Tuesday, December 30, 2014

Intisari Karya-karya Tasawuf


Ketika saya mengemas dan menyusun atur buku di atas rak buku yang sudah lama tidak dibersihkan saya menjumpai sebuah buku yang sudah lama saya mencarinya. al-Hamdulillah buku yang saya sangka telah hilang dari koleksi saya ini masih ada tersisip di antara buku-buku yang tersusun dalam rak yang terletak dalam bilik tidur anak saya.

Buku yang berjudul “ Intisari Karya-Karya Tasawuf ” yang dicetak dengan tulisan Jawi ini merupakan sebuah karya terjemahan yang diusahakan oleh Ustaz Haji Abdullah al-Qari bin Salleh dan Ustaz Muhammad Salleh bin Haji Arsyad dari sebuah karya Hujatul Islam al-Imam Abu Hamid al-Ghazali yang berjudul “ Khulashah al-Tashanif fi al-Tashawwuf” (خلاصة التصانيف في التصوف ).

Buku dalam koleksi saya ini adalah edisi cetakan kedua pada tahun 1983, manakala cetakan pertamanya pada tahun 1980. Ia diterbitkan oleh Pustaka Aman Press dengan ketebalan 61 halaman termasuk kata pengantar penterjemah dan halaman isi kandungan.

Karya Imam al-Ghazali ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi, yang kemudiannya dialihbahasakan oleh Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi al-Irbili al-Syafi’i al-Naqsyabandi (1840-1913) ke dalam bahasa Arab. Kitab ini asalnya merupakan sebuah jawapan bertulis Imam al-Ghazali kepada seorang muridnya, yang memohon isi intisari pengajaran tasawuf yang terkandung dalam karya-karya beliau, khususnya perbincangan mengenai ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat dalam melayari bahtera hidup menuju akhirat.

Setakat ini, saya belum menemui edisi terbaharu terjemahan ini yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Press, atau syarikat penerbitan lain. Kemungkinan ada terjemahan lain yang telah diterbitkan sama ada dalam Bahasa Melayu atau Indonesia, yang boleh dikongsi maklumatnya dari pihak pembaca.

Dalam edisi bahasa Arab saya hanya menemui sebuah kitab ini yang diterbitkan oleh Mathba’ah al-Najah di Mesir dengan cetakan pertamanya tanpa disebutkan tarikh cetakannya. Kitab ini juga ada diterbitkan bersama karya-karya Imam al-Ghazali dalam sebuah buku yang berjudul “ Majmu’ah Rasa-il al-Imam al-Ghazali ”. Buku ini diterbitkan oleh al-Maktabah al-Tawfiqiyyah, Mesir dengan memuatkan sebanyak 26 risalah karya Imam al-Ghazali.

Semoga bermanfaat.

Tuesday, December 2, 2014

Wisyahul Afrah wa Ishbahul al-Falah (وشاح الأفراح وإصباح الفلاح)


Kitab Wisyahul Afrah wa Ishbahul al-Falah (وشاح الأفراح وإصباح الفلاح)   adalah sebuah kitab dalam bahasa Melayu (Jawi) karya Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (1260-1333H/1844-1915M) seorang tokoh ulama Nusantara yang berkediaman di Makkah dan seorang guru di Masjidil Haram. Beliau terkenal dengan gelaran Syeikh Nik Mat Kecik Patani. 

Kitab ini menjadi teks pengajian aqidah dan fiqh (khususnya mengenai bab bersuci dan sembahyang) mengikut mazhab al-Syafi’i di kebanyakan pondok-pondok, masjid dan surau di Musantara, khusus di Malaysia dan Selatan Thailand.

Dalam pendahuluan kitab ini, Syaikh Muhammad Ismail Daud al-Fathani menerangkan tujuan penyusunan kitab ini dan secara ringkas isi kandungannya;

Telah menuntuti akan daku setengah daripada kekasih bahawa aku himpunkan baginya suatu risalah yang kecil yang diterjemahkan dia dengan bahasa Jawi yang terkandung ia bagi menyatakan segala rukun Islam dan rukun Iman  terkandung ia bagi menakuti akan orang yang meninggalkan sembahyang dan terkandung bagi menyatakan segala syarat sembahyang dan segala rukun sembahyang dan menyatakan setengah daripada faedah dunia dan akhirat ”.

Kitab ini dimulai dengan “ Bab pada menyatakan segala rukun Islam dan Iman…” dan “ Bab pada menyatakan menakuti orang yang meninggalkan sembahyang ”.
                                                                                                  
Kemudian diikuti dengan “ Kitab pada menyatakan hukum bersuci ” mengandungi beberapa bab - yang menerangkan mengenai hukum istinjak, mengambil wuduk, mandi junub, mandi haid dan nifas serta segala mandi sunat dan hukum tayammum. Juga mengenai haid, nifas dan istihadah, serta mengenai najis dan cara menghilangkannya.

Kandungan seterusnya adalah “ Kitab pada menyatakan sembahyang ” yang menerangkan beberapa bab mengenai tatacara sembahyang, iaitu syarat-syarat, rukun-rukun, sunat-sunat dan perkara yang membatalkan sembahyang. Diterangkan juga mengenai sujud sahwi, sembahyang sunat, sembahyang berjemaah dan sembahyang qasar –jamak. Penerangan juga diberikan mengenai sembahyang Jumaat, sembahyang dua hari raya, sembahyang gerhana bulan dan matahari, sembahyang istisqa’ dan diakhiri dengan sembahyang jenazah.

Pengarang seterusnya menerangkan “ Bab pada menyatakan setengah daripada beberapa faedah dunia dan akhirat ”. Dalam bab ini diterangkan zikir-zikir selepas sembahyang dan doa-doa yang berdasarkan amalan Rasulullah saw, para sahabat dan orang-orang salih terdahulu.

Kitab ini ditutup dengan sebuah “ Khatimah” , antaranya  menyatakan tarikh kitab ini siap ditulis oleh penyusunnya, iaitu; “ pada hari Khamis 20 hari bulan Dzil Qa’edah pada waktu dhuha di dalam negeri Mekah…..pada tahun 1312 Hijrah Saiyid Walad ‘Adnan….”.

Di akhir kitab ini dilampirkan sebuah doa yang agak panjang, yang sesuai diamalkan selepas sembahyang. 

Edisi Jawi kitab ini masih dicetak dan diterbitkan. Kitab ini juga telah diterbitkan dengan tulisan Rumi, bagi memudahkan generasi sekarang yang kurang mahir dalam tulisan Jawi. Edisi rumi yang ada dalam  simpanan saya adalah edisi yang telah diusahakan salinan Jawi ke tulisan rumi oleh Ustazah Noraine Abu dan diterbitkan oleh Al Hidayah House Of Publisher dengan cetakan pertama tahun 2014. 

Kitab ini (versi jawi) boleh dibaca di pautan;

Semoga bermanfaat.