Wednesday, January 28, 2015

al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam


Kitab al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam (كتاب الفروع المسمى كشف اللثام عن أسئلة الأنام) adalah sebuah kitab yang menghimpunkan banyak permasalahan fiqh dalam mazhab al-Syafi’i. Kitab ini merupakan sebuah karya al-‘Allamah al-Syaikh Husain bin Muhammad al-Mahalli al-Syafi’i[1]  (1170H), seorang tokoh ulama terkenal dalam mazhab al-Syafi’i.

Kitab yang terkenal dengan judul al-Furu’  ini, juga dikenali dengan judul asalnya Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam. Manakala judul yang saya sebutkan di atas (al-Furu’ al-Musamma Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam) merupakan gabungan bagi kedua-dua judul tersebut. Judul gabungan inilah yang menjadi judul kitab ini bagi edisi yang diterbitkan oleh Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beyrut pada tahun 1999. Ketebalannya 912 halaman.

Kitab ini disusun mengikut bab-bab fiqh sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain. Ia menghimpunkan banyak permasalahan fiqh, tanpa membawakan dalil-dalil syarak yang menjadi sumber ambilannya. Di antara kitab-kitab yang menjadi rujukan bagi penyusunan kitab ini ialah;

a)  Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj ( نهاية المحتاج), karya al-Imam al-‘Allamah Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (919-1004H).
b)     Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Amirah (حاشية القليوبي وعميرة)[2]
c)      Fatawa al-Ramli al-Kabir wa al-Shaghir  [3](فتاوى الرملي الكبير والصغير)

Kitab ini menjadi rujukan para ulama generasi terkemudian dalam penyusunan kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’i. Di antara kitab susunan ulama dari Nusantara yang menjadikan kitab ini sebagai rujukan mereka ialah;

a)  Kitab Furu’ al-Masa-il wa Ushul al-Wasa-il (فروع المسائل وأصول الوسائل), karya al-‘Allamah Syaikh Dawud bin ‘Abdullah al-Fathani  (1265H). Dalam kata pengantar kitab tersebut Syaikh Dawud al-Fathani menjelaskan terdapat dua buah kitab  yang menjadi sumber utama terjemahan (baca: penyusunan) karya beliau ini, iaitu kitab Fatawa Syams al-Millah wa al-Din (فتاوى شمس الملة والدين) oleh Syaikh Muhammad al-Ramli (957H) dan Kasyf al-Litham ‘an As-ilah al-Anam (كشف الثام عن أسئلة الأنام) oleh Syaikh Hussain bin Muhammad al-Mahalli (1170H), iaitu kitab yang dibicarakan dalam artikel ini.

b)     Kitab Kasyf al-Litsam ‘an As-ilah al-Anam (كشف اللثام عن أسئلة الأنام) , karya seorang ulama Melayu Patani yang bermastautin di Makkah, iaitu; Syeikh Zainul ‘Abdidin bin Muhammad al-Fathani , yang terkenal dengan gelarannya ‘ Tuan Minal ’. Karya ini disusun mengikut bab fiqh (abwab al-fiqh); dengan jilid satu bermula dengan “Kitab Pada Menyatakan Thaharah”  dan diakhiri dengan “Kitab Pada Menyatakan Hukum Berburuan dan Menyatakan Sembelihan”. Jilid kedua pula dimulai dengan “Kitab Pada Hukum Jual Beli” dan diakhiri karya ini dengan “Kitab Pada Menyatakan Merdeka ”.

Semoga catatan ringkas ini bermanfaat.

[1] Beliau ialah al-‘Allamah Syaikh Husain bin Muhammad al-Mahalli al-Mishri (1170H. Di antara karya beliau yang lain adalah;
a)      Mazid al-Ni’mah li-Jam’i Aqwal al-Aimmah
b)      al-Kasyf al-Tam ‘an Irts Zawi al-Arham. 
c)       Al-Ifshah ‘an ‘Aqd al-Nikah ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah.

Untuk dikongsi maklumat juga, terdapat seorang lagi ulama terkenal dalam mazhab Syafi’i yang digelarkan dengan al-Mahalli, iaitu Imam al-‘Allamah Jalaluddin Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ahmad bin Hasyim al-Mahalli al-Mishri (791-864H). Di antara karya beliau ialah;
a)      Kanz al-Gharibin - Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin.
b)      Sebahagian dari  Tafsir al-Jalalain (sebahagian lagi disusun oleh al-Hafiz Jalaluddin al-Sayuthi).
c)       al-Badr al-Lami’ ‘ala Jam‘i al-Jawami’.

[2] Kitab ini sebenarnya merupakan gabungan dua buah kitab yang disusun oleh dua orang tokoh ulama mazhab Syafi’i yang terkenal, iaitu;
a)      Kitab Hasyiah Qalyubi ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubi al-Mishri (1069H). Beliau terkenal dengan gelaran al-Qalyubi.
b)      Kitab Hasyiah ‘Amirah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Thalibin, karya Imam Syihabuddin Ahmad al-Burullusi al-Mishri (907H). Beliau terkenal dengan gelaran ‘Amirah atau ‘Umairah. 

[3] Kitab ini menghimpunkan fatwa-fatwa Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah  al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) (957H), yang disusunkan kembali oleh anak beliau, iaitu Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli (al-Ramli al-Shaghir) (1004H) dalam sebuah kitab.  Oleh itu, kebiasaannya -  penulis yang memetik fatwa dalam kitab ini akan menyebut; “ Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli dan diikuti oleh anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli dalam kitab al-Fatawa-nya ”.

Tuesday, January 27, 2015

Yas-alunaka fi al-Din wa al-Hayah


Kitab “ Yasalunaka fi al-Din wa al-Hayah(يسألونك في الدين والحياة) merupakan sebuah kitab yang menghimpunkan beberapa permasalahan agama dan yang berkaitan dengan kehidupan, yang disusun dengan kaedah soal- jawab. Kitab ini adalah sebuah karya Dr. Ahmad al-Syarbashi, seorang ulama di Universiti al-Azhar, Mesir. Kitab ini diterbitkan dengan cetakan pertamanya pada tahun 1980 oleh Dar al-Jail, Beyrut dalam 7 jilid tebalnya.

Kandungan kitab ini asalnya merupakan himpunan soal jawab agama dalam satu program di sebuah stesen radio  di Mesir yang dikendalikan oleh Dr. Ahmad al-Syarbashi. Penyusunnya telah berusaha menyusun kembali soal jawab tersebut dan dibukukan,  bagi memastikan  kandungannya dapat disebarkan kepada masyarakat dengan lebih luas, berbanding penyampaian secara lisan yang hanya terhad kepada para pendengar program tersebut di radio. Pembukuan tersebut juga dapat memelihara kandungannya dan dapat menjadi rujukan umat Islam  sepanjang zaman.

Mengenai kaedah penyusunan kitab ini, Dr Ahmad al-Syarbashi ada menerangkannya dalam kata pengantarnya;

Di dalam menjawab pertanyaan-pertanyaaan yang dilontarkan, saya bersandarkan keada al-Quran –kerana ia adalah sebaik-baik perkataan- dan hadis-hadis Rasulullah saw yang sahih. Di saming itu, saya juga berpegang kepada perkataan para sahabat dan tabi’in serta pendapat-pendapat yang masyhur di kalangan mazhab empat. Dalam memberikan jawapan, kebanyakkannya saya memilih jawaan yang paling mudah, kerana Muhammad al-Mustafa saw telah bersabda; “ Permudahkanlah dan janganlah engkau persulitkan, gembirakanlah dan janganlah engkau takut-takuti ”.

Jika seorang penanya meminta jawapan hukum fiqh menurut mazhab tertentu, saya akan memberikan jawapan menurut mazhab yang diinginkan, namun begitu saya juga mengiringinya dengan pendapat-pendapat dari mazhab yang lain.

Dalam memberikan jawaan, saya memilih cara yang ringkas dan sederhana. Saya juga mengurangi penggunaan istilah-istilah fiqh yang sulit difahami oleh orang awam. Jika saya terpaksa memasukkan istilah-istilah tersebut, saya akan menyertakannya dengan keterangan yang memudahkan para pembaca memahaminya ”.

Berdasarkan pengamatan saya, kitab ini merupakan antara sumber rujukan para ilmuan Islam masa kini, khususnya di Malaysia ketika membicarakan permasalahan agama, di samping kitab-kitab karya para ulama terdahulu.


Terjemahan kitab ini…

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kitab ini ada diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Ahmad Subandi dan diterbitkan oleh Penerbit Lentera, Indonesia dalam 7 jilid, sebagaimana edisi asalnya.

Berdasarkan terbitan di atas, buku terjemahan ini telah diterbitkan kembali di Malaysia oleh Darul Fikir, Kuala Lumpur  dengan judulnya “ Kamu Bertanya, Islam Menjawab” – dengan cetakan pertamanya pada tahun 2004. Dalam koleksi saya hanya terdapat 5 jilid (1-5) buku terjemahan ini, dua jilid lagi saya tidak menemui di kedai buku yang saya kunjungi. Sekadar pengetahuan saya, edisi terjemahan ini belum lagi diterbitkan kembali oleh Darul Fikir. 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 21, 2015

Maw’izhah al-Mu’minin


Kitab Maw’izhah al-Mu’minin min Ihya’ ‘Ulumiddin (موعظة المؤمنين من إحياء علوم الدين) adalah antara kitab yang terkenal, yang menjadi rujukan dan teks pengajian Islam, khususnya dalam bidang adab dan akhlak. Kitab ini merupakan ringkasan dari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin karya al-Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (505H/1111M). Usaha meringkaskan kitab ini telah dilakukan oleh al-‘Allamah al-Muhaddis al-Mufassir Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi (1332/1914), seorang ulama terkenal dari Syria.

Kitab ini merupakan antara ringkasan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang terbaik. Kandungannya padat dan hampir menyeluruh meliputi aspek-aspek penting yang terdapat dalam kitab asal. Di Malaysia, kitab ini menjadi teks pengajian dan kuliah ilmu di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara. Kitab ini bagaikan inti kepada kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang mudah diambil  manfaatnya oleh para pelajar maupun orang awam. Walaupun, tidak mempelajari kitab Ihya’ ‘Ulumiddin secara langsung, melalui kitab ini, umat Islam dapat mengenai Imam al-Ghazali dan karyanya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.

Kata Syaikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam pengantar kitab ini; “ ….pada tahun 1323H saya mulakan usaha untuk meringkaskan kandungan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin itu dalam dua juzuk yang sederhana, menurut susunan asalnya, tanpa sebarang perubahan judul-judulnya ”.

Kitab ini telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa dunia. Di Malaysia ia telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh beberapa syarikat penerbitan. Melalui buku terjemahan ini, kandungan kitab Maw’izah al-Mu’minin dapat dibaca dan diamalkan kandungannya oleh masyarakat Islam di negara ini.

Dalam koleksi saya, terdapat sebuah buku terjemahan kitab ini dengan judul Bimbingan Mu’minin. Terjemahan ini diusahakan oleh al-Marhum Syed Ahmad Semait seorang penulis dan ulama terkenal dari Singapura. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional, Singapura, dengan cetakan ke 14 pada tahun 2014. Berdasarkan butiran dalam buku tersebut, buku terjemahan ini mula diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1978. Pada tahun 1990  ia telah dikemaskini dan telah diterbitkan berulang kali dengan edisi jawi dan rumi.  

Kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun di pautan berikut; 

Semoga bermanfaat.

Wednesday, January 14, 2015

Hidayatul 'Awam fi Bayan Hukm Syarb al-Dukhan


Kitab “ Hidayatul 'Awam fi Bayan Hukm Syarb al-Dukhan ” (هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان) adalah sebuah karya ulama terkenal dari negeri Trengganu, iaitu Sayyid Ahmad bin Sayyid Muhammad @ Tok Ku Tuan Padang bin Sayyid Husain bin Sayyid Mustafa al-`Aidrus asy-Syafi`i, yang terkenal dengan gelaran Tok Ku Melaka. Beliau dilahirkan pada 21 Rejab 1209 H/12 Februari 1795 M dan wafat pada malam Isnin, 17 Muharam 1295 H 21 Januari 1878 M.

Tokoh ulama yang juga dikenali sebagai Tuan Sayyid Embun Trengganu ini merupakan bapa mertua kepada seorang lagi ulama Trengganu yang terkenal iaitu Tuan Sayyid Abdur Rahman al-`Aidrus rahimahullah atau lebih dikenali dengan gelar Tok Ku Paloh. Tok Ku Melaka terkenal sebagai ulama yang rajin berdakwah dan menuntut ilmu sehingga beliau mengembara sehingga ke Melaka untuk tujuan tersebut. Dari situlah muncul gelaran Tok Ku Melaka kepada beliau. Dalam arena penulisan, beliau turut meninggalkan beberapa karya yang berbobot, antaranya:-

        1.       Al-Fawaid fi Shalah wa ‘Awaid (الفوائد في الصلاة و عوائد)
        2.      Hidayah al-‘Awam fi Bayan Hukm Syarb al-Dukhan (هداية العوام في بيان حكم شرب الدخان)
        3.      Taghrib al-Rijal fi Kasb al-Halal (تغريب الرجال في كسب الحلال)
        4.      Ta’rif al-Khalan fi Tajwid al-Quran (تعريف الخلان في تجويد القرآن)
        5.      Hidayah al-Ikhwan fi Azkar al-Shalah ma’a Arkan (هداية الإخوان في اذكار الصلاة مع اركان)
        6.       Taghrib al-‘Ibadah fi Qiraah Ratib al-Haddad (ترغيب العبادة في قرائة راتب الحداد)
        7.      Kumpulan Wirid & Doa
        8.      Terjemahan Muqaddimah & Doa Dalailul Khairat.

Tok Ku Melaka adalah antara ulama yang mendokong pengharaman merokok. Bahkan beliau memiliki karangan bagi menjelaskan pegangan beliau tersebut yang diberi judul " Hidayatul `Awaam fi bayani hukm syurbid dukhaan" (kitab yang sedang dibicarakan ini). Menurut al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah berdasarkan tulisan pengarangnya, Tok Ku Melaka;

Kitab ini beliau selesaikan di Melaka pada hari Selasa... (naskhah rosak, pen:) bulan Rabiulawal 1293 H/1876M. Manuskrip yang dibicarakan ini merupakan salinan oleh Muhammad Alim Barus. Selesai menyalinnya pada hari Selasa, 20 Zulhijjah 1337 H/16 September 1919 M di Sungai Cincin, Ulu Gombak, Selangor Darul Ehsan[1].

Dalam kitab tersebut beliau menyebut beberapa nama beberapa ulama yang mengharamkan merokok antaranya Syaikh Shalih al-Bulqini, Syaikh Ahmad al-Qalyubi, Syaikh Ibnu `Illan ash-Shiddiqi al-Makki, Habib Abu Bakar bin Salim, Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Atthas, Habib `Abdullah bin `Alawi al-Haddad, Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dan lain-lainrahimahumullahu jami`an.

Beliau menulis, antara lain:- 

".... Telah menjazamkan dengan haram tembakau itu oleh beberapa ulama yang muhaqqiqun yang ikutan bagi sekalian kita, daripada ulama yang dalam negeri Makkah dan dalam negeri Yaman dan negeri Syam dan lain daripadanya. .......... Ada pun segala ulama daripada segala tuan - tuan Sayyid yang anak cucu Rasulullah SAW yang berkata mereka itu dengan haram minum (yakni menghisap) asap tembakau itu, maka mereka itu pun banyak juga. .......... Ketahui olehmu akan bahawa sesungguhnya adalah minum arak, dan afyun(opium/candu) dan asap tembakau (yakni merokok) itu setengah daripada segala jalan kafir dan segala mereka itu yang sesat dan yang fasiq dan yang tiada malu dan tiada maruah. Maka janganlah engkau menyerupai dengan mereka itu."

Tidak semua ulama bersetuju dengan pegangan beliau yang dianggap terlalu keras terhadap perokok ketika itu. Syaikh Zainal `Abidin bin Muhammad al-Fathani yang terkenal dengan gelaran Tuan Minal al-Fathani rahimahullah, ulama Fathani pengarang kitab "`Aqidatun Najin" yang hidup sezaman dengan Tok Ku Melaka, telah mengarang sebuah karya yang berjudul "Tabassumusy Syaaribin" sebagai reaksi terhadap karya Tok Ku Melaka tersebut. Namun ini tidak bererti yang Tuan Minal al-Fathani menolak apa yang dinyatakan oleh Tok Ku Melaka secara total. Beliau bukannya tidak menyetujui hukum keharaman merokok tetapi keharaman tersebut menurut beliau tidaklah bersifat mutlak kerana ianya bergantung kepada kemudaratannya. Menurut Tuan Minal, merokok adalah haram jika ianya memberi mudarat dan hanya makruh jika ianya tidak memudaratkan. Beliau dalam kitabnya tersebut menyatakan, antara lain:-

 " ...Aku tilikkan akan karangan Tuan Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Husain al-`Aidrus dengan bangsa (yakni bahasa) Jawi, elok susunannya, yang tersebut di dalamnya itu beberapa yang haram atas manusia memakan akan dia dan setengah daripadanya tembakau muthlaqan yakni sama ada mabuk atau orang yang tiada mabuk ..... Bahawa memakan tembakau (yakni merokok) itu makruh bagi orang yang tiada mudarat atasnya memakan dia dan jika memberi mudarat maka iaitu haram."

Jadi yang tidak dipersetujui oleh Tuan Minal adalah mengharamkan tembakau secara mutlak seolah-olah ianya adalah sesuatu yang haram pada zat, sedangkan haramnya merokok itu adalah bergantung kepada kemudaratannya yang merupakan sesuatu yang `aridh (mendatang) dan bukannya kerana zat tembakau atau rokok itu sendiri.

Semoga bermanfaat.

Saturday, January 3, 2015

Hidayah al-Salikin fi ٍSuluk Maslak al-Muttaqin


Kitab Hidayah al-Salikin atau nama lengkapnya “Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin” (هداية السالكين في سلوك مسلك المتقين) dan terjemahan judulnya “Pedoman Bagi Orang Yang Berjalan Pada Perjalanan Orang Yang Takut Akan Allah Ta‘ala” merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh seorang tokoh ulama Melayu terbilang iaitu Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani ketika beliau berada di Makkah. Karya ini selesai ditulis pada hari Selasa 5 Muharam 1192H[1]. Namun, lebih kurang seratus tahun selepas itu barulah ia dapat diterbitkan[2]. Kitab ini merupakan kitab Melayu/ Jawi pertama yang ditashihkan dan kemudian dicetak, hasil daripada inisiatif sebuah badan pentashih di Makkah dan Mesir[3] pada ketika itu yang diketuai oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.

Menurut Wan Mohd Shaghir Abdullah, selain penggunaan nama judul kitab dengan Hidayah al-Salikin, ia juga yang menggunakan judul Bidayah al-Salikin yang diterbitkan di Singapura dan Makkah[4]. Kedua-dua nama tersebut memang terdapat pada manuskrip asal. Namun, pada cetakan huruf litografi (huruf batu)[5], sama ada cetakan di Singapura ataupun Makkah, kedua-duanya menggunakan judul Bidayah al-Salikin. Setelah itu, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani telah berusaha untuk menukar huruf tersebut kepada huruf yang dibuat klise timah dan diletakkan judul Hidayah al-Salikin, bukannya Bidayah al-Salikin. Beliau juga mendakwa, kitab Hidayah al-Salikin adalah kitab Melayu/ Jawi pertama yang telah dicetak di Mesir[6].

Dalam Majalah Pelita pula ditulis dengan judul “Hikayah al-Salikin” tetapi pada pandangan Wan Mohd Shaghir Abdullah, kemungkinan berlaku kesilapan sewaktu mentransliterasikannya dari bahasa Melayu/ Jawi ke Rumi berdasarkan ambilan dan rujukan daripada tulisan orang Barat (Orientalis). Tambahan pula, berdasarkan kajian yang dilakukan, beliau tidak pernah menjumpai, bahkan tiada sumber yang menjelaskan bahawa al-Falimbani pernah mengarang kitab dengan judul tersebut[7].

Dalam melihat kepada kitab ini yang telah diterbitkan, terbitan pertama bermula di Mesir pada tahun 1288H/ 1871M melalui cetakan Syeikh Hasan al-Thuki yang telah ditashihkan oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani . Kemudiannya di Makkah dengan edisi pertama pada tahun 1300H/ 1882M oleh Matba‘ah al-Kainah, Makkah[8]. Seterusnya diulang cetak di Makkah, Mesir, Bombay, Singapura, Indonesia dan Malaysia sendiri[9]. Sehinggalah pada hari ini, terdapat usaha yang dilakukan oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah[10] dan Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi al-Maliki[11] yang telah mentransliterasikan daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi di samping penyusunan yang lebih teratur dan tersusun[12].


Kandungan Perbahasan Kitab

Berdasarkan kepada kenyataan yang disebutkan oleh penulis sebelum ini, kitab Hidayah al-Salikin adalah sebuah kitab berkaitan tasawuf. Al-Falimbani menyusun kitab ini, sarat dengan ilmu pengajian tasawuf yang dikhususkan untuk golongan mubtadi (permulaan). Kitab ini seperti yang disebutkan oleh al-Falimbani sendiri di dalam muqaddimahnya bahawa kitab “Bidayah al-Hidayah[13] karangan Imam al-Ghazali adalah sebuah karya lengkap yang menghimpunkan pelbagai ilmu yang membawa takut kepada Allah dan merupakan himpunan ilmu untuk manfaat dunia dan akhirat. Oleh kerana kasihnya beliau kepada kitab tersebut (Bidayah al-Hidayah), lalu beliau telah mengambil inisiatif dan usaha untuk menterjemahkan kitab itu dari bahasa ‘Arab kepada Melayu/Jawi dengan memberikan tambahan terhadap permasalahan yang tidak terdapat di dalam kitab tersebut[14].

Secara umumnya, kitab ini membicarakan persoalan berkaitan tasawuf. Namun, terdapat juga elemen atau aspek lain yang dimuatkan dalam kandungannya. Misalnya, dalam bab yang pertama selepas membicarakan soal kepentingan ilmu dan faedahnya, beliau telah memulakan perbahasan dengan perbincangan berkaitan soal akidah (tauhid), di mana dijelaskan betapa pentingnya akidah sebagai asas atau tunjang utama sebelum mempelajari ilmu lainnya. Di samping itu, akidah adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan dahulu sebelum pelaksanaan syariat dan amal ibadat yang lain. Dalam soal ini, al-Falimbani lebih cenderung untuk mengemukakan konsep akidah yang dibawa oleh Ahl al-Sunnah wa la-Jama‘ah yang di dukung oleh Abu Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al-Maturidi. Keadaan ini, bertepatan dengan pegangan Imam al-Ghazali sendiri[15].

Dalam bab seterusnya, kitab ini juga mengemukakan perbicaraan berkaitan fikah (fiqh). Al-Falimbani mendedahkan kepada pembacanya, contohnya berkenaan kaifiyat atau kaedah pelaksanaan solat-solat sunat seperti solat hajat, istiqarah, isytiqaq, duha, awwabin, tasbih, tawbah dan sebagainya lagi. Beliau mengemukakan beberapa cara pelaksanaan solat-solat sunat tersebut seperti bacaan surah atau ayat al-Quran dalam rakaat, sama ada rakaat pertama, kedua dan seterusnya. Bahkan dikemukakan juga cara kedua, atau alternatif bacaan surah lain atau kaedah lain yang tidak membebankan pengamalnya, dan terserah kepada pembaca untuk memilih cara yang mampu untuk mereka laksanakan[16]. Dengan demikian, keadaan tersebut memperlihatkan usaha al-Falimbani untuk menarik minat pembaca dan pelajar kitab ini supaya tidak rasa terbeban, bahkan berupaya memilih sesuatu pelaksanaan sesuatu ibadah berdasarkan keupayaan dan kemampuan yang ada. Walaupun demikian, beliau tidak memanjang perbicaraan dalam aspek ini. Cuma beberapa permasalahan atau tajuk sahaja yang disentuh iaitu taharah (bersuci), solat dan puasa sahaja. Tetapi perbahasannya adalah dalam bentuk yang ringkas dan padat. Al-Falimbani meninggalkan daripada membicarakan secara mendalam terhadap permasalahan fiqh yang melibatkan perbezaan pandangan dan perselisihan pendapat ulama.

Di dalam buku ini, perbahasan yang dibicarakan oleh al-Falimbani adalah berkait rapat dengan tasawuf, malahan inilah aspek utama perbahasan beliau dalam kitab ini. Contohnya perbahasan berkait dengan adab-adab tertentu seperti ketika bersuci, berwuduk, tayamum, adab ketika pelaksanaan solat, adab di masjid, adab dengan manusia seperti adab anak kepada ibu bapa, adab bersahabat, adab makan dan minum dan sebagainya lagi. Selain itu, beliau juga membincangkan aspek-aspek tertentu terutama dalam konteks pemeliharaan diri seseorang seperti berkaitan riya’, takabbur, marah, hasad, sabar, syukur, zuhud, zikir dan lain-lain lagi. Seolah-olah apa yang dikemukakan oleh al-Falimbani ini merupakan satu pakej lengkap kepada setiap individu Muslim untuk diamalkan kerana perbincangannya berkait rapat dengan kehidupan dan amalan harian mereka. Bagi mereka yang melaksanakannya, diri mereka akan dapat dikepong dan dipelihara daripada perkara-perkara yang tidak baik ataupun maksiat.

Sesuatu yang menarik di dalam kitab ini ialah kandungannya dimuatkan dengan pelbagai hadith yang menjadi hujah atau dalil untuk mengukuhkan sesuatu amalan atau kenyataan yang disebutkan. Dengan kata lain, penulis juga cenderung untuk melabelkan kitab tersebut sebagai salah sebuah kitab hadith dalam bidang ilmu tasawuf. 


Tambahan[17];




Ada yang mengatakan bahwa kitab ini adalah terjemahan bagi kitab Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, namun begitu kitab Hidayah al-Salikin ini pada hakikat bukan sekadar karya terjemahan, bahkan ia merupakan kitab syarah (huraian) bagi kitab Bidayah al-Hidayah, di mana ketika menghuraikannya al-Falimbani telah merujuk lebih daripada 20 buah kitab karya ulama termasuk karya lain Imam al-Ghazali, iaitu Minhaj al-‘Abidin, Ihya` Ulumiddin dan al-Arbain fi Usuliddin.

Berikut disenaraikan karya-karya lain yang menjadi rujukan al-Falimbani;

  1. al-Yawaqit wa al-Jawahir, Durar al-Jawahir dan  ‘Uhud al-Muhammadiah - karya Syaikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani.
  2. al-Hikam, al-Tanwir fi Isqati al-Tadbir dan  Miftah al-Falah - karya Syaikh Ibn ‘Athoillah.
  3.  Ghaits al-Mawahib al-‘Aliyah fi Syarh al-Hikam al-‘Athoiyyah –karya Ibn ‘Abbad.
  4. al-Durruts Tsamin – karya Habib ‘Abdul Qadir al-‘Aidarus.
  5. ‘Umdah al-Muhtajin – karya  Syaikh ‘Abdurrauf al-Fanshuri.
  6. ‘Awariful Ma’arif – karya Sahruwardi
  7.  Risalah al-Qusyairiyah – karya Syaikh ‘Abdul Karim al-Qusyairi;
  8.   Urwatul Wuthqa dan Nafahat al-Ilahiyyah – karya Syaikh Muhamad bin ‘Abdul Karim al-Samani .
  9. Bustan al-‘Ariffin – karya Syaikh Ahmad al-Qusyasyi;
  10. Iqadz al-Qawabil – karya Syaikh Ibrahim al-Kurdi
  11. Nashoih al-Diniyyah – karya Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad;
  12. Syarh Bidayah al-Hidayah – karya Syaikh ‘Abdul Qadir al-Faqihi
  13. al-Tarsyih fi Shalat al-Tasbih – karya  Syaikh Tajuddin al-Subki
  14. Syarh al-Raudhah – karya Syaikh Zakaria al-Anshari
  15. Syarh Matn Jauharah al-Tauhid – karya Syaikh Abdul Mu’ti
  16. Minhaj al-Salik – karya Syaikh ‘Ali al-Mursafi.
Berdasar kandungan kitab Hidayah al-Salikin dan karya-karya yang dirujuk oleh al-Falibani ini, maka selayaknya kitab ini dikatakan syarah (huraian) bagi Bidayah al-Hidayah dan bukannya sekadar terjemahan. [maklumat ini dipetik dari buku Syaikh ‘Abdusshamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu karya Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir].

Artikel di atas disalin dan dengan sedikit tambahan dari:
http://mindahatiku.blogspot.com/2010/09/kitab-hidayah-al-salikin-karya-sheikh.html



[1] Wan Mohd Shaghir Abdullah (1983), Syaikh Abdus Samad al-Falimbani : Sufi yang Syahid fi Sabilillah, Kuala Lumpur: Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyyah al-Fataniyyah, cet.1, hlm 28-30.

[2] Keadaan ini berlaku kerana tidak ada lagi syarikat percetakan yang ditubuhkan bagi mencetak kitab Melayu/ Jawi pada ketika itu. Kalau diharapkan kepada orang ‘Arab sudah pastilah tidak dicetak kerana mereka tidak memahami dan tidak mampu untuk membacanya kerana walaupun tulisan seperti tulisan ‘Arab tetapi berbahasa Melayu/Jawi.

[3] Badan ini terbentuk sekitar tahun 1296H yang diketuai oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani yang bertanggungjawab di bahagian kitab berbahasa Melayu/ Jawi. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani pernah dihantar untuk bertemu Wakil Pemerintah Tukri Uthmaniyah di Mekah bagi mendapatkan sebuah mesin pencetakan. Lihat op.cit.

[4]  Judul ini didapati pada koleksi manuskrip Balai Islam Bahagian Hal Ehwal Islam dengan nombor kelas MI 170, MI 277 dan MI 334, lihat Wan Mohd Shaghir Abdullah (1996), Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, op.cit., hlm 111.

[5] Cetakan ini dicatatkan tahun penulisannya pada tahun 1287H/ 1870M, lihat Wan Shaghir Abdullah (1996), al-‘Urwatul Wutsqa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kuala Lumpur: Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyyah al-Fataniyyah, hlm 7.
[6]  Ibid.

[7] Wan Mohd Shaghir Abdullah (1996), Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, op.cit.

[8] Wan Mohd Shaghir Abdullah (1999), Hidayah al-Salikin, edisi rumi, cet.2, jilid 1, hlm 2.

[9] Dr. Chatib Quzwain (1996), op.cit, hlm 25 dan Dr. Taufik Abdullah (2002), Ensiklopedi Tematis Dunia Islam (Asia Tenggara), op.cit., hlm 152.

[10] Beliau merupakan cucu kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Sehingga sekarang, beliaulah yang banyak bertanggungjawab dalam usaha mengumpul, mencetak, menulis, mentahqiq dan memperkenalkan tokoh-tokoh ulama silam di Nusantara bersama dengan karya-karya mereka yang digerakkan di bawah Khazanah Fathaniyah. Beliau telah mengalihkan tulisan kitab ini daripada tulisan Melayu/ Jawi kepada tulisn Melayu/Rumi yang telah diusahakan dalam beberapa tahun sehingga terhasil kitab Hidayah al-Salikin edisi rumi dengan tiga jilid iaitu Jilid 1 pada tahun 1417H/ 1996M, Jilid 2 pada tahun 1418H/1997M dan Jilid 3 pada tahun 1419H/1998M.

[11] Beliau adalah Ustaz Fahmi bin Zamzam yang dilahirkan di Amuntai, Banjarmasin, Kalimantan, Selatan Indonesia pada tahun 1959M. Beliau telah mendirikan pondok Pasantren di Muara Teweh, Kalimantan Tengah Indonesia pada tahun 2001M dan Pasantren kedua di Banjarbaru, Kalimantan Selatan Indonesia pada tahun 2003M. Pada masa yang sama, sehingga kini masih menjadi tenaga pengajar di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah. Usaha beliau, adalah seperti mana yang dilakukan oleh Wan Mohd Shaghir. Namun, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dengan susun atur yang lebih menarik di samping dengan dua versi iaitu edisi Melayu/ Jawi dan Rumi. Lihat Ahmad Fahmi Zamzam (2003), Hidayatus-Salikin fi Suluk Maslakil-Muttaqin, Kedah: Khazanah Banjariah dan Pustaka Suhbah, cet. 1, hlm xxiii-xxiv.

[12] Tambahan: Selain mereka, kitab ini juga telah ditransliterasikan daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi oleh Ustazah Noraine Abu tanpa sebarang perubahan susunan bahasanya. Manakala Abdul Ghani Jabal Maraqy pula menyusun kembali kitab ini dengan sedikit perubahan gaya bahasanya tanpa perubahan isi kandungannya.

[13] Tambahan: Kitab Bidayah al-Hidayah dianggap sebagai ringkasan kepada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin yang disusun sendiri oleh Imam al-Ghazali. Lihat Hidayatus-Salikin fi Suluki Maslakil-Muttaqin, ditahqiqkan oleh Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi, hal. xvi, Selangor: Galeri Ilmu, C1 213.

[14] Kenyataan penuh tercatat dalam kitab tersebut. Rujuk Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani, Hidayah al-Salikin, lihat cetakan Pulau Pinang oleh Sulaiman Prees (t.t), hlm 3-4, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah (1996), oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah, op.cit., hlm 9-10 dan Kedah: Khazanah al-Banjariah oleh Ustaz Fahmi Zamzam (2003), hlm 2-3.

[15] Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani (t.t), Hidayah al-Salikin, ditahqiqkan oleh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Dar al-Ma‘arif, hlm 17-23.

[16] Contohnya, dalam Bab Kedua; “Pada Menyatakan Berbuat Taat dan Ibadat Yang Zahir”, diterangkan berkenaan solat Tasbih. Al-Falimbani mengemukakan dua riwayat cara pelaksanaan solat tersebut dan dijelaskan satu persatu cara pelaksanaannya. Lihat Syeikh Abd al-Samad al-Falimbani (2003), Hidayatus-Salikin fi Suluki Maslakil-Muttaqin, ditahqiqkan oleh Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi, Kedah: Kazanah Banjariah, cet.1, hlm 87-100 dan Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani (t.t), op.cit., hlm 86-102 pada perbahasan berkaitan Solat Tasbih

[17] Tambahan  penyalin.