Sunday, December 30, 2012

Mukhtashar Ibn Abi Jamrah


Kitab Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah atau judul sebenarnya Jam'u al-Nihayah Fi Bad'i al-Khair wa al-Ghayah (والغاية الخير بدء في النهاية جمع) merupakan mukhtashar (ringkasan) bagi Kitab al-Jami’ al-Shahih al-Bukhari. Ia telah diringkaskan oleh al-Imam al-Muhaddith Abu Muhammad Abdullah Sa'ad bin Abi Jamrah al-Azdi al–Andalusi (699H), yang terkenal dengan gelaran Ibnu Abi Jamrah. Beliau merupakan seorang muhaddith, sufi dan faqih.

Kitab mukhtasar yang lebih dikenali sebagai Mukhtasar Ibn Abi Jamrah ini memuatkan 294 hadis sahih yang disaring daripada 7397 buah hadis dalam al-Jami' al-Shahih al-Bukhari. Kitab ini, kemudiannya telah beliau syarahkan dan diberi judul "Bahjah al-Nufus wa Ghayatuha[1] bi Ma'rifati Ma Laha wa 'Alaiha."

al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Abu al-Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad bin Muhammad bin Hajar Al-‘Asqalani (852H), turut mengutip beberapa penjelasan yang terdapat dalam kitab Syarah "Bahjah al-Nufus" di dalam kitabnya  Fathul Bari.

Selain kitab Bahjah al-Nufus karya Ibn Abi Jamrah tersebut terdapat beberapa kitab lain yang disusun oleh ulama terkemudian bagi menghuraikan kandungan kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah, antaranya; "Hasyiyah al-Syeikh Muhammad al-Sanwani ‘ala Mukhtashar Ibn Abi Jamrah", karya al-Syeikh Muhammad bin Ali al-Syafi’i al-Syanwani bekas Syeikh al-Azhar, Mesir.

Kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman dan diterbitkan oleh Dewan Pustaka Fajar.



[1] Setengah cetakan disebutkan dengan Bahjah al-Nufus wa Tahliluha…….

Tuesday, December 25, 2012

Kitab al-Sittin Mas-alah


Kitab al-Sittin Mas-alah merupakan satu kitab fiqh mazhab Syafi’i yang ringkas, yang menghimpunkan enam puluh masalah agama yang perlu diketahui oleh umat Islam. Kitab ini merupakan hasil karya al-Imam al-‘Alim Abu al-‘Abbas Ahmad al-Zahid, seorang  yang terkenal dengan kesalihannya dan banyak beribadat. Beliau wafat pada 14 Rabi’ul Awal tahun 819 hijrah.

 Imam al-Syaikh Ahmad al-Ramli[1] (957H), menyebutkan nama kitab ini sebagai “ al-Muqaddimah[2] ” yang terkenal dengan “ al-Sittin Mas-alah ”. Beliau telah menyusun sebuah kitab yang  menghuraikan matn al-Sittin Mas-alah ini[3].


Pendahuluan kitab;

Kitab ini dimulai dengan lafaz basmalah (bismilah), kemudian penyusun menyebutkan “ Ini merupakan suatu penerangan (bayan) mengenai perkara yang perlu diketahui  dari beberapa kewajipan (al-furudh) yang wajib dilaksanakan berdasarkan mazhab Imam al-Syafi’i rahmatullah ‘alaih ”. Kemudian penyusun telah membawakan beberapa buah hadis Nabi saw dan kata-kata ulama, yang menerangkan kewajipan dan kelebihan menuntut ilmu agama.

 
Kandungan kitab;

Di antara perkara yang dibincangkan dalam kitab al-Sittin Mas-alah;

1.      Asas keimanan kepada Allah (Qawa-‘id  al-Iman)[4]
2.      Asas Islam (Qawa-‘id al-Islam)[5]
3.      Istinjak,
4.      Wuduk; rukun, sunat, perkara membatalkan wuduk,
5.      Mandi; perkara rukun dan sunat,
6.      Perkara yang diharamkan ketika berhadas, berjunub dan haid,
7.      Tayammum; perkara yang mengharuskan tayammum, syarat-syarat, rukun, sunat tayammum dan perkara yang membatalkan tayammum.
8.      Solat; syarat wajib, syarat sah,  rukun, sunat, perkara membatalkan solat dan beberapa kelakuan dalam solat  bagi perempuan yang  berbeza  dari lelaki,
9.      Solat jenazah,
10.  Zakat,
11.  Puasa; kewajipan rukyah, rukun puasa dan yang berkaitan dengannya,
12.  Haji.


Kitab yang disusun berkaitan dengan matn al-Sittin Mas-alah;

Antara kitab yang disusun oleh ulama terkemudian bagi menghuraikan kitab al-Sittin Mas-alah;

1.      Syarh al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh al-Imam Syihabuddin Abu al-‘Abbas  Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H).

2.      Syarh ‘ala al-Sittin Mas-alah, yang disusun oleh al-Imam Syamsuddin, Muhammad bin Muhammad al-Khathib al-Syarbini (977H).

Kitab Syarh a-Sittin Mas-alah, karya Imam Ahmad al-Ramli di atas telah diberikan hasyiah oleh al-Syaikh Ahmad al-Maihi al-Syaibini dengan karyanya “ Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli  [6]”. Beliau merupakan murid kepada Imam Abdullah bin Hijazi bin Ibrahim  al-Syarqawi (1150-1226H).

Kitab ini terkenal di kalangan ulama dan pelajar fiqh Syafi’i dan menjadi rujukan dalam masalah fikah. Setakat pengetahuan saya, apabila para ulama generasi muta’akhir menyebut sesuatu masalah itu ada dinyatakan dalam kitab al-Sittin Masalah, sebenarnya mereka merujuk kepada kitab hasyiah ini, kerana ia mudah didapati dan banyak tersebar di kalangan ulama.

Dalam koleksi saya, ada sebuah kitab “ Hasyiah ‘ala Syarh al-Sittin Mas-alah li Syaikh Ahmad al-Ramli ” ini. Kitab ini diterbitkan oleh Mathba’ah Bin Halabi, Patani, Thailand (tanpa tarikh). Bentuk cetakan sebagaimana “kitab kuning” yang lain. Di pinggirnya diletakan “ Syarh al-Sitin Mas-alah”, karya Imam Ahmad al-Ramli. Tebalnya, sebanyak 84 halaman.

Di antara kitab yang ada kaitan dengan matn al-Sittin Mas-alah ialah “ Kitab al-Fath al-Mubin ”, karya Syaikh Mustafa bin Usman al-Jawi al-Qaruti, seorang ulama dari Garut, Indonesia. Kitab ini, asalnya matn al-Sittin Mas-alah yang disusun dalam bentuk nazam (al-Manzhumat).

Kitab al-Fath al-Mubin ini, kemudiannya telah dihuraikan oleh al-Syaikh Abu al-Mu’thi Muhammad Nawawi al-Bentani al-Jawi dengan karya beliau yang berjudul “ Kitab al-‘Aqd al-Samin Syarh ‘ala Manzhumat al-Sittin Mas-alah al-Musamma bi al-Fath al-Mubin ”.

Semoga bermanfaat.


[1] Beliau ialah Syihabuddin Abu al-‘Abbas  Ahmad bin Hamzah bin Ahmad al-Anshari al-Ramli (957H.)
 
[2] Suatu istilah yang biasa digunakan bagi sebuah kitab yang ringkas dan menjadi suatu muqaddimah (pengenalan asas) kepada pelajar fiqh sebelum mempelajari kitab fiqh yang lebih besar. Kitab ringkas yang dianggap sebagai “matn” ini, kemudian menjadi perhatian ulama seterusnya dengan membuat huraian dan komentar. Antara kitab yang terkenal sebagai al-Muqaddimah ialah al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (Masa-il al-Ta’lim), Muqaddimah al-Iraqi ( Alfiyah al-‘Iraqi –ulumul hadis) dan lainnya.
 
[3] Lihat kitabnya Syarh al-Sittin Mas-alah.
 
[4] Beliau menerangkan asas keimanan kepada Allah itu ada 8 perkara yang wajib diketahui oleh seorang hamba, iaitu Allah bersifat Hayy(Hidup), Qadir (Berkuasa), Mutakallim (Berkata-kata), Sami’ (Mendengar), Bashir (Melihat), ‘Alim (mengetahui), Murid (Berkehendak) dan Baqin (Kekal) .
 
[5] Rukun Islam yang lima.
 
[6] Catatan saya di atas, banyak merujuk kepada kitab ini.

Tuesday, December 18, 2012

Qathr al-Ghaitsiyah fi 'Ilmi al-Shufiyah 'ala Syari'ah al-Muhammadiyah


Artikel berikut saya nukil dari pautan di bawah, tanpa sebarang perubahan kandungan teksnya.

 
Disebabkan pada masa ini saya sedang membuat kajian tokoh tentang Tuan Hussain Kedah dan kitabnya Qathrul Ghaithiyah fi ‘Ilmi Asy-Syufiyyah ‘ala Syari’atil Muhammadiyyah, maka saya mulakan blog saya yang terbaru ini dengan perkenalan akan kitab ini. Kitab yang saya muatkan dalam tulisan saya ini adalah merupakan transliterasi rumi dari kitab asal yang ditulis menggunakan aksara Jawi. Ia diterbitkan oleh al-Hidayah Publishers yang terletak di Jalan Ipoh Kecil Kuala Lumpur. Usaha penterjemahan kitab ini dilakukan oleh Ustazah Noraine Abu. Kitab alihan ke Rumi ini menggunakan judul Curahan Ilmu Tasawwuf Berdasarkan Syari’at Nabi Muhammad saw. Ia diterbitkan buat pertama kali pada tahun 2006 dan dijual dengan harga RM8.00.
Kitab ini amat mudah didapati di pasaran kitab pada hari ini. Kitab ini mengandungi 112 halaman, jauh lebih tebal dari kitab jawi asal yang hanya setebal 47 halaman. Antara sebab yang menjadikan kitab terjemahan ini tebal ialah pertama dari segi saiznya iaitu A5 (separuh dari saiz A4) dan keduanya font teks yang digunakan, kalau tak silap saya bersaiz 11 atau 12. Ini berbeza dengan kitab jawi asal yang menggunakan saiz standard kitab tradisi pondok atau lebih dikenali dengan panggilan kitab kuning dan menggunakan font jawi (kalau tak silap saya format blok) yang kecil. Walau bagaimanapun, setelah saya membuat perbandingan antara kitab terjemahan ini dengan kitab jawi asalnya bolehlah saya rumuskan bahawa semua isinya adalah sama baik dari segi bab mahupun kandungannya.

Baik, kita berkenal dahulu dengan penulis asalnya iaitu Tuan Hussain Kedah. Pada muka depan kitab ini disebut nama lengkapnya seperti berikut, Hushin Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udiy al-Banjariy. Sebetulnya nama lengkap tokoh ini ialah Hussain bin Nasir bin Muhammad Thaiyib bin Mas’udi al-Banjari. Beliau merupakan ulama besar Kedah yang sangat terkenal pada awal abad ke-20 Masehi. Beliau dilahirkan pada tahun 1863 dan meninggal dunia pada tahun 1936. Tokoh ini lebih masyhur dengan panggilan Tuan Hussain Kedah. Penggunaan gelaran al-Banjari dibelakang namanya menandakan bahawa beliau berketurunan Banjar. Perlu juga dinyatakan disini bahawa beliau bertemu nasabnya dengan seorang ulama besar di Alam Melayu pada abad ke-18 iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang makamnya kini terletak di Martapura, Kalimantan. Susur galurnya dari bawah yakni dari beliau hinggalah ke atas yakni Syeikh Muhammad Arsyad semuanya adalah ulama belaka. Selain bergelar ulama, Tuan Hussain Kedah turut mengikuti jejak langkah moyangnya iaitu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari apabila menjadi pendidik yang berjaya melahirkan ramai ulama besar, mempunyai zuriat yang juga berketurunan ulama dan menghasilkan kitab-kitab yang sangat terkenal yang masih dijadikan teks pengajian dan berlegar di pasaran kitab. Salah satu kitabnya yang masyhur ialah kitab yang diperkenalkan ini iaitu Qathrul Ghaithiyah (saya ringkaskan sahaja).
Sebenarnya selain al-Hidayah Publishers, kitab ini turut ditransliterasi ke rumi oleh beberapa penerbit lain. Namun keistimewaan kitab yang ditransliterasi oleh Ustazah Noraine ini ialah 99.99% kandungan teks dari segi gaya bahasa dan perkataannya tidak diubah langsung. Ustazah Noraine mengekalkan bahasanya walaupun ada beberapa istilah yang terkandung di dalamnya memerlukan rujukan yang lebih lanjut. Maka dengan membaca kitab ini, kita seolah-olah seperti membaca kitab asalnya yang menggunakan tulisan Jawi itu. Satu pujian patut diberikan kepada Ustazah Noraine. Mungkin sesetengah pembaca lebih gemar membaca dalam format gaya bahasa baru tetapi bagi mereka yang gemarkan gaya bahasa lama pastinya akan terasa lebih dekat dengan pengarang asalnya. Contoh gaya bahasa lama yang dimaksudkan adalah seperti berikut;

" Bahkan tetapi ‘ilmu tasawwuf ini mentahqiq ia bagi ‘ilmu ushul dan menghening ia bagi ‘ilmu feqah. Dan adapun awal-awal orang yang menghantar akan ‘ilmu tasawwuf seperti barang yang dikata orang maka iaitu Syeikh Junaid al-Baghdadi". (rujuk mukasurat 7).
 
Cuma bagi saya, tambah menarik jika kitab terjemahan ini disertakan dengan mukasurat kitab asal seperti yang sering dilakukan dalam kajian teks naskhah. Dalam kajian teks naskhah, mukasurat kitab asal akan diletakkan disisi setiap helaian mukasurat yang diterjemah. Tujuannya ialah memudahkan rujukan kepada kitab asal.

Dari segi kandungan kitab, ia terbahagi kepada enam bahagian iaitu satu muqaddimah, empat fasal dan satu khatimah (penutup). Pembahasan dalam kitab ini adalah berkenaan dengan ilmu hakikat dan tasawwuf yang agak halus dan mendalam. Untuk penulisan kitab ini, Tuan Hussain Kedah merujuk beberapa kitab tasawwuf yang muktabar yang bagi saya berada di peringkat pertengahan dan tinggi seperti Tuhfah al-Mursalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad bin Syeikh Fadhlullah al-Hindi, Minhaj al-‘Abidin yang dikarang oleh Imam al-Ghazali dan Hikam Natsr yang dikarang oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad bin ‘Abdul Karim bin Atha’ullah as-Sakandari. Tuan Husain Kedah turut merujuk kitab-kitab besar lain seperti Tawarikh karya Ibnu Khaldun (rujuk mukasurat 8), Ihya’ ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 11), Mukhtasar Ihya’ karya Imam al-Ghazali (rujuk mukasurat 63) dan kutipan hadith yang diriwayat, antaranya oleh al-Bukhari dan Muslim (rujuk mukasurat 57), at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 57) dan Imam Ahmad dan Ibnu Hibban (rujuk mukasurat 61). Dengan mendalami kitab ini, kita akan dapat mengetahui betapa pentingnya ilmu tasawwuf ini kerana menurut Tuan Hussain Kedah, dengan mempelajari Ilmu Tasawwuf, barulah seseorang itu dapat sampai kepada makrifah akan haq Allah Ta’ala akan sebagai makrifat yang sempurna. Dalam usaha untuk mengenal Allah Ta’ala, seperti yang dinyatakan oleh Tuan Hussain Kedah pada permulaan fasal kedua yang tajuknya berbunyi;
Ini suatu fasal yang kedua pada menyatakan barang yang musyahadah mereka itu akan dia dengan segala hati mereka itu daripada wujud Haq Ta’ala dan lainnya. Ketahuilah olehmu, bahawasanya segala ahli tasawwuf, iaitu berhadap sekalian mereka itu kepada Allah Ta’ala padahal sentiasanya pada zahir mereka itu dan pada batin mereka itu. Maka segala zahir mereka itu berhadap kepada Allah dengan berbagai-bagai ta’at dan ‘ibadah dan khidmat. Dan batin mereka itu berhadap kepada Allah dengan shiddiq, ikhlas dan yakin. Maka pada ketika itu berpakailah zahir mereka itu dan batin mereka itu dengan pakaian orang yang merdeka daripada diperhamba akan dia oleh dunia, syaitan, hawa nafsu dan makhluk yang dinama akan sekaliannya itu dengan aghyar dan akdar. Dan pada waktu itu, tertentulah ia jadi hamba bagi Allah Ta’ala. Dan pada ketika itu, tahqiqlah diperoleh berkekalan ta’at dan khidmat kepada Allah Ta’ala yang hasil sekaliannya itu daripada tsamarah dan faedah taqwa. Ertinya, takut akan Allah Ta’ala ”. (rujuk mukasurat 25-26)

Disebabkan pembahasan yang terkandung didalam kitab ini menggunakan bahasa yang halus-halus, saya menyarankan kepada pembaca supaya mendapat bimbingan dari guru yang ahli tentang ilmu tasawwuf ini. Ia penting supaya maksud yang terkandung didalam buku itu sampai ke dalam diri. Pada masa ini, kalau di sekitar Lembah Kelang, kitab ini disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki[1]. Syarahan Syeikh Muhammad Fuad lazimnya diadakan selepas solat Subuh di Masjid Kampung Baru setiap minggu pertama dan minggu ketiga (jadual boleh dirujuk di ysofakl.blogspot.com). Kitab ini diselesaikan oleh pengarang asalnya, Tuan Hussain Kedah pada malam Selasa, 25 Jamadil Awwal 1348 Hijrah bersamaan dengan 28 Oktober 1929 Masehi seperti yang dinyatakan pada penghujung bahagian khatimah.
Tambahan[2]:  Sekadar makluman, kitab ini telah disyarah dan dihuraikan dalam Bahasa Melayu oleh Dato' Sheikh Zakaria Bin Haji Ahmad Wan Besar seorang Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman dengan judul bukunya ‘ al-Jawahir al-Sufiah [3].
 

[1] Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki menggunakan kitab yang diterjemahnya sendiri. Kitab ini dijual oleh Koperasi as-Sofa.
[2] Tambahan dari empunyai blog ini.
[3] Diterbitkan oleh  Mahzum Book Services, Batu Caves, Selangor pada tahun 2009.

 

 

Monday, December 17, 2012

Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari


Kitab yang ingin diperkenalkan secara ringkas dalam catatan ini merupakan karya seorang ulama berketurunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang terkenal itu. Ulama yang berdomisil di Kedah ini tercatat nama pada karya-karyanya ialah Sheikh Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari al-Qadhi. Nama popular disebut Tuan Husein Kedah. Di antara karya-karyanya yang banyak terdapat sebuah karya hadis yang diberi judul Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari.

Menurut pengkaji tersohor mengenai kitab jawi dan ulama nusantara al-Marhum Ust. Haji Wan Mohd Shaghir bin Abdullah;

 “ Belum diketahui tahun berapa karya ini diselesaikan penulisan oleh Tuan Husain Kedah, kerana yang terdapat pada penulis hanya juzuk yang pertama sama.

Cetakan pertama oleh al-Maktabah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, 1350 H. Pada mukadimah, Tuan Husein Kedah menyebut bahawa beliau terjemahkan daripada segala lafaz Hadis Jawahiril Bukhari dan sebahagian daripada Syarh al-Qastalani yang telah disebarkan oleh ulama Mesir moden, iaitu Sheikh al-Allamah Mustafa Muhammad Imarah al-Masriyah daripada kitab Hadiqatul Ahadisil Bukhari, lebih 700 hadis yang sahih sekeliannya. Tuan Husein menyebut judul sebenar terjemahannya itu dengan Tazkir Qabailil Qadhi fi Tarjamatil Bukhari.

Hadis-hadis yang dibicarakan di dalam kitab ini sebahagian besarnya adalah sama dengan yang terkandung dalam Mukhthasar Ibnu Abi Jamrah.

Terjemahan kitab ini[1] juga terdapat dalam bahasa Melayu yang diusahakan oleh Mustafa Abdur Rahman Mahmud, 1369 H/1950 M yang diberi kata pengantar oleh Sheikh Abdullah Fahim.Walau bagaimanapun, susunan dan model terjemahan kedua-dua kitab tersebut adalah tidak sama. Terjemahan Mustafa Abdur Rahman Mahmud lebih banyak merujuk kepada Hasyiyah ‘ala Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah lil Bukhari oleh al-Alim al-Allamah Sheikh Syinwani yang pernah dinobatkan sebagai Syeikhul Islam Universiti Al-Azhar ”.

Catatan di atas, merupakan petikan yang diubahsuai dari artikel yang bertajuk:  Penulisan hadis tokoh ulama nusantara’ karya al-Marhum Ust Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, yang asalnya disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 9 Mac 2009[2].

Semoga bermanfaat.


[1] Iaitu terjemahan Kitab Mukhtashar Ibn Abi Jamrah.
[2] Namun rujukan saya hanyalah merujukkan kepada artikel yang disiarkan kembali di pautan http://blogtraditionalislam.wordpress.com/2009/03/11/penulisan-hadis-tokoh-ulama-nusantara/#comments
 

Sunday, December 16, 2012

Alfiyyah Ibn Malik

 
Pengenalan ringkas Ibn Malik
 
Ibnu Malik, nama lengkapnya adalah Muhammad Jamaluddin bin Abdillah bin Malik al-Thay dilahirkan pada tahun 600H di Jayyan, iaitu sebuah sebuah kota kecil di bawah kekuasaan Andalusia (Sepanyol). Pada masa kecil, Ibn Malik menuntut ilmu di daerahnya, terutama belajar pada Syaikh al-Syalaubini (645H). Setelah menginjak dewasa, ia berangkat ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji, dan diteruskan menimba ilmu di Dimasyq. Di sana ia belajar ilmu dari beberapa ulama setempat, antara lain al-Sakhawi (643H). Dari sana berangkat lagi ke Aleppo, dan belajar ilmu kepada Syaikh Ibn Ya’isy al-Halaby (643H). Di kawasan dua kota ini nama Ibn Malik mulai dikenali dan dikagumi oleh para ilmuan, kerana kecerdasan dan pemikirannya jernih. Ia banyak menampilkan teori-teori nahwiyah yang menggambarkan teori-teori mazhab Andalusiyyah, yang jarang diketahui oleh orang-orang Syria waktu itu.
 
Teori nahwiyahnya, banyak diikuti oleh para ilmuan selepasnya seperti Imam al-Nawawi (676H), Ibn al-Athar (724H), al-Mizzi, al-Dzahabi, al-Shairafi, dan Qadhi al-Qudlat Ibn Jama’ah. Untuk menguatkan teorinya, sarjana besar kelahiran Eropah ini, sentiasa mengambil saksi (syahid) dari teks-teks al-Qur’an. Kalau tidak didapatinya, ia menyajikan teks al-Hadits. Kalau tidak didapatkan lagi, ia mengambil saksi dari sya’ir-sya’ir sasterawan Arab kenamaan. Semua pemikiran yang diproses melalui paradigma ini dituangkan dalam kitab-kitab karangannya, baik berbentuk nazhom (syair puitis) atau berbentuk natsar (prosa). Pada umumnya, karya tokoh ini lebih baik dan lebih indah dari pada tokoh-tokoh pendahulunya. 
 
 
Alfiyyah Ibn Malik 
 
Di antara karangannya adalah Nazham al-Kafiyah al-Syafiyyah yang terdiri dari 2757 bait. Kitab ini menyajikan semua maklumat tentang Ilmu Nahwu dan Sharaf yang diikuti dengan komentar (syarah). Kemudian kitab ini diringkas menjadi seribu bait, yang kini terkenal dengan nama Alfiyyah Ibn Malik. Kitab ini boleh juga dikenali sebagai al-Khulashah (ringkasan) kerana isinya mengutip inti huraian dari al-Kafiyyah. Kitab ini terdiri dari lapan puluh (80) bab, dan setiap bab diisi oleh beberapa bait. Bab yang terpendek diisi dengan dua bait seperti Bab al-Ikhtishash dan bab yang terpanjang adalah Jama’ Taktsir kerana diisi dengan empat puluh dua bait. Dalam muqaddimahnya, kitab puisi yang memakai Bahar Rajaz ini disusun dengan maksud;
 
1)      Menghimpun semua permasalahan nahwiyah dan shoraf yang dianggap penting.
 
2)      Menerangkan hal-hal yang rumit dengan bahasa yang singkat , tetapi sanggup menghimpun kaedah yang berbeza-beza, atau dengan sebuah contoh yang boleh menggambarkan satu persyaratan yang diperlukan oleh kaedah itu.
 
3)      Membangkitkan perasaan senang bagi orang yang ingin mempelajari isinya. Semua itu terbukti, sehingga kitab ini lebih baik dari pada Kitab Alfiyyah karya Ibn Mu’thi[1]. Meskipun begitu, penulisnya tetap menghargai Ibnu Mu’thi kerana tokoh ini membuka kreativiti dan lebih senior..
 
Kitab Alfiyyah atau al-Khulashah yang telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa di dunia ini, memiliki posisi yang penting dalam perkembangan Ilmu Nahwu. Berkat kitab ini dan kitab aslinya, nama Ibn Malik menjadi popular, dan pendapatnya banyak dikutip oleh para ulama, termasuk ulama yang mengembangkan ilmu di Timur. al-Radhi, seorang cendekiawan besar ketika menyusun Syarah al-Kafiyah karya Ibn Hajib, banyak mengutip dan mempopularkan pendapat Ibn Malik. Dengan kata lain, perkembangan nahwu setelah kejatuhan kerajaan Abbasiyah di Baghdad, dan merosotnya para ilmuan Daulah Fathimiyah di Mesir, maka para pelajar pada umumnya mengikuti pemikiran Ibnu Malik.
 
Sebelum kerajaan besar di Andalusia runtuh, pelajaran nahwu pada awalnya, tidak banyak diminati oleh masyarakat. Tetapi setelah lama, pelajaran ini menjadi keperluan dan dinamislah gerakan karang-mengarang kitab tentang ilmu yang menarik bagi kaum terpelajar ini. Di sana beredarlah banyak karangan yang beza-beza, dari karangan yang paling singkat sampai karangan yang terhurai lebar. Maksud penulisnya ingin menyebarkan ilmu ini, kepada masyarakat, dan dapat diambil manfaat oleh kaum pelajar. Dari sekian banyak itu, muncullah Ibn Malik, Ibn Hisyam, dan al-Sayuthi. Karangan mereka tentang kitab-kitab nahwu banyak menampilkan metode baru dan banyak menyajikan trobosan baru, yang memperkaya khazanah keilmuan. Mereka tetap menampilkan khazanah keilmuan baru, meskipun banyak pula teori-teori lama yang masih dipakai. Dengan kata lain, mereka menampilkan gagasan dan kreatifitas yang baru, seolah-olah hidup mereka disiapkan untuk menjadi penerus Imam Sibawaih (Penggagas munculnya Nahwu dan Shorof). Atas dasar itu, Alfiyah Ibn Malik adalah kitab yang amat banyak dibantu oleh ulama-ulama lain dengan menulis syarah (ulasan) dan hasyiyah (catatan pinggir) terhadap syarah itu. 
 
 
Syarah Alfiyyah Ibn Malik
 
Haji Khalifah menyebutkan dalam kitabnya Kasyf al-Zhunun, bahawa para ulama yang menulis Syarah Alfiyyah berjumlah lebih dari empat puluh orang. Mereka ada yang menulis dengan panjang lebar, ada yang menulis dengan singkat (mukhtashar), dan ada pula ulama yang tulisannya belum selesai. Di samping itu, muncul pula beberapa ulama yang memberikan catatan pinggir (hasyiyah) terhadap kitab-kitab syarah tersebut.   Di antara penulis-penulis syarah Alfiyyah Ibn Malik, yang boleh ditampilkan dalam tulisan ini, adalah Muhammad Badruddin, al-Muradi, Ibn Hisyam, Ibn Aqil dan al-Asymuni. Berikut catatan ringkas mengenai kitab-kitab syarah tersebut;  
 
1)      Kitab Syarah Alfiyah, yang paling awal adalah hasil karya putera Ibn Malik sendiri, iaitu Syeikh Muhammad Badruddin (686 H). Syarah ini banyak mengkritik pemikiran nahwiyah yang dihuraikan oleh ayahnya, seperti kritikan tentang huraian maf’ul mutlaq, tanazu’ dan sifat mutasyabihat. Kritikannya itu aneh tapi putera ini yakin bahawa tulisan ayahnya perlu dikaji semula. Atas dasar itu, Badruddin mengarang bait Alfiyah tandingan dan mengambil syahid dari ayat al-Qur’an. Di situ tampak rasional juga, tetapi hampir semua ilmuan tahu bahawa tidak semua teks al-Qur’an boleh disesuaikan dengan teori-teori nahwiyah yang sudah dianggap baku oleh ulama. Kritikus yang pada masa mudanya bertempat di Ba’labak ini, sangat rasional dan cukup beralasan, hanya saja ia banyak mendukung teori-teori nahwiyah yang syadz Kerana itu, penulis-penulis Syarah Alfiyah yang muncul berikutnya, seperti Ibn Hisyam, Ibn Aqil, dan al-Asymuni, banyak meralat alur pemikiran putra Ibn Malik tadi. Meskipun begitu, Syarah Badruddin ini cukup menarik, sehingga banyak juga ulama besar yang menulis hasyiyah untuknya, seperti karya Ibn Jama’ah (819 H), al-‘Ainy (855H), Zakaria al-Anshariy (925H), al-Sayuthi (w.911 H), Ibn Qasim al-Abbadi (994 H)  dan Qadhi Taqiyuddin ibn Abdul Qadir al-Tamimiy (1005 H). 
 
2)     al-Muradi (749H), merupakan murid kepada Abu Hayyan al-Andalusi yang terkenal itu. Beliau telah menyusun dua buah kitab syarah bagi karya IbnMalik, iaitu untuk kitab Tashil al-Fawaid dan Nazham Alfiyah. Meskipun syarah beliau ini tidak popular di Nusantara ini, namun begitu  pendapat-pendapatnya banyak dikutip oleh ulama lain. Antara lain al-Damaminy (827H) seorang sasterawan besar ketika menulis syarah Tashil al-Fawaid menjadikan karya al-Muradi itu sebagai kitab rujukan. Begitu pula al-Asymuni, ketika menyusun Syarah Alfiyyah dan Ibn Hisyam ketika menyusun al-Mughni banyak mengutip pemikiran al-Muradi. 
 
3)     Ibn Hisyam (761H) adalah seorang ahli nahwu agung yang karya-karyanya banyak dikagumi oleh ulama berikutnya. Di antara karya itu Syarah Alfiyah yang bernama Audhah al-Masalik yang terkenal dengan sebutan al-Audhah. Dalam kitab ini,  ia banyak menyempurnakan definisi suatu istilah yang konsepnya telah disusun oleh Ibn Malik, seperti definisi tentang tamyiz. Ia juga banyak menertibkan kaedah-kaedah yang antara satu sama lain bertemu, seperti kaedah-kaedah dalam Bab Tashrif. Tentu saja, ia tidak hanya terpaku oleh Mazhab Andalusia, tetapi juga mengutip Mazhab Kufah, Bashrah dan sebagainya. Kitab ini cukup menarik, sehingga banyak ulama besar yang menulis hasyiyahnya. Antaranya, Hasyiyah al-Sayuthi, Hasyiyah Ibn Jama’ah, Hasyiyah Putera Ibn Hisyam sendiri, Hasyiyah al-Ainiy, Hasyiyah al-Karkhi, Hasyiyah al-Sa’di al-Maliki al-Makki, dan yang menarik lagi adalah catatan kaki ( ta’liq ) bagi Kitab al-Taudhih yang disusun oleh Khalid ibn Abdullah al-Azhari (905 H). 
 
4)     Ibn Aqil[2] (769H) adalah ulama kelahiran Aleppo dan pernah menjawat sebagai penghulu besar di Mesir. Karya tulisnya banyak, tetapi yang terkenal adalah Syarah Alfiyah. Syarah ini sangat sederhana dan mudah dicerna oleh orang-orang pemula yang ingin mempelajari Alfiyah Ibn Malik . Ia mampu menghuraikan bait-bait Alfiyah secara metodologis, sehingga terungkaplah apa yang dimaksudkan oleh Ibn Malik pada umumnya. Penulis berpendapat, bahawa kitab ini adalah Syarah Alfiyah yang paling banyak beredar di pondok-pondok pesantren, dan banyak dibaca oleh para pelajar dan santri di Indonesia, Malaysia dan Thailand. Terhadap syarah ini, ulama berikutnya tampil untuk menulis hasyiyahnya. Antaranya, Hasyiyah Ibn al-Mayyit, Hasyiyah Athiyah al-Ajhuri, Hasyiyah al-Syuja’i, dan Hasyiyah al-Khudhariy. 
 
5)     Syarah Alfiyah yang hebat lagi adalah Manhaj al-Salik karya al-Asymuni[3] (929 H). Syarah ini sangat kaya dengan maklumat dan sumber kutipannya sangat bervariasi. Syarah ini dapat dinilai sebagai kitab nahwu yang paling sempurna, karena memasukkan berbagai pendapat mazhab dengan argumentasinya masing-masing. Dalam syarah ini, pendapat para penulis Syarah Alfiyah sebelumnya banyak dikutip dan dianalisa. Antara lain mengulas pendapat Muhammad Badruddin (putera Ibn Malik), al-Muradi, Ibn ‘Aqil, al-Sayuthi, dan Ibn Hisyam, bahkan dikutip pula komentar Ibn Malik sendiri yang dituangkan dalam Syarah al-Kafiyah , tetapi tidak dicantumkan dalam Alfiyah . Semua kutipan-kutipan itu diletakkan pada posisi yang tepat dan disajikan secara sistematik, sehingga para pembaca mudah menyelusuri suatu pendapat dari sumber aslinya. Kitab ini memiliki banyak hasyiyah juga, antaranya,  Hasyiyah Hasan ibn Ali al-Mudabbighi, Hasyiyah Ahmad ibn Umar al-Asqathi, Hasyiyah al-Hifni, dan Hasyiyah al-Shabban. Dalam muqaddimah hasyiyah yang disebut akhir ini (Hasyiyah al-Shabban), penulisnya mencantumkan ulasan, bahawa metodnya didasarkan atas tiga unsur, iaitu;   
 
a)    Karangannya akan merangkumi semua pendapat ulama nahwu yang mendahului penulis, yang terhurai dalam kitab-kitab syarah al-Asymuni.  
 
b)    Karangannya akan mengulas beberapa masalah yang sering menimbulkan salah faham bagi pembaca. 
 
c)    Menyajikan komentar baru yang belum ditampilkan oleh penulis hasyiyah sebelumnya. Dengan demikian, kitab ini boleh dinilai sebagai pelengkap catatan bagi orang yang ingin mempelajari teori-teori ilmu nahwu. 
 
Artikel ini disusun kembali dari artikel di pautan berikut; http://ponpes-almunawwar.blogspot.com/2011/02/biografi-ibnu-malik-pengarang-kitab.html 
 
 
[1] Ibn Mu’thi – beliau ialah al-Imam al-‘Allamah Abu al-Hasan Yahya Zainuddin bin Abdul Nur al-Zawawi al-Jaza-iri (564-627H). Beliau merupakan guru kepada Ibn Malik dan seorang faqih dalam Mazhab Hanafi.
[2] Beliau ialah Bahauddin ‘Abdullah Bin Abdul Rahman Bin ‘Abdullah Bin 'Aqil al-Qurasy al-‘Aqily al-Mishri.
[3] Beliau ialah Nuruddin Abu Hasan ‘Ali Bin Muhammad al-Asymuni.

Thursday, December 13, 2012

Safinah al-Naja



Kitab  Safinah al-Naja atau judul lengkapnya "Safinah al-Najah Fiima Yajib `ala Abdi Ii Mawlah" (perahu keselamatan di dalam mempelajari kewajiban seorang hamba kepada Tu­hannya) merupakan sebuah kitab fiqh dalam mazhab al-Syafi’i karya Syeikh Salim bin Abdullah bin Sa'd bin Samir al-Hadhrami al-Syafi’i. Kitab Safinah al-Naja yang ada dalam koleksi saya, judulnya dicatatkan sebagai Safinah al-Naja fi Ushuluddin wa al-Fiqh ‘ala Mazhab al-Syafi’i.
Kitab ini, walaupun kecil bentuknya akan tetapi sa­ngatlah besar manfaatnya. Di setiap kampung, kota dan negara hampir semua orang mempelajari dan bahkan menghafalkan­nya, baik secara individu maupun kolektif. Di berbagai negara, kitab ini dapat diperolehi dengan mudah di berbagai lembaga pendidikan, kerana baik para pelajar maupun para ulama sangatlah gemar mempelajarinya dengan teliti dan saksama. Hal ini terjadi kerana beberapa faktor, di antaranya: 
1.      Kitab ini mencakup pokok-pokok agama secara ter­padu, lengkap dan utuh, dimulai dengan bab dasar­-dasar syari'at, kemudian bab bersuci, bab shalat, bab zakat, bab puasa dan bab haji yang ditambahkan oleh para ulama lainnya. 
2.      Kitab ini disajikan dengan bahasa yang mudah, susunan yang ringan dan redaksi yang mudah untuk dipahami serta dihafal. Seseorang yang serius dan memiliki ke­mauan tinggi akan mampu menghafalkan seluruh isinya hanya dalam masa dua atau tiga bulan atau mungkin lebih cepat.
3.      Kitab ini ditulis oleh seorang ulama yang terkemuka dalam berbagai bidang ilmu keagamaan, terutama fiqh dan tasawwuf. Yang sangat menarik, orang lebih menge­nal nama kitabnya dari pada nama penulisnya. Hal yang demikian itu mungkin saja berkat keikhlasan dan ke­tulusan penulis.
4.      Kitab ini menjadi acuan para ulama dalam memberikan pengetahuan dasar agama bagi para pemula. Di Hadramaut Yaman, Madinah, Mekkah dan kota lainnya, para ulama menggunakan kitab ini sebagai silibus bagi kelas pengajian mereka. 
5.      Kitab ini membicarakan hal-hal yang selalu menjadi ke­butuhan seorang muslim dalam kehidupan sehari-hari, sehingga semua orang merasa perlu untuk mempelajari­nya.  Kitab Safinah ini dengan izin Allah SWT. dan atas kehendak-Nya telah tersebar secara luas di kalangan para pecinta ilmu fiqih terutama yang menganut Madzhab Imam Syafi'i ra. Kitab ini dikenali di berbagai Negara, baik Arab maupun Ajam seperti Yaman, Mekkah, Madinah, Jeddah, Somalia, Ethiopia, Tanzania, Kenya, Zanjibar, dan di berbagai belahan negara-negara Afrika. Namun demikian perhatian yang paling besar terhadap kitab ini telah diberikan oleh para ulama dan pecinta ilmu, yang hidup di Alam Melayu termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura, dan negara-negara lainnya. Kitab ini juga telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa asing seperti Indonesia, Melayu, Sunda, India, Cina, dan lainnya. 
Para ulama telah memberikan perhatian dan khidmat yang besar kepada kitab Safinah sesuai dengan kemampuan dan keahlian mereka masing-masing. Banyak di antara mereka yang menulis syarah (buku pen­jelasan) bagi kitab Safinah al-Naja, di antara nama-nama kitab tersebut adalah:
1.     Kitab Kasyifah al-Saja ‘ala Safinah al-Naja (menyingkap tabir kegelapan dengan syarah kitab safinah). Kitab syarah ini adalah yang terbesar dan terluas dari yang lainnya, dipenuhi dengan masalah-masalah fiqih yang pokok dan mendasar. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama dari Jawa Bara,t iaitu Syeikh Nawawi Banten. Beliau dilahirkan pada tahun 1230 H (1815M) dan berangkat ke Mekkah untuk mencari ilmu ketika masih kecil. Setelah mendalami ilmu agama, di kota suci Mekkah, beliau juga belajar dari para ulama di kota suci Madinah, Syiria, dan Mesir. Beliau mengajar di Masjidil Haram Mekkah selama puluhan tahun sampai meninggal dunia pada tahun 1314 H (1897 M) 
2.     Kitab Durrah Tsaminah Hasyiyah ‘ala Safinah (Permata yang mahal dalam keterangan safinah). Kitab ini sangat penting untuk dimiliki oleh para pecinta ilmu, kerana dilengkapi dengan dalil-dalil yang bersumber dari al-­Qur'an dan Hadis Nabi saw. Kitab ini ditulis oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Hadrawi, seorang ulama dari Mekkah. Kitab ini ditulis pada awalnya di kota Musowwi Ethiopia, atas petunjuk gurunya iaitu Syeikh Muhammad al-Syadzili Maroko dan diselesai­kan di kota Thaif. Penulis syarah ini dilahirkan di Iskandariah Mesir pada tahun 1252 H (1837 M) dan me­ninggal dunia di Mekkah pada tahun 1327 H (1909 M).
3.      Kitab Nailu al-Raja Syarah Safinah al-Naja (Meraih harapan dengan syarah safinah), Syarah ini sangat dipenuhi de­ngan ilmu, hampir menjadi kebutuhan setiap pengajar yang akan menerangkan kitab Safinah. Kitab ini ditulis oleh seorang ulama besar dari Hadramaut Yaman, iaitu Sayyid al-Habib Ahmad bin Umar al-Syatiri. Beliau dilahirkan di kota Tarim Hadramaut pada tahun 1312 H (1895 M), dan di sana pula beliau mempelajari ilmu agama sehingga tumbuh berkembang menjadi ulama yang terkemuka. Beliau sangat dicintai gurunya iaitu Syaikhul Islam, Sayyid Abdullah bin Umar al-Syatiri, ulama besar pada zamannya. Penulis syarah ini meninggal dunia pada usia yang masih muda, iaitu sebelum beliau berumur 50 tahun.
4.      Kitab Nasiim al-Hayah Syarah Safinah al-Najah. Syarah ini hampir sama dengan syarah yang ditulis oleh Syekh Nawawi Banten, tetapi memiliki tambahan dengan ba­nyaknya dalil dan perincian yang teliti. Kitab ini ditulis oleh Syekh al-Faqih al-Qadhi Abdullah bin Awad bin Mubarok Bukair, seorang ulama kenamaan yang ahli dalam bidang fiqih di Hadramaut Yaman. Beliau di­lahirkan di desa Ghail Bawazir tahun 1314 H (1897 M). Sejak kecil beliau sangat gemar mendalami ilmu syari'at dari berbagai ulama di antaranya adalah al-Imam Habib All bin Muhammad al-Habsyi, Syeikh Umar bin Mubarok Badubbah, Syeikh Umar bin Salim Bawazir dan lain-lain. Setelah tersebar keilmuannya, beliau menjadi qadhi di Mukalla sejak tahun 1351 H (1933 M) sampai tahun 1386 H (1967 M). Syeikh Abdullah meninggal dunia pada tahun 1399 H (1979 M) di kota Mukalla setelah memberikan pengabdiannya yang tulus kepada umat Islam.
5.      Kitab Innarah al-Duja bi Tanwir al-Hija Syarah Safinah al-Naja. Salah satu syarah yang sangat otentik dan terpercaya kerana dipenuhi dengan argumentasi dari al-Qur'an dan hadis. Yang unik, syarah ini ditulis oleh salah satu ulama dari Madzhab Maliki iaitu Syeikh Muhammad bin Ali bin Husein al-Maliki, seorang ulama yang sangat ahli dalam berbagai ilmu agama, Beliau juga sangat ter­pandang dalam bidang ilmu bahasa dan sastra Arab. Beliau dilahirkan di Mekkah tahun 1287 H/1870 M) dan meninggal dunia tahun 1368 H (1949 M). Puncak kemasyhurannya adalah ketika beliau diangkat sebagai Mufti Madzhab Maliki di kota suci Mekkah a1-Mu­karramah. Tokoh kita ini juga sangat produktif, koleksi karyanya lebih dari 30 kitab, di antaranya adalah syarah safinah tersebut.
Dari kalangan para ulama ada pula yang tertarik men­jadikan kitab safinah ini dalam bentuk syair-syair yang di­gubah dengan mudah dan indah, tercatat di antara nama-nama mereka adalah:
1.     Sayyid Habib Abdullah bin Ali bin Hasan aI-Haddad. 
2.     Sayyid Habib Muhammad bin Ahmad bin Alawy Ba~agil.
3.     Kyai Syeikh Shiddiq bin Abdullah, Lasem.
4.     Syeikh Muharnrnad bin Ali Zakin Bahanan.
5.    Sayyid Habib Ahmad Masyhur bin Thoha al-Haddad. Dari tulisan di atas, kiranya kita telah mampu memahami betapa penting kitab Safinah al-Naja ini, sebagai rujukan asas bagi para pemula dalam mempelajari ilmu agama, sebagaimana namanya, iaitu Safinah yang berarti "perahu" dia akan me­nyelamatkan para pecintanya dari gelombang kebodohan dan kesalahan dalam beribadah kepada Allah SWT. 
Diubahsuai dari artikel asalnya dari pautan
http://kampungmete.blogspot.com/2012/05/kitab-safinatun-najah.html 
Klik  "Safinah al-Naja" untuk mendowload kitabnya atau pautan berikut untuk membaca terjemahannya;
Baca secara online http://www.scribd.com/oc/38822008/KITAB-FIQIH-SAFINATUN-NAJAH-Fikih-Ringkas-Karya-Salim-Bin-Smeer-Al-Hadromi 

Artikel yang berkaitan 

a) http://www.sosiohumanika-jpssk.com/sh_files/File/utju.jkt.pdf
b) http://bismillahku.blogspot.com/2011/07/terjemah-kitab-matan-safinatun-naja.html


Semoga bermanfaat.