Sunday, June 29, 2014

Solat Tarawih: Bilangan Rakaat di sisi Salafus Soleh



Buku "Solat Tarawih: Bilangan Rakaat di sisi Salafus Soleh" merupakan sebuah buku terjemahan bagi sebuah karya al-Hafidz Jalaluddin al-Suyuthi yang berjudul al-Mashabih fi Shalah al-Tarawih (المصابيح في صلاة التراويح). Dalam kitab ini dibincangkan secara tuntas mengenai bilangan rakaat solat tarawih mengikut perbuatan Nabi Sallallahu alaihi Wasallam dan Ulama Salaf. Imam al-Suyuthi telah menyusun dalil-dalil satu persatu bermula dengan hadis, athar sahabat dan pendapat Ulama Salaf berkenaan masalah tersebut.

Berdasarkan kitab ini, dapat disimpulkan bahawa pendapat para ulama mengenai rakaat solat tarawih - sama ada dilaksanakan sebanyak 8, 20, 26, 36 atau 42 rakaat, kesemuanya terdapat hujah dan dalil dari Ulama Salaf.

Menurut Imam Suyuthi pada zamannya terdapat kelompok yang menyangka solat tarawih yang menepati sunnah adalah 20 rakaat,  sebagaimana ada golongan pada hari ini menyangka solat tarawih yang menepati sunnah adalah 8 rakaat. Masing-masing bertegas dengan pendapat masing dicampur pula dengan unsur syaitani di dalam hati yang sentiasa mencari perpecahan di atas nama agama. Sebahagian Salaf menyukai  bacaan yang panjang, lalu dipendekkan rakaat. Sebahagian lain pula menyukai dengan bacaan pendek lalu diperbanyakkan rakaat. Menjaga perpaduan satu kewajipan, berpecah dengan masalah khilaf satu kebodohan.

Buku terjemahan yang setebal 166 halaman ini merupakan hasil terjemahan oleh Ariff Idzuan Nordin telah diterbitkan oleh Pustaka Darussalam, Kedah dengan cetakan pertamanya pada tahun 2008.

Kitab edisi Arabnya boleh dimuat turun melalui pautan المصابيح في صلاة التراويح.

Semoga bermanfaat.

Friday, June 20, 2014

al-Bahjah al-Wardiyyah (البهجة الوردية)


Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah (البهجة الوردية) atau Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah (الوردية منظومة البهجة) merupakan sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i yang disusun dalam bentuk nazam oleh al-Imam Zaynuddin Abu Hafsh ‘Umar bin al-Muzaffar bin ‘Umar al-bin al-Wardi Mu’arri al-Kindi (749H), yang terkenal dengan gelaran Ibn al-Wardi. 

Kitab al-Bahjah ini juga dikenali sebagai Bahjah al-Hawi, kerana kitab ini disusun oleh Ibn al-Wardi sebagai ringkasan bagi kitab al-Hawi al-Shaghir, iaitu sebuah kitab yang disusun oleh al-Imam Najmuddin Abdul Ghaffar bin Abdul Karim al-Qazwaini al-Syafi’i (585-665H). Manakala kitab al-Hawi al-Shaghir ini pula adalah ringkasan bagi kitab Fath al-‘Aziz atau al-Syarh al-Kabir karya al-Imam Abu al-Qasim Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i al-Qazwaini (624H). 

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya al-Durar al-Kaminah, terdapat 5063 bait yang disusun oleh Ibn al-Wardi bagi melengkapi karya beliau ini. Kitab al-Bahjah al-Wardiyyah ini kemudiannya telah disyarah oleh beberapa orang ulama,  antaranya ialah;

1)      Waliyuddin Abu Zur’ah Ahmad bin Abdul Rahim al-Iraqi al-Mishri (762-826H)

2)     Syamsuddin Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H)

3)     Syaikh al-Islam al-Qadhi Zainuddin Abu Yahya Zakariya al-Anshari (823-926H)

4)     Syamsuddin al-Jamal Muhammad bin Syihabuddin Ahmad al-Ramli (919-1004H)

5)      al-Qadhi Syarafuddin Hibatullah bin Abdul Rahim al-Barizi[1] (645-738H)


Di antara kitab syarah al-Bahjah yang paling terkenal dan masih dicetak dan diterbitkan hingga kini ialah kitab yang disusun oleh Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari, iaitu kitab al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh Manzhumah al-Bahjah al-Wardiyyah (الـغـرر الـبـهـيـة في شـرح مـنـظـومـة الـبـهـجـة الـورديـة). Berdasarkan terbitan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah – Beirut –Lubnan,  ia dicetak dalam 11 jilid.

Download kitab al-Bahjah al-Wardiyyah di pautan berikut;  الوردية منظومة البهجة.

Semoga bermanfaat.


[1] Baca biografi hidup beliau di pautan al-Barizi.

Wednesday, June 11, 2014

Kenali Rasul Kita Muhammad


Buku "Kenali Rasul Kita Muhammad" merupakan hasil terjemahan daripada Matan asy-Syamail al-Muhammadiyyah karangan Imam at-Tirmizi. Buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd, dengan cetakan pertama tahun 2014 - berdasarkan terjemahan dan huraiannya yang diusahakan oleh Ust. Ahmad Adnan Fadzil.

Buku ini bukan hanya menghimpunkan hadis tentang akhlak dan budi pekerti Nabi Muhammad SAW, tetapi disertakan juga hadis tentang sifat-sifat fizikal, pakaian, makanan, minuman, ibadah, pergaulan dan sebagainya yang berkait dengan kehidupan Baginda secara menyeluruh.

Kelebihan buku ini:

• Gabungan terjemahan, ulasan dan kesimpulan berkenaan riwayat hidup kekasih Allah supaya pembaca memahami keperibadian dan cara hidup Baginda dengan tepat dan menyeluruh sebagaimana tujuan Imam at-Tirmizi menulis kitab asy-Syamail.

• Terjemahan lengkap berbahasa Melayu disertai ulasan yang dapat membantu pembaca memahami setiap hadis asy-Syamail dengan tepat dan baik.

• Mempunyai taujihat nabawiyyah yang boleh dijadikan teladan di setiap bab yang pastinya menjadi nilai tambah bagi buku ini.

• Disertakan foto, gambar rajah dan diagram yang memudahkan pemahaman pembaca.

• Kisah-kisah menarik daripada hadis-hadis yang dipaparkan dalam buku ini dapat mendidik jiwa dan memberi inspirasi kepada pengguna.

• Ekstra! Profil para perawi dan CD kuliah Dr. Hj. Zahazan Mohamed.

Semoga bermanfaat.