnah wal-jama'ah dalam bidang perbahasan fiqh Islam. Kitab al-Mughni merupakan kitab yang disusun sebagai huraian (syarah) kepada kitab Mukhtashar al-Kharaqi (الخرقي مختصر ), sebuah kitab fiqh dalam mazhab Hanbali karya Abu al-Qasim ‘Umar bin al-Husain bin ‘Abdullah al-Kharaqi. Kitab ini dengan membawa method perbahasan fiqh perbandingan (muqorran) antara mazhab dengan menjadikan mazhab fiqh Imam Ahmad bin Hanbal sebagai keutamaan, di mana ia dilahirkan dari kalangan kelompok mazhab Imam Ahmad B. Hanbal.

Kitab ini sebaris dengan deretan karya-karya fiqh muqarran lainnya. Beliau mengemukakan perbahasan-perbahasan fiqh antara mazhab, dalil-dalilnya, dan kemudian menjelaskan kesimpulan yang paling tepat berdasarkan ijtihad beliau.

Beliau juga turut mengemukakan perbezaan pendapat yang berlaku dan berkembang di kalangan para ulama madzab Hanbali dalam pelbagai masalah berserta hujah-hujah dalilnya. Kemudian beliau bandingkan dengan pendapat-pendapat dari kalangan ulama mazhab yang lain sama ada mazhab Malik, Abu Hanifah, asy-Syafi'i, termasuklah beberapa mazhab para ulama yang jarang diketahui seperti mazhab Imam al-Hasan al-Basri, Atha', Sufyan at-Tsauri, serta beberapa yang lain. Termasuk juga di dalamnya mazhab para sahabat dan para tabi'in.

Tanpa dapat disangsikan lagi, bahawa Kitab al-Mughni ini adalah merupakan termasuk di antara ensiklopedi fiqh Islam dari zaman salaf yang terbaik yang telah disusun dalam format fiqh perbandingan yang mana pada ketika itu kitab-kitab seperti ini masih begitu jarang ditemui.

Oleh kerana itu, para ulama yang berasal dari pelbagai mazhab pun memandang kitab ini dengan pandangan penuh penghargaan, penelitian, dan dianggap sebagai salah satu rujukan ulung dalam bidangnya. Ini sekaligus memberi sumbangan berharga dalam menangani pelbagai isu-isu fanatik kepuakan dan mazhab.

Sebagaimana kitab-kitab fiqh lainnya, kitab ini dimulakan dengan perbahasan fiqh thaharah, wudhu', mandi, solat, solat-solat sunnah, pengurusan jenazah, haji dan umrah, zakat, puasa, sehinggalah kepada perbahasan-perbahasan lainnya yang lebih terperinci dalam pelbagai cabang fiqh seperti sembelihan, buruan, pernikahan, jual beli, wasiat, luqatah, hutang pituang, jihad, peperangan, jihad, pemerintahan, banyak lagi yang lainnya.

Pujian Ulama Terhadap Ibnu Qudamah dan karya beliau, al-Mughni;

Imam Ibnu Muflih rahimahullah (Wafat: 763H) berkata, "Muwaffaquddin Ibnu Qudamah telah menyibukkan dirinya bagi tujuan menyusun sebuah kitab tentang Islam. cita-cita beliau tersebut pun tercapai. Kitab beliau ini merupakan kitab yang sangat bagus dalam mazhab Hanbali. Beliau telah berjaya menyusun kitab tersebut dan telah melakukannya dengan baik sekali. Kitab beliau telah menghiasi Mazhab Hanbali dan telah dibaca oleh banyak orang (para ilmuan) di hadapannya."

Pengarang kitab al-Wafi bi al-Wafayat, iaitu Imam Sholahuddin Shofdi rahimahullah (Wafat: 764H) mengatakan, "Beliau (Ibnu Qudamah) adalah orang nombor satu pada masanya. Beliau adalah imam yang sangat menguasai ilmu khilaf (perbezaan pendapat di kalangan ulama dan mazhab), Fara'idh, ushul fiqh, fiqh, nahwu, hisab, serta astronomi dan al-manak. Dalam tempoh masa tertentu, beliau telah menjadikan orang ramai ketika itu sibuk untuk mengkaji kitab al-Khiraqi, al-Hidayah, dan kemudian kitab Mukhtashar al-Hidayah. Setelah itu, beliau menjadikan orang ramai sibuk pula untuk mengkaji (mendalami) kitab-kitab hasil tulisannya."

Download kitab ini di pautan berikut: http://www.waqfeya.com/book.php?bid=504