Friday, February 22, 2013

Musnad Imam Ahmad bin Hanbal


Kitab al-Musnad, hasil karya Imam Ahmad B. Hanbal (241H) atau nama penuhnya Abu ‘Abdillah Ahmad B. Muhammad B. Hanbal B. Hilaal B. Asad B. Idriis B. ‘Abdillah B. Hayyaan adz-Dzuhliy asy-Syaibaaniy al-Marwaziy kemudian al-Baghdaadiy. Salah seorang imam yang disepakati keimamannya, Syaikh al-Islaam, tsiqah, faqiih, haafiz, lagi hujjah.
Kitab yang dikenali sebagai Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal ini, merupakan salah satu kitab hadis ahlus sunnah wal-jama’ah, yang menjadi rujukan penting dalam bidang hadis, tafsir, fiqh, ‘aqidah, sirah, dan selainnya.

Di dalamnya menghimpunkan ribuan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berserta atsar-atsar para sahabat yang diriwayatkan secara musnad (bersanad).
Hajjaaj B. asy-Syaa’ir rahimahullah berkata:

Kedua mataku tidak pernah melihat ruh yang ada di suatu jasad yang lebih utama (afdhal) berbanding Ahmad B. Hanbal.”
Abu Bakr B. Abi Daud as-Sijistani rahimahullah berkata: “Tidak ada di zaman Ahmad B. Hanbal orang yang seumpamanya.”

Abu Zur’ah rahimahullah berkata: “Ahmad bin Hanbal hafal sejuta hadis.”

Ibnu Maakuulaa berkata: “Beliau adalah orang yang paling ‘aalim (berilmu) terhadap mazhab sahabat dan tabi’in.”
Biografi beliau terdapat di banyak kitab, di antaranya: Tahdziib al-Kamaal, 1/437-470, no. 96, Siyar A’laam an-Nubalaa’, 11/177-359, no. 78, al-Jarh wa al-Ta’diil, 1/292-313, dan yang lainnya.

Imam Ahmad rahimahullah menyusun kitab al-Musnad berdasarkan tertib susunan berikut;
1.       Sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk Syurga, kemudian:
2.       ‘Abdurrahmaan B. Abi Bakr, Zaid B. Khaarijah, Al-Haarits B. Khazamah, dan Sa’d B. Maulaa Abi  Bakr, kemudian:
3.       Musnad Ahlul-Bait, kemudian:
4.       Musnad dari kalangan sahabat-sahabat lainnya, di antaranya: Ibnu Mas’oud, Ibnu ‘Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’iid Al-Khudriy, Jaabir, Anas, Ibnu ‘Amru B. Al-‘Aash, dan yang lainnya, demikian seterusnya:
5.       Musnad penduduk Makkah (Makiyyiin).
6.       Musnad penduduk Madinah (Madaniyyiin).
7.       Musnad penduduk Syaam (Syaamiyyiin)
8.       Musnad penduduk Kuufah (Kuufiyyiin).
9.       Musnad penduduk Bashrah (bashriyyiin).
10.   Musnad Al-Anshaar
11.   Musnad ‘Aaisyah dan para shahabiyyaat.
12.   Kabilah-kabilah yang lain.
 
Kedudukan Kitab Al-Musnad susunan Imam Ahmad;
Ibnu Samaak berkata: Telah menceritakan kepada kami Hanbal, beliau berkata: “Ahmad B. Hanbal mengumpulkan kepada kami, iaitu aku, Sholeh, dan ‘Abdullah. Beliau membacakan kepada kami al-Musnad yang tidak ada yang mendengarnya selain kami. Beliau berkata:
“Kitab ini (iaitu al-Musnad) aku kumpulkan dan aku pilih dari lebih 750.000 hadis. Dan apa yang diperselisihkan kaum muslimin dari hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka merujuklah kepadanya. Apabila kalian mendapatkan padanya (hadis tersebut, maka itu dapat dipergunakan sebagai hujjah). Namun jika kalian tidak mendapatkannya, maka ia tidak dapat digunakan sebagai hujjah.” (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 11/329)
Abu Muusaa Muhammad B. Abi Bakr Al-Madini rahimahullah (Wafat: 581H) berkata:

Kitab ini merupakan ushul yang besar, rujukan yang teguh (terpercaya) bagi ahli hadis. Ia (Ahmad) memilahnya (mengasingkan) dari hadis-hadis yang banyak dan riwayat yang melimpah, sehingga menjadikannya sebagai imam dan pedoman, serta sandaran ketika terjadi perselisihan.” (Khashaaish Musnad Al-Imaam Ahmad, m/s. 13)
Jumlah Hadis dalam Al-Musnad;
Abu Muusaa Muhammad bin Abi Bakr Al-Madiniy rahimahullah berkata: “Adapun jumlah hadis dalam kitab Al-Musnad, maka aku sentiasa mendengar dari ucapan manusia bahawa ia berjumlah 40, 000 hadis, sehingga aku membacakannya kepada Abu manshuur B. Zuraiq di Baghdaad: Telah mengkhabarkan kepada kami Abu Bakr Al-Khathiib, beliau berkata: Telah berkata Ibnul-Munaadi: ‘Tidak ada di dunia seorang pun yang meriwayatkan daripada ayahnya lebih banyak darinya, iaitu ‘Abdullah B. Ahmad B. Hanbal. Karena ia mendengar Al-Musnad yang jumlahnya 30, 000 hadis, dan Tafsiir yang jumlahnya 120, 000 hadis...” Aku tidak tahu adakah yang disebutkan oleh Ibn al-Munaadi adalah hadis yang tidak diulang-ulang ataukah hadis lain yang diulang-ulang? Sehingga kedua perkataannya itu mungkin benar...” (Khashaaish Musnad Al-Imaam Ahmad, m/s. 15)
Namun jika kita perbandingkan dengan versi cetak yang sampai kepada kita, maka jumlah hadisnya seperti berikut:

1.    Penerbit Daar ‘Aalamil-Kutub, Cet. 1/1419H, tahqiq: As-Sayyid Abul-Ma’aathiy An-Nuuriy dan sahabat-sahabatnya, sebanyak 28, 199 hadis.
 2.     Penerbit Baitul-Afkaar Ad-Dauliyyah, Cet. Thn. 1419H: sebanyak 28, 199 hadis.
 3.      Penerbit Daar al-Hadiits, Cet. 1/1416H, tahqiq: Syaikh Ahmad Syaakir dan Hamzah Zain: sebanyak 27, 519 hadis.
 4.    Penerbit Muassasah Ar-Risaalah, Cet. 1/1421H, tahqiq: Syu’aib Al-Arna’uth dan sahabat-sahabatnya: sebanyak 27, 647 hadis.
 5.       Program Jawaami’ul-Kalim versi 4.5: sebanyak 27, 099 hadis.
 
Beberapa Methode Penomboran hadis Bagi Edisi Tercetak;

1.       Penomborannya disusun berdasarkan hadis-hadis yang serupa. Hadis-hadis yang serupa dianggap sebagai satu hadis.
2.       Penomboran hadis diletakkan berpandukan sanad, iaitu setiap sanad dikira sebagai satu hadis.
3.      Pernomboran dari naskah al-Maimuniyyah, terdiri dari cetakan dengan 6 jilid lengkap. Penomboran diletakkan berdasarkan halaman dan jilid.

Jumlah Sahabat yang hadisnya Tercantum dalam Kitab al-Musnad;
Abu Muusaa Muhammad B. Abi Bakr Al-Madini rahimahullah berkata: “Sungguh aku telah menghitung jumlah mereka (dari kalangan sahabat) dan ia mencapai 690 orang lebih selain yang wanita. Dan aku telah menghitung yang wanita (shahabiyyah) mencapai 96 orang. Oleh kerana itu, kitab Al-Musnad mencakup sekitar 800 orang sahabat, selain yang tidak disebutkan namanya dari kalangan anak-anak, mubhaamaat (orang dewasa yang tidak disebutkan namanya), dan yang lainnya.” (al-Mish’ad al-Ahmad, 1/34-35)
Syarat Imam Ahmad Dalam Al-Musnad;

Al-Hafiz Ibnu Rajab rahimahullah (Wafat: 795H) berkata:  “Dan yang nampak dari perbuatan dan perkataan Al-Imam Ahmad bahawasannya beliau meninggalkan riwayat orang-orang yang tertuduh (berdusta) dan orang-orang yang banyak kelirunya akibat kelalaian dan buruknya hafalan mereka.” (Syarh ‘Ilal at-Tirmidzi, 1/386)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:
Syarat kitab Al-Musnad lebih kuat berbanding syarat Abu Daud dalam Sunan-nya. Abu Daud telah meriwayatkan dalam Sunan-nya dari para perawi yang ditolak oleh Ahmad dalam Al-Musnad. Oleh sebab itu, al-Imam Ahmad tidaklah meriwayatkan dalam Al-Musnad dari perawi yang diketahui telah sering berdusta seperti Muhammad B. Sa’iid Al-Mashluub dan yang lainnya. Akan tetapi beliau adakalanya meriwayatkan dari para perawi yang dilemahkan kerana buruknya hafalannya. Perawi tersebut ditulis hadisnya untuk menguatkan (hadis lain) dan dijadikan sebagai i’tibar.” (Majmu’ al-Fataawaa, 18/26)
 
Menurut penelitian Dr. ‘Aamir B. Hasan Shabri hafidzahullah, ternyata dalam di antara syuyuukh (para guru) Imam Ahmad rahimahullah terdapat beberapa orang perawi yang matruuk. Perawi matruuk ini dalam ilmu mushthalah termasuk perawi yang sangat lemah. Ada empat orang, iaitu:

1.        ‘Aamir B. Sholeh B. ‘Abdillah Az-Zubairiy. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Matruuk al-hadiits.”
2.        ‘Abdullah B. Waaqid. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Matruuk.”
3.       ‘Umar B. Haaruun Al-Balkhiy. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Matruuk.”
4.      Muhammad B. Al-Qaasim al-Asadi. Kata al-Hafiz Ibnu Hajar: “Mereka mendustakannya.” (Mu’jam Syuyuukh Al-Imaam Ahmad fil-Musnad, m/s. 29-30)

Darjat Hadis dalam Al-Musnad
al-Haafiz Abu al-Qaasim at-Tamiimi rahimahullah berkata:

“Tidak boleh untuk dikatakan: Padanya ada hadis saqiim (lemah). Akan tetapi, padanya terdapat hadis sahih, masyhuur, hasan, dan ghariib.” (Al-Mish’adul-Ahmad, m/s. 34)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:
“Orang-orang berselisih pendapat: ‘Adakah di dalam Musnad Imam Ahmad terdapat hadis maudhu’ (palsu)?
Sekelompok huffaaz (para penghafaz hadis) seperti Abu al-‘Alaa’ al-Hamdaani dan selainnya berkata: “Tidak ada padanya hadis maudhu’.”

Sebahagian ulama seperti Abul-Farj B. Al-Jauzi berkata: “Padanya terdapat hadis maudhu’.” (Majmuu’ al-Fataawaa, 18/26. Al-Mish’adul-Ahmad, m/s. 35)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

“Tidak ada dalam Musnad Ahmad hadis yang tidak ada asalnya, kecuali tiga atau empat hadis saja. Di antaranya hadis ‘Abdurrahmaan B. ‘Auf, bahawasannya ia masuk Syurga dengan merangkak. Alasannya adalah bahawa hadis ini termasuk yang diperintahkan Al-Imam Ahmad untuk dibuang, namun ternyata ia ditinggalkan kerana lupa.” (Ta’jiilul-Manfa’ah, sebagaimana disebutkan dalam Tadwiin as-Sunnah an-Nabawiyyah, m/s. 99)
Klasifikasi Hadis-Hadis dalam Al-Musnad yang Tercetak;

Asy-Syaikh Ahmad B. ‘Abdirrahmaan As-Saa’aatiy rahimahullah berkata:

“Berdasarkan penelitianku terhadap hadis-hadis dalam Al-Musnad, aku dapati ia terbahagi menjadi enam kelompok (atau bahagian kategori):
1.         Bahagian yang diriwayatkan oleh Abu ‘Abdirrahmaan ‘Abdullah B. Imam Ahmad rahimahumallaah dari ayahnya dengan mendengarnya secara langsung. Inilah yang diberi nama Musnad Al-Imaam Ahmad. Jumlahnya sangat banyak mencapai ¾ kitab.

2.         Bahagian yang ‘Abdullah mendengarnya dari ayahnya dan yang lainnya. Jumlahnya sangat sedikit.

3.         Bahagian yang diriwayatkan ‘Abdullah dari selain ayahnya. Bahagian ini dinamakan oleh para muhadditsiin (ahli hadis) sebagai Zawaaid (tambahan) daripada ‘Abdullah. Jumlahnya cukup banyak dibandingkan bahagian yang lain, selain bahagian yang pertama.

4.         Bahagian yang ‘Abdullah membacanya di hadapan ayahnya, dan ia tidak mendengar darinya. Jumlahnya sedikit.

5.         Bahagian yang ia (‘Abdullah) tidak membacakannya (di hadapan ayahnya) dan tidak pula mendengarnya, akan tetapi ia mendapati dari kitab ayahnya dengan tulisan tangannya. Jumlahnya sedikit juga.

6.         Bahagian yang diriwayatkan oleh Al-Hafiz Abu Bakr al-Qathii’iy dari selain ‘Abdullah dan ayahnya rahimahumullah. Jumlahnya paling sedikit. (Fathur-Rabbaani, 1/8)

Terjemahan al-Musnad dalam bahasa Melayu;

Sekadar pengetahuan saya, Kitab al-Musnad ini telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu / Indonesia dan diterbitkan oleh Pustaka Azzam Indonesia  lengkap  dalam 22 jilid. Ini adalah edisi terjemahan yang ditahqiq (diteliti dan dicetak dari semakkan manuskrip) oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah. Di dalamnya disertakan mukaddimah, takhrij, ta’liq, dan catatan kaki oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir.

Download Kitab al-Musnad;

http://www.waqfeya.com/book.php?bid=7839
http://www.waqfeya.com/book.php?bid=3640
http://www.waqfeya.com/book.php?bid=2762

2 comments: