Friday, August 17, 2012

Kifayah al-Muhtadi



Kitab Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Muhtadi merupakan sebuah karya Syeikh Muhammad Nur al-Fathani seorang matan Hakim Syari’ Makkah. Kitab ini disusun oleh beliau sebagai  huraian atau syarah bagi kitab Sullam al-Muhtadi karya Syeikh Daud al-Fathani iaitu sebuah kitab aqidah dan fiqh yang terkenal di alam Melayu ini.

Kitab Kifayah al-Muhtadi adalah kitab Jawi atau berbahasa Melayu yang pertama yang disusun bagi menghuraikan (syarah) kitab berbahasa Melayu karya ulama nusantara ini. Perkara dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani di akhir syarah beliau, “ maka inilah awal kitab bahasa Melayu yang disyarahkan dia kerana ringkas ibaratnya dan banyak masalahnya, ……”.


Mengenali Syeikh Muhammad Nur al-Fathani secara ringkas

Syeikh Muhammad Nur al-Fathani lahir di Mekah pada tahun 1290H / 1873M, di antara guru-guru beliau ialah Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Ahmad al-Fathani dan di Mesir beliau berguru dengan Syeikh Bakhit al-Muthie. Menurut catatan al-Marhum al-Ustaz Haji Wan Shaghir, riwayat Syeikh Muhammad Nur al-Fathani agak berbeza dengan ulama-ulama lainnya kerana beliau satu-satunya ulama di Mekah yang dapat menjadi orang besar dalam dua pemerintahan. Beliau menjadi orang besar pada zaman pemerintahan Syarif Husein. Apabila pemerintahan bertukar kepada Ibnu Sa’ud, yang terkenal dengan era pemerintahan Wahabi, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani masih tetap dengan kedududukannya.


Judul Kitab

Judul kitab ini ‘ Kifayah al-Muhtadi bi Syarh Sullam al-Mubtadi ’ ada disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dalam pendahuluan kitabnya. Selepas menyebut judul tersebut dalam bahasa Arab, beliau menterjemahkannya pula ke dalam bahasa Melayu “ …..Dan aku namakan dia Kifayah al-Muhtadi bagi menerangkan cahaya Sullam al-Muhtadi”. Berdasarkan judul terjemahan ini saya dapati (setakat pengetahuan saya) kitab ini telah dicetak dan diterbitkan, sebagai “ Kifayah al-Muhtadi Pada Menerangkan Cahaya Sullam al-Muhtadi ” .


Susunan Kandungan Kitab Kifayah al-Muhtadi

Susunan kandungan kitab ini sama dengan kitab Sullam al-Mubtadi iaitu dimulai dengan kata pengantar beliau (Syeikh Muhammad Nur al-Fathani) dan disusuli dengan mukadimah Syeikh Daud al-Fathani (Kata al-Musannif r.h).

Kandungan kitab dimulai dengan Bab Fi al-‘Aqidah (Ini Suatu Bab Pada menyatakan I’tiqad), kemudian diteruskan dengan 16 buah kitab yang menerangkan hukum fiqh mengikut mazhab Syafi’i, dan setiap kitab pula dipecahkan kepada beberapa fasal. Terdapat penambahan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani ialah beliau meletakkan tajuk bagi setiap fasal. Dalam kitab Sullam al-Muhtadi hanya disebutkan fasal sahaja tanpa menyebutkan tajuk perbahasan. Ini suatu pembaharuan yang memudahkan pembaca mencari masalah yang ingin mereka telaahnya. Sebagai contoh dalam di fasal pertama dalam Kitab al-Sholah, beliau menyebut “ Pada menyatakan barang yang wajib atas segala wali-wali ”. Namun begitu, 3 fasal yang terdapat dalam Bab Fi al-‘Aqidah, beliau tidak pula meletakkan tajuknya, hanya memadai dengan kata-kata Syeikh Daud al-Fathani, iaitu Fasl (dalam bahasa ‘Arab) , Ini Suatu Fasal..

Kitab ini diakhiri dengan satu Khatimah (penutup), yang dipecahkan kepada beberapa fasal  sebagaimana kitab Sullam al-Muhtadi. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani telah menambahkan huraian bagi Khatimah dengan katanya ; “ Kesudahan pada menyatakan segala perangai yang baik dan jahat ”. Dalam al-Khatimah terdapat 7 fasal, beliau juga telah meletakkan tajuk bagi setiap fasal. Contohnya di fasal pertama beliau menyebutkan; “ Fasl, Pada menyatakan setengah daripada penyakit jantung”.


Isi Kandungan Kitab

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kitab ini merupakan huraian bagi Kitab Sullam al-Muhtadi. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani ketika menghuraikan matan Kitab Sullam al-Muhtadi di kebanyakan tempat beliau tidak menyebutkan nama kitab rujukannya. Namun begitu, ada juga beberapa buah kitab karya ulama terdahulu disebutkan.  hanya menyebut nama ulama sahaja tanpa kitab rujukannya.

Dalam sesuatu masalah fiqh yang dibincangkan kadangkala beliau ada menyebut perbezaan pendapat ulama dalam mazhab Syafi’i mengenainya. Dalam masalah tertentu beliau ada juga menyebut pendapat ulama yang menyalahi mazhab Syafi’i, tetapi menyamai dengan mazhab lain. Namun, hal ini dalam beberapa masalah tertentu sahaja.

Di hujung fasal terakhir (Pada menyatakan kaifiat taubat) dalam Khatimah, iaitu selepas kata penutup Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani pun menutup karya ini dengan katanya, “ .. dan telah selesai saya daripada menghuraikan segala ibarat kitab ini pada Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat sembilan hari bulan Rabi’ yang kedua pada tahun hijrah 1351 kemudian daripada dimulaikan dia pada Makkah al-Musyarrafah ” (Penulisannya bermula di Mekah dan selesai di Madinah al-Munawwarah pada hari Jumaat, 9 Rabiul Akhir-1351 / 11-Ogos-1932 -p)

Kemudian Syeikh Muhammad Nur al-Fathani mengakhiri Kitab Kifayah al-Muhtadi ini dengan menterjemahkan doa yang disebutkan oleh Syeikh Daud al-Fathani dalam Kitab Sullam al-Mubtadi. Kata beliau, “ Kemudian ada musannif mendatangkan doa yang elok menyudahikan karangannya dengan dia serta saya pun memadai dengan doa itu jua. Mudah-mudahan Allah SWT qabulkan dia maka iaitu….” . Beliau menyebutkan sebahagian doa tersebut dan menterjemahkannya, kemudian menyebutkan lagi bahagian berikutnya dan menterjemahkannya, sehingga selesai doa tersebut diterjemahkan. Maka selesailah kandungan kitab ini.


Rujukan Kitab Kifayah al-Muhtadi

Berikut saya catatkan nama ulama dan kitab yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nur al-Fathani dalam Kitab Kifayah al-Muhtadi, sekadar telaah dan pengamatan saya terhadap kitab ini, mungkin ada lagi yang tertinggal.

a)      Nama Kitab: Tafsir al-Nasafi, al-A’lam (Ibn Hajar al-Haytami), al-Raudhah, al-Muhazzab (al-Syairazi), al-Ba-‘its ‘ala Inkar al-Bid’i  wa al-Hawadits (Abu Syamah al-Syafi’i), Ibnu Khuzaimah (Kitab Shahih),

b)      Nama ulama: Abu Bakar al-Tunisi, al-Nasafi, Ibn Hajar (al-Haytami), Ibnu Suraij, al-Kurdi, Syeikh al-Muzani, Imam al-Nawawi, Syeikh al-Baghawi, Istakhri, Ruyani, Syeikh Qaffal, Muhammad bin Ishaq Ibnu Khuzaimah, Syeikh al-Rafi’I, Bujirimi, al-Qadhi Husain, al-Syeikh Syihabuddin Abi Muhammad Abdul Rahman (Abu Syamah al-Syafi’i), Ibnu al-Jawzi, Abu Ja’far al-‘Uqaili, Abu Tsaur, Syeikh al-Syumairi, Syeikh Abu Hamid dan al-Ziyadi.

Sekian, selesailah catatan ringkas mengenai kitab Kifayah al-Muhtadi yang begitu luas huraiannya. Siapa yang mempelajari dan mengamalkannya menjadi  seorang muslim yang bemazhab Syafi’i yang luas pengetahuannya dan jauh dari sikap ta’asub. Semoga bermanfaat.

1 comment:

  1. assalamualaikum..boleh saya dapatkan sumber maklumat ini ustaz?

    ReplyDelete