Saturday, November 28, 2015

al-Ibanah fi Furu’ al-Syafi’i


Kitab “ al-Ibanah fi Furu’ al-Syafi’i[1] ” adalah sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i karya al-Imam Abu al-Qasim Abdurrahman bin Muhamad Ahmad bin Fawran al-Fawrani (461H). Beliau adalah seorang tokoh besar dalam mazhab syafi’i. Beliau  merupakan murid senior kepada al-Imam Abu Bakr Abdullah bin Ahmad bin Abdullah al-Maruzi (327-417H), yang terkenal dengan gelaran al-Qaffal al-Shaghir. Di antara karya beliau ialah kitab al-Ibanah dan al-‘Umdah.

Kitab al-Ibanah menjadi rujukan para ulama terkemudian dan isi kandungannya yang memaparkan pandangan dan idea-idea al-Fawrani mengenai sesuatu permasalahan hukum telah dipetik dan menjadi sandaran para ulama di dalam kitab-kitab karya mereka. Kitab al-Ibanah sangat masyhur sebagai karya al-Fawrani di kalangan ulama Syafi’iyyah, sehingga mereka hanya memadai menyebutkan gelaran Imam al-Fawrani di dalam kitab-kitab fiqh karya mereka sebagai “Shahib al-Ibanah” (Pengarang kitab al-Ibanah), tanpa menyebut namanya.

Sebagai contohnya, Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi r.h banyak memetik pandangan Imam al-Fawrani dari kitab al-Ibanah, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Majmu’ karyanya. Berikut dibawakan petikan dari kitab al-Majmu’;

قال صاحب ” الإبانة ” : يكره الخاتم من حديد أو شَبَه وهو نوع من النحاس , وتابعه صاحب ” البيان ” فقال : يكره الخاتم من حديد أو رصاص أو نحاس لحديث بريدة رضي الله عنه.

Ertinya; “ Pengarang kitab al-Ibanah mengatakan, makruh memakai cincin besi atau tembaga. Pendapat ini juga diikuti oleh pengarang kitab al-Bayan. Beliau mengatakan, ‘Makruh memakai cincin besi, atau timbal, atau tembaga. Berdasarkan hadis dari Buraidah ”. (al-Majmu’ : 4/341)

Kitab al-Ibanah telah diringkaskan oleh al-Imam Abu Sa'id Abdurrahman bin Ma’mun al-Mutawali al-Naisaburi (478H) dengan karyanya yang berjudul “ Tatimmah al-Ibanah ”. Imam Abu Sa’id al-Mutawali adalah murid kepada Imam al-Fawrani. Sebenarnya kitab Tatimmah al-Ibanah ini bukanlah sekadar ringkasan kitab al-Ibanah, kerana selain meringkas kandungan kitab al-Ibanah, Imam al-Mutawali telah membuat penambahan beberapa permasalahan hukum yang tidak terdapat dalam kitab asalnya. Penambahan ini dilakukan sebagai melengkapkan lagi kandungan kitab al-Ibanah, sehingga Imam al-Mutawali menamakan karya beliau ini sebagai Tatimmah al-Ibanah (Pelengkap kitab al-Ibanah).

Namun begitu, ada juga penulis yang menganggap kitab Tatimmah al-Ibanah ini sebagai kitab huraian (syarah) bagi kitab al-Ibanah, bukannya ringkasan, memandangkan isi kandungannya ada huraian tambahan dari Imam al-Mutawali, seperti penambahan dengan pendapat-pendapat lain dalam sesuatu permasalahan kerana adanya dalil-dalil yang sahih mengenainya.

Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitab al-Majmu’ petikan dari kitab Tatimmah al-Ibanah. Di mana beliau menyebutkan Imam al-Mutawali sebagai “Shahib al-Tatimmah” (Pengarang kitab Tatimmah al-Ibanah). Berikut contoh petikan tersebut;

وقال صاحب ” التتمة ” : لا يكره الخاتم من حديد أو رصاص ؛ للحديث في الصحيحين أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال للذي خطب الواهبة نفسها ” اطلب ولو خاتما من حديد ” قال : ولو كان فيه كراهة لم يأذن فيه .

Ertinya: “Pengarang kitab al-Tatimmah mengatakan: ‘Tidak makruh menggunakan cincin besi atau tembaga. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam dua kitab shahih (al-Bukhari dan Muslim), bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah menyuruh orang yang melamar wanita untuk mencari cincin besi.  Jika cincin besi hukumnya makruh, tentulah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan meyuruhnya ”. (al-Majmu’, 4/341)

Sayangnya kitab ini tidak sempat disempurnakan oleh Imam al-Mutawali, ia hanya sempat disiapkan setakat perbincangan mengenai Kitab al-Hudud dalam bab al-Saraqah (Mencuri). Bagi menyempurnakan kitab Tatimmah al-Ibanah ini, usaha telah dilakukan oleh al-Imam Muntajibuddin Abu al-Futuh, As’ad bin Mahmud bin Khalaf al-‘Ijliy al-Ashbahani (515-600H) dengan menyusun karya beliau yang berjudul “ Tatimmah al-Tatimmah ”.

Selain kitab Tatimmah al-Ibanah, kitab al-Ibanah juga telah diberikan huraian (syarah) oleh al-Imam Abu Abdullah al-Husain bin Ali al-Thabari (495H), melalui kitabnya yang berjudul al-‘Uddah[2] al-Kubra Syarh al-Ibanah. 

Sekadar pengetahuan saya, kitab al-Ibanah ini belum lagi diterbitkan oleh mana-mana syarikat penerbitan. Saya tidak pasti, adakah kitab ini masih ada dalam bentuk manuskrip tulisan tangan di mana-mana perpustakaan di pelusuk dunia ini. Namun begitu, yang pasti kitab al-Ibanah ini sememangnya pernah wujud sebagai sebuah karya fiqh yang yang bernilai, yang menjadi rujukan para ulama dan sebahagian isi kandungan masih boleh didapati dalam karya-karya para ulama terkemudian.

Tulisan ini hanyalah sekadar catatan peribadi untuk dikongsi dengan para pembaca. Saya sangat mengharapkan daripada pembaca agar dapat berkongsi maklumat tambahan dan lebih tepat mengenai kitab ini.  Semoga bermanfaat.




[1] Penambahan “ Fi Furu’ al-Syafi’i ” dihujung perkataan al-Ibanah adalah penambahan dari penulis, bagi membezakannya dengan kitab-kitab lain yang juga berjudul al-Ibanah. Antaranya;
      1)   Kitab al-Ibanah fi al-Fiqh al-Syafi’i, karya Imam Muhammad bin Banan bin Muhammad al-Kazaruni (455H).
          2)      Kitab-kitab al-Ibanah yang disusun khusus mengenai akidah, seperti kitab al-Ibanah ‘an Ushul al-Diyanah  karya Imam Abu Hasan al-Asy’ari, kitab al-Ibanah ‘an Ibthal Mazhab Ahl al-Kufar wa al-Dholalah karya al-Qadhi Abu Bakar al-Baqilani (403H) dan kitab al-Ibanah ‘an Syari’ah al-Firqah al-Najiah al-Mujanibah wa a-Firqah al-Mazmumah (al-Ibanah al-Kubra) karya Ibnu Baththah (378H).

[2] Terdapat sebuah kitab lagi yang berjudul al-‘Uddah, iaitu al-‘Uddah  al-Shughra, karya Abu Ishaq al-Ruyani Ibrahim bin Ali bin al-Husain al-Syaibani al-Thabari  (523H), yang terkenal dengan gelaran Abu al-Makarim al-Ruyani. Menurut al-Mandili, jika disebutkan kitab al-‘Uddah secara mutlak , maka yang dimaksudkan adalah kitab al-‘Uddah al-Shughra.  Haji Khalifah menyebutkan dalam kitabnya Kasyf al-Dzunun (2/1129) nama kitab ini adalah al-‘Uddah – tanpa perkataan al-Shughra. Kemungkinan perkataan al-Shughra tersebut ditambahkan di hujungnya bagi membezakannya dengan kitab al-‘Uddah al-Kubra, iaitu karya Imam Abu Abdullah al-Husain al-Thabari (495H) sebagaimana yang disebutkan di atas.

Sunday, November 22, 2015

'Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik


Kitab “ 'Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik (عمدة السالك وعدة الناسك)” adalah sebuah karya fiqh dalam mazhab Syafi’i yang disusun oleh al-Imam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Naqib al-Mishri (702-769H). Beliau terkenal dengan gelaran Ibnu al-Naqib al-Mishri.

Dalam pendahuluan kitab ini, Ibn al-Naqib al-Mishri menerangkan bahawa kitab ini merupakan sebuah ringkasan bagi fiqh mazhab Syafi’i. Kandungan  kitab ini disusun berdasarkan pendapat yang terpilih (yang sahih) dalam mazhab Syafi’i mengikut pendapat Imam  al-Rafi’i r.h  dan  Imam al-Nawawi r.h, atau pendapat salah seorang daripada mereka berdua. Jika wujud perbezaan pendapat di antara mereka berdua dalam sesuatu masalah, maka penyusun kitab ini akan mendahulukan pendapat Imam al-Nawawi r.h.


Kitab-kitab  Syarah (huraian) bagi kitab 'Umdah al-Salik;

Kitab ini telah disyarah oleh beberapa ulama, antaranya;  

(1) Syeikh Umar Barakat al-Syami al-Baqa’iy (1313H) dengan karyanya “Fayd al-Ilah  al- Malik Syarh ‘Umdah al-Salik ”, 

(2) al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad al-Zuhri bin Mustafa al-Ghumrawi () dengan karyanya “Anwar al-Masalik Syarh ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik ”. 

(3) al-‘Allamah al-Syaikh Dr Musthafa Dib al-Bugha al-Dimasyqi al-Syafi’i (1938-) dengan dua buah karyanya “Tanwir Masalik bi Syarah wa Adillah ‘Umdah  al-Salik” dan “Tashil al-Masalik bi Syarh wa Tazhib ‘Umdah al-Salik ”. 


Terjemahan kitab “ ‘Umdah al-Salik”

Kitab ‘Umdah al-Salik telah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris oleh Syaikh Nuh Ha Mim Keller, seorang ulama terkenal yang dilahirkan pada tahun 1954 di  Amerika Syarikat. Beliau berkelulusan dalam bidang Falsafah dan Bahasa Arab dari Universiti Chicago dan UCLA. Beliau memasuki Universiti al-Azhar pada tahun 1977. Beliau juga meneruskan pembelajaran dalam pelbagai keilmuan Islam seperti ilmu hadis, fiqh mazhab Syafi’i dan Hanafi, usul Fiqh dan aqidah daripada beberapa ulama di Syria dan Jordan.

Beliau telah menterjemah kitab ‘Umdah al-Salik ke dalam bahasa Inggeris dengan judul “ The Reliance of the Traveller ”. Terjemahan ini merupakan usaha penterjemahan yang pertama kali pernah dilakukan ke dalam bahasa Eropah. Usaha murni beliau ini telah mendapat pengiktirafan dari Universiti al-Azhar, Mesir.

Kitab ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik boleh dimuat turun di pautan berikut; http://waqfeya.com/book.php?bid=6733

Semoga bermanfaat.

Wednesday, November 18, 2015

Fatawa Syaikh Athiyyah Shaqr


Ktab “ Fatawa Syaikh Athiyyah Shaqr ” atau judul  asalnya Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam (أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام) merupakan sebuah ensiklopedia yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Athiyyah Shaqr (1914-2006) seorang ulama kontemporeri yang terkenal dari negara Mesir. Beliau adalah bekas Pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar,  yang sangat disegani dan dihormati oleh para ulama kerana ketinggian ilmunya. Fatwa-fatwa beliau menjadi rujukan para ulama dan masyarakat Islam, bukan sahaja di Mesir bahkan di seluruh dunia Islam. Beliau meninggal dunia pada 9 Disember 2006, ketika umurnya mencecah 92 tahun.

Kitab Fatawa Syaikh Athiyyah ini telah diterbitkan dalam beberapa jilid, yang menghimpunkan fatwa-fatwa Syaikh ‘Athiyyah yang merangkumi permasalahan akidah, ibadat, muamalat, kekeluargaan dan pelbagai permasalahan yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Kitab ini telah menjadi rujukan para ulama dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan hukum syarak. 

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan أحسن الكلام في الفتاوى والأحكام.

Semoga bermanfaat.

Monday, November 16, 2015

al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah


Sebuah karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ialah sebuah kitab yang berjudul  “ al-Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah ”. Kitab ini merupakan karya al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad bin Zain bin ‘Alawi bin Ahmad al-Habsyi (1069-1145H), seorang tokoh ulama terkenal mazhab Syafi’i dari Hadhramaut, Yaman.  

Dalam kitab “ Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah” ini diterangkan secara ringkas mengenai tiga bidang utama dalam agama, iaitu akidah, fiqh dan tasauf. Namun begitu, perbahasan utama yang diterangkan dalam kitab ini adalah mengenai bidang fiqh mengikut mazhab Syafi’i, yang berkaitan dengan fiqh ibadat, iaitu solat, zakat, puasa dan haji. Penerangan tentang ibadat solat lebih terperinci berbanding ibadat yang lain.

Kitab ini telah menjadi teks pengajian  dan rujukan para ulama dan pelajar di kebanyakan  peusat pengajian Islam, sekolah dan pondok di Hadramaut dan  lainnya  seperti Zabid, Tihamah Yaman,  Mekah, Madinah, Indonesia, Malaysia, Mesir, Afrika Selatan, Kenya, Uganda dan Algeria. Kitab ini telah dicetak dengan cetakan yang pelbagai di Mesir, Arab Saudi, Yaman, Indonesia dll.


Sumber rujukan kitab al-Riasalah al-Jami’ah

al-‘Allamah al-Sayid Ahmad bin Zain al-Habsyi, penyusun kitab al-Risalah al-Jami’ah ini ada menerangkan sumber penulisan kitabnya dalam pendahuluan kitab al-Risalah al-jami’ah;

فَهَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ مِنْ بَعْضِ كُتُبِ حُجَّةِ الإسْلاَمِ الْغَزَالِيِّ غَالِبَاً. مَنْ عَرَفَهَا وَعَمِلَ ِهَا نَرْجُو لَهُ مِنَ الله أنْ يَكُوْنَ مِنْ أهْلِ الْعِلْمِ ظَاهِرَاً وَبَاطِنَاً

“ Maka ini adalah beberapa permasalahan yang diringkaskan dari sebahagian kitab-kitab karya Hujjatul Islam al-Ghazali. Sesiapa yang mengetahui dan mengamalkannya, kami memohonkan pengharapan daripada Allah untuknya agar menjadi seorang ahli imu yang zahir batin ”.

Di antara kitab yang disusun oleh ulama terkemudian,  yang menghuraikan kitab al-Riasalah al-Jami’ah ialah;
      a)      Anwar Lami'ah wa Tatimmat Wasi'ah Syarh Risalah Jami'ah wa Tazkirah Nafi'ah.
      b)      Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail al-Risalah Jami'ah wa Tazkirah Nafi'ah.  
      c)      Syarah’ Allamah Muhammad bin Salim Ba Basil Al-Hajrini Al-Hadhrami Al-Makki.
      d)     Durur Lami'ah syarh Risalah Jami'ah
      e)      Ghilafah Sati'ah li Aali al-Lami'ah min Risalah Jami'ah.
      f)        al-Dilalah al-Nafi’ah Syarh al-Risalah  al-Jami’ah, karya Shalih bin Mathran.

Di antara kitab-kitab  syarah di atas, buat masa sekarang saya hanya mendapat maklumat  mengenai kitab Bahjah al-Wasail bi Syarh Masail , karya seorang ulama terkenal Nusantara, iaitu al-Syaikh al-‘Allamah Abu Abdul Mu’thi Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi al-Banteni al-Jawi al-Syafi’i (1230-1314H).  Syaikh Muhammad Nawawi al-Banteni di awal kitabnya telah menerangkan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya adalah bagi menghuraikan kandungan kitab al-Risalah al-Jami’ah tersebut;

هذا شرح علي الرسالة الجامعة بين اصول الدين والفقة والتصوف للسيد أحمد بن زين الحبشى. سألني فيه بعض
الأحبة فأجبته لذالك طالبا من الله إخلاص الطوية. وسميته بهجة الوسائل بشرح مسائل.

“ Ini sebuah syarah (huraian) bagi kitab al-Risalah al-Jami’ah Bayna Ushuluddin wa al-Fiqh wa al-Tashawwuf [1]  karya al-Sayyid Ahmad bin Zain al-Habsyi. Telah meminta sebahagian dari orang yang dikasihi (di kalangan murid-murid dan sahabat) agar menyusun kitab sebagai huraian isi kandungannya. Maka aku memperkenankan permintaan tersebut dengan ikhlas mengharapkan keredaan Allah... dan aku namakan kitab ini dengan “ Bahjah al-Wasail bi Syarh al-Masail[2] بهجة الوسائل) بشرح مسائل.)”

Kitab al-Risalah al-Jami’ah dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di pautan   ﺍﻟﺮﺳﺎﻟﺔ ﺍﳉﺎﻣﻌﺔ ﻭ ﺍﻟﺘﺬﻛﺮﺓ ﺍﻟﻨﺎﻓﻌﺔ. Manakala terjemahan dalam Bahasa Inggeris boleh dimuat turun di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.


[1] Judul lain bagi kitab Risalah al-Jami’ah wa al-Tazkirah al-Nafi’ah. Judul ini ada dicatatkan di bahagian kulit hadapan kitab Bahjah al-Wasail dan dalam muqaddimahnya.
[2] Judul Wasail ini diambil dari ungkapan penyusun asalnya dalam muqaddimahnya:   هَذِهِ مَسَائِلُ مُخْتَصَرَةٌ (Ini merupakan beberapa permasalahan yang diringkaskan).

Monday, November 9, 2015

Nail al-Raja bi Syarah Safinah al-Naja


Kitab Nail al-Raja bi Syarah Safinah al-Naja adalah sebuah karya seorang ulama besar dari Hadramaut Yaman, iaitu al-‘Allamah Sayyid al-Habib Ahmad bin Umar al-Syatiri (1312-1360H). Beliau dilahirkan di kota Tarim Hadramaut pada tahun 1312 H (1895 M), dan di sana pula beliau mempelajari ilmu agama sehingga tumbuh berkembang menjadi ulama yang terkemuka. Beliau sangat dicintai gurunya iaitu Syaikhul Islam, Sayyid Abdullah bin Umar al-Syatiri, ulama besar pada zamannya.

Kitab Nail al-Raja ini merupakan antara kitab yang disusun secara khusus bagi menghuraikan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang berjudul Safinah al-Naja, iaitu sebuah karya Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i (). Kitab syarah (huraian) ini dipenuhi dengan ilmu, yang menjadi keperluan bagi setiap guru dan pelajar ketika mentelaah dan mendalami isi kandungan kitab Safinah al-Naja.

Semoga bermanfaat.

Monday, October 26, 2015

Tamam al-Minnah fi al-Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah


Kitab “ Tamam al-Minnah fi al-Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah ” karya al-‘Allamah Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani (1914-1999M) adalah sebuah kitab yang disusun khusus oleh pengarangnya yang mengandungi beberapa kritikan dan komentar ilmiah terhadap sebahagian isi kandungan kitab “ Fiqh al-Sunnah ”, iaitu sebuah kitab fiqh perbandingan yang masyhur karya al-‘Allamah Sayyid Sabiq (1915-2000M).

Terdapat banyak karya dalam berbagai bidang keilmuan Islam yang dihasilkan oleh para ulama terdahulu maupun kini, yang diiktiraf mutu kandungannya dan dikagumi kaedah penyusunannya. Karya-karya peninggalan para ulama ini menjadi rujukan dan panduan kepada ummah sepanjang zaman. Namun begitu, karya-karya tersebut tidak terlepas dari beberapa kritikan para ulama sezaman maupun terkemudian dari aspek-aspek tertentu. Hal ini berlaku, kerana masing-masing ulama berijtihad, yang sangat mungkin hasil ijtihad itu berbeza antara satu sama lain. Begitu jugalah dengan kitab Fiqh al-Sunnah karya Sayyid Sabiq ini, tidak terlepas dari kritikan dari ulama yang lain.


Intipati Kitab Tamam al-Minnah;

Inti dari kritikan Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani yang terdapat dalam kitab ini, boleh disimpulkan dalam dua tema besar, iaitu;

     Pertama, berkenaan dengan hadis yang digunakan sebagai dalil hukum dalam kitab Fiqh al-Sunnah adalah berasal dari kitab-kitab karya para ulama terdahulu. Sayyid Sabiq tidak mentahqiq atau memilih dan membuat penelitian secara mendalam terhadap hadis-hadis tersebut, kerana berprinsip pada kaidah “ Setiap ilmu yang diambil dari ahlinya boleh diterima ”. Sebagai contoh Syaikh al-Albani berbeza pendapat dengan Syaikh Sayyid Sabiq dalam hadis tentang kewajipan zakat perdagangan. Menurut Syaikh al-Albani hadis tersebut dhaif.

Kedua, perbezaan sumber fiqh antara keduanya. Syaikh al-Albani cenderung mengikuti makna tersurat (zhahir al-nash) dari teks hukum, sedangkan Syaikh Sayyid Sabiq lebih dekat pada maqashid nash (tujuan makna nash ). Syaikh al-Albani tidak segan berbeza pendapat dengan jumhur ulama terdahulu, seperti dalam pengharaman emas bagi wanita, sedangkan Syaikh Sayyid Sabiq biasanya menghormati pendapat jumhur ulama. Perlu diketahui, mengkritik hasil karya ulama lain bukanlah hal baru dalam dunia Islam.

Pembahasan fiqh penuh dengan ijtihad para ulama dan seharusnya bagi setiap muslim untuk berlapang dada dalam menerima perbezaan pendapat dalam masalah fiqh terutama bagi para ilmuan dan tokoh pimpinan Islam yang menjadi ikutan masyarakat.

Terjemahan kitab ini dalam bahasa Indonesia bagi jilid 2, boleh dimuat turun di pautan berikut;
http://ebooks-islam.fuwafuwa.info/_Nashiruddin%20Al-Albani/Tamaamul%20Minnatu%20Fii%20Ta'liiqi%20'Alaa%20Fiqhus%20Sunnah%202.pdf

Kitab dalam bahasa Arab boleh dimuat turun di pautan berikut;

Semoga bermanfaat.

Wednesday, October 21, 2015

al-Ijma’ ( الإجماع )


Kitab “ al-Ijma’ (الإجماع)” karya al-Imam al-Faqih al-Hafizh Abu Bakr Hamd bin Ibrahim bin al-Munzir al-Naysaburi al-Syafi’i (241-319H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu al-Munzir adalah salah satu kitab yang sangat bermanfaat dalam bidang fiqh.

Di dalam kitab ini,  Ibnu al-Munzir  mengumpulkan permasalahan-permasalahan yang menjadi ijma’ (kesepakatan) di kalangan ulama berdasarkan kajian dan keilmuannya dalam permasalahan fiqh. Walaupun dalam kitab ini, terdapat juga permasalahan yang dipertikaikan berlakunya ijma’ oleh sebahagian ulama, namun begitu kitab ini dianggap oleh para ulama sebagai sebuah kitab yang sangat bermanfaat dan berautoriti dalam membahaskan permasalahan fiqh.

Dengan mempelajari kitab ini, pengetahuan kita akan bertambah luas,  tidak tertumpu kepada satu kaedah fiqh sahaja, bahkan kita akan mempelajari berbagai kaedah fiqh  yang boleh menjauhkan diri kita dari sikap fanatik dalam masalah hukum fiqh. Sebagaimana yang kita tahu, banyak berlaku perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha mengenai pelbagai permasalahan fiqh, namun begitu dalam kitab al-Ijma’ ini akan mengetahui beberapa kesepakatan para ulama' ahli fiqh mengenai beberapa permasalahan.

Berdasarkan kitab al-Ijma’ yang diterbitkan Dar al-Atsar, dengan cetakan pertamanya, yang ditahqiq oleh Abu Abdi al A’la Khalid bin Muhammad bin Utsman, terdapat 765 permasalahan yang dianggapkan sebagai permasalahan hukum yang telah dijmakkan. Semua permasalahan tersebut disusun dan diletakkan mengikut bab-bab fiqh yang dimulai dengan Kitab al-Wuduk dan disudahi dengan Kitab al-Makatib.

Kitab ini boleh dibaca secara online di pautan الإجماع.

Semoga bermanfaat.

Friday, October 9, 2015

Fatawa al-'Iraqi


Kitab Fatawa al-‘Iraqi  merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh  al-Imam al-Hafiz al-Faqih al-Qadhi Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin ‘Abdul Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi (762-826H). Beliau adalah seorang ulama ahli hadis (muhaddis) dan ahli fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang terkenal dan menjadi rujukan para ulama sepanjang zaman.

Kitab “al-Fatawa”  ini ditulis dan disusun sendiri oleh al-Imam al-Hafiz Waliyuddin Abu Zur’ah al-‘Iraqi  ketika saat akhir hidupnya. Karya Waliyuddin al-‘Iraqi ini merupakan karya fiqh dalam mazhab al-Syafi’i yang masyhur di kalangan para ulama selepas kewafatan penyusunnya kerana ia menjadi rujukan dalam penyusunan beberapa kitab fiqh dan sumber kepada beberapa kitab fatwa yang disusun oleh para ulama selepasnya.

Penyusunan kitab al-Fatawa  ini juga dianggap oleh para ulama sebagai sebuah kitab yang istimewa kerana kandungannya ditulis sendiri oleh al-Hafiz Waliyuddin al-‘Iraqi. Sedangkan kebanyakan kitab fatwa peninggalan para ulama terdahulu, tidak disusun sendiri oleh para ulama yang dinisbahkan kepadanya, tetapi disusun dan dihimpun kembali oleh ulama lain yang menjadi murid atau pengikut mereka, seperti kitab Fatawa al-Nawawi, Fatawa al-Subki dan sebagainya.

Dalam muqaddimah kitab fatwanya al-Hafiz Waliyuddin al-‘Iraqi menerangkan secara ringkas manhaj penulisan fatwanya. Setiap fatwa yang terkandung dalam kitab ini, dimulai dengan perkataan ( Su-iltu : aku ditanya) dan disambutkan dengan jawapannya ( Fa ajibtu : maka aku jawab).  

Kandungan kitab ini hanya mengandungi fatwa-fatwa yang menyentuh perbahasan dalam bidang fiqh sahaja, yang disusun mengikut bab-bab fiqh sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain. Tajuk perbahasannya merangkumi kebanyakan tajuk-tajuk fiqh, iaitu dimulai dengan Kitab al-Shalah dan diakhiri dengan Kitab al-Da’awi wa al-Bayyinat. Berdasarkan kitab al-Fatawa yang diterbitkan oleh Dar al-Fath li al-Dirasat wa al-Nasyr, Jordan, iaitu dalam cetakan pertamanya pada tahun 2009,  terdapat sebanyak 191 masalah yang telah dijawab oleh al-Imam Waliyuddin al-‘Iraqi. Ketebalan kitab ini merangkumi 503 halaman termasuk halaman isi kandungan dan beberapa lampiran yang berkaitan.
Kitab ini boleh dimuat turun di pautan berikut;


Semoga bermanfaat.

Friday, September 11, 2015

Fatawa Muhammad Rasyid Ridha


Kitab “ Fatāwá al-Imām Muḥammad Rashīd Riḍhā "  merupakan sebuah ensklopedia yang menghimpunkan fatwa-fatwa yang pernah ditulis oleh al-‘Allamah Muhammad Rasyid Ridha (1865-1935).

Fatwa-fatwa dalam kitab ini asalnya adalah sekumpulan fatwa Syaikh Muhammad Rasyid Ridha yang  pernah disiarkan dalam Majalah al-Manar, di Mesir semasa hidup penulisnya. Di mana Syaikh Muhammad Rasyid Ridha adalah selaku penerbit dan ketua pengarangnya.

Himpunan fatwa ini telah diterbitkan dalam bentuk buku (kitab) agar khazanah ilmu yang terkandung dalam fatwa-fatwa ini dapat disebarkan secara lebih meluas lagi dan memudahkan umat Islam membuat rujukan serta mengambil manfaat darinya.

Syaikh Muhammad Rasyid Ridha memulakan penulisan fatwa beliau di Majalah al-Manar bermula dari jilid 6 (1903), di bilangan 18, di bawah judulnya; “ Bab al-Sual wa al-Fatawa”. Manakala bermula jilid 7 (1904), ruangan fatwa ini telah diubah kepada “ Fatawa al-Manar ”

Dalam ruangan fatwa dalam Majalah al-Manar ini, Syaikh Muhammad Rasyid Ridha telah menjawab berbagai persoalan dan pertanyaan umat Islam (pertanyaan hanya dikhususkan kepada pelanggan majalah sahaja) berkaitan dengan hukum syarak yang melibatkan kehidupan umat Islam khususnya dari aspek ibadat dan muamalat serta permasalahan yang berkaitan dengan ilmu al-Quran, al-Sunnah dan lainnya.

Menurut Syaikh Muhammad Rasyid Ridha; metod penulisan fatwa beliau ialah mendahulukan al-Quran dan al-Sunnah  sebagai pegangan. Selepas dua rujukan utama ini, beliau berpendapat peranan akal sangat penting dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan, kerana beliau berpendapat Islam adalah agama yang sesuai dengan akal manusia dalam semua perkara.

Usaha penulisan fatwa di Majalah al-Manar ini dilakukan dengan gigih oleh Syaikh Muhammad Rasyid Ridha dengan menjawab berbagai persoalan- yang dikemukakan oleh umat Islam dari pelbagai negara, termasuklah dari negara Rusia. Usaha ini berterusan sehingga  kewafatan beliau pada tahun 1935.

Kitab fatwa ini telah diedit dan disusun dalam bentuk buku oleh Dr Shalahuddin al-Munjad dan Yusug Q Khuri. Ia telah diterbitkan oleh Dar al-Kitab al-Jadid, Beyrut dalam 6 jilid (juzuk) dengan 2774  halaman termasuk halaman kata pengantar, halaman isi kandungan dan beberapa lampiran berkaitan.

Fatwa-fatwa yang terkandung dalam kitab ini tidak disusun mengikut bab-bab tertentu. Setiap fatwa disusun  mengikut turutan tarikh penyiarannya dalam Majalah al-Manar. Kandungan kitab ini dimulai dengan fatwa bilangan 1, dengan tajuk; (Majalah al-Manar, jil.6, 1903)   dan diakhiri dengan fatwa bilangan 1061, dengan tajuk; (Majalah al-Manar, jil. 35, 1936).                
                                                                                                                                                                   
Kitab ini boleh di download di pautan;
http://waqfeya.com/book.php?bid=5637
http://www.feqhweb.com/dan3/

Semoga bermanfaat.

Sunday, August 30, 2015

Maqalat wa Fatawa Syaikh Yusuf al-Dijwi



Kitab “ Maqalat wa Fatawa Syaikh Yusuf al-Dijwi ” merupakan sebuah ensiklopedia yang menghimpunkan artikel-artikel dan fatwa-fatwa yang pernah dihasilkan oleh  al-‘Allamah al-Mufassir al-Muhaddis al-Syaikh Abu al-Muhasin Jamaluddin Yusuf bin Ahmad bin Nashr al-Dijwi al-Azhari (1287-1365H), seorang tokoh ulama yang terkenal pada kurun ke 14 Hijrah. 

Syaikh Yusuf al-Dijwi adalah seorang ulama yang disegani dan terkenal dengan ketinggian ilmunya dalam berbagai bidang keilmuan Islam. Di Universiti al-Azhar pada zamannya, Syaikh Yusuf al-Dijwi merupakan anggota senior “ Jemaah Kibar ‘Ulama al-Azhar ”, yang memainkan peranan besar dalam perkembangan dakwah  dan keilmuan Islam.

Kitab “ Maqalat wa Fatawa ” ini telah diterbitkan dalam sebuah buku selepas kematian pengarangnnya. Usaha penerbitan buku ini berjaya diterbitkan setelah sekumpulan artikel dan fatwa beliau yang pernah disiarkan dalam Majalah al-Azhar, disusun dan dieditkan semula bagi menyesuaikannya dengan penerbitan dalam bentuk buku. Kitab ini telah diterbitkan dalam dua jilid.

Dalam Jilid 1, dibahagikan kepada dua juzuk; juzuk 1, mengandungi artikel-artikel mengenai konsep ketuhanan (al-Ilahiyyat). Manakala dalam juzuk 2, mengandungi artikel-artikel mengenai konsep kenabian (al-Nubuwwat). 

     Dalam Jilid 2, dibahagikan kepada dua juzuk; juzuk 1, mengandungi artikel-artikel mengenai tafsir. Kandungannya menghimpunkan beberapa tulisan Syaikh Yusuf al-Dijwi mengenai tafsiran beberapa ayat al-Quran yang pernah disiarkan dalam ruangan tafsiran al-Quran dalam Majalah al-Azhar. Manakala dalam juzuk 2, mengandungi sekumpulan fatwa Syaikh Yusuf al-Dijwi dalam berbagai permasalahan agama.

Penyusunan kitab ini sangat penting, kerana ia merupakan satu usaha bagi mengekalkan khazanah keilmuan Islam sebagai sumber ilmu dan rujukan umat Islam sepanjang zaman. Berdasarkan sedikit pemerhatian dan pembacaan saya, kitab ini telah menjadi rujukan para ulama kebelakangan dalam penyampaian ilmu dan penyusunan karya-karya mereka.

Untuk mengenali lebih lanjut al-‘Allamah Syaikh Yusuf al-Dijwi dan membaca kandungan kitab “ Maqalat wa Fatawa ” ini, pembaca boleh memuat turunkan kitab ini dalam file PDF di pautan  
http://www.feqhup.com/uploads/13583405102.pdf.

Semoga bermanfaat.

Wednesday, August 19, 2015

Ru’us al-Masa’il wa Tuhfah Thullab al-Fadha'il


Kitab " Ru’us al-Masa’il wa Tuhfah Thullab al-Fadhail "  adalah antara karya peninggalan al-Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (676H), yang sangat penting dalam bidang keilmuan Islam.

Walaupun Imam al-Nawawi menyusun kitab ini dalam satu jilid yang agak kecil, berbanding karya-karya beliau yang lain, namun kandungannya sangat penting dan padat dengan berbagai permasalahan agama. Dalam kitab ini, Imam al-Nawawi telah memuatkan perbahasan mengenai berbagai permasalahan yang merangkumi bidang tafsir, hadis,  fiqh, bahasa dan beberapa penjelasan mengenai pendapat-pendapat para ulama terdahulu mengenai sesuatu isu.  Namun begitu, perbahasan mengenai permasalahan fiqh paling banyak dikemukakan dalam kitab ini.

Berdasarkan kitab yang diterbitkan oleh Dar al-Nawadir, Damsyiq, Syria pada tahun 2010, terdapat lebih daripada 72 permasalahan yang dibincangkan oleh Imam al-nawawi dalam kitab ini. Di mana ketebalan kitab ini merangkumi 301 halaman.

Kitab dalam bentuk file PDF boleh dimuat turun di pautan  berikut;
Semoga bermanfaat.

Tuesday, August 18, 2015

Fatawa al-Khalili


Kitab " Fatawa al-Khalili 'ala al-Mazhab al-Syafi'i " merupakan antara kitab himpunan fatawa yang menjadi rujukan para ulama mazhab Syafi’i yang mutakhir. Kandungan kitab ini memuatkan himpunan fatwa-fatwa al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad bin Muhammad bin Syarafuddin al-Khalili al-Syafi’i al-Qadiri (1734M / 1147H), seorang ulama fiqh dan tasauf yang terkenal di Palestin pada pertengahan abad ke 18. Beliau pernah menjawat jawatan Mufti Syafi’iyyah di bandar al-Quds lebih dari 40 tahun.

Syaikh al-Khalili sebenarnya tidak menulis sendiri fatwa-fatwanya dalam sebuah buku. Penyebaran fatwa-fatwa beliau dalam bentuk tulisan dilakukan oleh murid-murid beliau, berdasarkan catatan-catatan mereka terhadap pandangan dan jawapan Syaikh al-Khalili mengenai permasalahan agama yang dikemukakan oleh para pelajar dan masyarakat Islam. Manakala usaha penyusunan fatwa-fatwa Syaikh al-Khalili dalam bentuk buku (kitab) pula dilakukan oleh seorang murid beliau yang bernama al-Sayyid Ahmad bin Aminuddin al-Busthami. Menurut penyusunnya, Sayyid Ahmad al-Busthami, beliau menamakan kitab himpunan fatwa-fatwa gurunya ini dengan judul “ al-Fatawa al-Muhammadiyyah al-Khaliliyyah ”.

Mengenai kaedah penyusunan kitab ini, al-Sayyid Ahmad menerangkannya dalam muqaddimah kitab al-Fatawa ini, katanya; “ … disusun mengikut bab-bab fiqh, dibuang sebahagian dari soalan-soalan yang berulang dan jawapan-jawapan yang panjang.”

Isi kandungan kitab ini pula dimulai dengan beberapa bab yang berkaitan dengan tafsir, hadis, nahu dan ilmu tauhid. Kemudian dimuatkan dengan persoalan-persoalan yang berkaitan dengan bab-bab fiqh mengikut susunan perbahasannya. Kitab ini diakhiri dengan sebuah khatimah (penutup) yang mengandungi dua bab perbahasan; bab pertama mengenai tasawwuf dan bab kedua pula berkaitan dengan beberapa persoalan semasa.

Berdasarkan rujukan saya terhadap kitab Fatawa al-Khalili, kitab ini telah diterbitkan dalam dua juzuk (jilid); a)  Juzuk pertama dimulai dengan muqaddimah dan riwayat ringkas Syaikh Muhammad al-Khalili. Perbahasan dalam juzuk ini bermula bab yang berkaitan dengan tafsir dan diakhiri dengan “ Kitab al-Hibbah ”.  b)    Juzuk kedua pula, dimulai dengan “ Kitab al-Luqathah ” dan diakhiri dengan “ Kitab al-Nikah ”.


Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai isi kandungan kitab ini, sila muat turun kitab ini di pautan http://read.kitabklasik.net/2010/03/fatawa-al-khalili-fi-al-madzhab-al.html. Kitab ini juga boleh dibaca secara online di pautan http://shamela.ws/index.php/author/2446. Bagi mengetahui latar belakang Syaikh Muhammad al-Khalili, pembaca boleh melayari pautan http://www.palestine-studies.org/sites/default/files/hq-articles/Khader%20Salameh.pdf (artikel dalam bahasa Arab). Semoga bermanfaat.

Wednesday, August 12, 2015

Fatawa al-Ramli


Kitab “ Fatawa al-Ramli fi Furu' al-Fiqh al-Syafi'i ” merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab Syafi’i yang menghimpunkan fatwa-fatwa al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah al-Ramli al-Anshari (957H), yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Kabir.

Penyusunan kitab ini diusahakan oleh anak beliau, iaitu al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli, yang terkenal dengan gelaran al-Ramli al-Shaghir (1004H)[1]. Kitab ini terkenal dengan judul “ Fatawa al-Ramli al-Kabir  ”, iaitu merujuk kepada Imam Syihabuddin al-Ramli. Namun begitu, ada juga para ulama yang menyebut judul kitab ini sebagai “ Fatawa al-Ramli al-Kabir wa al-Shaghir ”, iaitu dengan menggabungkan dan menisbahkan kitab ini kepada kedua-dua imam ini. Oleh itu, kebiasaannya -  penulis yang memetik fatwa dalam kitab ini akan menyebut; “ Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli dan diikuti oleh anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitab al-Fatawa-nya ”. Namun begitu, terdapat juga yang menyebutkan judul kitab ini sebagai " Fatawa Syamsuddin al-Ramli ", iaitu menisbahkan kitab ini kepada penyusun atau penghimpun fatwa ini, iaitu Imam al-Ramli al-Shaghir.

Sekadar pengamatan saya, selain kitab Fatawa Fiqhiyyah al-Kubra, iaitu karya al-Imam Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haytami, maka kitab Fatawa al-Ramli ini  merupakan antara  kitab fatwa yang menjadi rujukan utama para ulama mazhab Syafi’i yang kebelakangan (mutaakhirin). Sekadar contoh, kandungan kitab Fatawa al-Ramli ini juga menjadi rujukan utama Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani ketika menyusun kitab beliau yang terkenal Furu’ al-Masail wa Ushul al-Washail. Dalam kitab Furu’ al-Masail ini, Syeikh Daud al-Fathani menyebutkan kitab Fatawa al-Ramli ini dengan judul “ Fatawa Syams al-Millah wa al-Din ”, iaitu beliau menisbahkan kitab ini kepada Imam Syamsuddin al-Ramli ( al-Ramli al-Shaghir). 

Isi kandungan kitab ini disusun mengikut pembahagian bab-bab fiqh, iaitu ibadat, muamalat, munakahat dan jenayat. Di akhir sekali diletakkan beberapa persoalan yang mengenai tafsir ayat, hadis, huraian mengenai petikan kata-kata ulama yang terdapat dalam beberapa kitab fiqh dalam pelbagai bidang seperti usul fiqh, ilmu kalam, ilmu nahu dan sebagainya.

Kitab Fatwa al-Ramli ini  ada dicetak di bahagian tepi  kitab Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra karya Ibnu Hajar al-Haytami.  Untuk membaca kitab Fatawa al-Ramli ini dan kitab Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, pembaca boleh “download” di pautan; http://www.feqhweb.com/vb/t17981.html. Manakala versi terbitan tersendiri dalam sebuah buku, kitab ini telah diterbitkan oleh Darul Kutub al-'Ilmiyah, Beirut pada tahun 2011, dalam satu jilid dengan ketebalan 768 halaman.

Semoga bermanfaat.
_______________________
[1] Selain kitab fatwa himpunan anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli, terdapat sebuah lagi kitab fatwa yang dinisbahkan kepada Imam Shihabuddin al-Ramli, iaitu kitab Fatawa al-Ramli yang dihimpunkan oleh anak murid beliau yang bernama Imam Syamsuddin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H).