Friday, March 27, 2015

Fath al-Mu'in , Terjemahan dan Huraian


Kitab “Fath al-Mu'in , Terjemahan dan Huraian” merupakan sebuah karya Abu al-Shalah Dr. Muhammad Uthman al-Muhammady (1943-2014), seorang ulama dan intelektual Islam yang terkenal negara. Kitab ini adalah sebuah karya terjemahan dari sebuah kitab fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal iaitu Kitab Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ayn bi Muhimmah al-Din (فتح المعين بشرح قرة العين بمهمة الدين) karya al-'Allamah Zaynuddin bin Abdul ‘Aziz al-Malibiri al-Fanani (987H) , seorang murid kepada Syaikh al-Islam al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al- Haytami al-Sa’di al-Anshari (974H).

Kitab ini diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1989 dengan tulisan Jawi. Hanya jilid 1 sahaja diterbitkan, iaitu terjemahan bagi Kitab al-Shalat (kitab yang membincangkan mengenai solat). Dalam penyusunan kitab ini, penterjemah bukan sekadar menterjemah bahasa kitab asalnya, bahkan juga membuat huraian ringkas bagi beberapa kalimah atau permasalahan dalam kitab tersebut. Huraian ini diletakkan di dalam kurungan [ ] yang terletak di di akhir setiap permasalahan yang diterangkan. Kebanyakan huraian tambahan ini beliau petik dari kitab I’anah al-Thalibin (إعانة الطالبين), karya al-‘Allamah  ‘Abu Bakr Utsman bin Muhammad Syata al-Dimyathi al-Bakri  (1300H), seorang guru terkenal di Masjidil Haram Makkah pada zamannya. Kitab yang terkenal dengan judul ringkas al-I’anah (الإعانة)ini adalah sebuah kitab yang menjadi komentar (hasyiah) bagi kitab Fath al-Mu’in.

Dalam kata sambutan Mufti Kelantan Dato’ Haji Muhammad bi Che Wook terhadap kitab ini, beliau memuji usaha terjemahan kitab ini, katanya…

“ …kita dapati satu usaha yang amat besar dan sumbangan yang sungguh berguna telah dijayakan oleh al-Fadhil (Dr. Muhammad Uthman al-Muhammady). Al-Fadhil berjaya mengemaskini iyadah (kembali) kitab Fathul Mu’in itu sehingga dapat difahami oleh setiap peringkat tanpa sedikit pun mengurangkan isi kandungan dan tidak pula menjejaskan mutu dan keistimewaan kitab itu saebagai sebuah kitab rujuk di dalam bidang ilmu fiqah mazhab Syafi’i yang terkenal dengan kekayaan masalah…. ”

Menurut penyusunnya al-Marhum Dr. Muhammad Uthman al-Muhammady, kitab terjemahan ini akan akan disusuli dengan jilid 2 - yang dimulai dengan membincangkan tentang zakat. Kata beliau di akhir kitab jilid pertamanya;

Telah selesai diterjemahkan ada 25 Sya’ban 1407 Hijrah bersamaan dengan 24 Aril 1987, bihamdulillah, dengan ini selesai juzuk pertama terjemahan dan huraian Fathul Mu’in dan insyaa Allah akan disusuli dengan juzuk keduanya mulai fasal berkenaan dengan hukum-hukum tentang zakat

Namun, setakat pengetahuan saya,  jilid 2 yang dijanjikan itu belum ada diterbitkan. Sehingga kewafatan beliau  pada 25 Mac 2013 di kediamannya di ISTAC, Taman Duta, Kuala Lumpur tiada maklumat mengenai kitab terjemahan jilid ke 2 tersebut. Semoga usaha  penterjemahan kitab ini dapat disambung kembali oleh para ulama lain yang berkelayakan dalam bidang ini. 

Friday, March 6, 2015

Fatawa Mu'ashirah


Kitab “ Fatawa Mu’ashirah((فتاوى معاصرة karya al-‘Allamah Dr Yusuf bin Abdullah al-Qaradhawi  adalah antara kitab-kitab fatwa yang terkenal pada masa kini, yang menjadi rujukan para ulama dan umat Islam dalam pelbagai pelbagai permasalahan agama.

Kandungan kitab ini merupakan himpunan fatwa-fatwa yang pernah dikeluarkan oleh al-Qaradhawi, sama ada  yang pernah disiarkan dalam program “Huda al-Islam” , iaitu program soal jawab agama di radio Qattar, atau yang pernah disiarkan di surat khabar atau majalah. Al-Qaradhawi menamakan kitab fatwa beliau ini sebagai “ Huda al-Islam ”  atau Fatawa Mu’ashirah ”. Berdasarkan terbitan Dar al-Qalam, Kaherah Mesir pada tahun 2005, kitab ini telah diterbitkan dalam 3 Juzuz (jilid). Saya ada mendapat maklumat bahawa jilid ke 4 kitab ini telah diterbitkan.

Kitab Fatawa Mu’ashir ) ( فتاوى معاصرة telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia. Dalam bahasa Melayu kitab ini (dari jilid 1- 3) telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan. Dalam koleksi saya terdapat terjemahan kitab ini yang diterbitkan oleh Pustaka Salam dengan judul “ Fatwa Masa Kini ”. Ia diterbitkan dalam 8 jilid, yang dihimpunkan dalam 4 buah buku. Semoga bermanfaat.