Monday, January 23, 2017

KAJIAN KITAB MUNYAH AL-MUSHALLI SIRI 2


Terjemahan petikan teks dari bab[1] Solat dalam kitab Nasha-ih  al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah oleh Syaikh Daud al-Fathani sebagaimana yang terdapat dalam karyanya Munyah al-Mushalli.


Kedudukan Sembahyang Dalam Islam[2]


}وبعد [3] فاعلموا معاشر المسلمين[4] - فقهنا الله وإياكم في الدين، وألهمنا رشدنا، وأعذنا من شر أنفسنا   }[5]

Dan adapun kemudian daripada itu, maka ketahui oleh kamu hai segala orang yang muslimin, telah memberi faham akan kami dan akan kamu (oleh) Allah SWT mengenai agama [6] dan mengilhamkan kami dan kamu cerdik dan dilindungkan daripada kejahatan diri kita.


}أن الصلاة عماد الدين، وأجل مباني الإسلام الخمس بعد الشهادتين.{

Bahawasanya sembahyang lima waktu itu tiang agama dan yang terlebih besar kejadian rukun Islam yang lima perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah syahadah.


} ومحلها من الدين محل الرأس من الجسد، فكما أنه لا حياة لمن لا رأس له، فكذلك لا دين لمن لا صلاة له، كذلك ورد في الأخبار.{

Dan tempatnya daripada agama seperti tempat kepala daripada tubuh, maka seperti bahawasanya tiada hidup bagi orang yang tiada kepala baginya, maka demikianlah tiada agama bagi orang yang tiada sembahyang baginya. Demikianlah telah datang pada beberapa hadis Nabi saw.


}جعلنا الله وإياكم من المحافظين على الصلاة، المقيمين لها، الخاشعين فيها، الدائمين عليها،{

Telah menjadikan kami Allah SWT dan akan kamu daripada orang yang memeliharakan atas sembahyang yang lima waktu dan orang yang muqim bagi sembahyang, [yakni mendirikan dan memeliharakan dia][7], lagi orang yang khusyuk padanya, [yakni tetap hatinya dan anggotanya dalam sembahyang][8], lagi yang mengekalkan atas sembahyang, [yakni tiap-tiap sudah sembahyang, mencita ia hendak mengerjakan sembahyang yang keduanya, demikianlah selama-lamanya.] [9]


}فبذلك أمر الله عباده المؤمنين في كتابه، وبه وصفهم فقال عز من قائل: حَافِظُواْ عَلَى الصَّلَوَاتِ والصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُواْ لِلّهِ قَانِتِينَ {

Maka dengan demikian itulah menyuruh Allah SWT akan segala hambaNya yang mukmin di dalam kitabNya dan dengan memperikan[10] sifat mereka itu, maka firmanNya; “ Peliharakan oleh kamu, hai orang yang mukminin atas sembahyang yang lima waktu dan peliharakan sembahyang wustha dan berdiri kamu bagi Allah SWT mengerjakan kamu akan taat ” [al-Baqarah: 238]


 فالصلوات هي المكتوبات  الخمس : الظهر، والعصر، والمغرب، والعشاء، والصبح.

Maka dikehendaki dengan صلوات [11] itu iaitu sembahyang fardhu yang lima waktu iaitu Zohor dan Asar dan Maghrib dan Isyak dan Subuh.


فتلك هي الصلوات التي لا يسع أحداً من المسلمين ترك شيء منها في حال من الأحوال ما دام يعقل، ولو بلغ به العجز والمريض إلى أقصى غاياته.[12]

Maka demikian itu ialah sembahyang yang tiada diloloskan[13] akan seorang daripada orang Islam meninggalkan satu daripadanya pada satu kelakuan daripada segala kelakuannya, selama ada ia berakal dan jikalau sampailah lemahnya barang yang sampai[14] dan sakitnya kepada sehingga-hingga sampainya sekalipun, tiada diuzurkan[15] meninggalkan dia.

والصلاة الوسطى: هي العصر كما ورد به الحديث الصحيح.

Dan dikehendaki dengan Solat al-Wusth, iaitu sembahyang Asar sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis shahih [16].


 خصها الله بالذكر لزيادة الفضل والشرف، وذلك معروف ومشهور في الإسلام، حتى بلغنا في سبب نزول الرخصة في صلاة الخوف ،

Dan adapun sebab ditentukan dengan menyebut akan dia kerana kelebihannya dan mulianya atas yang lainnya dan perkara ini telah terkenal dan masyhur di dalam Islam[17]. Dan adalah sebab diturunkan ayat ini[18] kerana memudahkan sembahyang tatkala takut.


أن المسلمين كانوا مع رسول الله -صلَّى الله عليه وآله وسلَّم- في بعض الغزوات، فصل بهم عليه الصلاة والسلام صلاة الظهر على الوجه المعهود، وكان المشركون قريباً منهم يرونهم

Bahawasanya adalah orang Islam serta Rasulullah saw pada setengah daripada peperangan, sembahyang Zohor atas jalan adatnya[19] dan adalah musyrikun hampir dengan mereka itu melihat ia akan muslimin.


 فلما فرغوا من صلاتهم قال بعض المشركين : لو أغرتم عليهم وهم في صلاتهم لأصبتموهم،

Maka tatkala selesai mereka[20] itu daripada sembahyang, kata setengah daripada musyrikin;  “ Jikalau kamu kerempak[21] (menyerang) atas mereka itu padahal mereka itu di dalam sembahyang mereka itu, nescaya mengena kamu akan mereka itu ”.


 فقال بقية المشركين : إن لهم بعد هذه الصلاة صلاةً هي أحب إليهم من آبائهم وأبنائهم - يعنون العصر - فنزل جبريل على رسول الله - صلَّى الله عليه وآله وسلَّم- بصلاة الخوف.

Maka berkata setengah yang lainnya; “ Bahawasanya bagi mereka itu kemudian daripada sembahyang ini terlebih kasih kepada mereka itu daripada bapa-bapa mereka itu dan anak-anaknya ”, yakni dikehendakinya mereka itu sembahyang Asar, maka turun Jibril ‘a.s atas Rasulullah saw dengan kaifiat sembahyang Syiddatul Khauf[22].


 فانظر كيف صار فضل هذه الصلاة - أعني العصر - معلوماً حتى للمشركين .

Maka tilik[23] olehmu betapa kelebihan sembahyang Asar dan nyatanya hingga mengetahui segala musyrikin kelebihannya.


وقال تعالى} : مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ{

Dan lagi firman Allah Ta’ala: “ Kembali kamu hai segala mukminin kepada Allah dan takut akan Dia dan dirikan oleh kamu akan sembahyang dan jangan ada kamu daripada orang yang musyrikin ”. [al-Rum:31]


فالإنابة: هي الرجوع إلى الله، والتقوى: هي الخشية من الله، والإقامة للصلاة: هي الإتيان بها على الوجه الذي أمر الله به.

Maka makna انابه  itu  “ kembali kamu kepada Allah ”, dan تقواه  itu “ takut akan Allah ”. Dan erti  إقامة الصلاة   iaitu mendatang dengan dia atas wajah[24]  yang disuruh Allah Ta’ala. 

وقال تعالى

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (١) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ (٢) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (٣) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (٤)وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (٥) إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (٦) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (٧) وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (٨) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (٩)


Dan lagi firmanNya; 

Bahawasanya telah dapat kemenangan segala orang yang mukminun (1) iaitu orang ada mereka itu di dalam sembahyang mereka itu khusyuk yakni tetap anggotanya tatkala sembahyang (2) { Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia (3) mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu) (4) dan mereka yang menjaga kehormatannya (5) kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas (7). Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya (8) }. Dan segala yang adalah atas sembahyang mereka itu memeliharakan dia (9) [25] 


وقال تعالى :  إِلَّا الْمُصَلِّينَ*الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ

Dan lagi FirmanNya; “ Melainkan orang yang sembahyang yang atas mereka itu yang berkekalan memeliharakan dia ”[al-Ma’arij:22-23]


فاستثناهم من نوع الإنسان المخلوق على الهلع والجزع والمنع عند مس الشر له عند مس الخيرله،
كأنه سبحانه يقول : أن المصلين على الحقيقة ليسوا ممن يهلع يجزع ويمنع                                                                                                

Maka diistisna[26] [yakni dikeluarkan mereka][27] itu daripada bagai manusia yang dijadikan perangai mereka itu terkejut dan keluh-kesah tatkala mengenakan mereka itu kejahatan dan apabila mengena mereka itu kebajikan, ditegahkan kebajikannya daripada mengerjakan kebaikan. Maka seperti (seolah-olah) bahawasa Allah SWT berfirman; “ Bahawasanya orang yang sembahyang atas sebenarnya tiada mereka itu daripada keluh-kesah dan terkejut apabila menyentuhkan mereka itu kejahatan dan tiada memegang kebajikan apabila datang kebajikan baginya, tetapi ia menafkahkan atas keredaan Allah SWT ”.

قلت: لأن هذه الأوصاف من المنكر، وقد قال تعالى:  

Pada pendapatku, ketiga-tiga sifat ini adalah daripada kemungkaran[28]. [Dan lagi pula kerana bahawasanya sembahyang yang sebenarnya itu menegahkan daripada fahsya’[29] dan mungkar seperti] [30] firman Allah Ta’ala;


}وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ{

Dan dirikan olehmu akan sembahyang bahawasanya sembahyang itu menegahkan daripada kejahatan dan pekerjaan yang mungkar dan sesungguhnya zikrullah[31] itu terlebih besar ” [ al-‘Ankabut: 45]


فالمصلي المقيم للصلات كما أمر الله ورسوله، تنهاه صلاته عن فعل ما يكرهه الله منه، مثل هذه الصفات المذكورة وغيرها من المكاره .                                                                                                                                                                 
Maka orang yang mendirikan bagi sembahyang seperti yang disuruh Allah Ta’ala dan RasulNya menegahkan dia sembahyangnya daripada mengerjakan yang demikian itu dan daripada segala pekerjaan (perbuatan) yang jahat-jahat.


قال عليه الصلاة والسلام :} صلوا كما رأيتموني أصلي{ .

Dan sabda Nabi saw; “ Sembahyang kamu seperti barang yang kamu lihat akan daku sembahyang ”.


فالمصلي على الاتباع والاقتداء برسول الله -صلَّى الله عليه وآله وسلَّم- في صلاته، على الوجه الذي نقلته علماء الأمة من السلف والخلف رضي الله عنهم: هو المصلي المعدود عند الله من المقيمين للصلاة والمحافظين عليها.           

Maka hendaklah kita mengikut akan yang dikerjakan Nabi saw atas jalan yang kita ambil daripada ulama umat ini yang dahulu dan yang kemudian [seperti yang disebut di dalam kutub[32] mereka itu][33] radhiyallahu ‘anhum ialah yang dinamakan dan yang dibilangkan[34] di sisi Allah[35] daripada orang yang mendirikan sembahyang dan memeliharakan dia.

Baca  SIRI 3


[1] Dalam kitab al-Nashaih ia disebutkan sebagai Mabhath  al-Shalah (مبحث الصلاة).

[2]  Lihat  al-Nashaih, hal. 113-115. HWM Shaghir, hal 28-34. Ahmad Semait, hal. 123-126,

[3] Perkataan بعد   dan ف  merupakan tambahan oleh Syaikh Daud Fathani.

[4] Dalam al-Nashaih disebutkan dengan perkataan الإخوان, iaitu saudara-saudara. Nampaknya Syaikh Daud telah membuat pengubahsuaian dengan menukar kepada المسلمين.

[5] Teks Arab ini berdasarkan teks yang terdapat dalam kitab Munyah al-Mushalli. Seterusnya, jika teks Arab diletakkan dalam {…. }, bermaksud teks tersebut ada disebutkan dalam kitab Munyah al-Mushalli bersama terjemahannya oleh Syaikh Daud Fathani.

[6] Tambahan pentahkik bagi terjemahan perkatan (في الدين) yang tidak diterjemahkan oleh Syaikh Daud Fathani.

[7] Huraian Syaikh Daud Fathani mengenai maksud ibarat  “muqim bagi sembahyang”.

[8] Huraian Syaikh Daud Fathani mengenai maksud  khusyuk. 

[9] Teks dalam [ ] adalah huraian Syaikh Daud Fathani bagi maksud perkataan “ yang mengekalkan atas sembahyang

[10] Iaitu menggambarkan atau  menceritakan . Kamus Dewan (1989). Ibid, hal. 946

[11]  Kata jamak bagi perkataan  الصلاة.

[12] Teks Arab ini hanya terdapat dalam kitab al-Nashaih, sedangkan dalam Munyah al-Mushalli, hanya disebutkan terjemahannya sahaja. Teks Arab yang dipaparkan selepas ini semuanya adalah berdasarkan teks yang terdapat dalam kitab al-Nashaih. Jika ada yang diletakkan dalam kurungan {  }, bermaksud ia juga ada disebutkan dalam kitab Munyah al-Mushalli.

[13] Iaitu tidak dibolehkan.

[14] Iaitu dalam keadaan yang tersangat lemah dan tidak berupaya.

[15] Tidak dibolehkan.

[16] Teks bergaris adalah  tambahan dari pengedit. Ia merupakan  terjemahan perkataan yang bergaris dalam teks Arab di atas, iaitu dari teks asal yang terdapat dalam kitab al-Nashaih, ia tidak diterjemahkan dalam kitab Munyah al-Mushalli.

[17] Sama seperti di atas.

[18] Iaitu ayat 238 dari surah al-Baqarah di atas.

[19] Cara sembahyang  yang biasa, iaitu solat Zohor berjemaah  sebagaimana yang biasa dilakukan oleh umat Islam.

[20] Iaitu Rasulullah saw dan orang-orang beriman.

[21] Maksudnya “menyerang” iaitu terjemahan bagi perkataan  أغرتم (kamu menyerang mereka).

[22] Solat dalam keadaan sangat takut.

[23] Perhatikan, fikirkan, lihat dengan teliti, kaji dan perhati, Kamus Dewan (1986), op.cit.

[24] Cara atau kaifiat.

[25] Surah al-Mukminun, ayat 1-9.  Dalam Munyah al-Mushalli, Syaikh Daud Fathani hanya menyebutkan ayat 1-2, kemudian disambungkan dengan ayat 9, dengan katanya; Hingga akhir firmanNya ”. Manakala ayat 3-8  di atas adalah tambahan pentahkik berdasarkan teks asal kitab al-Nashaih.

[26] Maksudnya “dikecualikan”

[27] Huraian Syaikh Daud Fathani bagi perkataan istisna’.

[28]  Petikan ini merupakan terjemahan daripada teks asal kitab al-Nashaih. Dalam kitab Munyah al-Mushalli tidak disebutkan teks asal dan terjemahannya.

[29] Keji, buruk.

[30] Petikan ini merupakan tambahan dari Syaikh Daud Fathani.

[31] Mengingati Allah.

[32] Kutub adalah kata jamak daripada perkataan kitab, yang bermaksud buku-buku .

[33] Tambahan oleh Syaikh Daud Fathani.

[34] Perkataan “dibilangkan”  adalah terjemahan Syaikh Daud Fathani bagi perkataan   المعدود yang boleh dimaksudkan sebagai termasuk atau tergolong.

[35] Teks bergaris adalah tambahan pentahkik bagi maksud perkataan  عند الله yang tidak diterjemahkan oleh Syaikh Daud Fathani.

Friday, January 20, 2017

KAJIAN KITAB MUNYAH AL-MUSHALLI SIRI 1


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته. الحمد لله رب العالمين. والصلاة والسلام على سيدنا محمد رسول رب العالمين وشفيع المذنبين 
.وعلى اله واصحابه وعتره الطاهرين . صلاة وسلاما دائمين الى يوم الدين

Sebenar sudah lama saya ingin menghidangkan kepada pembaca mengenai satu penemuan yang saya anggap sangat perlu dikongsi dengan pembaca, khususnya mereka yang meminati dan menekuni kitab Munyah al-Mushalli, karya terkenal al-‘Allamah Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Mungkin, menurut anggapan saya penemuan ini belum lagi dikemukakan oleh mana-mana pengkaji kitab ini. Wallahu a’lam.

Berdasarkan sedikit penelitian saya terhadap sebahagian isi kandungan kitab Munyah al-Mushalli saya dapati ia merupakan terjemahan beberapa petikan dari bab Solat yang terdapat dalam kitab al-Nasha-ih al-Diniyyah wa al-Washya al-Imaniyyah (النصائح الدينية والوصايا الايمانية), iaitu sebuah karya al-Imam al-Habib Abdullah bin ‘Alawi bin Ahmad al-Haddad (1044-1132H), yang disusun kembali oleh Syaikh Daud al-Fathani dengan beberapa pengubahsuaian. 

Hal ini boleh dilihat dari permulaan kitab Munyah al-Mushalli lagi. Petikan-petikan yang diambil oleh Syaikh Daud al-Fathani ini hanyalah melibatkan hikmat dan kelebihan solat sahaja, tidak melibatkan perkara hukum dan kaifiat solat. Di mana mengenai kaifiat solat Syaikh Daud banyak merujuk kepada beberapa kitab fiqh mazhab Syafi’i yang muktabar sebagaimana yang telah disebutkan dalam artikel ringkas mengenai kitab Munyah al-Mushalli  yang telah saya terbitkan sebelum ini. 


Terdapat tiga buah rujukan utama kajian ini;

1)   Teks Arab kitab Nasha-ih  al-Imaniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah, karya al-Habib Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad al-Hadhrami. Saya perolehi dalam format pdf yang berasal dari cetakan  ketiga Dar al-Hawi pada tahun 1999. Dalam kajian ini, jika saya menyebut al-Nashaih maka ia merujuk kepada buku ini.

2)   Buku Munyatul Mushalli – Pengetahuan Sembahyang Masyhur – karya al-Marhum Wan Mohd Shaghir bin Abdullah. Kebanyakan transliterasi terjemahan dari kitab Munyah al-Mushalli saya ambil dari rujukan ini. 

3) Buku Nasihat Agama dan Wasiat Iman, karya Almarhum Syed Ahmad Semait. Sebuah karya terjemahan kitab Nasha-ih al-Imaniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah. Rujukan ini saya ambil sebagai perbandingan terjemahannya dengan terjemahan Syaikh Daud Fathani dalam kitab Munyah al-Mushalli. Di beberapa tempat saya ambil terjemahan dari buku ini sebagai pelengkap terjemahan bagi beberapa petikan teks yang ditinggalkan oleh Syaikh Daud.

Insya Allah, saya akan menyiarkan kajian ringkas yang diberi judul “ PETIKAN TEKS DARI BAB SOLAT DALAM KITAB NASHA-IH AL-DINIYYAH WA AL-WASHAYA AL-IMANIYYAH DAN TERJEMAHANNYA DARI KITAB MUNYAH AL-MUSHALLI: TRANSLITERASI DAN TAHKIK  ini secara bersiri dalam blog ini. Untuk siri pertama, saya mulakan dengan memaparkan muqaddimah Syaikh Daud al-Fathani.   Semoga bermanfaat



Muqaddimah[1]

بسم الله الرحمن الرحيم
Ku mulai risalah[2] ini dengan nama Allah yang Murah lagi amat Mengasihani akan hambaNya yang mukmin di dalam negeri akhirat.


الحمد لله رب العالمين الذي جعل الصلوات طريقة المتقين

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang – yakni sembahyang lima waktu – ini jalan segala orang muttaqin.


وجعل فيها قرة عين سيد المرسلين وركنا من اركان الدين

Dan Tuhan yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk mata hati penghulu segala mursalin, [yakni dijadikan sejuk mata hati Nabi - saw - dengan musyahadah akan Tuhannya di dalam sembahyangnya][3]. Dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama.

وجعل فيها جنة العاجلة للمحبين ومعدن اسرار العاشقين

Dan menjadikan padanya dapat lazat manis khidmat sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan di dalam dunia bagi segala hambaNya yang muhibbin. Dan tempat galian segala rahsia daripada bagi tajalli Allah bagi orang yang ‘asyiqin, [yakni rindu mereka itu akan mahbub[4] nya][5]

   
  والصلاة والسلام على سيدنا محمد رسول رب العالمين وشفيع المذنبين وعلى اله واصحابه وعتره الطاهرين.   صلاة وسلاما دائمين الى يوم الدين

Dan rahmat[6] Allah dan salam-Nya atas penghulu kita Nabi Muhammad (saw) pesuruh[7] Tuhan sekalian alam dan yang memberi syafaat ia akan segala orang yang berdosa pada hari kiamat. Dan atas segala keluarganya, segala sahabatnya dan segala ikutannya daripada anak buahnya yang suci mereka itu. Rahmat dan salamNya yang berkekalan kedua[-dua] nya hingga hari kiamat.

Baca  SIRI 2



[1] Dilampirkan muqaddimah Syaikh Daud al-Fathani bagi kitab Munyah al-Mushalli sebagai pendahuluan kajian  ringkas ini.                                                                                                                                            
[2] رسالة : Penulisan Syaikh Daud terbahagi kepada dua bentuk, iaitu risalah dan kitab. Risalah lebih kecil dari kitab, ia hanya membincangkan dan  menumpukan kepada sesuatu bab atau topik tertentu sahaja, seperti bab sembahyang  atau bab perburuan dan sembelihan dan seumpamanya. Manakala kitab pula merupakan suatu perbincangan yang menyeluruh an merangkumi sebua bab dalam bidang fiqh atau ‘aqidah atau tasawwuf. Contoh penulisan beliau yang berbentuk risalah ialah seperti Munyah al-Mushalli, al-Shaid wa al-Zaba-ih dan Hukum Haid dan Istihadah. Manakala penulisan beliau yang berbentuk kitab seperti Hidayah al-Muta’allim  wa ‘Umdah  al-Mu’allim,  Fath al-Mannan dan al-Dur al-Thamin.

[3] Teks dalam [ ] adalah  huraian Syaikh Daud Fathani bagi teks sebelumnya.

[4] Maksud mahbub ialah kekasih iaitu Allah SWT.

[5] Teks dalam [ ] adalah huraian Syaikh Daud Fathani bagi perkataan “’asyiqin

[6] Syaikh Daud Fathani menterjemahan perkataan selawat (الصلاة ) dengan maksud “rahmat”, kerana jika perkataan الصلاة dinisbahkan kepada Allah ia bermaksud rahmat (Rahmat Allah). Jika dinisbah kepada malaikat, ia bermaksud istighfar’ (keampunan). Manakala jika dinisbahkan kepada manusia ia bermaksud “doa” (Mawahib al-Shamad, hal.10)

[7] Perkataan “Pesuruh” bermaksud “utusan, iaitu orang yang diutus atau disuruh (diperintah) oleh Allah untuk menyampaikan agama Islam kepada manusia.

Tuesday, January 17, 2017

SHILAH AL-NASIK FI SHIFAH AL-MANASIK


Karya ulama yang ingin dikongsi bersama pembaca kali ini adalah sebuah kitab yang berjudul Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik (صلة الناسك في صفة المناسك), iaitu sebuah karya al-Imam al-Hafiz Taqiyyuddîn Abu ‘Amr Utsman bin Abdurrahman bin Utsman bin Musa al-Kurdi al-Syaharazuri (577-643H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Shalah. Beliau adalah seorang ulama besar dalam bidang hadis dan fiqh mazhab Syafi’i. Nama dan pandangan beliau banyak disebut oleh para ulama Syafi’iyyah dalam kitab-kitab mereka.

Kitab Shilah al-Nasik karya Ibn al-Shalah ini merupakan sebuah kitab fiqh yang khusus membicarakan tatacara ibadat haji dan umrah. Kitab ini telah menjadi rujukan kebanyakan ulama mazhab Syafi’i selepas Ibn al-Shalah, di mana isi kandungannya telah dipetik dan diabadikan dalam karya-karya mereka. Di antara ulama yang memuatkan kandungan kitab ini ialah Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ dan al-Iydhah fi al-Manasik, Ibn Jama’ah dalam kitab Hidayah al-Salik, al-Khathib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj, Fakhruddin Abu Bakr bin ‘Ali bim Zhahirah dalam kitab Kifayah al-Muhtaj, al-Muhibbudin al-Thabari dalam kitab al-Qura, al-Fasi al-Maliki dalam kitab Syifa’ al-Gharam, Ibn hajar al-Haytami dalam kitab Hasyiah ‘ala al-Iydhah dan lain-lain lagi.

Kitab Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik bukan sahaja menjadi kitab rujukan mengenai ibadat haji dan umrah bagi para ulama mazhab Syafi’i, bahkan para ulama dari mazhab yang lain. Imam al-Nawawi misalnya telah mengambil faedah dari kitab ini dengan meringkaskan inti patinya, berserta beberapa tambahan dan penjelasan yang bermanfaat di dalam sebuah karyanya yang berjudul al-Iydhah fi Manasik al-Haj wa al-‘Umrah. Kitab al-Iydhah fi al-Manasik ini kemudiannya telah mendapat perhatian para ulama dengan menyusun beberapa kitab huraian dan ringkasan bagi kitab ini.

Kitab Shilah al-Nasik fi Shifah al-Manasik boleh dibaca dan dimuat turun melalui pautan http://waqfeya.com/book.php?bid=11653 atau https://archive.org/details/FP140002

Semoga bermanfaat.

MANZHUMAH AL-'AZIZI FI MASA-IL AL-JAMA'AH


Kitab Manzhumah al-‘Azizi fi Masa-il al-Jama’ah (منظومة العزيزي في مسائل الجماعة) adalah sebuah sebuah kitab atau matan fiqh dalam mazhab Syafi’i yang  membicarakan secara khusus mengenai beberapa persoalan solat berjamaah, yang  disusun dalam bentuk nazam oleh al-‘Allamah al-Syaikh ‘Ali bin Ahmad al-‘Azizi al-Bulaqi al-Syafi’i (1070H/1660M)[1].

Kitab ini telah diberikan huraian oleh al-‘Allamah al-Syaikh al-Imam Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis al-Zamzami al-Zubairi (1187 H/1773M M-1240 H/1824 M), melalui kitabnya Syarh Manzhumah al-‘Azizi (شرح منظومة العزيزي) atau judul lengkapnya Fath al-Karim al-Rahman Fi ma Yughtafir li al-Muwafiq min al-Arkan  (فتح الكريم الرحمن فيما يغتفر للموافق من الأركان).

Manakala Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1265H), seorang ulama terkenal di Nusantara yang berasal dari Patani, telah memetik (menukil) dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu beberapa permasalahan yang terdapat dalam kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi, iaitu karya gurunya al-Syaikh Muhammad Shalih bin Syaikh Ibrahim al-Rayyis dan menghimpunkannya dalam sebuah  risalah yang diberi judul al-Bahjah al-Mardhiyyah Fi ‘Uzr Takhalluf al-Ma’mum ‘an al-Imam (البهجة المرضية فى عذر تخلف المأموم عن الإمام).  

Dalam risalah ringkas ini, Syaikh Daud hanya memetik 6 bait nazam daripada matan Manzhumah al-‘Azizi yang khusus menerangkan beberapa keadaan yang dibolehkan makmum yang muwafiq berbeza perlakuannya dengan imam atau disebutkan dalam kitab ini “ beberapa masa-il yang diuzurkan ketinggalan makmum yang muwafiq dengan imamnya dan yang tiada diuzurkan ”. Setiap bait nazam tersebut telah diberikan huraiannya berdasarkan kitab Syarh Manzhumah al-‘Azizi karya Syaikh Muhammad Shalih al-Rayyis tersebut.

Semoga bermanfaat.



[1] Di antara karya lain Syaikh al-‘Azizi ialah kitab Hasyiah al-Fawa-id al-‘Aziziyyah ‘Ala Syarh Abi Syuja’ li Ibn Qasim al-Ghazzi, Iaitu kitab yang menghurai atau mengkomentarkan karya al-‘Allamah Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Qasim Muhammad al-Ghazzi al-Syafi‘i (918H) yang berjudul Fath al-Qarib al-Mujib atau terkenal sebagai Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Taqrib, yang merupakan huraian bagi Matn al-Taqrib karya al-Qadhi Abu Syuja’, Syihabuddin Ahmad bin al-Hasan bin Ahmad al-Ashbahani (533-593H).