Sunday, August 20, 2017

‘UQUD AL-LUJAIN FI BAYAN HUQUQ AL-ZAWJAIN

Kitab ‘Uqud al-Lujain fi Bayan Huquq al-Zawjain[1]  (عقود اللجين في بيان حقوق الزوجين) merupakan sebuah karya fiqh al-‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Bantani al-Tanariy (1316H/1898M), seorang ulama keturunan Melayu yang terkenal di Makkah pada zamannya. Kitab ini disusun bagi menghuraikan  al-Risalah al-Muta’alliqah bi Umur al-Zawjain (الرسالة المتعلقة بأمور الزوجين)[2].

Kandungan kitab ‘Uqud al-Lujain ini membicarakan secara khusus mengenai aspek kekeluargaan dan hubungan antara suami-isteri. Kitab ini memang tidak terlalu tebal, namun keberkahannya sangat luar biasa. Kitab ini telah menjadi sebagai rujukan dan teks pengajian majlis-majlis ilmu di kebanyakan pondok pesantren di Indonesia khususnya.

Kitab ini dicetak dan diterbitkan berulangkali oleh pelbagai syarikat penerbitan. Pada peringkat awal ia telah dicetak oleh Percetakan al-Wahbiyyah pada tahun 1296H/1878M dan di cetak ulang di  percetakan Syaraf pada tahun 1297H/1879M, serta di Makkah pada tahun 1316H/1893M.

Berdasarkan kitab asalnya (versi Arab), kandungan kitab ‘Uqud al-Lujain ini di bahagikan kepada 4 fasal perbahasan, iaitu;

a)   Fasal pertama membahas tentang hak-hak isteri terhadap suami حُقُوْقِ الزَوْجَةِ) الواجبة عَلَى الزَوْج).
Dalam pembahasan ini terdapat beberapa tinjauan penting antara lain adalah perlakuan baik suami terhadap isteri, nafkah, mas kawin, serta pemberian lain daripada suami. Selain itu, juga kewajipan suami memberikan pelajaran di bidang keagamaan sesuai dengan keperluan isteri, baik mengenai masalah-masalah ibadah wajib maupun sunat kendatipun sifatnya tidak muakkad [sangat dianjurkan dalam agama]. Hal lain yang harus diajarkan suami adalah mengenai kewajipan isteri menta’ati suami dalam melakukan perkara-perkara yang tidak maksiat.

b)    Fasal kedua membahas hak-hak suami terhadap isteri (حُقُوْقِ الزَّوْجِ الواجبة عَلَى الزَّوْجَةِ).
   Dalam pembahasan ini terkait dengan masalah-masalah seperti keta’atan isteri kepada suami di luar kemaksiatan, perlakuan baik isteri terhadap suami, kemudian penyerahan diri isteri kepada suaminya. Selain itu,adalah mengenai kewajipan isteri untuk selalu berada di rumah suami, di samping menjaga diri dari perbuatan keji. Tinjauan yang lain adalah mengenai masalah menutup aurat dan kejujuran mengenai haid maupun sudah tidak haid.

c)    Fasal ketiga tentang keutamaan solat isteri di dalam rumahnya (فَضْلِ صَلاَةِ الْمَرْأَةِ فِيْ بَيْتِهَا وَفِيْ أَنَّهَا). 
    Pembahasan ini menyinggung masalah solat bagi wanita, seperti melaksanakan solat di dalam rumah dan di masjid bersama Nabi saw. Di samping itu, juga menyinggung mengenai pengaruh syaitan terhadap wanita dan anjuran-anjuran Nabi saw sehubungan dengan pengaruh-pengaruh syaitan tersebut.

d)    Fasal keempat membahas tentang keharaman seorang lelaki melihat wanita lain yang bukan mahramnya dan sebaliknya  (حُرْمَةِ نَظَرِ الرَجُلِ إِلَى النِّسَاءِ الأَجْنَبِيَّاتِ وَالْعَكْسِ ).
Pembahasan ini diarahkan pada persoalan lelaki dan wanita, terutama berkaitan dengan perbuatan-perbuatan yang diharamkan, seperti lelaki melihat wanita bukan mahramnya atau sebaliknya. Demikian pula halnya lelaki yang sudah beristeri, atau wanita yang sudah bersuami. Dalam fasal ini juga disentuh mengenai permasalahan seperti analogi hukum bagi remaja sehubungan dengan larangan di atas, dan masalah berjabat tangan, berdua di tempat yang sepi, serta masalah-masalah lain yang tidak dibenarkan dalam agama.

Kitab ‘Uqud al-Lujain ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu / Indonesia dan telah terbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan, khususnya di Indonesia.

Kitab ini boleh dimuat turun di pautan;

Ia juga boleh dibaca secara on line di pautan;

Muat turun buku terjemahan Uqud al-Lujain

Baca terjemahan secara on line

Semoga bermanfaat.


[1] Banyak cetakan kitab ini disebutkan judulnya sebagai  Syarh  ‘Uqud al-Lujain fi Bayan Huquq al-Zawjain (شرح عقود اللجين في بيان حقوق الزوجين). Di mana di awal judulnya ada perkataan syarh (شرح).
[2] Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani tidak menyebutkan nama pengarang risalah ini. Beliau hanya menyebutkan ianya disusun oleh sebahagian ulama (بعضُ الناصحين).

Tuesday, August 1, 2017

LUBAB AL-HADITH (لـبـاب الـحـديـث)


Kitab Lubab al-Hadith  (لـبـاب الـحـديـث) adalah sebuah kitab hadis karya al-Imam al-Hafiz Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Suyuthi al-Syafi’i (849-911 H).

Kitab ini mengandungi 400 buah hadis Nabi saw, yang menerangkan mengenai fadhail al-a’mal (keutamaan sesuatu amalan), seperti keutamaan wuduk, keutamaan salat berjamaah, keutamaan bertasbih, dan lain-lain. Hadis-hadis tersebut disusunkan dalam 40 bab dan setiap bab mengandungi 10 buah hadis. Menurut al-Suyuthi, semua hadis yang dimasukkan di dalam kitab ini adalah hadis-hadis yang sahih yang boleh dipercayai.

Bentuk penyusunan kitab ini ada disebutkan oleh al-Suyuthi dalam pendahuluan kitab;

     فإني أردت أن أجمع كتابا للأخبار النبوية، والآثار المروية، بإسناد صحيح وثيق، فحذفت الأسانيد، وجعلته أربعين بابا، في كل بابٍ عشرةُ أحاديثَ، وسميته لباب الحديث".

Maka sesungguhnya saya ingin menghimpunkan sebuah kitab yang memuatkan beberapa hadis Nabi dan atsar (perkataan) para Sahabat yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih dan boleh dipercayai. Dan aku telah membuang beberapa sanadnya ( agar lebih ringkas ) dan saya menjadikannya dalam 40 bab dan setiap babnya saya masukkan 10 hadis. Saya menamakan kitab ini dengan nama " Lubab al-Hadis " (intisari dari hadis)”.

Secara berurutan, kitab ini dimulai dengan bab keutamaan ilmu dan ulama, lalu dilanjutkan dengan bab keutamaan Laa Ilaha Illallah, keutamaan basmalah, selawat atas Nabi saw, iman, wuduk, siwak, azan, solat berjamaah, Jumaat, masjid-masjid, berserban, puasa, ibadah fardhu, ibadah sunah, kelebihan zakat, sedekah, salam, doa, istighfar, dan berzikir kepada Allah.

Selanjutnya, bab kelebihan dan keutamaan bertasbih, taubat, fakir, nikah, beratnya hukum zina, azab bagi pelaku homoseksual, hukuman bagi peminum arak (khamar), keutamaan memanah, berbakti kepada kedua orang tua, mendidik anak, tawaduk, diam, mengurangi makan dan minum, menyedikitkan tertawa, menjenguk orang sakit, mengingat kematian, mengingat kubur, larangan meratapi mayat, dan diakhiri dengan bab keutamaan sabar apabila tertimpa musibah.

Kitab ini perlu ditelaah dan menjadi rujukan penting bagi seluruh umat Islam dan boleh menjadi bekal utama dan menambah perbendaharaan hadis bagi para muballigh dan da’i.

Kitab ini telah terjemahkan ke dalam Melayu (Indonesia) dan diterbitkan oleh pelbagai penerbitan, khusus di Indonesia. Terjemahan kitab ini boleh juga dibaca di pautan;  https://sites.google.com/site/lubabulhadist/home.

Sekadar pengamatan saya, kitab Lubab al-Hadis ini telah diberikan huraian (syarah) oleh dua orang tokoh ulama Nusantara (Melayu), iaitu;

a) Al-‘Allamah al-Syaikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani al-Jawi (1314/1896), melalui karya yang berjudul Tanqih al-Qawl al-Hathith fi Syarh Lubab al-Hadith ( تـنـقـيـح الـقـول الـحـثـيـث بـشـرح لـبـاب الـحـديـث ). Kitab ini disusun oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab. Ia menjadi rujukan para ulama dan penuntut ilmu di dunia Islam.

b) Al-‘Allamah Syaikh Wan ‘Ali bin Abdul Rahman al-Kalantani (1235-), yang terkenal dengan gelaran Syaikh Wan Ali Kutan, melalui karya yang berjudul al-Jawhar al-Mawhub wa Munabbihat al-Qulub. Kitab ini disusun dalam bahasa Melayu dan menjadi rujukan serta teks pengajian Islam di pondok-pondok dan masjid-masjid di Malaysia khususnya.

Kitab Lubab al-Hadis edisi Arabnya (file word) boleh dibaca dan di-download di pautan  http://almeshkat.net/images/icons/doc.png. Semoga bermanfaat.

Saturday, July 15, 2017

SAFINAH AL-SHALAH (سفينة الصلاة)


Kitab Safinah al-Shalah (سفينة الصلاة) adalah sebuah kitab fiqh ringkas mengenai tuntutan perlaksanaan ibadat solat, merangkumi cara-cara bersuci dan kaedah-kaedah perlaksanaan solat menurut mazhab Imam al-Syafi'i. Kitab ini disusun oleh Syaikh Abdullah bin ‘Umar bin Yahya al-Hadhrami al-Syafi’i (1209-1265H/1794-1849M).

Mengenai sistematik isinya, kitab ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu;

        a)    Pendahuluan; mengandungi basmalah,  hamdalah dan shalawat.

        b)    Isi kandungannya pula meliputi dua bahagia, iaitu;
i.   Akidah (makna kalimat Syahadatain), yang menerangkan keimanan kepada Allah dan Nabi Muhammad saw.
ii.   Perbahasan mengenai ibadat solat; iaitu syarat, rukun dan perkara yang membatalkan solat. Pembahasan mengenai solat merupakan kandungan utama kitab ini.

         c)    Penutup:  mengandungi shalawat dan hamdallah.

Melihat keseluruhan isi kandungan kitab Safinah al-Shalah ini, tepatlah dikatakan ia adalah kitab fiqh. Kitab ini dianggap sebuah kitab yang berbentuk matan fiqh kerana ringkasnya huraiannya, tanpa disebutkan dalil-dalil dan permasalahan yang lebih luas yang berkaitan ibadat solat.

Di antara kitab yang dihasilkan sebagai huraian (syarah) bagi kitab Safinah al-Shalah, ialah;

       a)  Sullam al-Munajah Syarh Safinah al-Shalah (سلم المناجاة شرح سفينة الصلاة ) karya al- ‘Allamah Syaikh Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin ‘Umar bin ‘Arabi bin ‘Ali al-Jawi al-Banteni al-Tanariy (1316H/1898M).

      b)   Syarh Safinah al-Shalah, karya Dr. Muhammad Abdul Rahman Syamilah al-Ahdal. Kitab setebal 204 halaman ini telah terbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1987/ 1408H oleh Maktabah al-Thalib al-Jami’i, Makkah.

Matan kitab Safinah al-Shalah ini boleh dimuat turun di SINI. Kitab dalam bentuk PDF ini berdasarkan terbitan Maktabah wa Mathba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh pada tahun 1843. Kitab Safinah al-Shalah ini dicetak bersama dengan kitab Safinah al-Naja, karya Syaikh Salim bin Abdullah bin Samir al-Khudhari al-Hadhrami (1855M). Kedua-dua kitab ini juga telah diterbitkan oleh Maktabat al-Hadyi al-Muhammadi, Kaherah, Mesir dengan cetakan pertamanya pada tahun 2015.  

Semoga bermanfaat.

Sunday, July 9, 2017

Karya Fiqh Mazhab Syafi'i Abad 14 Hijrah (1300-1399H)

        
01. al-‘Allamah Syamsuddin Abu Khudhair Muhammad bin Ibrahim bin ‘Amir bin ‘Abdul Rahman al-Dimyathi al-Madani al-Azhari (1304H)
a)  Nihayah al-Amal li Man Raghiba fi Shihhatil ‘Aqidah wal ‘Amal   (نهاية الامل لمن رغب في صحة العقيدة والعمل
b)     Hasyiah ‘ala Nihayah al-‘Amal

02. Abdul Salam bin Muhammad Nur al-Din al-Turmanini (1238–1305H /1823–1887M)
a)     Risalah Majmu’ al-Fatawa (رسالة مجموع فتاوى)
b)     Majmu’ Marasilat (مجموع مراسلات)
c)      Raf’u al-Khilaf wa al-Syaqaq fi Ahkam al-Thalaq (رفع الخلاف والشقاق في أحكام الطلاق)

03. ‘Ali bin Ahmad Bashabrin al-Daw-‘ani (1305H)          
a)     Hasyiah  I’anah al-Musta‘in  ‘ala Fath al-Mu’in
b)     Itsmad al-‘Aynain fi Ikhtilaf al-Syaikhayn; Ibn Hajar al-Haytami wa al-Syams al-Ramli

04. al-Sayyid al-Bakri, Abu Bakr Usman bin Sayyid Muhammad Syatha al-Dimyathi (1226-1310H)

05. Syeikh Umar bin Barakat bin Ahmad al-Syami al-Baqa’iy al-Azhari al-Makki (1245-1313H/1829-1896M)
a)     Fayd al-Ilah al-Malik Syarh ‘Umdah al-Salik[1]
b)     Syarh ‘ala al-‘Uddah fi al-Fiqh.

06.  Syeikh Zainul Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal)     

07.   Abu ‘Abdul Mu’thiy, Muhammad Nawawi bin 'Umar bin Ali al-Jawi al-Banteni al-Tanariy (1316H/1898M)
b)     Qut al-Habib al-Gharib Tawsyih  ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib
c)      Syarh Kasyifah al-Saja ‘ala Safinah al- Naja fi Ushuluddin wa al-Fiqh ‘ala Mazhab al-Syafi’i
d)     Mirqatu Su’udi al-Tashdiq fiy Syarh  Sullam al-Taufiq[2].
f)      Fath al-Mujib fi Syarh Muhktashar al-Khathib[3]
g)     al-Tsamâr al-Yâni’ah  Syarh  al-Riyadh al-Badi’ah Fi Ushuluddin wa al-Fiqh[4]
h)    Suluk al-Jaddah Syarh ‘ala Risalah al-Muhimmah bi Lam’ah al-Mafadah fi Bayan al-Jum’ah wa al-Mu’addah.

08.   Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami (1250- 1320H)

09.  al-‘Allamah al-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa al-Fathani (1272-1325H/1856-1908M)
a)     Bahjah al-Mubtadin
b)     ‘Unwan al-Falah
c)      al-Fatawa al-Fathaniyyah

10.    Muhammad bin Abdullah bin Abdul Lathif al-Jardani al-Husaini al-Diyamthi (1331H)
a)     Mursyid al-Anam ila ma yajib ma’rifatuh min al-‘Aqa-id wa al-Ahkam (مرشد الأنام إلى ما يجب معرفته من العقائد والأحكام)
b)     Fath al-‘Allam syarh Mursyid al-Anam (فتح العلام شرح م رشد الأنام)
c)      Mufid al-‘Awwam

11.  al-Habib Utsman bin Abdullah bin ‘Aqil bin Yahya al-‘Alawi al-Husaini (1238-1331/1822-1914)
a)     Irsyad a-Anam fi Tarjamah Arkan al-Islam

 12. Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Syafi’i al-Naqshabandi (1332H)

13.   Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani  (1260-1333H / 1844-1915M)

14.   al-Allamah Alawy  bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Saqqaf al- Makky (1255-1335H/1916M)
a)     Tarsyih al-Mustafidin ‘ala Fath al-Mu’in 
b)     al-Fawa-id al-Makkiyyah
c)      Mukhtashar al-Fawa-id al-Makkiyyah

15.  Al-‘Allamah Syaikh Abdul Hamid bin Muhammad Qudus al-Makki (1335H)
a)    al-Anwar al-Sunniyyah ‘ala al-Durar al-Bahiyyah (الدرر البهية الأنوار السنية على)[5]

16.   Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasabullah al-Makki (1233-1335H]           
17.  18. Muhammad Zuhri al-Ghumrawi (1337H)
a) Anwar al-Masalik Syarh 'Umdah al-Salik wa 'Uddah al-Nasik
b) al-Siraj  al-Wahhaj ‘alaa Matni al-Minhaj

18. Syeikh al-‘Allamah Muhammad Mahfuz bin Abdullah  bin Abdul Mannan al-Tarmasi (1285-1338H/1868-1920M)
a)    Hasyiah ‘Ala al-Manhaj al-Qawim (Mauhibah Zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar ‘ala Muqaddimah Ba Fadhal) 
b)     Is-'af al-Mathali’  bi Syarh  al-Badr al-Lami’ 'ala Jam-'i al-Jawami’ (Hasyiah al-Tarmasi  ‘ala Syarh al-Mahalli  ‘ala Jam-‘i al-Jawami’)

19. Syaikh Shalih bin Ibrahim al-Ra-is al-Zamzami al-Makki (1340H)
a)     Hasyiah ‘ala Manhaj al-Thullab

20.  al-Sayyid Ahmad bin ‘Umar al-Syathiri (1312-1360H)           
            b) Nayl al-Raja Syarh Safinah al-Naja
            c) Ta’liqat ‘ala Bughyah al-Mustarsyidin

21.  Abdul Mu’thi al-Saqa[7]                   
            a) al-Irsyadat al-Sunniyyah ila al-Ahkam al-Fiqhiyyah

22.   Syaikk Muhammad Nur al-Faththani (1290-1363H/1873-1944M)        

23.  Syeikh Shadiq Habannakah al-Maydani (1398?/ 1908-1978 )
         a) Syarh Tuhfah al-Thullab bi Syarh Tanqih al-Lubab



[1] Huraian bagi kitab Umdah al-Salik 'Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, karya  al-Imam al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin al-Naqib al-Mishri (702-769H). 

[2 Ia adalah huraian bagi kitab Sullam al-Taufiq karya Syaikh Abdullah bin al-Husain bin Thahir bin Muhammad bin Hasyim Ba’alawi.

[3] Ia merupakan syarah Mukhtashar al-Khathib karya al-Khathib al-Syarbini, iaitu huraian bagi kitab Manasik al-Haj al-Shaghir - sebuah kitab mengenai ibadat haji dan umrah.

[4] Huraian (syarah) bagi kitab al-Riyadh al-Badi’ah Fi Ushuluddin wa Ba’dh Furu’ al-Syari’ah, karya Syeikh Muhammad Hasabullah              
   
[5]Huraian (syarah) bagi  kitab al-Durar al-Bahiyyah fi Ma Yalzim al-Mukallaf min al-‘Ulum al-Syar-‘iyyah karya al-Sayyid al-Bakri, Abu Bakr bin Sayyid Muhammad Syatha al-Dimyathi.

[6]Kitab ini telah diberi huraiannya oleh Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani (1316H/1898M), melalui karyanya al-Tsamâr al-Yâni’ah  Syarh  al-Riyadh al-Badi’ah Fi Ushuluddin wa al-Fiqh.

[7] Saya belum mendapat maklumat mengenai tahun kelahiran dan kewafatan beliau. Beliau adalah  seorang ulama di Universiti al-Azhar al-Sharif, Mesir. Daripada carian saya di laman web, saya menjumpai nama seorang tokoh ulama hadis di Universiti al-Azhar pada zamannya iaitu  al-'Allamah 'Abdul Mu'thi bin Hasan bin Rajab al-Saqa al-Farghali (العلامة عبد المعطي بن حسن بن رجب السقا الفرغلي). Kemungkinan ia adalah tokoh yang sama. Wallahu a'lam.